Perkara
ini mungkin lebih senang dilakukan pada zaman Pax Romana kerana pada ketika itu
belum wujud smartphone, Tik Tok, Facebook dan seribu satu lagi rekaan teknologi
yang mengebom kita dengan informasi pada setiap hari. Hampir kemana sahaja kita
toleh hari ini kita disuap dengan iklan, promosi produk, propaganda politik,
gambar makanan, gambar percutian orang lain, membuatkan fikiran kita sering
sahaja terliuk-liuk kesana dan kemari.
Bumi
hari ini terlalu bising dengan informasi, sebab itu Jeneral Zod menghadapi
kesukaran ketika kali pertama dia mendarat di bumi dan hilang helmet ajaib
beliau, begitu juga dengan Clark Kent ketika membesar di bumi, terlalu bising
menyebabkan beliau sukar fokus kerana mempunyai deria yang sensitif. Begitu
jugalah perihal diri kita, perkara-perkara yang kita lihat seharian di media
sosial menyebabkan kita sering hilang fokus terhadap apa yang penting di dalam
kehidupan kita.
Melihat
percutian orang lain menyebabkan kita merasakan kita juga perlu berehat ditepi
pantai. Melihat gambar burger cheese meleleh menyebabkan kita menyesal kerana
kita makan nasi berlauk ikan temenung sahaja. Melihat itu, melihat ini, kita
terus didahagakan dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan hidup
kita. Kita bincangkan dan bimbangkan masalah orang lain, akhirnya kita tidak benar-benar hidup
untuk hidup kita, sentiasa mahu menjadi orang lain, di keadaan lain.
Dalam
siri jenayah-misteri-komedi-drama Sherlock yang dihasilkan oleh BBC, Sherlock
Holmes ketika beliau berdiskusi dengan Dr. John Watson di pagi hari, beliau
berkata perihal minda. Bagaimana mindanya merupakan pusat informasi, tetapi
untuk mindanya berfungsi beliau harus melupakan informasi-informasi yang tidak
berguna dan hanya menyimpan informasi yang berguna sahaja. Sementara orang kebanyakan
menghimpunkan pelbagai jenis informasi berstatus sampah-sarap di dalam
pemikiran mereka. Jadi menurut Sherlock, jika kita ingin menggunakan minda kita
dengan berkesan dan dengan potensi penuh, kita harus meninggalkan
perkara-perkara yang tidak berguna. Bagi Stoic perkara yang kita tidak punya
upaya mengubahnya adalah perkara yang tidak perlu kita bimbangkan.
Perihal meninggalkan perkara yang sampah dan tidak berguna ini juga telah lama diajar dalam Islam, seperti yang diperingatkan oleh abang senior kesayangan saya, Ahmad Nabil MJ berkenaan dengan sebuah hadith dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith ke-12 yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud "Antara tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya". Oleh itu membebaskan minda dari perkara yang tidak bermanfaat ini bukan sahaja kebijaksanaan Stoic, atau saranan watak fiksyen, ia adalah suruhan Nabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan