Jumaat, 29 November 2019

Redupnya Musolla MATRI



Entah bila kali terakhir aku menangis, selepas 12 tahun meninggalkan MATRI rasanya hatiku sudah begitu keras, jika dibaling batu sekali pun batu itu yang akan pecah bukan hatiku. Tetapi malam yang panjang ini aku menangis, menangis panjang. Aku cuba berhenti tetapi ia tidak mahu berhenti. Mataku semakin panas, dan pipiku semakin basah. Ah tidak boleh begini, gumam hatiku dan membelok masuk ke Hentian Simpang Pulai. Berhenti menenangkan diri. 

Ada perkara yang mengusik jiwaku malam ini. Satu perasaan yang telah lama hilang pergi namun hari ini dia kembali. Ia datang tatkala aku menerima mesej berkenaan dengan Ustaz Omar Haji Salleh yang kini terlantar di Wad 502, Tingkat 5, UiTM Private Specialist Centre, Sungai Buluh. "Siapa ada masa ziarah, ziarahlah, sebab ustaz rindu melihat wajah-wajah anak-anak lepasan MATRI". Aku menangis lagi, kali ini lebih sesak. Masihkah sempat datang berziarah, mengucup tangan menuturkan senyuman.

Teringat guru-guru yang kebanyakannya telah pergi. Pergi membawa amal dan pengorbanan mereka kepada pencipta. Teacher Basimah dengan suaranya yang begitu lembut mendidik, Cikgu Zainudin dengan seni pertukangan di bengkel kemahiran hidup, Ummi Halimaton dengan kelas Bahasa Melayunya, Ustaz Dahlan dengan seni khatnya, Cikgu Desa Senawi dengan kelas matematik juga lawatan ke Tasik Melati, mereka semua sudah tiada lagi. Tiada lagi nasihat dan pesan, tiada lagi teguran dan kasih sayang, mereka telah pergi meninggalkan anak-anak mereka. Dan sekolah ditengah-tengah ladang getah itu menjadi saksi amalan mereka dihadapan Tuhannya.

Aku tidak pernah belajar secara formal bersama Ustaz Omar, namun nasihat dan mutiara kata beliau masih lagi aku simpan kemas dalam buku nota Ijtima' Am selama 5 tahun di MATRI sehingga ke hari ini. Tatkala nostalgia duduk bersila di dalam redup musolla datang mengusik jiwa, tiada hati keras yang mampu menahan keredupan itu, keredupan yang meresap kedalam jiwa, menghidupkannya semula. 

Musolla MATRI merupakan tempat yang paling istimewa, sekiranya MATRI mempunyai jantung, musolla adalah jantungnya. Disitulah kami anak-anak MATRI bermain, belajar, duduk, berdiri, malah berbaring. Musolla bukan sahaja tempat kami solat 5 waktu, disitu kami berhimpun, disitu kami mengulang hafazan, disitu kami berhalaqah, disitu tempat kami membesar. Di musolla juga kami mencari tempat untuk meyambung tidur apabila katil mula diketuk-ketuk Ustaz Mahadzir di awal dini subuh. Di musolla itulah Uztaz Omar akan berkhutbah, menyediakan anak-anak muridnya untuk dihantar keluar ke dunia, membawa kata dan risalahnya, menjadi penyambung lidah menyampaikan nasihat-nasihatnya. Ustaz Omar mungkin tidak mengajar kami di dalam bilik darjah, dia tidak mengajar kami menjadi robot di pejabat, dia tidak sediakan kami untuk menjadi hamba harta dan kerjaya, tetapi dia mengajar kami untuk menjadi sebenar-benar manusia.

Anak-anaknya kini sudah berpuluh generasi, bertebaran di seluruh pelusuk dunia entah ke mana. Namun. Namun dimana pun mereka, setinggi mana pun mereka berada, sebesar mana pun pingat yang mereka bawa, se-gah manapun piala akademik yang mereka cipta, jauh di dalam sudut hati mereka ada suatu sudut yang redup, yang ditinggalkan oleh guru-guru mereka. Agar mereka tidak pernah sesat selama-lamanya. Jika anak-anaknya menyelidiki jiwa mereka, mereka akan jumpa sudut redup itu, seredup musolla yang pernah mereka bersama. Masuklah ke dalam keredupan itu semula dan hidupkanlah semula jiwa. Moga ia akan menunjukkan mereka jalan bertemu guru-guru mereka, sebelum mereka pergi selamanya.

Tiada ulasan: