Rabu, 23 September 2020

Catatan Baitul Muslim 37: Tidak Lagi Menoleh Ke Belakang

Saya masih ingat, anak kami yang pertama duduk bersama pengasuh dari 6 bulan sehinggalah dia berumur 4 tahun, pada umur 4 tahun baru Amni masuk ke tadika. Anak kami yang kedua agak berbeza, kerana ada sedikit masalah tidak dapat bersama pengasuh hingga ke umur 4 tahun. Pada umur setahun lebih, Idlan mula masuk ke taska. Taska ini sama dengan tadika kakaknya, jadi mudah untuk dihantar bersama pada pagi hari, tidak perlu lagi singgah ke dua lokasi. Selain memudahkan urusan logistik, taska juga lebih stabil kerana urusan menjaga anak-anak dilakukan oleh beberapa guru, jika seorang sakit masih ada guru lain yang boleh mengganti, berbeza dengan pengasuh, jika pengasuh tidak sihat, sama ada ibu atau bapa perlu mengambil cuti.

Kami mula menghantar Idlan pada bulan Mac 2020, namun beberapa hari selepas itu satu negara ditutup bersempena dengan penularan wabak Covid-19, kami mula menghantar semula pada bulan Mei. Bagi isteri pelbagai segi difikirkan, adakah anak kecil dapat membiasakan diri di tempat baharu? Namun pada perspektif bapa mungkin yang berbeza hanya tempat menghantar, mungkin bapa tidak mempunyai deria emosi yang begitu kuat seperti wanita.

Pada mulanya memang Idlan menangis setiap pagi, ketika mahu diserahkan kepada cikgu dia akan memeluk kuat sambil menangis, sampai cikgu terpaksa menariknya dari saya. Mungkin yang paling menyentuh hati adalah gelagatnya apabila diambil pulang sebelah petang, dia akan melompat dan berlari dengan penuh kegembiraan sambil menjerit "Abi! Abi!". Saya kira ini merupakan antara nikmat menjadi seorang ibu atau ayah, apabila melihat manusia lain begitu menghargai diri kita, begitu berharap pada kita, itulah kegembiraan yang diberikan oleh anak-anak. Cuma mungkin keinginan mereka untuk bersama ibu bapa itu kadang kala terasa begitu kuat hingga menyebabkan ibu bapa berasa mereka tidak mempunyai kebebasan untuk menyendiri. Namun pasti, satu hari nanti, apabila anak-anak mula membina hidup mereka sendiri, ia akan menjadi saat-saat indah yang dirindui dan digenangi air mata.

Selepas 4 bulan sahaja dihantar ke taska, kini dia tidak menangis lagi. Saya teringat pada satu hari pada bulan September saya tidak mendukungnya hingga ke pintu taska, tetapi membiarkan dia sendiri berjalan. Dia tidak lagi perlukan cikgu untuk mengambilnya, malah pagi itu dia masuk sendiri, saya mengintai ke dalam taska, dia sudah tahu kemana dia perlu pergi di dalam, malah sedikit pun tidak menoleh lagi ke belakang, dua tiga kali saya memanggil namanya baru dia menoleh, dan melambai sambil mengucapkan "bye bi!".

Begitulah pantasnya anak-anak membesar. Hanya dalam 4 bulan sahaja anak-anak boleh beradaptasi di tempat baru. Dalam sekelip mata, mereka akan masuk sekolah, universiti, bekerja dan berkeluarga. Jadi sebelum kelipan mata itu tiba, eloklah kita rasai saat-saat manis mereka membesar ini dengan penuh penghargaan dan kebahagiaan. 


Tiada ulasan: