Selasa, 5 Mei 2020

Kerinduan Pada Mereka Yang Telah Berlabuh Ke Kampung Abadi



Semalam entah mengapa saya teringat dan termenung jauh tentang kematian. Satu perasaan gerun tiba-tiba menyusup menggegarkan jiwa. Akan tiba satu masa, saya tidak mampu lagi merasa apa yang saya rasa, membuat apa yang saya mahu, memegang, mencinta, membenci, atau dalam kata lain tidak lagi hidup. Berfikir tentang mati adalah perkara biasa, ia datang dan pergi, kadang kita terfikir tentangnya tanpa apa-apa perasaan, adakalanya saya juga berasa mahu hilang dari dunia ini, tetapi semalam terasa lain. Perasaannya terasa sangat dalam. Apabila difikir secara benar, diguna minda untuk membayanginya, kegerunan yang dibawa mati menyentakkan jiwa.

Banyak kematian disekeliling saya yang sangat mengesani jiwa. Yang paling pertama menggugat jiwa adalah arwah Azri (Muhammad Azri bin Aminuddin, 18 Disember 1991 - 4 April 2016) yang merupakan teman yang sangat saya kasihi. Kami bertemu di Rusia sewaktu belajar dan beliau merupakan junior setahun dari saya. Banyak kenangan dan memori bersama, pernah bersama kembara ke Scandinavia semasa cuti musim panas. Tamat pengajian juga kami sangat rapat bersama, beliau sering berjumpa saya dan berbincang perihal masalah-masalah kehidupannya. Sayang saya terhadap Azri sehingga saya pernah bertanya padanya jika dia sudi bernikah dengan seorang ahli keluarga saya. Gambar profile picture beliau di Facebook yang terakhir adalah gambar ketika beliau datang beraya di rumah saya bersama Rauff, bila saya buka semula ia sangat mengesani hati. Beliau dipanggil pulang Tuhan dalam satu kemalangan, pada ketika itu saya baru mula berkerja di tempat baru, beberapa hari saya murung dibilik sewa. Sampai hari ini saya masih terkilan kerana tidak dapat hadir memberi penghormatan terakhir.

Pemergian arwah Farizul Firdaus (Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie, 02 Mei 1990 - 25 Julai 2019) juga sangat membekas di hati. Kami panggil beliau Pejo, beliau merupakan rakan sebilik saya ketika dalam pengajian di Petersburg. Selain sebilik, beliau juga merupakan rakan sepasukan dalam pasukan bola dan futsal universiti. Teman sebilik dan sepermainan. Alhamdulillah sempat bersama mencandat sotong beberapa minggu sebelum beliau pergi, walaupun pada ketika itu beliau sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat bersembang lama. Saya bersyukur kerana sempat hadir menziarahi keluarganya meskipun tidak sempat bersama menguruskan jenazah beliau kerana jarak Pulau Pinang-Terengganu yang agak jauh, dan kami tiba ketika semuanya telah selesai.

Antara sahabat yang kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam juga adalah arwah Abu (Abu Asri bin Zailani, 9 September 1990 – 22 Ogos 2016). Abu merupakan teman sepermainan di sekolah menengah di MATRI. Walaupun kelas berbeza hampir setiap masa lain saya menghabiskan masa dengan Abu. Masing teringat perjalanan jauh dari Perlis ke KL Sentral, kami menaiki tren KTM, membuka pintu gerabak tengah sambil duduk, bersama menikmati permandangan bendang sambil merasakan angin yang berderu-deru kerana tren bergerak pantas. Saya masih ingat kata-kata beliau satu malam selepas SPM bahawa tidak mahu berjumpa kecuali selepas 10 tahun, beliau mahu melihat perubahan pada diri kami, namun kami sering juga bertemu selepas habis sekolah. Semasa saya menyambung pengajian di Johor, saya sering ke restorannya di Sempang Renggam, selalunya saya akan tidur di sana dalam perjalanan ke Skudai. Pagi-pagi beliau akan membawa saya menaiki motor meneroka ladang kelapa sawit sebelum mencari kedai roti canai. Hampir semua masalah hidupnya, dari keluarga hingga ke percintaan akan beliau luahkan pada saya. Malah beliau sanggup turun ke KL untuk meluahkan perasaan. Pemergian teman sepermainan seperti Abu begitu membekas dihati, seluruh album gambar tidak mampu mengubati rinduku padanya.

Kematian terbaru yang meragut separuh jiwa saya adalah pemergian arwah ayah (Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus, 30 April 1959 – 29 Febuari 2020) pada hujung Februari tahun ini. Secara jujur saya tidak ada rasa ada perkara yang masih 'tertinggal' untuk saya ucapkan pada ayah. Segalanya telah cukup bagi saya, ayah telah menyempurnakan tugasnya di dunia. Anak-anaknya sudah besar, dan dari aspek kerjaya pun ayah telah berpencen. Cuma mungkin saya tidak sempat menyalin sejarah keluarga dari ayah, ayah memang menjaga rapat hubungan keluarga. Hampir semua keluarga sepupu sepapat dia jejaki semula, kenduri anak-anak mereka dia cuba hadir. Kadang kala ayah cerita letak duduk seseorang dalam salah silah keluarga yang saya sendiri tak mampu ingat. Walaupun telah sempurna tugasnya, pemergian ayah membuatkan rasa kehilangan itu cukup nyata. Mengucup wajahnya yang telah sejuk mengalirkan air mata yang tak pernah cukup untuk dicurahkan.

Mungkin benar kematian itu satu tazkirah buat insan, kematian sepatutnya menghidupkan hati yang masih bernyawa agar dia tidak terlupa untuk "hidup" dalam masa yang sama mengumpul bekal untuk berangkat ke kampung abadi.

Dari Allah kita datang, dan kepadanya jua lah kita akhirnya akan kembali.

Pergerakan Islam & Cabaran Untuk Kekal Relevan


Pemikiran Syed Qutb berkenaan dengan "Islam VS Sistem Jahiliyah" merupakan pemikiran yang lahir di zaman dimana Mesir pada ketika itu dicengkam oleh nasionalisme yang sangat pekat. Agama ditekan dan ramai tokoh yang menentang idea yang dipegang kerajaan menghembuskan nafas terakhir mereka di tali gantung.

Idea ini ternyata berkesan kerana ia merupakan idea yang simple dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Baik ahli akedemik atau petani, pelajar universiti atau tukang kayu, hatta golongan buta huruf sekali pun boleh memahami idea bahawa "selain Islam adalah jahiliyah". Ia tersebar luas dan dianggap sebagai idea revival Islam, dan mempengaruhi banyak pergerakan lain diserata dunia Islam yang pada zaman itu sedang bertarung dengan kolonialisme, imperialisme dan pelbagai cengkaman lain.

Saya tidak bermaksud untuk mengkritik pemikiran Syed Qutb, kerana bagi saya ia mempunyai sumbangan besar dalam mengembalikan Islam dalam diri ummat ini. Ia merupakan catalyst kepada perubahan, perubahan yang kita nikmati hari ini.

Situasi di Malaysia juga banyak berubah. Kita tidak lagi di jajah oleh kuasa kolonial (secara fizikal, minda terjajah merupakan perbahasan lain). Islam tidak di tekan dan kita lihat banyak perubahan yang positif bagi Islam. Jika dahulu anak-anak ke sekolah memakai seluar pendek dan skirt, kini kita melihat sekolah-sekolah berpakaian uniform yang menutup aurat. Dahulu hanya ada pinjaman konvensional, sekarang kita sudah ada pembiayaan dari bank-bank Islam, instrumen pelaburan patuh syariah. Saluran TV yang memaparkan program Islam sudah tidak asing. Kita perlu menerima hakikat bahawa zaman telah berubah.

Pemikiran perlu berubah sesuai dengan zamannya. Hatta pandangan ulama juga berubah mengikut zaman, tempat dan waqi. Jadi untuk kekal relevan, kita perlu bersama berubah mengikut perubahan. Bukan bermakna kita mengorbankan 'al-aslu'  kita, tetapi perlu memahami realiti. Walaupun banyak perubahan yang positif, masih ada ruang untuk kita perbaiki dalam masyarakat dimana Islam boleh memberi solusi.

Pergerakan Islam hari ini merasai kekurangan tenaga muda. Tenaga muda yang di didik oleh institusi sendiri, akhirnya keluar dan tidak bersama arus pergerakan Islam. Kenapa? Jawapan paling mudah adalah ini adalah tapisan, mengeluarkan hati yang tidak ikhlas manakala yang ikhlas akan terus kekal. Namun, hari berganti tahun, kita melihat yang tertapis itu semakin banyak, yang menjayakan program adalah muka yang sama. Semakin lama ia lebih seperti 'kelab pencen' dari sebuah pergerakan Islam yang segar dan sihat. Seharusnya kita bertanya, mengkaji, dan jujur menyelesaikannnya.

Kita masih menggunakan istilah 'sistem ini haram', 'sistem ini hanyalah Islam tempelan' dalam masa yang sama tidak dijelaskan sistem yang bagaimana boleh diterima sebagai sistem Islam yang jelas, manifestasinya, praktikalitinya. Dalam masa yang sama anak-anak di dalam institusi kita mengambil kursus Islamic banking, keewangan Islam, syariah dan mereka akhirnya bekerja di bank-bank Islam, ada yang menjadi sukuk arranger, ada yang menjadi penasihat syariah di bank, ada yang menjadi pegawai di institusi yang mengeluarkan status patuh syariah terhadap produk kewangan. Mereka melihat dan mendengar paradoks ini, sistem jahiliyah pada masa program, namun di institusi kita ia merupakan subjek yang mereka pelajari dan tempat mereka mencari rezeki. Lama ke lamaan mereka menjauh, mereka tidak nampak persamaan pemikiran ini dengan realiti.

Mungkin banyak lagi faktor yang menjauhkan anak muda dari pergerakan, mungkin juga faktor perbezaan pemikiran dan realiti ini tidak dominan. Namun ini merupakan salah satu faktor (besar atau kecil terbuka kepada perdebatan). Ia harus dilihat dengan jujur, diperbaiki, agar pergerakan Islam kekal relevan dan mampu memberi manfaat kepada generasi yang akan datang. Ia adalah amanah untuk kita, dan kita akan dipersoalkan.

Ahad, 3 Mei 2020

Impian Sebagai Enjin Manusia



Apa yang membuatkan seorang ibu yang penat berkerja sepanjang hari, kemudian balik kerumah menjaga anak-anak, memasak dan membasuh baju, kemudian setelah anak-anaknya tidur, dia menyalakan lilin untuk menulis novel? Apa yang membuatkan seorang pemuda yang bekerja tiga kerja sehari, dari pagi hingga ke malam, kemudian memberikan hampir semua hasil titik peluhnya kepada orang lain? Apa yang membuatkan seorang anak kecil, yang hidup miskin dan terhina, keluar dari rumah persembunyiannya dan membaling batu-batu kecil kearah kereta kebal yang memasuki kampungnya? Apa yang membuatkan seorang lelaki yang baru pulang membeli belah dikedai, dengan plastik penuh barang keperluan, berdiri dihadapan kereta kebal yang ingin masuk kedalam bandarnya?

Mereka semua melakukan semua ini kerana mereka mempunyai sebuah impian.

Impian merupakan enjin yang sangat berkuasa dalam menggerakkan manusia untuk berusaha untuk mencapai sesuatu yang belum wujud. Sesuatu yang dia belum rasa, sesuatu yang bagi dirinya akan membuatkan dirinya bahagia, membuatkan dirinya terasa lengkap.

Ahad, 26 April 2020

Nasionalis: Daripada Hero Bangsa Kepada Hero Ummah



Terima kasih diucapkan kepada pasukan 5pages1day yang sudi menjemput saya memberi pandangan dalam siri Beyond Pages dengan tajuk Nasionalis: Daripada Hero Bangsa Kepada Hero Ummah pada 20 April 2020. Elok juga ditintakan sedikit perihal siri ucapan ini buat rujukan umat manusia di masa hadapan.

Siri ucapan kali ini diadakan secara maya kerana negara masih lagi berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak coronavirus yang baharu COVID-19. PKP ini jika direnungkan merupakan satu nikmat yang diberikan kepada kita. Selama ini kita berkejaran kesana-kemari atas pelbagai sebab seperti kerjaya, pengajian, hobi, tetapi kali ini kita terpaksa berkurung dirumah. Ia merupakan satu peluang untuk kita berehat dan menghentikan minda kita. Ada satu buku menarik yang ditulis oleh Eckhart Tolle bertajuk The Power of Now dimana beliau mengatakan minda kita harus digunakan seperti alat-alat lain, apabila kita sudah habis menggunakannya, kita harus menutupnya dan berhenti berfikir. Jika tidak kita akan terus berfikir perihal masa depan, perihal masa lampau, hingga lupa untuk hidup di masa sekarang, kita akan terus berfikir sehingga penat bahkan mungkin boleh mengalami masalah mental dan menjadi gila.

Kembali kepada tajuk perkongsian, sebenarnya terma "nasionalis" ini merupakan loose term atau dalam kata lain, ia mempunyai pelbagai definisi dan bentuk. Bila kita sebut nasionalis, ia sering dianggap sebagai gerakan kanan (right wing) dalam spektrum politik. Tetapi sebenarnya ada juga golongan kiri yang berfahaman nasionalis, seperti banyak golongan kiri yang berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan (national liberation movement), mereka mungkin berideologi kiri dan mengagungkan tulisan Marxis dalam masa yang sama mencintai negara dan merasakan bahawa negaranya perlu dibebaskan dan ditadbir oleh bangsanya sendiri, ini disebut sebagai left wing nationalist. Nasionalis juga boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti nasionalis bangsa atau nasionalis agama.

Jadi adakah nasionalis ini bertentangan dengan Islam?

Seperti yang kita bincangkan tadi, nasionalis mempunyai pelbagai definisi dan bentuk. Jadi Hassan Al-Banna dalam menjawab soalan ini membawakan bentuk nasionalis yang diterima Islam. Dalam ucapannya yang kemudian ditulis sebagai Risalah Dakwatuna beliau mengatakan bahawa nasionalis itu tidak bertentangan dengan Islam sekiranya:

  1. Nasionalis itu bererti generasi hari ini perlu mengikuti generasi sebelumnya membina hidup yang cemerlang, gemilang, dihormati, dan berkeyakinan tinggi lalu menjadikan generasi sebelumnya sebagai contoh.
  2. Nasionalis itu bererti kegemilangan seorang ayah yang menjadi contoh ikutan buat anak-anaknya, menjadi perangsang, pembakar semangat, dan kebanggaan buat anaknya.
  3. Nasionalis itu bererti keluarga dan bangsanya adalah tempat yang paling utama bagi dirinya mencurahkan sumbangan dan layanan yang baik.
  4. Nasionalis itu bererti kemerdekaan dan kebebasan.
Maka empat definisi ini tidak berlawanan dengan Islam malah dituntut kepada kita. Tetapi Islam menolak nasionalis sekiranya yang dimaksudkan dengan nasionalis adalah:
  1. Menghidupkan kembali budaya jahiliyah yang telah pupus yang bertentangan dengan Islam.
  2. Membuang apa-apa yang ada kaitan dengan Islam kerana semangat nasionalisme.
  3. Bangga dengan bangsa sehingga merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain untuk memartabatkan bangsa sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan.
Jadi sekiranya nasionalis itu perasaan cinta dan sayang pada bangsa dan negara, Islam tidak mempunyai masalah dengan kecintaan itu kerana ia adalah fitrah. Namun perasaan itu tidak cukup, ia memerlukan satu cara hidup, disini kita lihat pentingnya perasaan cinta itu dipandu oleh cara hidup yang dibawa oleh Islam.

Perjuangan nasionalis moden atau semangat negara bangsa yang ada hari ini merupakan perkara yang baru, ia tidak wujud pada empayar-empayar sebelum ini yang terdiri dari pelbagai bangsa, contohnya Empayar Rom, Empayar Islam, semuanya terdiri dari pelbagai bangsa. Yuval Noah Harari dalam bukunya Sapiens mengatakan bahawa konsep nation ini adalah realiti yang diimaginasikan manusia - fictional reality. Ia wujud dalam fikiran manusia sahaja, bukan wujud secara objektif. Oleh itu kita lihat monyet Thailand akan memasuki Malaysia tanpa rasa bersalah, mereka tidak memahami konsep sempadan negara, malah mereka tak tahu apa itu negara. Oleh itu, ia perlu sentiasa didoktrinkan dan dipupuk. Untuk meyakinkan manusia bahawa negara itu wujud, dicipta lagunya, rukunnya, perlembagaannya, logonya, yang semuanya merupakan imaginasi manusia. Generasi dahulu, yang disuruh mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) pasti pernah menyanyi lagu Menara Bangsa. Dinyanyikan "menara bangsa akan kita bina perkasa tiada rebah lagi". Ya, ianya perlu dibina kerana ia tidak ada sebelum ini.

Islam merupakan agama universal, seperti yang diungkapkan oleh Professor Moshe Sharon di Ben Gurion University bahawa "Islam merupakan agama dunia, tidak hanya terikat kepada satu bangsa yang terpilih, atau terikat pada satu batas geografi". Islam datang membawa konsep persaudaraan sejagat. Kisah yang masyhur bagi kita adalah bagaimana Rasulullah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj yang berperang sesama mereka sebelum ini. Perang bukan satu perkara yang kecil, ia membawa kepada bunuh membunuh. Jika kita terfikir bolehkah kita bersaudara dengan orang yang membunuh ibu atau ayah kita? Ia bukan satu perkara mudah. Malaysia-Indonesia sendiri pernah berperang pada ketika dahulu. Ketika penubuhan Malaysia, dibantah oleh Presiden Sukarno dan membawa slogan "Ganyang Malaysia" menyebabkan berlakunya konfrontasi yang menyaksikan sekitar 700 nyawa terkorban. Sehingga ke hari ini, jika ada perlawanan bolasepak, penyokong Malaysia-Indonesia akan bergaduh. Tapi Islam datang mempersaudarakan dua masyarakat yang berperang.

Persaudaraan rentas bangsa juga banyak direkodkan dalam sirah moden. Contohnya dalam buku yang ditulis oleh Firas Alkhateeb yang bertajuk Lost Islamic History, bagaimana Yusuf Tashfin seorang berbangsa Berber dari Afrika Utara menyeberangi selat Gibraltar bagi membantu taifah-taifah Islam di Selat Iberia yang menghadapi ancaman dari Alfonso dari Castille. Contoh lain misalnya boleh kita baca dalam buku yang ditulis oleh sejarawan Ilan Pappe dalam bukunya The Ethnic Cleansing of Palestine yang menceritakan bagaimana orang Islam dari negara lain membantu rakyat Palestin ketika orang Yahudi menyerang Arab Palestin dan menubuhkan negara mereka pada 1948. Beliau menceritakan tentang keberanian tentera sukarela Ikhwanul Muslimin dari Mesir. Rakyat Lubanan yang merentasi sempadan membantu perkampungan Palestin. Ketika diberi arahan untuk berundur, ramai tentera Arab Legion yang mengingkari arahan untuk berundur untuk mempertahankan kampung Palestin, contohnya Kapten Abu Rauf Abd Al-Raziq dari Iraq yang mempertahankan kampung Taytaba dan Qalansuwa. Mereka semua memahami bahawa nasionalis mereka merentasi sempadan negara bangsa, tidak sekali mereka melupakan saudara-saudara mereka.

Kita hari ini hidup dalam tinggalan warisan kolonial, walaupun kita sudah bebas masih banyak yang kita warisi dan teruskan legasi mereka, hatta pemikiran kita juga ramai yang masih terikat dengan acuan kolonial. Begitu juga sistem dan corak negara. Jika kita lihat sempadan sebahagian negara Islam, Mesir-Libya contohnya, ia adalah garis lurus, bukan seperti sempadan negara lain yang menggerutu ketana mengikuti sempadan semulajadi seperti sungai dan banjaran bukit. Garis lurus ini dilukis oleh penguasa kolonial sebelum ini pada peta-peta mereka, ia tidak wujud sebelum ini. Pemikiran nasionalis yang ditanam kolonial juga banyak membutakan mata kita terhadap penderitaan saudara kita, yang dekat dengan kita adalah penderitaan saudara Rohingya kita, bagaimana bot-bot mereka dihalau seolah disuruh mati. Tentulah ini bukan apa yang diajar oleh Islam, bukan nasionalis yang diterima Islam, bahkan keji dari nilai kemanusiaan. Kita sedih melihat keadaan umat ini, namun apa yang kita boleh perbuat?

Walaupun kita hidup dalam sistem, pemikiran dan zaman legasi kolonial ini, dan kita menerima sifat nasionalis dalam batasan dan definisi yang selari dengan Islam, kita perlu jelas perjuangan nasional dan kebangsaan ini bukan matlamat kita, ia bukan tujuan akhir perjuangan kita. Kita tidak boleh menyempitkan pemahaman nasionalis kita. Jika kita membaca buku yang ditulis oleh TR Reid yang bertajuk The United States of Europe kita akan dapati bagaimana mereka yang menjajah dan menanam semangat nasionalis kepada anak-anak jajahan mereka juga sedar bahawa semangat nasionalis sempit akan memecahkan mereka menjadi negara-negara kecil yang lemah. Oleh itu mereka membina blok Kesatuan Eropah dan mula menyebarkan fahaman pan-europeanism. Mereka membina satu pasaran bersama, pergerakan tidak terbatas sesama negara mereka, malah mempunyai stuktur parlimen dan mahkamah bersama. Sementara negara-negara lain termasuk negara-negara Islam terus terpecah, bercakaran, dan mudah dikalahkan.

Dalam buku Langkah Bermula tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid beliau mengungkapkan satu kata-kata yang cukup cantik dalam kita melihat suasana umat yang berpecah belah pada hari ini, beliau menulis keadaan hina yang menimpa umat ini "hanya gerhana, bukan tenggelamnya matahari". Ia adalah fenomena sementara, bukan kekal. Tetapi perubahan yang kita idam-idamkan tidak mungkin berlaku dengan sendirinya tanpa ejen perubah. Ejen perubah ini adalah pemuda dan pemudi yang bekerja memenangkan semula umat, bekerja membela nasib umat, mereka adalah bahan asas kepada peristiwa perubahan yang akan direkod dalam sejarah. Oleh sebab itu, permulaan kepada perubahan adalah pemuda-pemudi yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan menyeluruh, kemudian mereka bekerja secara sistematik. Hingga akhirnya sejarah berubah, dan fajar bersinar semula di ufuk yang indah buat umat ini.

Sabtu, 25 April 2020

Mengapa Negara Islam Malaysia Perlu Membenci Rohingya?

Gambar Rohingya menaiki bot di perairan Thailand oleh Christophe Archambault/AFP & satu komen berbaur rasis oleh seorang pengguna media sosial bernama Rossmani Zainol di Facebook.

Tekak saya loya, terasa begitu menyampah dengan orang yang maki-maki pelarian Rohingya, apatah lagi apabila yang memaki ini orang-orang yang saya kenali secara peribadi. Begitu rendah mental mereka, mudah dilamun api perkauman apabila ada yang datang meniup. Mungkin mereka tak faham perasaan rumah dibakar dan keluarga dibunuh golongan yang datang mencari perlindungan itu.

Masih ingat lagi ketika 11 September ramai cendiakawan Islam keluar berdebat dengan Barat dengan hujah "segolongan penjenayah buat kejahatan tak mewakili agamanya". Hari ini kita tebalikkan hujah itu dan kita pun petik beberapa kes sana sini "oh mereka ini kotor dan tak beradab, biar aja mati lemas dalam bot-bot mereka". Seolah-olah tiada langsung konsistensi dalam logik akal kita, bahkan logik kita tak boleh dipanggil logik mengikut piawaian umum. Kita marah bila orang petik beberapa contoh dan buat generalisasi 'Melayu malas', tapi kita tak ada masalah buat generalisasi yang sama terhadap bangsa lain kononnya mereka kotor dan penjenayah. Kita suka membenci sehingga sukar nak dibezakan apa beza kebencian kita yang menganggap mereka pengotor dengan kebencian golongan Buddhist yang membakar rumah-rumah mereka?

Pagi-pagi kita baca qunut nazilah doa Allah bantu saudara kita yang dizalimi di Myanmar. Bila matahari terbit kita halau pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri dari perairan kita. Entah apa yang kita faham dengan Islam? Entah apa yang kita faham tentang ukhuwwah Islam, persaudaraan Islam? Entah apa yang kita banggakan dengan mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara. Sangat memalukan orang yang mulut kuat mencaci, lagi malu bila mengaku Islam. Sudahlah mulut busuk dengan cacian, tiada sumbangan mereka pada masyarakat. Dari mengutuk, lebih mulia kita membantu dan mendidik mereka.

Kelakar juga bila dibaca hujah sebar kebencian kepada Rohingya, mereka harus dibenci sebab mereka berjaya dalam perniagaan. Rupa-rupanya kalau kita nak tolong orang kita kena pastikan dia tidak pandai berniaga, tak berjaya dan kekal miskin. Sepatutnya kaum Ansar dulu kena halau kaum Muhajirin yang datang berhijrah, sebab Saidina Uthman dari Muhajirin pandai berniaga. Mungkin ini pengajaran yang boleh dimasukkan dalam ceramah Maal Hijrah akan datang.

Ada disconnect pada hujah anti-imigran. Hujah tipikal mereka "hangpa sayang sangat kat depa cuba bela sorang duduk sekali dalam rumah hangpa". Seolah-olah imigran ini takda langsung kebolehan untuk hidup mandiri, perlu menumpang rumah. Walhal itu bukan keperluan atau tuntutan mereka, mereka bukan nak masuk rumah kita, mereka nak berlindung di negara ini.

Kemudian datang pula hujah seterusnya yang membenci mereka kerana mereka menguasai perniagaan. Aik? Maksudnya mereka boleh berusaha sendiri, mencari rezeki berkerja dan berniaga sendiri tanpa perlu kita "tumpangkan mereka dalam rumah kita". Jadi mana satu? Mereka ini perlu tumpang rumah kita atau mereka sangat produktif dan mandiri?

Sebenarnya itu semua bukan isu dia. Isu dia mereka memerlukan negara yang selamat untuk berlindung bukan dibiarkan mati di tengah laut, atau dihalau balik ke tempat mereka dizalimi dan dibunuh. Dalam Surah Al-Maidah Ayat 32, Allah berfirman jika kita selamatkan 1 nyawa manusia seolah kita selamatkan seluruh manusia. Mungkin pejuang-pejuang "Islam" di Malaysia ni tak baca sampai ayat ini lagi.

Pelik betul orang "Islam" dekat Malaysia ni. Bila gereja bagi makan orang susah, semua kecam, katanya agenda nak memurtadkanlah apa lah, tapi sendiri tak nak membantu. Hari ini Allah bagi peluang kita bantu satu bangsa tapi kita ini perasan "bersih dan bertamadun" menghina mereka. Jika orang Kristian bantu mereka, boleh jadi nanti mereka semuanya masuk Kristian dan menjadi satu bangsa yang hebat di masa hadapan. Ketika itu pejuang-pejuang "Islam" pun menangis, alangkah bagusnya kalau kita bantu mereka dahulu, kemudian baru sibuk nak "berdakwah" pada mereka. Apa bantu mereka untuk terus hidup, beri mereka makanan dan pendidikan itu bukan dakwah? 

Alangkah dangkalnya.

Menyebar kebencian begitu mudah. Buat fake account, tinggalkan komen rasis. Berbondong-bondonglah orang bodoh yang percaya dan menerima virus kebencian terhadap segolongan kaum. Begitu rendah kualiti mental masyarakat kita.

Sapa yang pernah keluar negara mesti dia pernah rasai perkara ini. Masih ingat di Stockholm dahulu, kami mencari kedai makan halal, akhirnya kami jumpa kedai Doner Kebab yang diusahakan oleh imigran dari Turki. Semasa di Russia, kami membeli Goryachi Samsa (macam karipap) yang halal dari makcik-makcik Uzbekistan yang menjual secara senyap-senyap takut ditangkap polis semasa musim sejuk. Kita bangga dengan masjid-masjid yang banyak di Eropah yang dibangunkan oleh komuniti imigran yang memudahkan kita solat ketika kita sedang ber-Eurotrip.

Kita juga bangga dengan doktor-doktor kita yang berkelahiran di Malaysia namun bermigrasi dan berkhidmat sebagai professional di negara-negara barat seperti UK. Kita sendiri juga banyak yang menjadi imigran dan bekerja di negara lain seperti Singapura dan Australia. Bila ada bangsa lain hendak menyelamatkan diri, mengubah nasib dan tumpang hidup di negara kita, tiba-tiba kita jadi anti-imigran "kau pengotor busuk pergi balik!".

Saya masih ingat seorang anak Rohingya yang pernah saya ajar satu ketika dahulu ketika menjadi guru. Pelajar tingkatan 1 bernama Osman, seorang yang periang, comel, suka tersenyum dan suka buat lawak. Jika Osman membaca komen-komen rakyat Malaysia yang mencaci-caci bangsanya di media sosial, saya akan berasa sangat malu. Mungkin juga saya akan memeluk Osman dan menangis.

Tidak malukah kita yang kononnya memperjuangkan Malaysia sebagai negara Islam tetapi tidak membantu saudara sendiri? Sampai bila kita perlu hidup membenci? Allah ciptakan dunia ini tanpa sempadan, seharusnya rahmat dan kasih sayang kita juga tidak bersempadan.

Isnin, 13 April 2020

Training at Home: Penulisan Kritis


Alhamdulillah, baru-baru ini berkesempatan untuk memenuhi jemputan IIUM Journalism Club dalam medium Jitsi Meet untuk berkongsi sedikit berkenaan dengan tajuk "Penulisan Kritis". Elok juga jika ditulis sedikit berkenaan dengan perkongsian ini untuk manfaat bersama.

Kenapa kita perlu menulis?

Kata Friedich Nietzsche, seorang ahli falsafah "He who has a why to live can bear almost any how". Kata-kata Nietzsche ini menekankan bahawa kita mesti mempunyai "kenapa" untuk melakukan satu perkara, dengan adanya "kenapa" ini kita akan kekal fokus dan istiqamah melakukan apa yang kita lakukan walaupun didatangi pelbagai cabaran dan dugaan.

Banyak sebab manusia menulis. Tulisan pertama yang direkodkan dalam sejarah adalah tulisan orang Sumer di Mesopotamia yang dikenali sebagai cuneiform, ia bertujuan menyimpan data-data numerik perihal pendapatan, hutang dan percukaian. Namun penulisan ini terhad kepada penyimpanan data numerik, ia tidak boleh digunakan untuk menulis puisi sebagai contoh. Hari ini kita menulis atas pelbagai "kenapa", ada yang menulis bagi menyampaikan cerita, merekod peristiwa dan sejarah, juga menyebarkan idea dan kefahaman. Ada juga orang yang menulis disebabkan sebab-sebab peribadi seperti minat, hobi, sebagai terapi diri, mengisi masa lapang, atau ingin menjadikan aktiviti menulis sebagai kerjaya. Semua ini tidak salah, kita boleh punyai "kenapa" kita yang tersendiri.

Dua sayap ilmu adalah menulis dan membaca. Jadi aktiviti penulisan tidak dapat lari dari pembacaan. Dalam Islam, tiada khilaf dalam penurunan ayat pertama Al-Qur'an iaitu "iqra'", sedangkan ayat terakhir Al-Qur'an mempunyai khilaf dikalangan ulama'. Ini menunjukkan kepentingan membaca bagi umat Islam. Tetapi apa yang hendak kita baca sekiranya tiada orang yang menulis?

Dengan menulis juga kita menjati mata rantai yang menyambung rantaian tradisi keilmuan yang panjang dalam Islam. Tradisi ilmu dalam Islam berkembang dengan penulisan. Perkembangan manusia dalam pelbagai aspek sentiasa memerlukan perkara baru dan sudut pandang baru. Dan penulis sepanjang sejarah telah melaksanakan tugas mereka, kini tiba tugas ini jatuh kepada kita di zaman ini, untuk menulis di zaman baru ini menyambung tugas mereka.

Dari sudut pandang dakwah juga kita memerlukan tulisan-tulisan baru untuk menyegarkan dakwah. Perlu ada idea baru, contoh baru, yang sesuai dengan realiti semasa bagi menarik minat masyarakat terhadap kefahaman Islam.Tidak cukup kita sekadar mengulang baca teks-teks lama era kolonial, tanpa ada usaha menyesuaikan idea mereka dengan situasi semasa kita pada hari ini.

Soalan yang sering bermain di minda kita "jika aku menulis, ada ke orang nak baca?". Kita merasakan diri kita kecil, tidak signifikan, oleh ituia menghalang kita dari menulis. Mari kita telusuri kisah Anne Frank sebagai motivasi untuk kita menulis. Anne mula menulis pada umur 13 tahun apabila bapanya Otto menghadiahkannya sebuah diari. Beliau menulis perkara harian sepanjang Perang Dunia Ke-2 seperti memotong kentang dan bergaduh dengan emak. Perkara-perkara yang mundane dan mungkin beliau juga rasa ketika itu bahawa apa yang ditulisnya tidaklah begitu signifikan. Anne kemudian terbunuh di kem tahanan tentera namun ayahnya Otto berjaya hidup.Otto menerbitkan diari Anne pada tahun 1947 selepas kematian anaknya. Diari beliau telah diterjemah hingga ke 70 bahasa, masih dicetak dan dibaca hingga ke hari ini. Jadi kita tidak perlu risau, kita hanya perlu menulis.

Dengan menulis, kita memberi peluang kepada dunia untuk membaca kisah kita, jika tidak, kisah kita akan mati apabila kita mati. Setiap orang mempunyai kisah mereka tersendiri, setiap dari kita unik dan menarik. Persoalannya hanya, adakah kita akan menulisnya untuk dibaca?

Apa yang hendak ditulis?

Kata penulis British, Aldous Huxley "All that happens mean something; nothing you do ever insignificant". Jadi apa sahaja yang boleh difikirkan atau diimaginasikan boleh ditulis, kita boleh tulis tentang apa sahaja, tiada yang tidak signifikan.

Saya sendiri mula menulis blog pada umur 18 tahun, pada waktu itu saya blogging baru mula terkenal di Malaysia, saya rasa tercabar kerana adik saya mempunyai blog. Saya pun mula menulis blog, walhal saya pun tak tahu ketika mula tersebut blog itu apa. Tapi dunia ini pelik dan punya cara tersendiri dalam putarannya, kadang tak terfikir dek akal manusia. Saya juga pelik ada orang yang baca blog saya, bahkan ada yang menulis tentangnya dan memuji tulisan saya, walaupun saya sendiri tak rasa apa yang saya tulis itu menarik. 10 tahun selepas itu saya mula serius menulis buku yang memuatkan pengalaman saya juga idea-idea dari pembacaan. Kemudian pada tahun seterusnya saya bersama rakan-rakan menerbitkan sebuah antologi puisi kecil.Lebih pelik ada orang yang membeli dan membaca buku saya. Jadi jangan rasa tidak signifikan, tuliskan idea-idea anda.

Antara yang kita boleh tulis adalah pengalaman hidup kita, tiada siapa yang mempunyai pengalaman hidup yang sama, jadi setiap kita mempunyai pengalaman hidup sendiri yang unik. Sejarah keluarga juga merupakan tema yang menarik untuk ditulis, setiap tahun kita balik kampung, dari sekadar makan kuih raya elok kita temubual dan rekodkan perjalanan hidup atuk nenek kita, mesti mereka mempunyai pelbagai sejarah untuk diceritakan jika kita bertanya. Sejarah kelab juga elok ditulis, untuk menjadi pedoman dan rujukan generasi baru yang bakal mewarisi kelab kita, apa yang kita rasa sebagai perkara yang tidak signifikan bakal menjadi bahan sejarah penting satu hari nanti. Kelab juga boleh mengumpul puisi, cerpen, atau esei dan menerbitkannya dalam bentuk antologi. Majalah kecil atau zine juga boleh direka dan dicetak sendiri, selain memperkenalkan barisan penulis, kelab juga boleh menjana pendapatan dengan penerbitan zine yang dijual ketika ada acara yang dianjurkan.

Bagaimana hendak menulis?

Kata Franz Kafka "If the book we read doesn't wake us up with a blow to the head, what are we reading for?". Dalam erti kata lain, Kafka mengungkapkan bahawa pembacaan seharusnya membuka minda kita, buku yang baik adalah buku yang berjaya "membingungkan" pembacanya lantas membuatnya semakin dahaga untuk membaca bagi memberi jawapan kepada mindanya. Jadi kita perlu menulis dengan kritis dan membangunkan pemikiran pembaca kita.

Kita semua belajar menulis sejak tadika, tapi yang hendak kita bangunkan bukan sekadar skil menulis menggunakan pensel, tapi penulisan yang merangsang pembaca. Tetapi kita tak akan mampu menulis secara kritis jika kita dahulu tidak boleh berfikir secara kritis. Jadi kita kena berani berfikir!

Sesetengah dari kita takut membaca falsafah berat, takut tersesat. Kita takut membaca karya-karya yang berlawanan dengan keimanan kita, sedangkan mereka sedikit pun tidak takut membaca karya-karya kita. Ketakutan kita ini menyebabkan kita tak mampu memahami kerencaman pemikiran, gagal menggunakan logik untuk melawan hujah lawan kita kerana kita sendiri tak faham apa yang mereka fikirkan. Tetapi ilmuan Islam sepanjang zaman menunjukkan mereka tak pernah takut dengan pemikiran luar, bahkan mereka aktif menterjemah karya-karya dari peradaban lain seperti dari Yunani dan Parsi. Mufti Perlis sendiri dalam bukunya Aku Ingin Kembara Lagi membaca karya penulis ateis radikal seperti Richard Dawkins yang menulis buku The God Delusion. Bahkan jika kita membaca Al-Qur'an berulang-ulang kali kita akan berjumpa ayat "afala tatafakkarun", Tuhan arahkan kita menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir. Jadi jangan takut berfikir!

Berfikiran kritis memerlukan kita untuk memastikan setiap idea mempunyai hujahan, boleh bertahan apabila diserang logik. Setiap idea perlu difikirkan, dikaji, diuji, sekalipun idea itu datang dari pembacaan kita dari bahan yang ditulis oleh ahli akademik. Untuk berfikiran kritis kita perlu keluar dari tempat persembunyian kita yang selesa. Kita perlu sertai program yang dianjurkan oleh orang lain untuk belajar ilmu organisasi dari mereka. Kita perlu berani mengetengahkan idea kita dan mempertahankannya dalam diskusi dengan mereka yang punya faham yang berbeza. Kita berlu bergaul dengan masyarakat yang rencam. Yang paling penting adalah kita perlu berani apabila dikritik balas oleh lawan kita.

Thomas Friedman dalam bukunya The World is Flat menceritakan bagaimana pesatnya dunia berubah. Bagaimana pekerjaan lama dihapuskan dan pekerjaan baru dicipta. Sifat kritis memerlukan kita berani berubah untuk kekal relevan. Dengan membaca pelbagai buku kita dapat memahami dunia dengan lebih sempurna, antara tool yang boleh kita manfaatkan adalah Goodreads - yang membolehkan kita menanda dan merekod pembacaan, menulis reviu, mencabar diri setiap tahun, dan melihat progres pembacaan kita.

Kita hari ini beruntung kerana hidup di era moden dimana kita mempunyai pelbagai medium penulisan. Kita boleh menuliskan dan menerbitkan penulisan kita di atas talian melalui Facebook, blog, atau website. Bagi penulisan di blog dan website kita boleh mengarkibkan tulisan kita menggunakan tool percuma seperti Wayback Machine di Internet Archive. Namun kandungan atas talian tidak dijamin kekal, pada April 2019 Google menamatkan laman sosialnya Google+. Jika syarikat besar seperti Google juga boleh gagal, apatah lagi kandungan di medium-medium yang lain. Sebab itu aktiviti pembukuan masih relevan. Buku yang kita terbitkan boleh disimpan dan dikatalog oleh perpustakaan negara dengan memohon ISBN number secara percuma. Perpustakaan negara juga menyimpan buku kita di pusat bencana jika berlaku apa-apa bencana untuk memastikan karya kita kekal terpelihara.

Jadi, menulislah! Menulislah dengan kritis!

Sabtu, 4 April 2020

Sapiens: A Brief History of Humankind - Reviu Buku


Buku ini sangat menarik, bagi saya Yuval Noah Harari merupakan pen-cerita yang sangat berbakat, penulisan ini cuba untuk merakamkan 100,000,000 tahun sejarah manusia di dalam sebuah buku yang hanya setebal sekitar 500 mukasurat, ini semestinya cubaan berani yang harus kita berikan pujian. Walaupun buku ini sering dikategorikan sebagai genre popular science, saya tidak menganggap ia sebagai buku sains tulen kerana Yuval juga membincangkan persoalan-persoalan abstrak dan metafizik seperti kepercayaan, agama, dan tuhan, yang mana tidak mampu diukur dengan peralatan sains.

Yuval memulakan buku ini dengan membawakan naratif bahawa kita bukan satu-satunya manusia yang muncul pada awalnya. Bersama Sapiens, evolusi juga memberi kita "adik-beradik" yang lain seperti Erectus, Denisova, dan Neanderthals. Tetapi disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa yang tidak dapat ditentukan secara konklusif, spesis manusia lain pupus, tetapi Homo Sapiens berjaya dalam proses survival awal, berkembang, dan membiak, maka disini kisah manusia bermula.

Manusia dalam sejarahnya mengalami banyak revolusi, revolusi pertama yang memisahkan kita dari spesis yang lain adalah Revolusi Kognitif. Revolusi ini membolehkan manusia berkomunikasi menggunakan bahasa, tetapi haiwan lain juga boleh berkomunikasi antara satu sama lain, apa yang menyebabkan kita berbeza? Sifat kognitif manusia berbeza dalam erti dia boleh memperkatakan tentang perkara yang dia tidak dapat nampak, dengar, atau hidu, atau dalam kata lain, dia boleh mencipta realiti fiksyen seperti agama, negara, dan kaum. Fiksyen atau khayalan ini membolehkan manusia berkerjasama untuk melakukan fungsi-fungsi yang kompleks tanpa perlu mengenali satu sama lain secara intim. Contohnya manusia boleh membeli makanan di kedai manusia lain yang dia sendiri tidak kenal. Kolaborasi inilah yang memisahkan kita dari spesis lain. Yuval meletakkan nilai 150 sebagai threshold kepada mana-mana usaha kolektif untuk berjaya, melepasi angka tersebut, usaha tersebut akan mula retak dan berpecah. Kemampuan manusia mencipta imaginasi realiti membolehkan spesis kita melepasi angka ini.

Untuk menceritakan semula kisah moyang kita yang hidup dalam kehidupan memburu, Yuval menyatakan bahawa ia tugas sukar kepada para pengkaji kerana zaman ini tiada rekod penulisan, serta artifak yang sangat sedikit, kerana zaman ini manusia menggunakan alatan kayu yang mudah terurai ditelan zaman. Kerana banyak artifak kayu yang terurai, pengkaji melabelkan zaman ini sebagai Zaman Batu, namun sebenarnya ia adalah Zaman Kayu, kerana peralatan yang banyak digunakan adalah kayu, namun yang banyak bertahan hingga ke hari ini adalah artifak batu. Artifak kayu terpelihara hanya pada kondisi-kondisi yang sangat rare. Mentafsirkan lukisan di dinding gua pada zaman ini juga sangat sukar, simbol-simbol ini terdedah kepada pelbagai teori dan spekulasi, tetapi teori dan spekulasi tersebut tidak menggambarkan pemikiran nenek moyang kita, ia lebih menggambarkan apa yang difikirkan oleh pengkaji hari ini yang mengkajinya (pengkaji mempunyai bias tersendiri).

Apabila Sapiens mula bertebaran di bumi, menduduki kontinen berbeza dan ke kepulauan-kepulauan terpencil, mereka tidak bertebaran secara aman. Penyebaran mereka diikuti dengan kepupusan spesis lain. Gelombang kepupusan pertama adalah apabila nenek moyang zaman memburu kita bertebaran. Gelombang kedua adalah di masa revolusi pertanian, yang ketiga adalah ketika revolusi industri. Yuval menolak hujah banyak pencinta alam kononnya sebelum ini kita hidup secara aman sejahtera bersama alam sebelum revolusi industri, bagi Yuval manusia adalah haiwan yang paling berbahaya kepada ekosistem sejak mereka mula berjalan di atas bumi. Tetapi skala kerosakan revolusi industri kepada alam sekitar merupakan yang terburuk, sementara dua gelombang pertama hanya mengesani haiwan dan tumbuhan di darat, gelombang ke-tiga turut memusnahkan ekosistem di dalam laut.

Kita sering beranggapan bahawa revolusi pertanian menyaksikan kita menjinakkan tumbuhan seperti padi bagi kegunaan manusia. Yuval menerbalikkan hujah ini, tumbuhan seperti padi yang menjinakkan manusia. Ketika manusia hidup di fasa berburu, mereka menikmati pelbagai jenis makanan yang berlainan, kehidupan mereka lebih ringkas, selepas berburu mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Tetapi apabila manusia dijinakkan padi, mereka dikandangkan di dalam 'rumah', mereka bekerja setiap hari menjaga tuan mereka, menanam, menyiram, membuang rumput dan rumpai lain, membaja, meracun serangga perosak, mereka bekerja untuk memastikan padi dapat hidup selesa, kehidupan mereka semakin sibuk dengan kerja keras dan diet permakanan mereka tidak lagi berjenis tetapi berfokus kepada padi. Padi dari satu spesis tumbuhan yang tidak signifikan, mengalahkan tumbuhan lain dan merebak ke banyak tempat. Revolusi pertanian adalah perangkap keselesaan, tetapi jika ada satu kaum memilih untuk bertani, puak atau kaum lain perlu mengikuti jejak langkah mereka atau mereka akan mati. Pertanian menghasilkan lebihan makanan yang membolehkan kaum bertani mempunyai anak yang ramai, mereka lebih ramai dan kuat, mudah untuk mengalahkan puak berburu yang kecil. Masyarakat bertani juga bukanlah masyarakat yang aman, mereka juga sering berperang antara satu sama lain. Tetapi apabila mereka berkembang dan lahirnya sistem politik ai menukar mereka menjadi sebuah kerajaan, jumlah perperangan dan keganasan menurun, politik menjadi alat mengurus konflik.

Dari sudut biologi, tuhan tidak wujud, dakwa Yuval. Bagi mereka yang beragama, membaca hujah ini mungkin menyebabkan mereka kurang selesa. Disini saya dapati Yuval menggunakan taktik yang sama seperti Richard Dawkins, menggunakan sains dan biologi sebagai senjata untuk mempromosikan ateism. Namun sebenarnya, sains seharusnya neutral dalam soal ketuhanan. Hal ini kerana sains mengkaji perkara-perkara objektif yang dibuktikan secara emperikal, manakala perkara metafizikal (alam ghaib) tidak dapat diuji dengan kelengkapan sains. Sains hanya mampu memberi kita kefahaman dalam hal-hal objektif menggunakan bukti emperikal. Tetapi kita boleh sahaja membaca buku ini, bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hujahan Yuval, kerana percampuran ini, banyak juga cerita di dalam buku ini yang merupakan "just-so stories"  atau sekadar cerita yang tiada bukti emperikal. Disebabkan perkara ini, saya tidak mengklasifikasikan buku ini sebagai buku sains tulen.

Yuval kelihatan adil dalam mengkritik agama, beliau mengkritik semua agama, termasuk Humanism, yang merupakan agama baru Eropah. Antara doktrin utama agama ini adalah "ikut apa yang dirasakan oleh hati dan perasaan". Humanism menyembah manusia (kehendak manusia) bukan tuhan. Tetapi hati merupakan benda yang mudah dipengaruhi, apa yang kita rasa mungkin bukan sebenarnya datang dari kita, tetapi apa yang kita lihat dan dengar setiap hari. Jadi "perasaan" kita mudah dimanipulasikan oleh iklaniklan, mengikuti hati mengakibatkan kita akhirnya mengikuti kehendak romantic consumerism - yang cuba memuaskan keinginan kita yang dicipta oleh media. Kita akhirnya disuruh menggunakan produk-produk yang dihasilkan tanpa henti, kita membeli benda yang kita tidak perlu dengan duit yang kita tidak punyai, kita disogok untuk sentiasa mempunyai kehendak yang tidak berkesudahan, sentiasa mencuba perkara baru, pengalaman baru, tidak pernah puas, esok apabila kita bangun tidur sesuatu yang baru akan dicipta, dan kita akan disuruh mengejarnya.

Apabila revolusi agrarian mengubah kampung kepada kerajaan, kita mengalami limitasi mental. Sistem kerajaan yang kompleks perlu mengutip cukai dan menyimpan banyak data matematik berkenaan dengan pendapatan, hutang, dan sebagainya. Data ini terlalu banyak untuk dismpan dan diproses oleh otak manusia. Oleh itu, terciptalah teknologi baru untuk menyimpan data, yang pertama kali dijumpai oleh orang Sumeria di Mesopotamia, teknologi baru ini dinamakan "tulisan". Nama manusia pertama yang dicatatkan oleh sistem penulisan adalah 'Kushim' yang merupakan seorang akauntan.

Cuneiform - sistem tulisan pertama yang dicipta oleh orang Sumer di Mesopotamia.

Dalam mempertahankan homoseks, Yuval berhujah bahawa apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi menurut alam, pada pandangan beliau budaya yang menyekat sesuatu kelakuan, bukan biologi. Beliau pergi lebih jauh bahawa pemahaman apa itu "semulajadi" dan "bukan semulajadi" datang dari teologi bukan biologi. Dari sudut pemikiran rasional, hujah ini membuka ruang untuk manusia melakukan apa sahaja, sekalipun jenayah, kerana apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi, oleh itu kita tidak mempunyai sebarang limitasi. Oleh itu, adakah kita boleh katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Hitler dan Nazi adalah semulajadi dari sudut biologi kerana ia boleh dilakukan? Beliau kemudian menggambarkan tujuan kehidupan dengan begitu tidak memberangsangkan. Beliau mengatakan kita tidak punya tujuan hidup, dari sudut biologi organ-organ kita muncul tanpa tujuan, mulut sebagai contoh bukan sahaja digunakan untuk makan, tetapi bercakap dan mencium. Tetapi hujah beliau bertentangan dengan hujah beliau sendiri, ketika beliau cuba menerangkan evolusi organ, beliau mengatakan bahawa organ mempunyai "fungsi untuk melakukan sesuatu".

Menyentuh soal falsafah politik, Yuval membawakan pertentangan antara dua nilai yang sering dijaja dalam perbahasan politik hari ini, dua nilai ini bertentangan antara satu sama lain, dua nilai ini adalah "sama rata" (equality) dan "kebebsan individu" (individual freedom). Ia sering dipasarkan bersama tetapi akan bertentangan dari sudut praktikaliti. Sekiranya kita mahukan masyarakat yang sama rata dari sudut ekonomi sebagai contoh, kita perlu mengekang kebebasan individu mengumpul harta (apa yang dibuat oleh sistem komunis di era Soviet). Dan jika kita memberi kebebasan individu untuk mengumpul harta, kita akan menghasilkan masyarakat yang punya jurang pendapatan yang maha besar (Amerika hari ini sebagai contoh), dan atas nama kebebasan individu, seorang pemilik tanah boleh menghalau penyewa yang miskin, meskipun ini membawa erti satu keluarga akan hidup melarat di bawah jambatan. Bagi Yuval, perbezaan ini merupakan enjin budaya, ia menyebabkan kita berdebat, menajamkan idea, dan menjadi lebih kreatif dalam mencari titik yang seimbang.

Dalam menganalisa perkembangan arah tuju sejarah, Yuval menyatakan adanya pergerakan kearah kewujudan World Order. Sebelum ini manusia hidup dalam dunia masing-masing, dengan sedikit sahaja interaksi antara satu sama lain. Tapi dalam perspektif macro dunia-dunia inibergabung dan mula menampakkan satu Order baru. Budaya bercampur, ada yang terhakis, dan ada yang muncul dominan, budaya semakin bersifat global berbanding lokal. Ada tiga penggerak kearah kesatuan global ini. Yang pertama adalah imperialisma, yang menjajah masyarakat lain dan melayan semua secara sama rata sebagai subjek mereka. Yang kedua adalah agama yang bersifat universal seperti Islam dan Kristian, agama ini tidak bersifah lokal dan mereka mempercayai bahawa semua manusia perlu menyembah satu tuhan yang sama. Yang ketiga adalah kapitalism, yang berusaha menjadika dunia sebagai pasaran global untuk menjual produk mereka.

Dalam membincangkan bab imperialisma, Yuval menolak kefahaman bahawa adanya kebaikan mutlak atau keburukan mutlak pada imperialisma, kita boleh mengumpulkan kebaikan mereka dan memenuhkan satu buku, kita juga boleh mengumpulkan keburukan mereka dan memenuhkan satu buku yang lain. Imperialisma telah berada di atas muka bumi dalam tempoh yang sangat lama, kebanyakan apa yang kita gunakan dan nikmati pada hari ini kebanyakannya adalah legasi imperialisma. Yuval memberi contoh budaya meminum teh di India tidak muncul kecuali selepas datangnya British. Tidak ada satu budaya yang benar-benar tulen tanpa ada pengaruh dari legasi imperialisma. Jika semangat nasionalis India mahu kembali kepada budaya India yang tulen dengan meninggalkan legasi British, mereka perlu meninggalkan legasi Imperialisma Muslim sebelum British, tinggalan seperti Taj Mahal yang merupakan ikon kepada India yang merupakan legasi penguasa Muslim. Jika mereka mahu menggali lebih dalam, mereka mungkin akan menumukan budaya mereka adalah dari imperialisma Gupta, lebih dalam imperialisma Kushan. Jadi membersihkan budaya membuatkan mereka sampai kepada imperialisma lain yang lebih tua, yang mana satu merupakan budaya yang tulen?

Fascism dan Nazism adalah produk logik evolusi Darwin kata Yuval, Nazi melawan komunis dan humanist liberal kerana mereka mempercayai pemilihan semulajadi (natural selection), pada mereka bangsa yang paling kuat perlu meneruskan survival manusia dan membiak. Sistem yang membolehkan bangsa lemah hidup dan membiak akan mencemarkan genetik manusia di masa depan yang akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan pupus.

Menariknya, buku ini turut bertanyakan soalan "mengapa kita perlu belajar sejarah?". Soalan yang sama yang pernah diutarakan oleh Howard Zinn. Bagi Yuval, sejarah bukanlah alat untuk menilik masa depan, tetapi adalah untuk memahami apa yang berlaku hari ini. Bagaimana kita boleh sampai kepada susunan masyarakat yang kita ada, sedangkan dalam perspektif sejarah kita punya banyak susunan alternatif yang berbeza.Susunan masyarakat hari ini bukanlah bersifat semulajadi, ia hanyalah satu produk dari banyak kemungkinan lain dalam sejarah yang boleh diperhalusi dan direalisasikan.

Dalam komentar terhadap progres sains, Yuval menyatakan bahawa sains tidak boleh menghasilkan progres yang bebas dari campur tangan politik, ideologi, dan agama. Kerana apa yang ingin dikaji sains terlalu banyak, tetapi apa yang paling penting dan perlu dikaji? Soalan ini bukan soalan yang boleh dijawab oleh sains, ia hanya boleh dijawab oleh ideologi dan agama. Tambahan pula, kita mempunyai sumber yang sangat terhad, untuk mendanai sesuatu kajian, saintis perlu memberikan justifikasi mereka kepada kerajaan untuk mendapatkan geran. Kerajaan semestinya memilih kajian untuk diberikan dana melalui pertimbangan politik dan kecenderungan ideologi. Oleh itu progres sains ditentukan ideologi dan politik.

Sejarah yang paling sedih yang diceritakan dalam buku ini adalah pembersihan dan pembunuhan penduduk asal di Tasmania. Selepas hidup secara terasing selama 10,000 tahun, apabila British datang, mereka dibunuh secara total, sehingga ke lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang terakhir. British dan missionari Kristian mereka cuba mengubah mereka menjadi manusia yang "berperadaban" (civilized), tetapi mereka tidak berminat. Populasi yang berjaya hidup menjadi melankolik, mereka hilang keinginan pada hidup, berhenti melahirkan anak, dan memilih untuk mati. Namun selepas mati, mayat mereka masih diburu, dibedah, dipotong, dijadikan bahan kajian, mayat mereka dijadikan bahan pameran museum. Orang asal Tasmania yang terakhir adalah seorang wanita bernama Truganini.

Truganini - orang asal Tasmania terakhir.

Pastinya terdapat banyak lagi perkara menarik yang dibincangkan oleh yuval Noah Harari didalam buku beliau ini, namun sebelum menutup reviu ini, ada satu perbahasan menarik yang ingin saya kongsikan. Yuval bertanya satu soalan menarik dihujung buku ini. Adakah progres sejarah membawa lebih banyak kebahagiaan pada manusia? Jika kebahagiaan dan kegembiraan boleh dicapai melalu bio-kimia, kenapa kita perlu ideologi dan revolusi? Kita boleh hanya mengambil Prozac untuk meningkatkan nilai Serotonin dalam badan kita. Yuval menulis, kebahagiaan datang dari kebolehan kita memandang kehidupan sebagai sesuatu yang bermakna, ia mempunyai komponen kognitif dan etikal, bergantung kepada nilai hidup kita. Memetik kata-kata Nietzsche, beliau menulis "jika kamu mempunyai 'kenapa' untuk hidup, maka kamu mampu melaluinya 'bagaimana' pun". Dan disitu kita letak titik bagi mengakhiri reviu ini dengan positif.



Jumaat, 3 April 2020

Pengurusan Wabak: Kerajaan Autoritarian VS Demokrasi Liberal


Dalam episod terbaru Last Week Tonight oleh John Oliver, beliau membangkitkan bagaimana lemahnya sistem pemerintahan Amerika untuk menghadapi pandemik yang sedang viral ke seluruh dunia. Falsafah barat yang begitu mengagungkan mengagihan kuasa menyaksikan satu bentuk pemerintahan yang tidak efisien dalam mengurus situasi bahaya.

Buku Fareed Zakaria sangat menarik dibaca dalam memahami kelemahan sistem demokrasi, keadaan ini disebut sebagai "too much democracy". Oliver membangkitkan bagaimana kuasa untuk mengistiharkan perintah berkurung tidak berada di tangan presiden, tetapi gabenor bagi setiap state. Sementara ada gabenor yang mengambil serious dan mengenakan perintah berkurung, ada segelintir gabenor yang masih mengira untung rugi ekonomi dan tidak menguatkuasakan perintah berkurung, hal ini menjadikan situasi bertambah teruk.

Oleh kerana kerajaan yang tidak centralize, pengurusan kesihatan juga tidak diuruskan dengan efisien. Oliver membangkitkan bagaimana setiap state berlawan sesama sendiri dalam "price bidding" untuk mendapatkan alatan kesihatan dari syarikat-syarikat bagi menguruskan wabak di setiap state masing-masing. Di sini kita melihat satu dilemma, adakah nilai Barat berkenaan "pengasingan kuasa" yang bersifat abstrak itu lebih penting atau nyawa manusia yang real itu lebih penting?

Semasa China, sebuah negara authoritarian menguatkuasakan perintah berkurung untuk melawan wabak yang sama, media-media liberal barat seperti The Washington Post, Slate, dan The Atlantic mengejek mereka sebagai authoritarianism, tidak etikal serta melanggar hak asasi manusia. Tetapi China membuktikan mereka begitu efisien mengawal penyebaran wabak.

Kritikan segera dibendung, agar usaha bersama dapat digerakkan, tenaga dapat difokuskan untuk bekerja melawan wabak dari dihabiskan berdebat dan menjawab kritikan. Malah kelengkapan kesihatan begitu efisien disalurkan kepada kawasan yang teruk terjejas. Doktor dan jururawat diterbangkan dari serata China ke kawasan yang terjejas bagi meringankan beban petugas kesihatan, malah hospital baru khas dibina dalam masa yang singkat. Akhirnya China berjaya jauh lebih baik dari Amerika dalam menguruskan situasi wabak yang genting ini, sementara Amerika masih berdebat perihal nilai abstrak, dan mengira untung rugi ekonomi, dalam masa yang sama mengabaikan langkah-langkah pencegahan kritikal.

Apabila kita membaca thesis Francis Fukuyama yang mengatakan liberal demokrasi merupakan sistem yang telah sempurna, dan tidak ada lagi idea sistem pemerintahan yang lebih baik yang akan dapat difikirkan manusia, Fukuyama mengatakan kesempurnaan liberal demokrasi sebagai "berakhirnya sejarah", kita tertanya-tanya benarkah thesis ini? Sistem pengurusan wabak Corona seperti membuktikan sebaliknya.

Akhirnya, mungkin kita boleh bertanya. Apa gunanya nilai abstrak seperti pengasingan kuasa dan demokrasi liberal serta kiraan untung rugi ekonomi jika semua manusia mati?

Rabu, 1 April 2020

Kept In Ink oleh Francis Wolf - Reviu Buku


Saya membeli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa KL pada tahun 2019 dari penulisnya sendiri, seorang penyanyi yang sangat terkenal, sedap juga lagu-lagu beliau, boleh try dengar di Youtube atau Spotify kalau tak percaya. Saya masih ingat saya bertanya kepada Francis adakah nama ini merupakan nama sebenar beliau? Beliau menjawab soalan saya sambil tergelak kecil, jawapan beliau rahsia, kalau nak tahu elok tanya beliau sendiri. Buku ini kecil sahaja, santai, hanya sekitar 150 mukasurat, boleh dihabiskan dalam masa beberapa hari, tapi saya mengambil masa selama 3 bulan untuk menghabiskannya (kerana saya membaca beberapa buah buku dalam satu masa). Tempoh berkurung akibat wabak COVID-19 memberi saya lebih masa untuk membaca.

Antara perkara pertama yang melekat dalam ingatan saya ketika mula membaca adalah kewujudan Restoran Jamal di Petaling Jaya, satu hari nanti mungkin saya wajar singgah makan di Restoran Jamal. Buku ini mengisahkan pengembaraan Wolf ke Thailand, beliau mengembara dengan hanya berbekalkan duit yang sedikit, menjadikan pengembaraan beliau satu cabaran.

Di Thailand, beliau bertemu dengan rakan-rakan beliau yang merupakan tatoo artist, beliau kemudian mengisahkan pengembaraan beliau untuk mendapatkan tatoo yang dinamakan Sak Yant yang dihasilkan oleh seorang sami di Wat Bang Phra. Beliau mengisahkan ritual-ritual, maksud simbol yang digunakan, juga pengalaman-pengalaman beliau disana. Saya tertarik dengan banyak perkara-perkara kecil dalam kehidupan yang dihargai Wolf di dalam bukunya, contohnya bagaimana beliau menghargai berkongsi makan bersama rakan-rakannya dalam satu meja yang beliau anggap sebagai satu kenangan manis. Banyak lagi perkara kecil yang dihargai Wolf dalam perjalanan beliau, permandangan pantai, perut yang penuh di isi boat noodles, anjing liar di stesen bas, dan senyuman orang yang tidak dikenali.

Banyak juga perihal budaya Thailand yang dapat dipelajari. Contohnya Chang bermaksud gajah, tempat bernama Koh Chang bermaksud Pulau Gajah. Juga perihal agama Buddhism yang bukan menyembah mana-mana tuhan, tetapi lebih kepada cara untuk hidup dengan baik. Babak terakhir, bagi saya adalah yang paling dramatik, saya kira kita semua pernah menghadapi babak ini dimana kita mengejar masa untuk menaiki bas atau mengejar tiket kapal terbang. Pengalaman mengembara dengan wang yang sedikit juga saya kira merupakan satu penulisan yang menarik dan berjaya membawa pembaca 'merasai' apa yang dirasakan penulis. Saya juga sedikit cemburu dengan kehidupan Wolf yang boleh bangun pada satu pagi, kemas beg dan pergi terus melancong! Sukar dilakukan jika punya kerja harian dan sudah berkeluarga.

Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.

Ahad, 15 Mac 2020

Bertemu Ikon Perjuangan Palestin - Dr. Ang Swee Chai



Saya sudah agak lama mengetahui akan perjuangan dan aktivisme Dr. Ang Swee Chai. Namun hanya selepas membaca buku beliau From Beirut to Jerusalem saya benar-benar dapat merasai struggle dan kesakitan yang beliau tempuhi. Seorang yang sangat kuat beragama Kristian, lahir di Pulau Pinang, berwarganegara Singapura dan mendapat suaka politik di United Kingdom. Beliau adalah antara doktor yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Kem Shabra-Shatila ketika Lebanon diserang oleh Israel. Beliau kemudian merupakan antara saksi yang memberi keterangan berkenaan peristiwa tersebut di Kahan Comission di Israel.

Saya banyak menulis artikel berkenaan beliau di portal Independent Insight dan Borneo Komrad, dan akhirnya beliau menjemput saya ke Singapura untuk berjumpa dan makan malam bersama beliau dan keluarganya. Namun, passport saya telah lama mati dan tidak pernah diperbaharui selepas saya pulang dari menuntut ilmu di Rusia. Akhirnya saya sempat berjumpa beliau di UN Conference di KL pada 28 Februari 2020 dan mendengar sendiri syarahan berkenaan pengalaman beliau secara live membantu dan mengubati rakyat Palestin dan Lubnan yang cedera diserang penjajahan Israel. Gambar-gambar kecederaan yang ditayangkan sangat mengerikan, bagaimana peluru kecil yang dipanggil butterfly bullet meninggalkan luka yang besar, mengecaikan tulang dan daging manusia.

Saya bawa buku beliau untuk autograf, beliau sebaliknya memberi saya buku beliau versi terbaru. Dan saya menghadiahkan beliau buku kecil antologi puisi kami Maka Kitab Itu Pun Menyanyi sebagai token penghargaan dan persahabatan. Saya terangkan kepada beliau ada satu puisi yang saya tulis didalamnya berkenaan dengan perjuangan rakyat Palestin. Terlalu banyak sebenarnya yang mahu ditulis hasil pendengaran syarahan beliau. Malah banyak gambar-gambar kekejaman Israel yang dikongsi terlalu dahsyat untuk saya kongsikan di ruang ini. Semangat juang mereka seharusnya kita tekuni dan sokongi.



Perbualan dengan diplomat-diplomat dari negara lain juga sangat menyegarkan. Antaranya adalah seorang diplomat dari Afrika, saya bertanyakan bagaimana negara yang menerima bantuan dari Amerika boleh mengutarakan usul dan menyokong usul perjuangan Palestin. Beliau lantas berceramah kepada saya soal prinsip, dan bagaimana bantuan tidak akan dapat mengubah prinsip keadilan yang didokong negaranya.

Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai Wisma Putra yang ramah melayani kami para tetamu.

From the river to the sea, Palestine will be free!

Selasa, 10 Mac 2020

Kalau Bintang Punya Suara



Apa itu keindahan?
Adakah ia senyuman?
Walau jiwa dalam kesedihan?

Bolehkah aku terus menangis disini,
tanpa perlu menyapu sepi?

Aku ingin hilang,
aku ingin menjadi lalang,
yang tumbuh tak dipandang,
tiada perasaan sedih atau galang,
tanpa jiwa yang perlu mengerang.

Aku mahu hilang bersama angin,
ditelan dalam laut dingin.

Kalau bintang punya suara,
Aku ingin dia berkata.

"Ayuh bersamaku saudara,
pabila mentari mula bicara,
hilanglah bersamaku saudara,
pejamlah dan hilangkan sengsara".

Khamis, 5 Mac 2020

Belajar Hidup Dari Ayah

Kami bersama ayah sewaktu kecil. dari kiri Syed Ahmad Islami, dalam dukungan Syed Ihsan, dan yang paling kanan Syed Ahmad Fathi. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah, Syed Mohd Khair merupakan anak kelahiran Changkat Tin, Tanjung Tualang, Perak. Ibunya bernama Andak Jijah dan ayahnya bernama Syed Mohd Jiplus. Beliau bersekolah di Sultan Yusuf School (SYS) dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan kejuruteraan awam. Beliau dipanggil pulang oleh Allah pada umur 61 tahun pada 29 Februari 2020 di rumah kami di Gombak.

Pulang ke Sungai Petani selesai pengebumian ayah berseorangan sememangnya merupakan masa yang sangat subur untuk mengimbau memori. Kemana sahaja saya lihat, akan terkenang ayah. Bila lalu di kawasan Tapah dan terlampak air terjun Lata Kinjang, teringat ayah selalu sebut berkenaan dengan Lata Kinjang dan pernah bawa kami mandi disana. Bila teringat anak-anak teringat ayah selalu menyanyi bila jumpa cucu-cucunya "Oh Amni, budak solehah. Oh Idlan budak yang soleh", malah mainan anak-anak kebanyakannya ayah yang beli, saya jarang hingga hampir tak pernah beli mainan untuk anak-anak.

Masa balik kampung dan ketika baru mula belajar bercakap dahulu saya masih ingat saya dengar ayah sebut perkataan "berbaloi", saya tak faham dan ayah terangkan apa maksud perkataan berbaloi. Kereta kami tak ada radio, biasanya kami akan dengar ayah menyanyi nasyid lagu Raihan, Rabbani, dan Hijaz sampai kami tertidur. Semasa kecil saya masih ingat saya pernah dibawa ayah ke pejabatnya, Pejabat JKR di Menara UMNO Kuala Lumpur, saya tidak pasti kenapa ayah bawa saya hari itu.

Saya juga masih ingat ayah mengajar saya matematik masa kecil. Yang paling saya ingat adalah ayah ajar saya cara bundarkan nombor, senang sahaja saya jawab soalan-soalan ayah. Kemudian ayah tanya soalan trick question, cuba bundarkan nombor 10, saya fikir tak dapat-dapat, ayah tak mahu beri jawapan dan terus tanya saya hingga akhirnya saya menangis. Itu metodologi ayah mengajar, dia mahu anak-anaknya berfikir sampai limit pemikiran, kemudian baru dia bantu. Tapi ia berkesan, saya ingat sehingga ke hari ini.

Masa kecil juga, ayah belikan kami akuarium. Macam-macam ikan kami pernah bela, ada ikan yang kami beli di kedai ikan seperti ikan flowerhorn, ada ikan yang kami tangkap sendiri di Ulu Yam, di dalam longkang di Taman Melewar seperti ikan Talapia. Juga ikan yang kami tangkap di parit kampung seperti ikan Haruan, Puyu, Sepat, Ikan Mata Tiga. Balik kampung biasanya di bahagian kaki tempat duduk belakang ada baldi berisi air dan ikan yang kami tangkap di kampung. Ayah ajar macam mana nak keluarkan air dari akuarium guna paip air, isi air dalam paip, tutup, satu hujung bubuh dalam aquarium dan hujung satu lagi lepas dibawah, air akan turun sendiri hasil tekanan udara. Kami belajar fizik secara amali sebelum masuk sekolah menengah!

Zaman dahulu tengok cerita guna tape, video tape ini zaman sebelum ada Video CD. Antara cerita yang ayah kerap kali ulang pada kami ialah filem 'Lion of the Desert' yang mengisahkan perjuangan Umar Mukhtar di Libya menentang penjajahan Fasis Itali. Sampai hari ini ia merupakan cerita kegemaran saya. Ketika di universiti saya download semula, memang betul-betul memori. Apabila teknologi VCD muncul ayah banyak membeli VCD tentang teknik bermain bola, juga VCD berkenaan dengan 'Golden Goals' Liga Inggeris. Melalui VCD ini saya mula melihat gol-gol hasil permainan Thierry Henry, Patrick Vieira, Fredrik Ljungberg, dan yang saya paling minat adalah gol Dennis Berkamp melawan Newcastle. Sejak itu saya menjadi menyokong kelab Arsenal dibawah kelolaan Arsene Wenger, dan memupuk minat saya bermain bola. Ayah selalu membawa kami ke padang di hujung minggu berlatih dan bermain bola.

Ayah juga gemar bermain badminton. Saya masih ingat raket Yonex ayah yang mempunyai pemegang berbulu-bulu berwarna hitam. Kadang-kadang di pagi hujung minggu ayah membawa kami berlatih di court terbuka Taman Melewar, ayah ajar posisi bermain, satu kaki kena selalu ditengah gelanggang, badan yang bergerak kiri kanan depan belakang, ayah ajar macam mana nak pukul back-hand. Kadang kala ayah bawa kami bermain di dewan Parlimen bersama sahabat-sahabatnya. Tapi minat saya lebih kepada bola dari badminton.

Kami 5 beradik, dari kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Ihsan, Syarifah Nabihah, Syed Zulfaqar, dan Syed Ahmad Islami. Sumber: Album Lama Keluarga.
Apabila teknologi komputer mula muncul, ayah bersemangat mengajar kami perisian-perisian komputer. Walaupun kami ketika itu lebih berminat bermain game seperti Age of Empire dan Pokemon Yellow. Ayah ajar macam mana nak guna Microsoft Excel sebagai kalkulator, cara buat slide guna Powerpoint dan cara guna Microsoft Word. Saya masih ingat semasa satu halaqah keluarga, ayah akan tunjuk pengajaran hidup dari hidup seekor rama-rama, ayah gunakan Powerpoint untuk cerita kepada kami.

Ayah juga selalu mengeluarkan saya dari zon selesa, saya masih ingat ketika cuti sekolah menengah berlaku banjir besar di Pahang. Ayah hantar kami ke Pahang mengikuti sahabat beliau, Pakcik Kamarudin Putih, saya sangat segan ketika itu kerana tak kenal, ayah tak ikut sekali, tapi saya tak berani melawan, saya mengikuti miri bantuan banjir membersihkan lumpur di kampung, sekolah, dan rumah-rumah penduduk yang terjejas. Di ketika lain, semasa cuti sekolah, ayah akan menyuruh saya balik kampung sendiri menaiki bas, zaman itu belum ada talifon bimbit, saya pun tak pasti macam mana saya berjaya sampai ke kampung sendiri.

Ayah juga minat berkebun, masa kecil ketika di kampung kami akan bermain dengan pokok keembung, ayah tunjuk macam mana nak picit buah keembung supaya dia meletup keluarkan biji. Ayah akan kumpul benih-benih dari kampung dan tanam dirumah. Bila kami kerumah yang ada pokok keembung dengan warna bunga yang kami belum ada ayah akan minta benih. Di rumah pada suatu ketika penuh pokok keembung dengan bermacam warna bunga. Saya paling suka picit bagi meletup buah keembung. Kami belajar biologi secara amali di rumah! Kami juga selalu mengambil buah Kelapa Pandan bila menziarahi rumah Arwah Pak Andak, kemudian ayah akan bawa kami tanam di tanahnya di Changkat Tin.

Ayah juga minat camping. Dirumah kami ada khemah, sleeping bag, binokular, kompas, beliau selalu camping dengan sahabat semasa muda, kadang ayah membawa kami. Saya masih ingat ayah ada beli satu buku bertajuk "Ikhtiar Hidup", buku itu merupakan manual survival di hutan bila bersendirian. Ayah akan tunjuk pada kami dan bercerita bagaimana nak potong akar pokok untuk mendapatkan air, cara memasang perangkap haiwan, cara memasak dengan menanam dan menyalakan api di atas tanah.

Ayah juga minat bertukang. Dari toolbox ayah kami belajar cara menggunakan tukul, cara memaku, cara menggunakan gergaji. Ayah mengajar kami cara menggunakan kertas pasir untuk meratakan permukaan kayu dan bagaimana nak sapu syelek pada kayu. Cara guna thinner untuk bersihkan cat yang melekat di tangan. Semuanya skil-skil kehidupan yang saya masih guna hingga ke hari ini. Ayah juga pandai berenang, dan selalu ajar kami berenang di Teluk Batik, Perak. Ketika saya di sekolah menengah ayah selalu membawa adik-adik berenang di kolam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semasa di sekolah rendah kami memang tidak dibenarkan menonton televisyen pada waktu malam. Nak tengok kartun Doremon dan Crayon Shin Chan pun selalu dimarah kerana sudah dekat maghrib. Apabila di sekolah kawan-kawan bersembang berkenaan dengan lawak Senario yang mereka tonton semalam, saya langsung tidak ada clue sebab saya tak diajar tengok TV pada waktu malam. Sampai sekarang saya jenis yang tak suka tengok TV. Sekarang mungkin TV semakin sudah tidak relevan sebab sekarang ada YouTube.

Ayah juga sangat teliti bab duit. Setiap anak mempunyai tabung. Dari duit belanja RM2 yang diberi setiap hari, 20 sen perlu dimasukkan ke dalam tabung. Saya ingat pada satu hari saya tercicir duit 2 ringgit saya, bila ke sekolah tak boleh beli apa-apa makanan, balik saya cerita pada ayah ingatkan ayah nak beri 2 ringgit baru, sebaliknya kena marah dan diperingatkan untuk jaga duit elok-elok. Begitu ayah mendisiplinkan kami. Duit raya kami hampir semua dimasukkan ke dalam Tabung Haji, tidak dibenarkan beli mercun. Cuma selepas dah besar sikit kami pernah membeli mercun guna duit raya, itu pun sedikit sahaja.

Selepas habis sekolah rendah, ayah beri saya dua pilihan sahaja untuk sekolah menengah, sama ada ke Ibnu Khaldun di Klang atau Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Perlis. Saya memilih Perlis kerana kakak saya ada di MATRI. Saya dan kakak sahaja yang bersekolah di MATRI penuh dari tingkatan satu hingga lima, adik-adik lain bercampur dua-dua sekolah. Kami tidak pernah dihantar di sekolah kebangsaan. Ayah sangat pentingkan pendidikan agama, walaupun kami tak kaya ayah sanggup berkorban dan bayar yuran kami. Di MATRI saya diajar berdikari, saya belajar guna kad bank dan guna ATM.

Ketika di MATRI saya diberitahu pakcik-pakcik disana bahawa rumah pam air berdekatan musolla MATRI adalah hasil tangan ayah. Tapi ayah tidak pernah bercerita kepada saya tentang hal ini. Semasa saya kecil saya sudah pernah ke MATRI mengikut ayah bermusafir dengan Ustaz Mudrikah, saya masih ingat kami melawat gua, dah besar baru saya tahu nama gua tersebut adalah Gua Kelam, saya masih ingat ayah belikan saya jagung bakar ketika itu. Kami tidur di musolla.

Habis sekolah saya mendapat tawaran ke asasi kejuruteraan UIAM dan biasiswa MARA dibawah skim pelajar cemerlang (SPC) ke Rusia. Ayah tak berapa berkenan saya ke Rusia, tapi beliau hormati keputusan saya dan benarkan saya pergi. Beliau membawa saya mendaftar di UniKL-MIAT untuk program foundation. Namun hari kedua, beliau tidak menghantar saya semula sebaliknya menyuruh saya menumpang ayah kawan saya Haziq Husni, pada ketika itu. Lepas sekolah memang ayah suruh saya berdikari, apa-apa borang ayah tak akan isi, ayah suruh isi sendiri, dia hanya akan isi bahagian dia  sahaja seperti gaji. Semasa saya menyambung sarjana di UTM dia langsung tak hantar, sebaliknya dia suruh saya naik bas sendiri. Ayah nak anak-anaknya belajar berdikari.

Kami diwaktu kecil bersama ibu, Norizan Mohamad Noh. Dari Kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Zulfaqar, Syed Ahmad Islami, Syed Ihsan (dalam dukungan), Syarifah Nabihah dan Kakak Pembantu Rumah yang menjaga kami dahulu. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah juga seorang yang sangat meraikan keluarga dan sahabat. Hampir setiap jemputan kenduri akan cuba dihadirinya. Betul kata adikku Zulfaqar, bahawa banyak sifat kami merupakan copy paste sifat ayah, saya sehingga ke hari ini sukar menolak perlawaan kenduri dan jamuan, mesti pergi melainkan ada perkara yang tak dapat dielakkan. Begitulah sifat ayah mencorak hidup saya.

Begitulah sedikit sebanyak sifat-sifat ayah yang saya masih ingati hingga ke hari ini. Tentu banyak lagi kisah-kisah yang ada berkenaan ayah dari kawan-kawannya dan sedara mara. Saya harap saya diberi kesempatan untuk jumpa sahabat lama ayah, juga sedara mara ayah yang saya tak berapa kenal untuk menggali lagi kisah perwatakan ayah. Biarlah coretan-coretan ini menjadi kenangan saya dengan ayah.

Al-Fatihah untuk ayah.