Memaparkan catatan dengan label Pemikiran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemikiran. Papar semua catatan

Sabtu, 1 Ogos 2020

Anti-Antithesis: Kritik Terhadap Antithesis Yang Ditulis Benz Ali


Amaran awal, reviu ini mungkin sangat panjang, kerana ia akan dirangkumkan sekali dengan pemikiran dan pengalaman peribadi, so, read at your own peril. Sebelum kita membicarakan buku yang ada ditangan, izinkan saya ber-cherita tentang bagaimana buku ini boleh sampai ke tangan saya.

Saya pernah mendengar nama Benz Ali sejak zaman universiti lagi, ketika itu saya masih sibuk dengan usrah-usrah di luar negara (usrah ini melalaikan menurut Benz, boleh baca disini), saya dengar persoalan-persoalan ketuhanan yang dibangkitkan oleh Benz, tetapi pada kira saya ketika itu persoalan ketuhanan yang membingungkan manusia ini ditanya sepanjang zaman, malah ia telah dijawab sepanjang zaman, cuma mungkin belum dijumpai oleh generasi baru, jadi tidak ada apa yang istimewa dan saya tidak mengikutinya dengan dekat.

Jauh selepas saya keluar dari zaman universiti, bergelumang dengan hidup dan kehidupan, seorang teman, Israr, mengajak saya ke Kuliah Buku yang diadakan di Pulau Pinang. Beliau kelihatan begitu bersungguh mengajak saya, malah beliau membeli naskah buku tulisan saya (buku yang dikritik Benz). Malam itu adalah kali pertama saya bertemu beliau mendengar kuliah yang disampaikan oleh Anas Abd Jalil yang bertajuk 'Kerajaan Pakatan Di Bawah Telunjuk Rejim Neo-Liberal Mahathir-Daim'. Selepas ber-kuliah di MacDonalds berdekatan USM kami menyambung per-sembang-an di Restoran Nasi Kandar Pelita. Selepas pertemuan itu Israr saya lihat banyak menulis di satu Page Facebook perihal musik Indie sebelum beliau hilang tanpa jejak, usaha menjejaki nombor talifon beliau juga tidak berjaya, satu misteri. Kali kedua saya bertemu Benz adalah ketika event Pasar Buku 2020 yang dianjurkan oleh Buku Jalanan Bagan.

Pada Pesta Buku KL 2019, saya diajak teman karib saya, Izzat Ibrahim untuk bersama beliau menjual buku di kiosk swaterbit yang disediakan penganjur. Kiosk ini dikhaskan untuk penerbit yang menerbit karya sendiri, ia adalah usaha mengetengahkan buku yang tidak diterbit oleh penerbit besar negara. Walaupun lokasinya sedikit terpuruk kedalam, aura pesta buku berjaya menghabiskan jualan semua buku yang saya cetak. Salah seorang pembelinya adalah seorang wanita yang dihantar Benz Ali – yang saya syak merupakan Kia Syakira. Di buku tersebut saya titipkan pesan mohon ia di-reviu dan Benz bermurah hati mengkritik buku saya itu dalam dua bahagian (bahagian satu dan dua). Di depan kiosk kami pada ketika itu adalah kiosk Kementerian Dalam Negeri (KDN), apabila tiada pengunjung, saya ringankan kaki untuk berkunjung di kiosk KDN. Selain buku-buku pro-komunis yang dipamerkan sebagai buku haram, buku ‘Antithesis’ juga merupakan antara buku yang dipamerkan sebagai buku haram, selain komunis, perkara-perkara yang mempromosi marijuana (dadah) juga merupakan bahan yang diharamkan, antara bahan pameran lain adalah seluar dalam yang mempunyai lambang daun marijuana. Saya bersembang dengan pegawai bertugas, saya bertanya bagaimana bahan-bahan pro-komunis diharamkan tetapi saya masih boleh membeli The Communist Manifesto di gedung buku terbesar negara di tengah ibukota? (nama kedai dirahsiakan atas faktor keselamatan dari risikan dan serbuan). Pegawai tersebut mengatakan penguatkuasaan mereka terhad, mereka hanya bertindak atas laporan, jika tak dilapor mereka tidak tahu (ambil tahu).

Selepas itu baru saya mempunyai keinginan untuk membaca buku ‘Antithesis’ yang telah diharamkan ini, saya pernah mencari buku ini dalam senarai katalog OPAC Perpustakaan Negara (OPAC PNM), walaupun mempunyai ISBN number, ternyata buku haram ini tidak keluar dalam senarai carian. Apabila saya menggunakan terma ‘buku haram’ dalam tulisan ini, saya tidak bermaksud ia dalam konotasi pejoratif, tetapi hanya kenyataan objektif. Kerana pada fikir saya, banyak buku-buku yang baik sepanjang sejarah pernah diharamkan, jadi pengharaman buku ini mesti disebabkan ia mengandungi sesuatu, ada substance, jadi pengharaman pada pandangan saya merupakan pencapaian bahawa buku ini mempunyai substance, ia diiktiraf oleh kerajaan bahawa ia mampu mempengaruhi manusia. Namun akhirnya saya tetap mendapatkan naskah buku haram tersebut untuk dibaca (cara mendapatkannya dirahsiakan).

Saya kira ini buku terbitan Dubook pertama yang saya dapatkan (mungkin juga terakhir). Semasa Dubook naik mencanak dahulu, saya merupakan antara orang yang tidak ambil kisah, bukan saya mempunyai dendam peribadi terhadap Dubook yang ‘liar dan angkuh’, tetapi saya secara peribadi tidak meminati bahasa-bahasa kempen yang digunakan, yang bagi saya terlalu kesat, tidak melambangkan nilai intelektual buku seperti yang saya faham. Walaupun saya faham, ia merupakan kaedah mereka untuk melakukan marketing – tetapi ia tidak masuk dengan saya. Mungkin jika saya tidak punya pengalaman berkenalan secara peribadi, saya tidak akan mendapatkan buku ini.

Baik, sekarang mungkin kita boleh masuk kedalam isi buku.

Bacaan awal saya secara umum mendapati tulisan Benz Ali ini memang agak kasar, jadi anda boleh menjumpai frasa seperti ‘intelektualisme punggung’ dan 'f*** you' di dalamnya, ia kasar mengkritik kerajaan dan juga orang-orang yang beragama (agama Islam secara spesifik), jadi mungkin itu menjadi sebab ia diharamkan. Namun persoalan-persoalanan ketuhanan yang dibangkitkan, contohnya soal peranan tuhan dalam isu evil, pain, and suffering tidaklah begitu mengugat keimanan pada amatan saya. Saya secara peribadi telah lama cuba memahami isu ini. Sejak dari awal lagi saya telah membaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh gerakan The New Atheist, antara yang saya baca adalah Richard Dawkins yang merupakan militant atheist dengan naskah beliau yang berjudul The Selfish Gene dan The God Delusion. Lebih aneh, buku-buku ini tidak diharamkan di Malaysia, malah ada dalam senarai OPAC PNM. Seorang tokoh lain yang saya gemari adalah Christopher Hitchen, hampir kesemua perbahasan Hitchen di Youtube telah saya tekuni, dari beliau muda dan merokok dalam wawancara bersama C-Span hinggalah beliau telah kurus dan botak hasil rawatan kanser. Walaupun saya bukanlah seorang atheist, dan saya juga dapati kadangkala Hitchen menggunakan falasi bagi melawan hujah theist, tetap Hitchen merupakan antara figura yang saya gemari kerana ilmunya dan luasnya pembacaan beliau. Tokoh atheist baru lain seperti Sam Harris dan Dennett entah kenapa saya tidak begitu gemari, saya pernah juga mendengar syarahan Harris tetapi berhenti ditengah jalan, bagi saya beliau tidak punya vigor dan rigor seperti Hitchen.

Antara kritik awal dalam buku ini adalah soal pengajian Islam di universiti yang berbayar, beliau menulis “jika kamu tiada duit, kamu tidak boleh menjadi Muslim yang baik..yang cerdik”. Saya secara peribadi bersetuju dengan premis bahawa ilmu itu bukan semestinya hanya boleh dicapai melalui jalan universiti, malah saya mungkin pergi lebih jauh dengan mengatakan bahawa ada ilmu yang mustahil kita dapat di universiti, ilmu itu luas dan mustahil dapat disatukan dalam satu universiti atau perpustakaan. Tetapi saya tetap mengiktiraf universiti sebagai institusi yang mengabsahkan seseorang itu mempunyai ilmu, atau dalam kata lain universiti mengeluarkan sebuah kertas memperakui seseorang itu mempunyai sedikit ilmu. Dalam mengkritik Islam sebagai kapitalis yang membuat bisnes pendidikan berbayar bagi saya tidak berlaku adil. Malah mungkin Islam adalah agama terbesar yang memberi pendidikan percuma. Jika kita ingin mendalami Islam dan tidak berduit, kita boleh mengikuti kuliah-kuliah di masjid secara percuma. Malah banyak institusi tahfiz dan pondok yang memberi pendidikan percuma pada anak-anak yang susah. Jika kita masih tidak berpuas hati, dan tetap ingin menyambung pengajian secara percuma, kita boleh cuba dapatkan bantuan zakat. Saya tidak bersetuju pengajian Islam sahaja disuruh diajar secara percuma, jika kita hendak mengatakan ia merupakan pengajian yang tidak memerlukan modal untuk membeli alatan makmal dan membuat eksperimen, banyak kursus lain yang berbentuk seperti ini seperti pengajian falsafah, ekonomi, politik, pengurusan dan lain-lain yang tidak punya modal untuk melakukan kajian eksperimental. Saya masih ingat semasa di Damshik, Syiria sebelum revolusi, saya pernah masuk ke Jamek Umawi semasa malam hari, saya dapati ketika itu terdapat ramai orang dan sedang berlangsung kuliah bersama Sheikh Ramadhan Al-Buthi. Seorang tokoh Islam besar ketika itu, mungkin yang kedua terbesar selepas Sheikh Yusuf Al-Qardhawi. Saya ada membaca kitab beliau Fiqhul Seerah, kuliah bersama tokoh ke-2 terbesar Islam di zaman tersebut diadakan secara percuma! Semoga Allah mencucurkan rahmat keatas roh Sheikh Ramadhan Al-Buthi yang terkorban dalam revolusi.

Perihal komunis, dalam buku haram ditulis “muncul komunisme, reaksi sunnah bukan mahu mengambil apa yang baik... tetapi memilih untuk mengkafirkan komunisme, yakni menolak komunisme secara total”. Kerana buku ini mungkin kumpulan status Facebook, jadi mungkin saya tidak dapat mengetahui rangka awal atas kesimpulan ini. Tetapi saya mengambil jalan mudah dengan memahaminya sebagai kritik penolakan komunisme di Malaysia dan dilabel sebagai kafir. Kerana komunisme merupakan ideologi yang mempengaruhi banyak pemikiran umat Islam jika kita meninjau gerakan Islam di Mesir, Palestin, Iraq, Libya dan sebagainya, tetapi di Malaysia ia seolah-olah adalah taboo. Pada saya, ia lebih kepada kesan daripada sejarah berbanding ideologi, penolakan komunis di Malaysia walaupun sering ditolak menggunkan label ‘kafir’ adalah kesan dari sejarah hitam berdarah di Malaysia. Dalam masa yang sama, saya ambil maklum dengan hujah yang mengatakan bahawa, British, Jepun, Portugis, Belanda turut menjajah kita, kenapa kita tidak begitu anti mereka sebagai mana kita anti kepada komunis? Untuk soalan ini, bagi saya jawapannya adalah pada polisi propaganda pemerintah yang mengambil kuasa selepas British dalam menanam semangat patriotik dalam negara. Saya secara peribadi merasakan pengharaman komunis secara total di Malaysia ini sedikit bermasalah dalam memberi ruang kebebasan berfikir. Kerana bagi saya sumbangan komunis (kiri) bukan kerana ia benar dari sudut ideologi atau sistem ekonomi, tetapi banyak kepincangan dan masalah sistem kapitalis dapat difahami dari membaca literature kiri, ini pada saya sumbangan komunis, mengetengahkan masalah sistem yang dominan sekarang. Hampir mustahil bagi saya untuk kita boleh memahami discourse ideologi Barat baik dari sudut politik, sosial, atau ekonomi jika kita tidak membaca tulisan-tulisan kiri.

Saya faham Benz Ali begitu anti dengan gerakan Islam Haraki dan usrah. Saya tidak pasti usrah mana yang beliau ikuti atau gerakan haraki yang mana, dan saya sendiri sudah banyak menjawab perihal ini (saya tulis disini, disini dan disini). Bacaan saya, pandangan beliau terhadap usrah hanya satu sisi dan mengabaikan sisi-sisi yang lain, sudut pandangnya usrah hanya berbicara soal halal-haram dan kafir mengkafir, beliau menulis “apakah campur tangan agama pada makanan, cuma sekitar tetek bengek halal – haram, babi dan alkohol?” Beliau menulis lagi “Bill Gates yang kafir itu mencipta Microsoft Word..kau nak buat minit usrah pun perlukan Microsoft yang dibuat oleh orang-orang kafir”. Pada saya usrah telah ada sebelum Microsof Word, jadi tidak timbul isu usrah perlukan Microsoft Word. Penggunaan teknologi itu pada saya sekadar mengikut perkembangan zaman, jika tidak digunakan, mungkin nanti muncul pula Benz Abu (di parallel universe) yang mengkritik bahawa Islam ini anti teknologi. Dari sudut terima kasih, kita berterima kasih dengan membayar kepada Microsoft, tetapi kita juga perlu berterima kasih kepada tulisan intelektual Islam seperti Al Jabr (yang sering disebut Algebra) yang banyak menyumbang kepada ilmu matematik moden yang tanpanya komputer dan Microsoft tidak dapat dihasilkan. Pandangan saya terhadap usrah berlainan dari beliau, saya melihat orang-orang usrah turun ke pedalaman di Simuning, Sabah memberi pendidikan pada orang-orang yang hidup di laut, saya melihat mereka mengumpul duit sesama sendiri mendirikan sekolah, saya melihat mereka mendirikan rumah-rumah perlindungan untuk warga Rohingya walaupun masyarakat mencemuh mereka, saya melihat orang usrah menghantar bantuan apabila Aceh dilanda tsunami, mereka ke Syria, Palestin, Somalia menghantar bantuan makanan, membayar yuran anak-anak mereka belajar, saya melihat orang usrah membuka rumah penyayang untuk masyarakat miskin dan yatim. Namun entah kenapa sisi-sisi ini tidak pernah disebut oleh Benz Ali dalam bukunya, mungkin beliau tidak tahu akan hal ini dari pengalaman singkat usrah beliau, atau mungkin beliau tidak mahu membangkitkannya kerana ia akan meruntuhkan perspektif selektif dan reductionist beliau.

Namun pada saya apa yang kita perlu ambil dari penulisan ini bukanlah sisi pandang selektif atau reductionist itu, tetapi melihat kepada kritik-kritik itu secara spesifik dan cuba merenung, menilai dan cuba menambah baik sudut tersebut. Contohnya apabila beliau mengkritik golongan usrah tidak “membaca atau menulis apa-apa”. Ini semestinya tidak betul secara objektif, ia merupakan generalisasi dari masalah kecil dan dibesarkan kepada keseluruhan kumpulan, tentunya ada yang membaca dan menulis. Seperti pemikiran jika golongan Buddhist menindas Rohingya di Myanmar kita menyimpulkan semua pengikut Buddha adalah pengganas, tentulah ia tidak benar. Namun golongan usrah perlu memandang kritik ini dari sudut yang berbeza, dari menjadi defensif, mereka (termasuk saya) perlu proaktif, membaca dan menulis lebih banyak lagi sehingga menjadikan andaian “golongan usrah tidak membaca dan menulis” itu sukar dipertahankan hanya dengan melihat keadaan luar secara umum. Jadi imej itu diperbaiki dengan usaha (amalan) bukan sekadar kita berdebat untuk menang hujah.

Tetapi ada juga persoalan-persoalan beliau yang saya rasa dekat di hati, contohnya beliau bertanya “Apakah Islam hanya di ranjang?” tentu sahaja beliau bukan bermaksud Islam hanya di ranjang, tetapi ia adalah kritik sosial terhadap masyarakat kita yang selalu memandang permasalahan nikah kahwin, poligami, dan sebagainya sebagai isu utama yang dibincangkan. Saya sendiri pernah menulis perihal lawak kahwin dua dan poligami, yang saya rasa tak lawak langsung. Kerana banyak lagi perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan sebelum kita mati dan ditanam didalam kubur. Juga persoalan beliau yang membangkitkan bagaimana aktivis dan naqib-naqibah usrah yang memperjuangkan idealisme mereka di universiti, tetapi hilang apabila bergraduasi dan bergelumang dengan masalah kehidupan. Saya kira ini bukan masalah golongan usrah sahaja, saya pernah membaca status komrad PSM mengeluh akan hal yang sama, mungkin itu memang lumrah manusia, bukan semua orang tahan berjuang, tidak kira ideologi apa pun. Antara perbahasan beliau yang lain yang saya kira saya bersetuju adalah “kerajinan boleh mengatasi kesarjanaan”, ini saya kira harus menjadi motivasi masyarakat diluar universiti, mereka harus sedar bahawa mereka juga mampu menajamkan intelektual mereka tanpa membayar yuran pengajian universiti.

Akhir sekali, ulasan buku ini lambat 6 tahun kerana buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 2014, dan mungkin banyak pandangan-pandangan beliau yang telah beliau tinggalkan, kerana beliau sendiri menulis disclaimer di awal buku ini bahawa buku ini “bukan Al-Qur’an”. Contohnya dalam buku ini beliau menulis bahawa “kau hanya memberatkan Planet Bumi dengan menjadi malas”, tetapi dua minggu sudah beliau berhujah di Youtube tentang “Kenapa Malas Itu Penting?”. Buku ini saya kira banyak persoalan-persoalan, dan banyak persoalan itu hanya selapis, tidak diterangkan atau dihuraikan dengan dalam (mungkin kerana ianya status Facebook, bukan kajian dan tekunan yang panjang). Jika orang lain memberi komentar bahawa Benz Ali ini bagus tetapi dia banyak sangat berfikir perkara yang bukan-bukan, saya pula berpendapat bahawa dia perlu berfikir lebih banyak lagi, lebih dalam lagi, bukan berhenti berfikir. Kerana soalan-soalan ini ada jawapannya, maka ia perlu dicari hingga satu hari nanti akan ketemu jawapan yang memuaskan hati, insha’Allah. Apa-apa pun syabas kepada Benz, sekurang-kurangnya dia telah menjalankan perintah Tuhan untuk berfikir.

Sabtu, 25 Julai 2020

Manusia dilahirkan merdeka tetapi digari dimana sahaja - Rousseau



Saya masih ingat dahulu ketika menghadiri kelas ekonomi bersama pensyarah saya, Radchenko, beliau sering mengulang sebut frasa “the invisible hand” dalam karya magnum opus Adam Smith, The Wealth of Nation. Pengulangan beliau begitu melekat di fikiran saya, sehingga beberapa tahun selepas tamat pengajian saya mencari buku tersebut dan menghabiskan 8 bulan untuk membaca buku setebal 1,264 mukasurat versi Bantam Classics hanya untuk mencari frasa tersebut.

Baru-baru ini saya bersiar-siar di laman Youtube, melompat dari satu video ke satu video, dari satu syarahan ke satu syarahan, dari satu debat ke satu debat, terjumpa dengan frasa “man is born free and everywhere he is in chains” yang merupakan tulisan Jean-Jacques Rousseau dalam adikaryanya The Social Contract. Seperti karya Adam Smith, saya akan cuba geledah dan cari frasa ini disebalik helaian makalah Rousseau. Jadi apa yang dimaksudkan oleh Rousseau?

Saya tidak tahu maksud sebenar, apa yang dimaksudkan Rousseau secara literal kerana saya belum membacanya, saya sudah memesan naskah tersebut, kebiasaannya buku yang dihantar par avion oleh Royal Mail dari Gloucestershire akan mengambil masa lebih dari sebulan untuk sampai ke Kampung Baru Bakar Arang, Sungai Petani. Jadi saya tidak boleh syarahkan perkara yang saya belum baca, kerana saya tidak mendalami ilmu kasyaf atau ilmu laduni. Tetapi saya ingin coretkan perspektif yang dibincangkan dalam video yang saya lihat di laman Youtube.

Manusia, atau masyarakat yang hidup dalam agama sering kali beranggapan bahawa agama itu mengongkong, membataskan kebolehan dan keupayaan manusia. Mengambil semangat dari Revolution Francaise dengan motto “liberte, egalite, fraternite” ramai yang ingin bebas dari agama, ingin bebas tanpa kongkongan.

Dalam masa yang sama, ada juga manusia yang hidup tanpa pengaruh agama, mereka merasakan bahawa dunia yang berfokus kepada kebendaan dan moral nihilism merupakan satu kongkongan terhadap jiwa, dan memilih untuk keluar darinya dan masuk kedalam agama yang dirasakan membebaskan jiwa. Antara buku yang baik berkenaan dengan hal ini, pada fikir saya, adalah buku tulisan Na’ima Robert bertajuk From My Sisters’ Lips, yang mahu mengetengahkan suara wanita Eropah yang memilih Islam, perspektif mereka sendiri yang bebas dari sebarang paksaan.

Maka disini kita sampai kepada satu kesimpulan bahawa tidak ada keadaan yang membolehkan manusia itu bebas seratus peratus. Pasti ada limit dan kekangan yang akan mengawal mereka, pasti ada undang-undang, baik agama atau sekular yang akan mengikat mereka. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Rousseau apabila beliau menulis “man is born free and everywhere he is in chains”, manusia itu dilahirkan merdeka tetapi dimana sahaja dia berada, dia digari.

Ambil ekonomi sebagai contoh, jika kita mengamalkan sistem kapitalis yang mengutamakan nilai kebebasan kita akan “digari” dari sudut kesaksamaan, dimana yang kaya dibenar mengumpul harta dan berjurang dengan yang miskin. Jika kita mengamalkan sistem komunis yang mengutamakan nilai kesaksamaan, kita akan “digari” dari sudut kebebasan memiliki harta. Begitu jugalah dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan.

Ada orang pernah mengatakan pada saya, mengajar anak-anak perihal agama adalah proses “indoktrinisasi”. Saya bersetuju. Tetapi jika kita tidak mengajar mereka agama, dan mengajar mereka atheism, tidakkah itu akan menjadi indoktrinisasi atheism? Kerana anak-anak itu dilahirkan kosong, bersih, umpama kain putih, terserah kepada ibubapanya untuk mencorakkannya (men-indoktrinisasi-kannya). Jadi kita akan keluar dari satu gari ke gari yang lain.

Selain contoh ekonomi dan pendidikan, manusia akan digari oleh suasana sekelilingnya. Masyarakat, undang-undang, adat, hatta media sosial yang kita rasakan bebas pun punya peraturan dan limitasi. Kadangkala ada hantaran yang dipadam, ada profile yang ditiadakan. Kerana manusia akan sentiasa hidup dalam kongkongan. Hatta jika kita lari dari semua ini, kita siapkan khemah dan beg The North Face kita untuk masuk ke hutan dan jauh dari kongkongan ekonomi, politik, dan sosial, kita masih tidak mampu lari dari “gari” biologi, yang menentukan akhirnya kita akan mati, dan kebebasan kita untuk bergerak, bernafas, berpanca indera, semuanya akan ditarik balik.

Saya tidaklah merasakan saya benar dan tahu semua, seperti yang saya tegaskan, saya tiada ilmu kasyaf atau ilmu sihir. Tetapi pada kira-kira saya yang kurang tahu ini, mungkin dari sentiasa cuba untuk bebas sebebasnya, yang menyebabkan kita bebas dari satu gari hanya untuk digari oleh gari yang lain, mungkin kita boleh mencari kebahagiaan dan ketenangan, mungkin itu lebih bermakna dan diperlukan. Di dalam sejarah, tidak sedikit kita menjumpai insan yang dipenjara jasad tetapi jiwa mereka bebas dan bahagia. Kerana bahagia itu di jiwa, mungkin itu sahaja bahagian manusia yang bebas dari sebarang gari duniawi, yang kekal merdeka selepas kelahiran manusia.

Dan pada ayat Rousseau mungkin kita boleh menambah “man is born free and everywhere he is in chains, except for his soul, which will remain free, if so he choose”.

Selasa, 5 Mei 2020

Pergerakan Islam & Cabaran Untuk Kekal Relevan


Pemikiran Syed Qutb berkenaan dengan "Islam VS Sistem Jahiliyah" merupakan pemikiran yang lahir di zaman dimana Mesir pada ketika itu dicengkam oleh nasionalisme yang sangat pekat. Agama ditekan dan ramai tokoh yang menentang idea yang dipegang kerajaan menghembuskan nafas terakhir mereka di tali gantung.

Idea ini ternyata berkesan kerana ia merupakan idea yang simple dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Baik ahli akedemik atau petani, pelajar universiti atau tukang kayu, hatta golongan buta huruf sekali pun boleh memahami idea bahawa "selain Islam adalah jahiliyah". Ia tersebar luas dan dianggap sebagai idea revival Islam, dan mempengaruhi banyak pergerakan lain diserata dunia Islam yang pada zaman itu sedang bertarung dengan kolonialisme, imperialisme dan pelbagai cengkaman lain.

Saya tidak bermaksud untuk mengkritik pemikiran Syed Qutb, kerana bagi saya ia mempunyai sumbangan besar dalam mengembalikan Islam dalam diri ummat ini. Ia merupakan catalyst kepada perubahan, perubahan yang kita nikmati hari ini.

Situasi di Malaysia juga banyak berubah. Kita tidak lagi di jajah oleh kuasa kolonial (secara fizikal, minda terjajah merupakan perbahasan lain). Islam tidak di tekan dan kita lihat banyak perubahan yang positif bagi Islam. Jika dahulu anak-anak ke sekolah memakai seluar pendek dan skirt, kini kita melihat sekolah-sekolah berpakaian uniform yang menutup aurat. Dahulu hanya ada pinjaman konvensional, sekarang kita sudah ada pembiayaan dari bank-bank Islam, instrumen pelaburan patuh syariah. Saluran TV yang memaparkan program Islam sudah tidak asing. Kita perlu menerima hakikat bahawa zaman telah berubah.

Pemikiran perlu berubah sesuai dengan zamannya. Hatta pandangan ulama juga berubah mengikut zaman, tempat dan waqi. Jadi untuk kekal relevan, kita perlu bersama berubah mengikut perubahan. Bukan bermakna kita mengorbankan 'al-aslu'  kita, tetapi perlu memahami realiti. Walaupun banyak perubahan yang positif, masih ada ruang untuk kita perbaiki dalam masyarakat dimana Islam boleh memberi solusi.

Pergerakan Islam hari ini merasai kekurangan tenaga muda. Tenaga muda yang di didik oleh institusi sendiri, akhirnya keluar dan tidak bersama arus pergerakan Islam. Kenapa? Jawapan paling mudah adalah ini adalah tapisan, mengeluarkan hati yang tidak ikhlas manakala yang ikhlas akan terus kekal. Namun, hari berganti tahun, kita melihat yang tertapis itu semakin banyak, yang menjayakan program adalah muka yang sama. Semakin lama ia lebih seperti 'kelab pencen' dari sebuah pergerakan Islam yang segar dan sihat. Seharusnya kita bertanya, mengkaji, dan jujur menyelesaikannnya.

Kita masih menggunakan istilah 'sistem ini haram', 'sistem ini hanyalah Islam tempelan' dalam masa yang sama tidak dijelaskan sistem yang bagaimana boleh diterima sebagai sistem Islam yang jelas, manifestasinya, praktikalitinya. Dalam masa yang sama anak-anak di dalam institusi kita mengambil kursus Islamic banking, keewangan Islam, syariah dan mereka akhirnya bekerja di bank-bank Islam, ada yang menjadi sukuk arranger, ada yang menjadi penasihat syariah di bank, ada yang menjadi pegawai di institusi yang mengeluarkan status patuh syariah terhadap produk kewangan. Mereka melihat dan mendengar paradoks ini, sistem jahiliyah pada masa program, namun di institusi kita ia merupakan subjek yang mereka pelajari dan tempat mereka mencari rezeki. Lama ke lamaan mereka menjauh, mereka tidak nampak persamaan pemikiran ini dengan realiti.

Mungkin banyak lagi faktor yang menjauhkan anak muda dari pergerakan, mungkin juga faktor perbezaan pemikiran dan realiti ini tidak dominan. Namun ini merupakan salah satu faktor (besar atau kecil terbuka kepada perdebatan). Ia harus dilihat dengan jujur, diperbaiki, agar pergerakan Islam kekal relevan dan mampu memberi manfaat kepada generasi yang akan datang. Ia adalah amanah untuk kita, dan kita akan dipersoalkan.

Jumaat, 14 Februari 2020

Pemikiran Asghar Ali Engineer Berkenaan Dengan Islam & Negara


Penulisan ini merupakan sambungan ulasan buku yang bertajuk Islam dan Cabaran Masa Kini yang ditulis oleh Asghar Ali Engineer hasil terjemahan Khadijah Abdullah terbitan Ikraq, Kuala Lumpur. Ikraq merupakan imprint kepada Gerakbudaya. Pada ulasan lalu, telah diulas bab pertama dari buku ini yang membincangkan asal usul Islam. Tulisan kali ini akan menjurus kepada tajuk kedua dalam buku ini iaitu perihal Islam dan negara. Ulasan ini lebih kepada perbincangan pemikiran Asghar dalam hal ini, ia bukan bertujuan untuk menerima atau menolak ideanya, membenarkan atau menyalahkan pemikirannya.

Asghar memulakan perbincangannya dengan mengetengahkan idea bahawa Al-Qur'an datang menerangkan konsep masyarakat bukan konsep negara. Dalam hal ini, ia membawakan ayat-ayat yang deskriptif bukan tetap, atau dalam kata lain ia boleh ditafsirkan semula sesuai mengikut zaman dan tempat. Kebolehan menafsir semula inilah bagi Asghar adalah sifat keabadian Al-Qur'an, yang membolehkannya kekal relevan sepanjang zaman. Membaca akan hal ini, saya teringat akan perbincangan oleh Reza Aslan berkenaan dengan perkembangan agama Kristian, apabila terbukti bahawa teori Galileo berkenaan dengan Heliocentric adalah benar, mengalahkan teori Geocentric yang diperjuangkan Kristian, ini tidak bermakna Kristian akan hilang dan ditinggalkan. Apa yang berlaku adalah penafsiran semula teks agama, dan hingga ke hari ini agama Kristian masih dianuti ramai orang. Reza Aslan berpendapat bahawa kemajuan dunia sains tidak akan menghapuskan agama, sebaliknya akan berlaku penafsiran-penafsiran baru yang akan menjadikan agama terus relevan.

Asghar berhujah lagi bahawa konsep pemerintahan khalifah tidak disebut dalam Al-Qur'an, oleh itu ia tidak boleh dianggap sebahagian dari kepercayaan Islam, konsep khalifah menurut Asghar dicipta oleh ulama-ulama terkemudian dalam kitab-kitab fiqh. Selepas meletakkan batu permulaan ini Asghar kemudian berpindah kepada bentuk negara yang dibentuk oleh Rasulullah. Kepelbagaian kabilah, kaum Yahudi, dan masyarakat Islam menjadi hujah Asghar bahawa masyarakat yang rencam ini mirip kepada masyarakat sekular moden. Beliau kemudian menafsirkan semula maksud "ummah' yang baginya merangkumi semua kaum, kabilah, dan agama, bukan eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja.

Piagam Madinah atau "sahifah" menurut Asghar adalah sesuatu yang bersifat revolusioner, iaitu sesuatu yang baru bagi kabilah Arab yang hidup dalam kelompok masing-masing, piagam ini membentuk satu rangka untuk kehidupan bersama antara kabilah, dan agama yang bermacam-macam. Pengiktirafan terhadap hak-hak kehidupan bersama ini bagi Asghar merupakan konsep politik agama dan sekular, bukan sebagai sebuah negara teologi. Dokumen ini juga membuktikan bahawa corak pemerintahan baginda adalah pemerintahan yang demokratik, berasaskan musyawarah dan persetujuan, bukan tekanan atau paksaan.

Apakah matlamat pemerintahan Islam?

Bagi Asghar, penekanan berlebihan kepada aspek Akhirat menurunkan darjat agama kepada semata-mata amalan dan mengabaikan isi agama yang revolusioner dalam soal dunia. Beliau menolak doktrin ketaatan kepada pemerintahan Islam yang zalim, yang baginya bertentangan dengan inti Al-Qur'an yang sentiasa menekankan pembentukan masyarakat yang adil dan saksama. Beliau melihat dalam hal ini, "jihad" hendaklah difahami sebagai instrumen yang hanya bertujuan menghapuskan kezaliman, bukan sebagai instrumen penaklukan, penjajahan, atau pengembangan agama melalui paksaan.

Beliau kemudian menyerang pemikiran Maulana Maududi daripada Jama'at Islami yang membawa konsep theo-democracy atau demokrasi ketuhanan. Beliau menolak negara teologi yang menafikan inisiatif manusia dalam penggubalan undang-undang. Bagi beliau penggubalan undang-undang perlu bersesuaian dengan masa dan tempat, seperti mana berbezanya fatwa Imam Abu Hanifa dalam suasana Iraq yang kompleks berbanding fuqaha' di Hijaz yang hidup dalam suasana yang lebih mudah. Kata beliau "jika syariat yang dikumpul oleh ahli fiqih di abad-abad permulaan Islam dianggap undang-undang yang tidak boleh diubah berkenaan negara Islam, maka saya bimbang ini akan bermakna kedaulatan ulama". Bagi beliau, para fuqaha moden sepatutnya meminda hukum-hakam yang diwarisi dari zaman silam. Penekanan terhadap unsur emperikal akan menjadikan undang-undang usang, manakala penekanan terhadap aspek transcendental akan menyebabkan undang-undang bersifat abstrak.

Definisi ma'ruf dan mungkar juga didefinisikan semula oleh Asghar, baginya ma'ruf adalah apa yang biasa diterima masyarakat, manakala munkar adalah apa yang ditolak masyarakat. Ia boleh berubah mengikut perubahan dan kemajuan masyarakat sesuai dengan keperluan masyarakat. Bagi Asghar konsep ini dibiarkan kabur oleh Al-Qur'an bagi membuka ruang penafsiran. Akhir sekali, dalam bab ini, beliau menafsirkan semula istilah "kafir", bagi Asghar kafir sebenar adalah golongan yang takbur, menekan, merampas, menindas, berbuat salah, tidak mendokong makruf dan menerima munkar. Bagi Asghar, Mukmin bukan hanya mereka yang ber-syahadah, tetapi mereka yang mendokong keadilan dan membela mereka yang lemah.

Sekali lagi, ini adalah inti pemikiran Asghar Ali Engineer berkenaan dengan konsep Islam dan kenegaraan, ia bukan penulisan persetujuan atau penolakan. Tentu sahaja kita dapati banyak penafsiran beliau tidak selari dengan pemikiran ulama arus perdana. Kita boleh tidak bersetuju dengan pendapat dan penafsiran beliau, dan jika kita tidak setuju, kita boleh bawakan hujah-hujah kita. Kerana pemikiran haruslah dilawan dengan fikiran balas. Jika punya nyawa dan masa, akan kita teliti pula pemikiran beliau dalam bab yang seterusnya iaitu Islam dan Falsafah.

Isnin, 3 Februari 2020

Goodreads & Falsafah Membaca



Saya akui antara benda yang memotivasikan saya untuk membaca adalah Goodreads.com, yang sekarang dimiliki oleh Amazon selepas Amazon membeli Goodreads pada tahun 2013. Goodreads membolehkan kita menanda buku yang kita telah beli, tanda berapa muka surat kita sudah baca, juga berikan review dan pandangan terhadap buku yang kita telah baca. Jika buku yang kita baca tiada dalam database Goodreads, kita boleh masukkan secara manual.

Selain itu Goodreads juga buat cabaran setiap tahun, berapa banyak buku kita nak baca setahun, dan kita boleh mencabar diri dengan tentukan sendiri berapa banyak buku yang kita hendak cabar diri kita untuk baca. Selepas habis kita boleh tanda sebagai 'sudah baca', Goodreads juga akan rekod bila kita mula membaca, bila tamat. Setiap hujung tahun Goodreads akan hantar report pembacaan kita pada tahun tersebut. Goodreads juga kini keluarkan statistik, kita boleh lihat jumlah bacaan kita seiring dengan masa, per buku, atau per muka surat.

Dahulu falsafah membaca saya memang idealis, kalau boleh nak baca semua buku yang ada diatas dunia sebelum mati. Namun lama kelamaan falsafah membaca saya menjadi realis, bukan sekadar bilangan buku, tapi apa yang kita dapat dari buku tersebut. Idea dan renungan-renungannya. Jadi saya akan catatkan nota-nota apa yang saya dapat. Sudah tentu proses ini melambatkan pembacaan, tetapi pembacaan menjadi lebih bermakna dan bermanfaat.

Kalau dahulu saya akan cabar diri membaca 20 buku setahun, sekarang mungkin dalam 10 buku sahaja. Kerana kita akhirnya akan mati juga sebelum sempat baca semua buku yang ada. Mungkin juga selepas ini saya akan cabar diri baca satu buku sahaja setahun untuk membaca karya-karya yang tebal dan berat seperti buku Robert Fisk The Great War for Civilization.

Sabtu, 1 Februari 2020

Usrah yang melalaikan: Jawapan buat Benz Ali



Jean-Paul Sartre menulis bahawa jika anda dikritik oleh kedua-dua belah pihak, diatas teks yang sama, ini adalah beberapa petanda bahawa anda berada di pihak yang betul. Apabila golongan Islamis membaca buku saya mereka mengatakan bahawa saya mungkin jatuh ke lembah kesesatan, malah terkejut dengan contoh dan buku komunis yang saya petik. Apabila golongan kiri membaca buku yang sama mereka mengatakan ia tepu dengan nilai ke-usrah-an. Saya tidaklah beranggapan saya sahaja yang benar, tetapi jika ujian Sartre ini diambil kira, saya kira sedikit sebanyak saya telah menjalaninya.

Tulisan ini bertujuan menjawab kritikan bahagian dua yang ditulis oleh komrad yang dikasihi, saudara Benz Ali dalam artikelnya di blog Republikbuku yang bertajuk 'Usrah yang melalaikan – Kritik pada buku Berfikir Tentang Pemikiran'. Artikel beliau banyak mengulangi hujah dari satu artikel yang ditulis 13 tahun lalu oleh Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah'. Oleh kerana saya telah menjawab artikel itu dengan artikel saya yang bertajuk 'Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah', dalam artikel ini saya tidak akan mengulanginya. Cukuplah pada pendapat saya artikel saya itu menjawabnya, saya juga kira buku saya itu bukan sekadar menyentuh usrah sahaja. Jika ada fikiran baru, saya akan meng-update artikel tersebut.

Sebaliknya tulisan ini akan cuba menjawab persoalan lain yang di bangkitkan oleh Benz Ali mengenai  buku saya, yang pada saya menarik untuk sama-sama kita renungkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Benz Ali kerana sudi membaca dan mengkritik tulisan saya, seperti yang saya tulis di portal Borneo Komrad dalam artikel bertajuk 'Harga Sebuah Kritikan', kritikan itu berharga kerana ia adalah sarana pengembangan ilmu. Semoga proses ini mengembangkan lagi ilmu saya, juga ilmu saudara Benz Ali. Walaupun beliau kecewa dengan seratus mukasurat pertama, tidak mengapalah kerana saya tidak dapat memuaskan hati semua orang, buku itu juga tidak ditulis untuk memuaskan hati sesiapa, ia adalah renungan jujur saya, saya berterima kasih kepada beliau kerana jujur dalam mengungkapkan perasaannya.

Berkenaan dengan pembacaan buku sastera, saya akui ini merupakan salah satu kelemahan saya. Saya lebih cenderung membaca buku-buku non-fiksyen jadi anda tidak akan temui petikan Dostoevskiy dalam buku tersebut. Saya juga tidak membaca Tolstoy tetapi ada memetik buah fikir Tolstoy yang saya ambil secondary reference dari tulisan Michael Lewis dalam bukunya 'The Big Short'. Saya ada membeli buku Dostoevskiy dan Tolstoy dalam bahasa Rusia dari kedai buku Dom Knigi di Nevskiy Prospekt, St. Peterburg, namun sehingga hari ini belum membacanya. Saya juga ada membeli karya lengkap Leon Trotsky bertajuk 'The History of the Russian Revolution' tetapi juga masih belum sempat dibaca buku tebal tersebut. Saya ada membaca buah fikir Trotsky dan Lenin dari secondary source tulisan Paul D'Amato dalam bukunya yang bertajuk 'The Meaning of Marxism', tetapi saya membacanya setelah buku saya diterbitkan, jadi ia tidak disentuh dalam buku itu. Mungkin kebelakangan ini baru mula membaca karya-karya sastera, seperti novel-novel Khaled Hosseini, juga bertatih membaca puisi-puisi Rumi.

Buku Dostoevsky dan Tolstoy yang dibeli di Dom Knigi (Rumah Buku) di Nevskiy Prospekt, St. Petersburg, Russia.

Suka saya sebutkan, buku yang saya tulis itu diterbitkan pada suatu masa tersebut, jadi ia terbatas kepada pengalaman dan buku yang saya baca pada masa tersebut. Ia mempunyai skop, tentulah ia tidak boleh atau tidak sempat memuatkan semua buku yang dicadangkan. Namun saya terbuka untuk membacanya, tiada masalah, walaupun Fathi Aris Omar menuduh 'manusia usrah' itu tidak rencam bacaannya, saya akan cuba mendapatkan buku-buku yang dicadangkan dan membacanya perlahan-lahan.

Bekenaan dengan mengajar konsep ketuhanan disebut sebagai doktrinisasi, jika kita membaca buku keibubapaan, buku Jamie Glowacki contohnya, kita akan dapati bahawa kanak-kanak di awal usia masih belum mampu berfikir secara logik dan rasional. Oleh sebab itu kadang kala, jika anda berpengalaman sebagai ibubapa, ada kehendak mereka yang sukar diterima logik akal, contohnya memasukkan taik cicak ke dalam mulut, atau ingin keluar berjalan di taman jam 11 malam. Anak-anak itu memang dilahirkan kosong. Maka apa sahaja yang diajar adalah doktrinisasi, jika diajar sains ia adalah doktrin sains, jika diajar agama ia adalah doktrin agama, jika diajar ateis ia adalah doktrin ateis, jika diajar makan nasi ia juga adalah satu doktrin, kenapa tidak makan roti? atau spegeti? Kenapa tidak beri mereka pilihan? Glowacki mengatakan adalah tugas ibubapa menentukan perkara-perkara  diawal usia kerana mereka tidak mampu untuk buat pilihan pun. Hendak suruh mereka cari sendiri? Membaca pun belum pandai, apatah lagi mengkaji kepelbagaian di internet. Jadi tidak timbul soal doktrin.

Agama apa yang perlu diajar? Konsep ketuhanan mana? Tentulah apa yang dirasakan benar oleh ibubapanya. Dalam Islam sendiri nabi mengatakan ibubapa yang akan mencorak anak tersebut untuk menjadi Nasrani, Yahudi, atau Muslim. Itu adalah sifat natural. Apabila mereka sudah besar, sudah boleh membaca, mencari, menganalisa, maka terpulanglah kepada mereka untuk menentukan sendiri apa yang dirasakan benar. Mereka boleh membaca buku-buku Benz Ali dan artikel Fathi Aris Omar, mereka juga boleh membaca buku Maududi dan Al-Banna jika mereka mahu, atau menonton siri Young Sheldon.

Berkenaan dengan Young Sheldon. Babak kegemaran saya adalah ketika Sheldon berdebat dengan Pastor Jeff, selepas itu beliau menubuhkan agamanya sendiri yang digelar "Mathology" dimana satu-satunya dosa dalam agama beliau adalah kebodohan. Saya gelak besar melihat babak tersebut. Saya kira saya punya sedikit persamaan dengan Sheldon, walaupun Sheldon ateis dan saya digelar sebagai 'manusia usrah', kami masing-masing meminati Carl Sagan. Ketika Halloween, semua orang memakai kostum masing-masing dan Sheldon memilih untuk memakai kostum seperti Carl Sagan. Buku pertama Sagan yang saya baca adalah 'Pale Blue Dot' ia sememangnya satu buku yang sangat mengesani pemikiran dan membuatkan pembaca jatuh cinta pada sains. Saya ada juga ada beberapa kali menulis ulasansaya berkenaan dengan karya Sagan. Jika saya bosan saya sering mendengar audio pendek Sagan berkenaan dengan bumi, hingga kawan-kawan menasihati saya move on dari pemikiran Sagan. Saya ada membeli bukunya yang kedua 'Cosmos', tapi belum sempat dibaca. Dalam buku tersebut juga saya ada menyentuh buah fikir Sagan, pasti Sheldon boleh relate dengan bahagian yang saya tulis tersebut. Jadi, adakah ini melayakkan saya untuk menjadi anak usrah Benz Ali?

Kemudian persoalan adakah kualiti umat Islam lebih baik atau orang putih?

Soalan ini pada saya berbentuk umum. Apa yang dimaksudkan dengan ‘kualiti’ dan ‘baik’? Adakah yang dimaksudkan dengan kualiti dan baik ini dari sudut ekonomi, penguasaan politik, kualiti hidup, atau apa? Secara ekonomi, ada yang cemerlang, ada yang baik, dan ada yang sangat mengecewakan. Dari segi penguasaan politik, ya, sangat lemah, itulah juga naratif yang cuba dibawa oleh kebanyakan gerakan Islam, dalam membina kesatuan semula yang kini dipisah dengan semangat negara bangsa. Namun jika dikatakan secara umum bahawa keadaan umat hari ini lemah, ya, saya sangat bersetuju, kita dalam banyak aspek tertinggal dibelakang. Namun adakah kelemahan ini disebabkan usrah? Atau kepercayaan pada Tuhan dan Nabi? atau pergi haji? Bagi saya tidak. Malah bagi saya usrah, kuliah buku (Kubu), atau apa sahaja bentuk-bentuk diskusi bukan masalahnya, ia bukan sarang pembodohan tetapi medan perjumpaan dan diskusi. Masalah yang lebih besar mungkin penagihan dadah, pendidikan yang tidak menyeluruh kepada semua segmen masyarakat, kemiskinan, kelemahan pentadbiran, juga kelemahan kesatuan antarabangsa.

Juga jangan kita lupa, 'kualiti' orang putih itu banyak merupakan hasil yang dijarah dari negara-negara kolonial. Kemajuan ekonomi itu dicapai dengan pelbagai jenis penindasan, baik penindasan pekerja domestik, juga penguasaan secara paksaan dari tanah-tanah jajahan, koloni, juga perhambaan. Setelah mereka maju mereka mendabik dada mereka mempunyai kemajuan dari segi ekonomi dan ketinggian moral, namun mereka tidak perkatakan berkenaan dengan negara-negara yang mereka jarah. 

Akhir sekali, sebagai penutup kepada siri jawapan kali ini, jika Benz Ali kecewa dengan buku saya itu, saya juga sedikit kecewa dengan ulasan beliau apabila beliau menyebut “ini yang aku harapkan dan nak dengar..” kerana seolah-olah dalam pembacaannya, dia sudah membentuk apa yang dia ingin percaya. Ini juga yang dikritik oleh Tolstoy, yang mana rangkapnya ada saya petik dalam buku saya tersebut dari buku Michael Lewis. Kata Tolstoy:

“The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intelligent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him.”

Tetapi ia bukanlah kekecewaan yang besar, kritikan-kritikan tajam beliau lebih besar harganya dari kekecewaan kecil ini, pemikiran merupakan satu perjalanan bagi saya, tentulah kritikan-kritikan ini akan menjadi sebahagian dari proses pembentukan fikir saya, untuk itu saya ucapkan terima kasih buat beliau yang sudi duduk membaca dan menulis perihal masalah-masalahnya.

Ahad, 26 Januari 2020

Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah


Beberapa kali saya mengulang baca artikel karangan Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah' yang diterbitkan kira-kira 13 tahun yang lalu. Artikel ini dikirim oleh sahabat saya Benz Ali, mungkin sebagai hujahnya dalam mengkritik buku saya yang baginya begitu tepu dengan nilai ke-usrah-an. Tidak mengapa pun untuk beranggapan begitu, kerana setiap orang punya pengalaman dan pandangan yang berbeza. Jadi atas hak yang sama, saya ingin juga kirimkan pandangan dan pengalaman saya. Untuk tidak kedengaran didactic, ingin saya tintakan bahawa tulisan ini boleh sahaja diterima, atau dibuang sekiranya dirasa tidak berguna.

Saya ingin mulakan penulisan panjang pada malam ini dengan sembang saya bersama Francis, setelah penat menarik pengunjung di Pesta Buku KL 2019 untuk mengenali karya tulisan kami, saya dan Francis duduk disebuah warung bersebelahan Sungai Gombak yang berwarna coklat seperti teh tarik. Kami bersembang berkenaan bahan bacaan, antaranya tulisan-tulisan Chomsky. Bagi Francis tulisan Chomsky membawa naratif gerakan kiri lama, begitu juga gerakan kiri di Malaysia yang bagi Francis masih mengambil model-model lama. Saya tidak begitu setuju dengan pandangan beliau pada ketika itu, tetapi hari ini saya merasakan getusan rasa Francis itu ada benarnya. Begitu juga dengan gerakan Islam, saya kira kadang kala terlalu rigid dengan model lama. Bukan saya tidak pernah merasakan perlunya ada pembaharuan pada sistem fikir gerakan Islam. Saya pernah juga mengutarakan bahawa perlu ada pemahaman baharu bagi kesesuaian dengan latar dan geografi kita, bukan sekadar mencedok secara literal teks-teks lama yang ditulis pemikir di era kolonial, contohnya idea-idea dalam Milestones tulisan Sayyid Qutb, kegagalan mengagaskan pemahaman baru bakal menyebabkan pergerakan Islam hilang relevannya. Namun tulisan saya itu lebih bermaksud menyuntik nafas baru, berbanding meninggalkannya.

Setelah membaca artikel Fathi Aris Omar itu, faham saya pengalaman usrah beliau adalah bersama JIM atau bentuk-bentuk JIM sebelum atau selepas berlaku perpecahan dalam gerakan Islam. Penglibatan beliau adalah di era 80-an dan 90-an. Saya pula mengikuti usrah di abad baru dan tidak bersama dengan JIM, jadi saya kira saya tidak layak untuk membela gerakan yang saya tidak duduk di zamannya. Saya generasi yang terkemudian, bersama selepas era 'pergaduhan' gerakan Islam telah sejuk dan abu-abunya telah gugur. Jadi tulisan saya ini hanya mewakili pengalaman saya. Usrah seperti juga diskusi-diskusi lain, berubah mengikut zamannya, mengikut wataknya, mengikut pengisiannya, juga mengikut masalah-masalah geografinya.

Isu kemendungan pertama yang dibangkitkan oleh Fathi Aris Omar adalah usrah sebagai proses indoktrinasi. Saya kira tidak ada gunanya kita menafikan perkara ini, ya usrah ada kalanya bersifat  indoktrinasi yang cuba menanam kefahaman Islam kedalam ahli-ahlinya. Tetapi saya tidak melihat ia dari sudut yang negatif, mana-mana gerakan perlukan satu kefahaman yang sama untuk bergerak sebagai satu gerakan yang effektif. Sebelum berlaku Revolusi Rusia misalnya, sudah ada gerakan-gerakan yang menanam kefahaman perjuangan hak masyarakat pekerja, apabila adanya satu kefahaman yang sama barulah ia boleh membuahkan revolusi. Begitu juga kita lihat dalam pembentukan patriotisme dan kenegaraan, kita dihantar ke kursus Bina Negara, difahamkan dengan rukun negara, perlembagaannya, lagunya, jatanya, sistem pemerintahannya, agar terbinanya negara yang effektif. Jadi jika semua gerakan di dunia, baik yang kecil mahupun besar menjalankan proses indoktrinasi agar mereka dapat bergerak dengan effektif, jadi apakah salah bagi gerakan Islam menggunakan cara yang sama, yang natural, dalam membina gerakan mereka?

Proses ini pada sudut pandang saya, tidak lebih dari keperluan management untuk menghasilkan gerakan yang effektif. Fathi Aris Omar kemudian mengatakan proses ini tidak jauh dengan Hitlerisme, walaupun sebelum membuat persamaan ini beliau meletakkan sedikit disclaimer untuk berada di lembah yang kelihatan selamat, seolah-olah beliau hendak mengatakan bahawa "saya tidak katakan sama, tetapi kelihatan sama". Ia membuatkan saya teringat diskusi saya bersama naqib lama saya, Dr. Khairul, di Old Town White Coffee Bangi hujung tahun lalu, setelah lama terpisah, kami bersembang panjang, hingga masuk kepada teori Darwin di dalam bukunya The Origin of Species serta penyambung kalam beliau Richard Dawkins dalam The God Delusion. Jika benar usrah itu sama atau "kelihatan sama" dengan Hitlerisme mungkin kami yang berbincang idea diluar kerangka Islam ini sudah mati ditembak firing squad atau dicampak ke gulag atau mati dalam gas chamber di ghetto yang disediakan oleh pendokong usrah. Ya, ia kedengaran kelakar. 

Artikel Fathi Aris Omar ini juga terdapat banyak paradoks dalam masa dia mengkritik paradoks gerakan Islam. Sebagai contoh, beliau menulis bahawa gerakan Islam sebagai "dunia hingusan dan syok sendiri", kemudian pada perenggan yang terkemudian, beliau memuji rekod beliau sendiri sepanjang era usrah sebagai "bersih, kalaupun enggan disebut cemerlang". Kelihatan dia pula yang jatuh ke dalam lembah paradoks dan syok sendiri. Pada satu perenggan dia menulis bahawa dia tidak membayangkan bahawa usrah itu sama dengan kesesatan, namun pada ketika lain dia menulis bahawa terdapat "orang-orang tua yang telah jauh disesatkan oleh usrah". Saya bertambah bingung, seolah-olah penulis tidak dapat membuat pendirian yang tetap, mindanya sendiri keliru, jika sesat bukankah lebih baik disebut dengan explicit tanpa perlu ada disclaimer atau hujahan berpusing-pusing, hujah penuh paradoks yang tidak membantu.

Pada pandangan saya, penulis ketika cuba untuk menyuruh manusia berfikir, lama kelamaan beliau menjadi seperti apa yang dia kritik sendiri. Contohnya ketika beliau menulis perihal ingin mengharamkan buku-buku Hassan Al-Banna dan Yusuf Qaradawi kepada anak-anak usrahnya. Mungkin beliau boleh mengambil alih tugas Kementerian Dalam Negeri yang suka mengharamkan buku. Tidakkah itu juga satu paradoks? Mengajak manusia menggunakan kekuatan akal tetapi ingin mengharamkan buku? Bukankah lebih baik Fathi Aris Omar menyuruh anak-anak usrahnya membaca sahaja, kemudian menggunakan kemampuan akal mereka dalam menapis pemikiran Al-Banna dan Qardhawi.

Saya berpandangan spektrum rasional dan dogmatik ini ada pada semua gerakan. Dalam gerakan liberal juga ada sifat dogmatik seperti mahu mengharamkan buku dan pendidikan non-liberal. Kita melihat sejarah negara-negara berfahaman ateis juga banyak bersifat dogmatik, menghalang pemikiran keagamaan menggunakan kekerasan, paksaan, dan indoktrinasi, bukan reason. Kita boleh sahaja memilih beberapa ciri dogmatik dan megabaikan sisi rasional dalam membuat generalisasi untuk memburukkan gerakan yang tidak seangkatan dengan kita. Saya merasakan proses generalisasi terhadap golongan yang mengikuti usrah ini, prejudis yang dilabelkan pada mereka tidak banyak bezanya dengan kelakuan sarjana Barat dalam mengeneralisasikan peradaban Timur sebagai mistik, exotic dan terkebelakang seperti yang ditulis oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism. Fathi Aris Omar menafikan adanya kerencaman dalam golongan yang mengikuti usrah, pada beliau mereka semua "mendung", "syok sendiri", "sesat", "zombie", "kaku", "tohor", "manusia paling bodoh", "tidak membaca buku", "tidak berbakat" dan pelbagai lagi gelaran buruk yang beliau cuba tampalkan pada manusia yang mengikuti usrah. Walhal realitinya mereka rencam sekali pemikirannya, kecenderungannya, cuma mereka memilih kesatuan kefahaman yang sama untuk bergerak dengan effektif.

Banyak lagi pengalaman-pengalaman saya bersama dengan program usrah yang begitu kontradik dengan pengalaman dan kefahaman Fathi Aris Omar. Contohnya beliau mengatakan bahawa usrah ini hanya "menarik mereka kembali kepada Al-Qur'an dan ibadah khusus", sedangkan kami selepas usrah sama-sama turun membersihkan rumah manusia dari lumpur ketika banjir, membangun sekolah-sekolah, membuka institusi pendidikan bagi golongan terpinggir seperti Bajau Laut, dan seribu satu lagi amalan kemasyarakatan lain yang menjangkaui lebih dari "ibadah khusus". Kami didoktrinkan bahawa Islam itu syumul, ibadah bukan sekadar solat, membuka rumah anak yatim juga satu ibadah.

Saya juga tergelak kecil ketika beliau menulis bahawa "usrah tidak lebih daripada tempat pembuangan manusia tidak berbakat". Saya sendiri belajar bercakap kepada awam melalui usrah. Pada mulanya, setiap kali bercakap kepada awam, muka saya akan merah, dan saya akan terus gugup dan lupa apa yang saya hendak perkatakan. Dari usrah saya belajar mengatasi ketakutan pengucapan awam saya, sedikit demi sedikit saya akhirnya berani bercakap dihadapan awam. Begitu juga ramai rakan-rakan saya yang lain, mereka mengasah bakat dalam usrah, mereka yang berbakat dalam bidang volunteerism, menjadi fasilitator dan urusetia program, apabila ke universiti mereka diangkat sebagai kepimpinan pelajar. Bakat mereka itu kebanyakannya lahir dari bulatan-bulatan usrah yang menolak mereka keluar dari zon selesa. Banyak lagi contoh dan pengalaman yang boleh diberikan, namun ia akan memberatkan penulisan ini. Tidak berbakat? Cukuplah sekadar kita sambung ketawa atas tuduhan liar ini.

Mengutuk mendung dan gelap itu mudah, tapi menyalakan lilin dan membuka payung itu lebih sukar. Jika ideologi beliau dirasakan lebih elok dan mulia, atau dalam perkataan beliau sendiri "bermutu dan tahan lama", seharusnya dia membangunkan gerakan baru untuk menyaingi gerakan yang berfikiran jumud itu, bukan menjadi "by-stander". Sebagaimana artikel dilawan dengan artikel, buku dilawan dengan buku, amal perlu dilawan dengan amal. Maka sekiranya dia berasa lebih benar, ayuh bangunkan gerakan, terjun ke medan amal membaiki masyarakat, jika gerakan Islam galak membina pendidikan dan sekolah seharusnya dia mendirikan sekolahnya, jika gerakan Islam menghantar bantuan bencana ke luar negara seharusnya gerakan beliau yang lebih mulia itu menghantar lebih banyak bantuan. Jika gerakan Islam masuk ke kampung memberi pendidikan kepada masyarakat Bajau Laut, seharusnya gerakan yang lebih benar, mulia, dan "membaca banyak buku" telah menyelesaikan masalah golongan yang terpinggir dari arus pendidikan. Apa gunanya ber-romantisme dengan ideologi dan buku-buku agung seperti Jean Paul Sartre itu tanpa ada amalan yang real dan material? Ayuh beramal, bukan sekadar mengutuk "mendung" tetapi hanya menyendiri menjadi "by-stander".

Saya sebenarnya tidak pun ingin menulis tulisan panjang ini, kerana sejak dahulu lagi prejudis terhadap mereka yang mengikuti usrah ini telah wujud, mereka dianggap kolot dan jumud, tetapi entah kenapa suasana segar malam di Bagan Datuk hari ini memberi saya semangat untuk menulis. Saya merasakan tulisan Fathi Aris Omar ini bukanlah satu gambaran keseluruhan yang jujur. Ya, gerakan Islam ada masalah-masalahnya, saya sendiri mengkritiknya dalam buku saya, tetapi bagi saya ia masih mempunyai relevansi pada hari ini, ia juga mempunyai masa depan. Bak kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam kitabnya Al-Muntalaq (Langkah Bermula), "ianya gerhana bukan tenggelamnya matahari". Saya merasakan artikel Fathi Aris Omar itu lebih kepada alasan beliau untuk meninggalkan gerakan Islam yang haraki. Keputusan itu adalah haknya, dan kita hormati (kita tidak akan hantar firing squad ala-ala Hitlerisme). Bagi beliau mungkin usrah itu sudah terlalu mendung dan perlu ditinggalkan, tetapi bagi saya dan generasi saya yang masih bersama harakah Islam, bagi kami mendungnya usrah itu akan membawakan hujan yang membasahi dan menghidupkan hati, dan selepas itu, mendung itu akan diganti dengan awan-awan baharu yang cerah dan ceria.

Khamis, 15 Ogos 2019

Kisah dari Bairro da Boavista


During the 1975 Portuguese Revolution, the families living in the shantytown of Bairro da Boavista in the outskirts of Lisbon took over a housing estate that had stood empty for three years...An army company...was deployed to force the families back to the corrugated lean-tos of the shantytown. The officer in charge...went straight to what he thought was the weakest link, an old widow who had just moved with her six sons to a two-bedroom flat with electricity. She replied: "You better shoot me right here. All my life I have had the earth for a floor. At least I will die on a proper floor." The officer stood there for a moment. Outside, the men, women, children who had assembled to resist any eviction were speaking to the soldiers: "This could be your shantytown! Remember that you, too, are the people! Turn the guns on speculators and not your brothers and sisters!" The officer understood, and, taking the company with him, left the estate.
Democracy, Reform, and Revolution. From 'The Meaning of Marxism' by Paul D'Amato. Haymarket Books, 2014. Pg. 128.

Seronok membaca literature kiri yang menekankan punca kuasa adalah dari rakyat, orang kebanyakan, masyarakat biasa. Tak kira apa pun struktur pemerintahan, ia akan cair dan lebur apabila punca kuasa berhenti memberi kepercayaan. Ia memberi kita kekuatan dan semangat bila kita melihat suasana politik hari ini dan berasa hopeless.



Jika baca thesis Bruce Bueno de Mesquita dalam Dictators Handbook, yang merupakan buku yang sangat realis dalam membincangkan wacana politik Machiavellian, untuk dapat kuasa dan kekal berkuasa perlu mempunyai loyalti dari tentera dan polis, tanpa mereka mana-mana kuasa akan gagal. Begitulah cerita jatuhnya Mubarak di Mesir, idea popular adalah kuasa rakyat, tetapi tentera Mesir membiarkan rakyat menjatuhkan Mubarak, dan mereka mengambil semula kuasa apabila kedudukan mereka tercabar, dan kali ini tentera tidak bersama, maka kembalilah mereka ke era diktator episod kedua.



Tetapi seperti Revolusi Portugis, tentera juga adalah sebahagian dari rakyat, dan mereka adalah penentu. Sebab itu Howard Zinn menulis berkenaan dengan "Revolts of the guards" dalam karya monumental beliau berkenaan dengan sejarah rakyat Amerika. Jika institusi yang menguatkuasakan pemerintahan seperti polis dan tentera rebel dan bersama rakyat, maka kuasa akan bertukar tangan.

Parti politik, negara, kuasa, undang-undang, semuanya adalah "fictional reality" menurut Yuval Hariri, ia tidak wujud secara fizikal, ia akan hilang apabila manusia berhenti mempercayainya. Ia tidak wujud seperti pisang, yang mana akan kekal wujud kalaupun kita memilih untuk percaya pisang tidak wujud.


Selasa, 30 Julai 2019

Analisa Paul D'Amato: Definisi materialisme dari perspektif Marxis

Gambar hiasan: Paris Commune 1871, dimana pekerja memerintah selama 2 bulan selepas Perancis kalah kepada tentera Prussia.

Ramai orang berfahaman bahawa materialisme membawa maksud kecintaan pada dunia, sifat yang suka pada harta dan kebendaan. Namun sebenarnya definisi materialisme bukanlah terhenti secetek itu, ia mempunyai maksud yang lebih luas.

Membaca analisa Paul D'Amato, beliau menghuraikan maksud materialisme dari perspektif marxis. Iaitu untuk terjadinya perubahan sosial ia memerlukan kondisi material, bukan hanya teori abstrak atau penyebaran idea. Marx menulis "The philosophers have only interpreted the world, in various ways. The point, however, is to change it". Ia bukanlah seruan meninggalkan teori atau kerangka pemikiran, tetapi pergi lebih jauh dengan amal perbuatan.

Apa yang dimaksudkan dengan kondisi material diperlukan untuk perubahan?

Ambil contoh, mahasiswa yang keluar dari institusi pengajian tinggi saban tahun yang tidak dapat pekerjaan dan menganggur. Menteri mengatakan mereka tidak mempunyai sifat keusahawan, malas, tidak mampu berdikari. Ia merupakan falasi yang kononnya jika mahasiswa berubah menjadi rajin dan berdikari dia tiba-tiba akan ditawarkan kerja, perubahan berlaku kononnya dengan perubahan fikiran.

Materialisme menolak hujahan cetek ini, untuk perubahan berlaku ia memerlukan kondisi material, contohnya pembukaan kilang, penubuhan syarikat, membawa masuk industri dan pelaburan, material diperlukan untuk perubahan bukan sekadar mainan minda.

Contoh lain yang lebih mudah adalah seseorang yang terdampar di pulau yang tidak mempunyai makanan. Dia tidak mampu hidup hanya dengan mencipta teori kenyang di dalam minda, tetapi dia memerlukan makanan yang bersifat material seperti beras, karipap, atau roti nan cheese.

Oleh sebab itu, salah satu battle cry bagi Revolusi Oktober Rusia 1917 adalah roti! (1) Kerana tanpa material asas seperti makanan, slogan-slogan seperti hak sama rata hanya membawa erti setiap rakyat akan secara sama rata mati kebuluran.

Rujukan:

1. "Keamanan, tanah, dan roti!" di dalam buku The Meaning of Marxism yang ditulis oleh Paul D'Amato di bawah tajuk Russia: The God That Failed? mukasurat 165 terbitan Haymarket Books, 2014.

Khamis, 20 Jun 2019

Pemuda & Literatura Ekonomis Kiri



Ada satu perbezaan besar apabila membaca literatura dari jalur ekonomis Marxis berbanding ahli ekonomi biasa yang kebanyakannya memeluk ideologi pasaran terbuka dan neo-liberal. Perbezaan besar inilah yang saya kira membawa ramai anak muda lebih gemar membaca literatura berjalur kiri.

Jika kita membaca buku ekonomi biasa, kita akan berhadapan dengan pelbagai teori, statistik, dan bahasa matematika yang bukan merupakan bahasa natural spesis manusia homo sapien. Ini menjadikan pembacaan sangat berat, terlalu akademik, namun ia gagal apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Teori ekonomi yang diajar di bangku universiti meminjam persamaan matematika dari algebra untuk kelihatan saintifik, tetapi gagal apabila diterjemah kedalam dunia praktik.

Berbeza dengan literatura ekonomi jalur kiri, kebanyakannya ditulis dalam bahasa manusia, contoh dan permisalannya adalah perkara harian, ia mudah di telan dan dicerna minda. Inilah yang membezakan dua teori ekonomi ini.

Ramai yang bersangka bahawa teori ekonomi kiri telah mati, dengan jatuhnya blok Kesatuan Soviet Russia. Intelektual seperti Fukuyama menandakan ia sebagai era tamatnya sejarah, sejarah telah tamat ujar Fukuyama, dan sistem kapitalis pasaran terbuka liberal telah menang dan merupakan produk akhir dalam evolusi ideologi manusia.

Namun krisis demi krisis, menimbulkan semula literatura kiri, Marx menghantui mereka, professor yang duduk pada kerusi paling tinggi dalam fakulti ekonomi tidak dapat menerangkan bagaimana persamaan matematik dan algebra mereka tidak dapat membendung kejatuhan ekonomi. Maka duit titik peluh rakyat dikeluarkan bagi mengeluarkan bank dan syarikat korporat dari lubang bankrupsi, dan mereka pun berjudi kembali menggunakan wang pendeposit dan mengumpulkan bonus akhir tahun hasil untung atas angin kutipan bunga.

Mungkin benar, Marx bukanlah seorang ahli ekonomi, dia merupakan ahli falsafah. Teori Marx tidak dapat menyelesaikan masalah sistem ekonomi dunia. Tetapi mengapa bangsa muda masih menggilai beliau, masih tekun meniti perenggan karangan beliau, masih segar membaca komentari ekonomi berjalur kiri?

Pada hemat saya kerana bahasanya yang mudah difahami bangsa homo sapien. Contoh yang digunakan masuk akal, juga semangat juang yang diselitkan membakar semangat muda kebebasan, keadilan, dan kehidupan yang lebih bermakna. Ekonomi tidak dipisahkan dengan etika, alam sekitar, dan perasaan kemanusiaan.

Pada hemat saya juga, walaupun banyak idea Marx dalam menyelesaikan masalah ekonomi tidak praktikal malah mungkin telah dicuba tetapi tidak berjaya, kaum muda masih membacanya kerana tiada suara lain yang berani mengkritik ketidakadilan ekonomi dan sosial hari ini. Jadi, melalui literatura kiri, sisi-sisi busuk dan hodoh ekonomi penindasan dapat dikenal pasti, masalah sistemik dapat difahami, dan penyelesaian kreatif baru dapat difikirkan.

Dalam pembacaan dan kajian saya, antara soalan yang selalu bermain diruang fikir adalah, jika pendapatan manusia dijamin, apakah mereka akan menjadi malas, apakah motivasi mereka untuk bekerja dan berusaha? Soalan saya ini membawa saya bertemu dengan buku tulisan D'Amato yang merupakan editor kepada majalah International Socialist Review (ISR), setelah hampir 22 tahun menyumbang naratif alternatif kepada umat manusia, ISR melabuhkan tirai penerbitannya pada tahun ini.

Pada mulanya saya agak skeptik dengan buku terbitan Haymarket Books karangan D'Amato, kerana tulisannnya yang kecil dan perenggannya yang panjang, pastinya melenguhkan mata dan membosankan jiwa. Ternyata saya silap, membaca pendahuluannya sahaja membuatkan mata semakin membulat, dan tarikan semakin kuat. Buku yang bertajuk The Meaning of Marxism ini merupakan sebahagian dari diet pembacaan saya pada tahun ini yang berfokuskan ekonomi.

Selepas berehat sebentar dari ekonomi dan menekuni memoir Dr. Ang Swee Chai berkenaan perjuangan bangsa Palestina yang begitu kental, kini minda kembali segar untuk pengembaraan intelektual seterusnya.



Sabtu, 16 Mac 2019

Luka lama ummat belum sembuh kini terbit luka baru




Ummat ini sejarahnya panjang, kita hari ini merupakan sambungan rantaian sejarah yang tidak terputus. Tentunya kita masih menggenggam kalam guru-guru kita, baik kini mahupun silam, bertapa ummat ini luka lamanya masih lagi berdarah. Hari ini kita menghadapi luka baru. Dunia menjadi saksi bertapa takutnya mereka terhadap sujud-sujud kita, bertapa iman dan ruh kita menggentarkan mereka, peluru-peluru mereka tidak dapat memadamkan nyawa ummat ini.

Ketika langit mendung, awan menangis, dan seluruh alam berkabung, masih wujud suara pelacur politik yang cuba menangguk di air yang keruh. Dalam kesakitan, kita diludah, kotornya kata yang keluar dari mulut mereka, cuba membeli undi, bermain politik hina, hingga khinzir pun tidak begitu rupa nistanya. Biar ditarik, itulah niatnya, luka kan sembuh, sakit kan hilang, namun parutnya kan kekal. Kekal menjadi nasihat buat ummat.

Namun dibaris kita ada yang masih keliru, pesona barat mengasyikkan minda, slogan-slogan kebebasan acuan barat menjaluri darah mereka. Mujur dikala kecamukan polarisasi berasaskan parti, ada yang tsabat menuntun ummat, menunjuk jalan, biarpun kabur mulanya tapi akhirnya selamat. Mereka yang keliru luntur jati diri hingga dijual murah harga diri, lantas memeluk parti.

Tapi ummat ini daya tahannya kuat. Dikala imperialis memperkosa benua Amerika, Aztec dan Inca lenyap dari semesta, tamadunnya terkubur, malah anak-anak mereka lupa bahasa ibunda mereka, akhirnya lidah mereka menjadi lidah Hispania, budaya mereka hilang entah ke mana. Perkara ini sangat berbeza ketika Islam membuka kota, sang Tajik masih dengan bahasanya, anak Jawa fasih dengan lidah ibundanya, bangsa Turki masih dengan bahasa dan Doner Kebab mereka, yang dibebaskan hanya jiwa, dari perhambaan manusia kepada yang Esa.

Golongan keliru mudahnya lupa, barat kononnya dengan keagungan falsafahnya, tetapi pembunuhan Yahudi Eropah adalah ditangan mereka, namun yang perlu membayar harga adalah bangsa Palestina, mereka diusir dari rumah nenek moyang mereka, agar pendatang dari New York dan Boston dapat mendiaminya. Begitu tinggikah falsafah dan nilainya?

Bahkan tidak, ummat ini tidak akan lupa. Kita tidak lupa dengan barat yang kononnya menjunjung hak-hak manusia, tetapi membiarkan saudara kita dibunuh dengan hina, dari Sabra-Shatila hingga ke Srebrenica. Kononnya menjunjung demokrasi, tetapi berkomplot bersama menjatuhkan pimpinan yang diundi dengan sah di Mesir, Gaza, dan Algeria. Ini bukan sejarah 1000 tahun yang lampau, tetapi di abad dan ketika ini, lukanya masih merah, air matanya masih basah.

Maka ketika ummat ini bersatu, mengalir menjadi kesatuan yang kuat dan menggugat, biarkanlah golongan keliru dengan suara sumbang mereka. Biarlah mereka sibuk berdansa bersama-sama penjunjung sekularisma. Ummat ini tidak akan lupa, tidak akan lenyap, bahkan tidak.

Sabtu, 9 Februari 2019

Perdebatan politik yang sia-sia



Baru-baru ini seorang sahabat yang sangat rapat dengan saya berkongsi bahawa perdebatan politik adalah perkara yang sia-sia, ia tidak akan mengubah apa-apa, setiap orang akan terus bersama pendapat yang dia percayai, dan yang paling jelas, setiap orang akan membenci antara satu sama lain. Ada juga yang menambah bahawa mereka yang berdebat berkenaan dengan politik selalunya tidaklah berfikiran munasabah tetapi hanya mempertahankan ego masing-masing.

Di atas permukaan, saya kira secara umum pandangan ini ada benarnya. Namun jika kita cuba melihat dan memahami dengan dalam, walaupun ia benar, ia bukanlah kebenaran yang seluruhnya, its true but not the whole truth. Ia adalah salah satu conventional wisdom, dan jika kita membaca buku Freakonomics tulisan Dubner& Levitt, kebanyakan conventional wisdom tidaklah begitu tepat jika kita mengkaji dengan lebih mendalam, mendasar, dan melihat kepada argumennya yang fundamental. Ada satu quote yang menarik.

“The worst illiterate is the political illiterate, he doesn’t hear, doesn’t speak, nor participates in the political events. He doesn’t know the cost of life, the price of the bean, of the fish, of the flour, of the rent, of the shoes and of the medicine, all depends on political decisions. The political illiterate is so stupid that he is proud and swells his chest saying that he hates politics. The imbecile doesn’t know that, from his political ignorance is born the prostitute, the abandoned child, and the worst thieves of all, the bad politician, corrupted and flunky of the national and multinational companies.”

Quote ini sering dinisbahkan kepada karyawan German, Bertolt Brecht. Namun pemilik quote ini merupakan sesuatu yang disputed, ada yang menyatakan ia bukanlah dari Brecht. Tapi yang lebih penting dalam hal ini adalah mesej bukan messenger. Dalam kata lain, kita boleh berpura-pura untuk tidak ambil tahu hal-hal politik, tetapi akhirnya kehidupan kita akan ditentukan oleh keputusan-keputusan ahli politik.

Sebab itu hatta dalam Islam, politik tidak dipisahkan dalam hidup, malah Islam merangkumi semua aspek dari individu kepada negara, dari keluarga kepada masyarakat, sosial sehingga ke perundangan, tidak dipisah-pisahkan seperti ajaran secular. Namun politik yang dimaksudkan bukanlah politik kepartian yang sempit.

Antara artis kegemaran saya adalah Gavin Aung Than, yang berkarya menggunakan nama pena Zen Pencils. Beliau sering melukis berkenaan dengan individu-individu yang memberi motivasi. Dalam satu karya strip komik beliau, beliau melukis berkenaan dengan bagaimana Pablo Picasso menghasilkan masterpiece beliau ‘The Guernica’. Picasso bertanya “Apakah sebenarnya seorang artis itu?” Adakah dia hanya seorang yang mahir melihat jika dia pelukis, atau seorang yang mahir mendengar jika dia pemuzik. Tidak, artis juga adalah “political being” yang patut memberi respon, melawan dengan karyanya. Guernica adalah karya Picasso sebagai ekspresi beliau menentang pengeboman bandar Guernica oleh tentera Nazi German yang mengorbankan 1600 nyawa.

Jadi, ya, politik itu tidak kurang pentingnya dalam kehidupan. Tapi perlukah kita berdebat?

Saya suka jawapan Professor Bernard Lewis dalam “The MESA debate: The Scholars, the Media, and the Middle East” yang diadakan pada 22 November 1986, yang mana antara tokoh lain yang berkongsi pentas pada acara debat itu adalah Prof. Edward Said. Beliau menyebut “Nothing we say or do will have the slightest effect, we can change nothing, we can’t even change each other opinion”. Beliau menambah “what we can and should discuss is ourselves, our own role and duty, our duty is to communicate what we understand to others”.

Mungkin betul, sesetengah orang berdebat kerana mereka egois, tetapi ada juga kemungkinan bahawa ada yang ingin mencari kepastian, mereka mahu menguji idea mereka, jadi diletakkan idea itu ditengah masyarakat untuk dinilai hujah lawan dan kawan. Melalui proses kritikan, sesuatu idea, fakta, atau perspektif itu boleh dinilai. Sudah tentu nilaian manusia berbeza-beza, setiap manusia mempunyai latar pendidikan berbeza, ada yang belajar untuk mendapatkan sijil, ada yang membeli sijil. Setelah kita mendapat hujahan balas, terpulang kepada kita untuk memilih apa yang kita mahu pegang mengikut faham masing-masing, dan paling kurang kita faham rasional orang yang mempunyai pandangan berbeza. Atau mungkin mereka memang egois.