Esok keputusan peperiksaan professional saya akan keluar, sudah hampir sebulan saya memikirkannya, dan hari ini, apabila ia semakin dekat, minda saya semakin risau memikirkannya. Namun sebenarnya tidak ada apa yang boleh diperbuat lagi selain merungsingkan pemikiran, kerana anak panah sudah keluar busur. Mungkin pada ketika ini saya harus mengamalkan pemikiran Stoic, agar lebih tenang sehingga menyamput keputusan esok hari.
Stoicism
bukan agama, tetapi falsafah-falsafah dan renungan-renungan hidup yang
menekankan kehidupan yang aman dan minda yang tenang, bagi Stoic kita harus
hidup selari dengan alam. Menurut Prof. Massimo Pigliucci, ia berasal dari ahli
fasafah Yunani kuno bernama Zeno. Zeno merupakan seorang pedagang yang kaya,
namun dia hilang segala-galanya apabila kapal dagangnya tenggelam. Selepas itu
Zeno pergi ke kedai buku, dia terbaca perihal falsafah, kemudian mencari ahli
falsafah, kemudian dia menjadi ahli falsafah. Namun berbeza dengan ahli
falsafah lain, Zeno berbicara dengan masyarakat di jalanan tanpa mempunyai sekolah
tersendiri. Pemikiran-pemikiran beliau melahirkan aliran pemikiran Stoic.
Ramai
pemikir-pemikir yang terkemudian dari Zeno mempunyai pengaruh Stoic yang kuat
antaranya Seneca dan Marcus Aurelius, sebelum kebangkitan Kristian yang
memadamkan pengaruh kuatnya dalam masyarakat. Bagi Stoic, kita perlu hidup
sesuai dengan fitrah manusia iaitu hidup secara sosial dan hidup dengan
menggunakan kebolehan untuk menggunakan logik akal.
Antara
pemikiran Stoic lain adalah perkara dalam dunia ini terbahagi kepada dua, satu
yang boleh kita kawal, yang kedua perkara yang kita tidak boleh kawal. Dan kita
hanya perlu risau berkenaan dengan perkara yang kita boleh kawal, dan untuk
hidup dengan tenang, berhenti berasa bimbang dengan perkara diluar kawalan kita.
Antara ungkapan Stoic yang menarik berkenaan dengan hal ini adalah dari
Epictetus, dimana beliau menulis:
“Saya
akan mati. Jika sekarang, maka saya akan mati sekarang, jika kemudian, sekarang
adalah masa untuk saya makan tengahari, kerana masa makan tengahari telah tiba,
manakala mati saya akan hadapinya kemudian”.
Maksudnya
disini adalah bukan kita tidak harus bersedia untuk mati, tetapi mati adalah
satu kepastian. Jika kita takut berlebihan atau kita tenang menjalani
kehidupan, ia tidak akan mengubah kenyataan bahawa kita akan mati. Oleh itu
kita harus menumpukan perhatian kita pada perkara-perkara yang kita boleh kawal
di saat ini, sekiranya perkara itu adalah makan tengahari, maka itu seharusnya
menjadi fokus kita buat masa tersebut. Ia lebih dekat dengan pemikiran Eckhart
Tolle bahawa kita perlu hidup dimasa kini, sekarang, bukan masa lampau atau
masa depan.
Kita
boleh mengumpamakan pemikiran ini dengan aktiviti memanah. Kita boleh berlatih
bertahun-tahun untuk menguasai ilmu memanah. Kita boleh cuba untuk mendapatkan
anak panah dan busur yang berkualiti. Tetapi apabila kita memanah, sebaik
sahaja kita sudah melepaskan anak panah dari busur, ia bukan lagi dalam kawalan
kita. Mungkin akan ada angin yang membuatkan panahan kita tersasar, atau
sasaran kita bergerak menyebabkan ia tersasar.
Dalam
hidup kita hari ini, mungkin kita boleh lihat ia melalui usaha-usaha kita untuk
mencapai sesuatu. Dalam peperiksaan contohnya, fokus dan kebimbangan kita
perlulah pada usaha kita, kerajinan kita untuk mengulangkaji, memahami teori,
tetapi apabila kita sudah menjawab peperiksaan, anak panah telah kita lepaskan
dari busur, kita tidak perlu lagi bimbang atau gelisah kerana ia bukan lagi
dalam kawalan kita. Kita perlu menerima keputusannya, dan jika tidak baik kita
perlu berusaha lebih keras lagi selepas itu.
Mungkin
saya patut akhiri penulisan pendek ini dengan ungkapan kegemaran saya dari
Seneca, yang saya kira sangat bagus untuk direnung-renungkan. Seneca berkata “kita
semua sentiasa merungut perihal kesingkatan masa, namun, dalam masa yang sama
kita punya terlalu banyak masa sehingga kita tidak tahu apa yang kita hendak
perbuat dengannya”.
Harap-harap dengan menjadi Stoic saya dapat menerima keputusan dengan tenang esok!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan