Selasa, 1 Februari 2022

Anekdot Tahun Baharu 2022


Rousseau ada menulis dalam bukunya The Social Contract, antara kata-kata beliau yang paling terkenal:

“man are born free but everywhere he is in chain”.

Saya memahami kata-kata Rousseau ini sebagai tiadanya apa yang dipanggil kebebasan mutlak. Walaupun Hegel mengatakan sejarah manusia adalah sejarah perjuangan untuk pembebasan, manusia hanya boleh berjuang untuk kebebasan dengan menghampiri kebebasan, namun tidak akan pernah dapat memeluk kebebasan yang mutlak. Di hujungnya pasti akan ada sesuatu yang akan menggari manusia.

Bak kata Kenny Ackerman “everyone is a slave of something”.

Jika pun kita tidak percayakan Tuhan, kita akan bertuhankan perkara lain. Bertuhankan manusia, benda, atau bertuhankan perasaan kita sendiri. Manusia memang dahagakan perubahan dan pembebasan. Tidak sedikit dalam sejarah, lautan darah ditumpahkan atas nama kebebasan. Tidak sedikit juga slogan kebebasan ini akhirnya ditunggang oleh pembebas yang akhirnya menjadi penindas baharu. Akhirnya manusia tetap juga digari, cuma berubah tuan sahaja.

Dalam sejarah pernah dikatakan manusia perlu dibebaskan dari cengkaman raja. Untuk dipimpin oleh kebijakan pekerja. Namun ini juga akhirnya berakhir dengan tragedi yang lebih mencengkam. Diktator raja diganti dengan diktator proletariat. Sebab itu ada pemikir seperti Bakunin, yang beranggap revolusi perubahan itu tidak boleh dipimpin, kerana ada kecenderungan pemimpin revolusi ini akan melahirkan diktator baharu. Bagi Bakunin, tugas perubah-perubah hanya untuk membantu revolusi bukan memimpin revolusi.

Namun pemikiran Bakunin ini ada juga masalahnya. Ruang dan peluang revolusi bukan tiba banyak kali, ia adalah ruang dan peluang yang sempit, jika tidak direbut, ia akan direbut oleh orang lain. Itulah yang berlaku menurut Chomsky apabila Bolshevik mengambil alih Revolusi Rusia, para perubah-perubah asal akhirnya diperangi, dan negara dipimpin oleh ideolog seperti Lenin dan Trotsky dan kemudian baton pemerintahan jatuh kepada pemerintahan kuku besi Stalin. 

Kebebasan merupakan satu punca tenaga yang sangat kuat buat manusia. Walaupun akhirnya mereka tidak akan mungkin memeluk kebebasan mutlak. Kebebasan tetap mengiurkan dan membelai jiwa naluri insan. Akan selalu manusia merinduinya. Seperti Annelis yang menyorok dari buruan tentera fasis, dia hanya mahu keluar dan merasai kehangatan cahaya matahari – cahaya matahari itu adalah simbol perasaan kebebasannya.

Saya memulakan penulisan saya dahulu dengan menerbitkan buku sendiri. Walaupun ketika itu ada teman yang mengajak untuk menerbit bersama menulis di satu rumah penerbitan, saya menolak. Kerana saya merasakan pada ketika itu syarikat yang dicadangkan tidak berapa kena dengan selera pemikiran saya. Terbit sendiri bukan satu hal yang senang, tetapi ia juga tak mustahil di zaman ini. Bagi saya terbit sendiri adalah satu yang membebaskan, kita tidak terikat dengan kehendak-kehendak syarikat penerbitan.

Penulis memang sepatutnya menulis akan perasaannya, pemikirannya, apa yang dia rasakan benar, bukan apa yang orang lain katakan benar. Robert Fisk, seorang wartawan ulung misalnya, mengatakan bahawa penulis mesti memastikan tulisannya diterbitkan, bukan tulisan yang telah diubah menjadi penulisan editor atau pemilik syarikat penerbitan. Biasanya jika ada pihak penerbitan yang tidak mahu menerbitkan penulisan saya atas faktor tidak sesuai dengan pemikiran mereka, saya akan berhenti menulis untuk mereka, kerana saya tidak rasa selesa menulis bagi orang yang ada kecenderungan tertentu, saya mahu bebas menulis dan menerbitkan pemikiran saya. Biar pun mungkin readership-nya terhad, bagi saya itu lebih memuaskan, lebih jujur dan lebih bebas.

Projek Penulisan 2022 - sejak dahulu saya cuba untuk memahami dunia. Untuk memahami dunia tak dapat lari dari perjalanan untuk membaca dan mempelajari ideologi-ideologi yang ada dalam dunia ini. Teras paling dalam yang melahirkan semua pemikiran yang ada dalam pergolakan sejarah dunia saya kira adalah perasaan manusia untuk bebas, atau juga disebut sebagai falsafah pembebasan. Pada setiap zaman manusia mahu bebas dari sesuatu, ideologi lahir sebagai rangka fikir tentang bagaimana mahu bebas. 

Oleh itu salah satu buku saya yang akan terbit tahun ini adalah buku perihal ideologi. Buku ini adalah kumpulan esei saya selama 3 tahun, yang mencakup hal-hal ideologi, falsafah, politik dan rencana umum. Dalam usaha saya untuk merasionalkan dunia. Terima kasih diucapkan kepada Cukong Press yang sudi menerima karya kecil saya untuk diterbitkan. Terima kasih juga pada Ocha Vozvyshennyy yang sudi meneliti manuskrip awal, memberi pandangan dan kritikan. 

Buku kedua yang saya rancang adalah sebuah buku yang meneroka dua aktiviti kegemaran saya, iaitu menulis dan membaca. Disamping meneroka sejarah, falsafah, dan juga objektif bagi menulis dan membaca, buku ini juga merupakan rakaman pengalaman dan pandangan saya akan dua topik ini. Buku ini sebenarnya telah siap sejak tahun lepas lagi, namun disebabkan beberapa kekangan ia tidak dapat diterbitkan pada tahun lepas. Sekarang ia berada dalam proses akhir penerbitan. Penerbit ada memaklumkan bahawa mereka jangkakan buku ini dapat diterbitkan pada bulan Februari 2022. Selain dua buku ini, saya mahu take a break from writing, saya akan lebih memfokuskan penulisan pada tahun ini sekitar hal-hal peribadi yang dekat dengan kehidupan saya. Jadi janganlah tanya saya “tak ada buku baru lagi ke?”.

Di lapangan pembacaan pula saya merasakan ada banyak buku yang saya hanya baca separuh sahaja pada tahun lepas. Oleh itu target pembacaan saya tahun ini adalah untuk menghabiskan buku-buku yang telah saya mulakan pembacaan pada tahun lepas. Antaranya biografi Svetlana Alliluyeva, anak kepada Stalin, masalah Palestin dari kaca mata orang Kristian tulisan Gary Burge, Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI Bil. 02), sebuah novel yang menelusuri sejarah silam China tulisan Susan Barker, kitab Al-Muqaddimah tulisan Ibnu Khaldun, dan akhir sekali naskah klasik falsafah tulisan Jean-Jacques Rousseau. Selepas habis buku-buku ini, barulah saya akan meneroka almari buku saya untuk bacaan baharu. Pembacaan bagi saya tidak lengkap dan memuaskan jika tidak dihabiskan kulit ke kulit buku-buku yang telah dimulakan.

Semoga semua perancangan untuk tahun ini dapat dicapai dengan jayanya. Ameen ya Rabb.

Tiada ulasan: