Ahad, 27 September 2020

Menulis Mengikut Falsafah Marcus Aurelius


Kadang-kadang saya tiada tujuan untuk menulis, tetapi tetap juga tangan akan berlari-lari diatas papan kekunci, menaip apa sahaja yang hinggap di minda. Kadang kala ia sekadar coretan yang compang-camping, tetapi apabila ia sudah dicoret, ia memberi ketenangan pada hati, seolah-olah saya perlu melepaskan sesuatu, mengurangkan sedikit bebanan sebelum boleh melangkah lagi dalam perjalanan kehidupan.

Seolah-olah hati saya sudah berpaut pada blog usang ini, menulis merupakan sebahagian dari diri, tidak kira jika ada atau tidak orang yang membaca, itu tidak penting, yang penting saya telah menyelesaikan sedikit kesesakan di jiwa dengan menulis. Melepaskan perasaan yang telah sekian lama bertakung, apabila sungai emosi berjalan dengan lancar kembali, kehidupan seperti segar semula, seperti ada makna. Tidak lagi nihilis.

Saya teringat beberapa hari sudah, saya terhanyut ke dalam sebuah video di channel Ryan Holiday iaitu Daily Stoic, perihal Marcus Aurelius dan junalnya. Ini bukan kali pertama saya bertemu dengan Ryan Holiday, saya pernah membaca buku beliau Trust Me, I'm lying 5 tahun sudah. Bagi saya video itu sangat menarik, terutamanya dalam membahaskan kenapa kita perlu menulis jurnal, mengutip kata-kata hikmah sepanjang perjalanan kehidupan.

Dalam sejarah Empayar Rom, banyak kisah-kisah peperangan epik yang direkodkan. Namun, disebalik kisah keberanian tentera, atau kehebatan seorang jeneral, satu buku dari empayar tersebut menjadi rujukan dan bacaan hingga ke hari ini. Bukan perihal perang atau keberanian, tetapi perihal renungan kendiri dan muhasabah diri seorang raja. Marcus merupakan raja terakhir yang memerintah di zaman Pax Romana, zaman dimana Empayar Rom mengecapi zaman yang stabil dan aman. Bukan sahaja seorang raja, Marcus merupakan seorang ahli falsafah yang kuat berpegang dengan falsafah Stoic.

Mengapa nota peribadi perihal renungan yang digelar "Meditation" itu lebih memberi kesan dan bertahan lama dimata pembaca? Berbanding dengan kisah-kisah epik ketenteraan?

Kerana renungan diri ini merupakan mutiara pemikiran yang berharga. Marcus tidak menulis untuk menerbitkan buku, dia tidak menulis untuk mempengaruhi sesiapa, beliau tidak menulis untuk memuaskan hati audiens, dia tidak menulis untuk menjadi terkenal, tetapi Marcus menulis untuk dirinya sendiri. Bermuhasabah sambil memberi nasihat pada diri sendiri. Itu yang membuatkan tulisannya berharga, menjadikan ia satu mutiara untuk manusia yang hidup beribu tahun selepas Marcus. Kerana itu juga, penulisannya dalam Meditation berulang-ulang, kerana dia bukan menulis untuk orang lain, tetapi untuk dirinya, dan dia sedar sesuatu nasihat itu perlu diulang-ulang agar ia diingati dan diamalkan.

Sebab itu kadangkala saya tidak kisah menulis jika tiada like, comment, atau share, sekiranya tiada royalti pun saya akan menulis. Kerana menulis ini merupakan ruang untuk kita berfikir terhadap dunia, peluang untuk kita cuba memberi makna tentang apa yang berlaku dalam kehidupan seharian, ia ditulis untuk diri kita. Sekiranya ia dibaca oleh orang lain, itu bonus sahaja. Yang lebih penting adalah ia merupakan renungan ikhlas diri sendiri, catatan pengalaman, kutipan apa yang berharga yang kita temui sepanjang hidup, juga tempat untuk kita melepaskan emosi dan perasaan.

Tiada ulasan: