Isnin, 5 Oktober 2015

Mendidik Anak Cara Rasulullah



Penulis: Wendi Zarman
Penerbit: Green Dome Publications

Cuba teka, apa perasaan ketika mahu menjadi ayah buat kali pertama? Ia tidak dapat diceritakan, seperti mana kita tidak dapat menceritakan kesakitan melahirkan anak. Kerana perasaan dan rasa bukan merupakan kuantiti fizikal, ia hanya diketahui oleh orang yang merasai dan mengalaminya. Namun, secara ringkas ia dapat diceritakan, walaupun ia tidak akan sama dengan apa yang dirasai oleh insan yang mengalaminya sendiri.

Secara jujur saya berasa sangat takut, risau dari pelbagai sudut. Sudut keewangan, sudut kemampuan dan skil mendidik anak dan bermacam lagi. Hakikatnya, ia merupakan kitaran kehidupan, yang harus ditempuhi baik bersedia atau tidak. Sebaiknya kita cuba bersedia, walaupun cuba untuk bersedia dan merasa sedia itu dua perkara yang berbeza.

Secara jujur buku karya Wendi Zarman ini, saya kira isinya biasa-biasa sahaja. Sekadar 171 mukasurat tidak banyak yang dapat diketengahkan. Ia tidak datang dengan idea baru baik dari segi pendidikan mahupun cara pendidikan itu dilaksanakan. Tajuknya lebih hebat dari isinya.

Namun dalam setiap perkara pasti ada positif dan negatifnya. Karya ini walaupun tidak membawa gagasan pemikiran atau method pendidikan baru, sudut positifnya masih ada. Karya ini mengungkapkan isu dan teknik sedia ada sebagai satu refreshment kepada para ibu dan bapa.

Antara isu yang dibincangkan adalah sekolah swasta dan sekolah kerajaan, silibus agama dalam pendidikan formal persekolahan, juga cara kita memandang seorang anak. Antara yang ditekankan oleh penulis adalah cara memupuk dan mengembangkan adab anak. Adab ini termasuk adab dengan Allah, Rasul, manusia lain, alam, dan ilmu. Juga aspek disiplin anak, anak-anak seharusnya disiapkan disiplin nya merangkumi ibadah, makan, berbicara, penampilan, belajar dan lain-lain. Selain itu, buku ini turut menghuraikan nasihat Luqman Al-Hakim seperti yang difirman kan Allah didalam Al-Qur'an bersama ulasan ringkas untuk diaplikasikan pada anak-anak hari ini.

Sungguh, subjek pendidikan anak-anak ini perlu diperhatikan dengan serious oleh ibu bapa juga bakal ibu bapa. Ibu bapa dan bakal ibu bapa perlu menimba ilmu pendidikan, baik melalui pembacaan, menghadiri seminar, mendengar kuliah, agar anak mendapat hak pendidikan sebaiknya. Sekiranya kita perlu mengikuti kursus 6 tahun untuk layak menjadi doktor, adakah kita mampu menjadi ibu bapa sukses tanpa sebarang persediaan?

Jumaat, 25 September 2015

Setenang layunan lalang hijau



Sinar mentari dikala petang memancar laju
Menyirami lautan lalang saujana luas seluas kalbu
Lalang hijau pun bersinar bercahaya beribu
Sedang aku termenung melihat keagungan ciptaanmu

Perasaanku pun terbang melintasi bintang di udara
Ketenangan datang di kala masa tanpa di duga
Angin bertiup sayup dari utara 
Aku masih dalam lamunanku cuba meneka misteri buana

Sungguh nafas manusia begitu singkat
Semalam menangis merah disambut jururawat
Hari ini sudah memegang tangan isteri erat
Insan baru pula bakal terbit menyambung zuriat

Kadang perasaan kesah memikir belanja
Namun kuasa tuhan tiada yang mampu meneka
Bukankah rezekimu telah tertulis wahai manusia
Menunggu kamu berusaha memetiknya sahaja

Ketenangan datang dalam pelbagai cara
Ada kala ia menyapa dari senyuman yang tercinta
Di kebanyakan masa
Hadir ia dari keindahan semesta

Aku termenung kali ini cuba merungkai rahsia
Sinaran jingga petang membasahi mata
Apa rahsia disebalik keagungan penciptaan yang esa
Mampu menukar duka kepada ketenangan jiwa
Pipit berterbangan merentas angkasa
Sudah senja mereka pulang bersama
Awan merangkak perlahan melintasi puncak gunung
Aku masih lagi termenung

Alam memberi ketenangan yang menusuk jiwa
Lebih dalam dari apa yang mampu dipuaskan harta
Ya tuhan kuharap kekuatan dari engkau
Beriku ketenangan setenang layunan lalang hijau

From my sisters' lips



Penulis: Na'ima Robert
Penerbit: Bantam books
Tahun: 2005

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apa yang membuatkan seorang wanita Eropah yang mempunyai semuanya harta, kerjaya, rupa paras, kebebasan memilih untuk bersama Islam dan hidup dengan nya. Mereka bukan migran dari benua lain, mereka membesar dengan budaya barat, namun akhirnya memilih Islam.

Buku yang ditulis oleh muslimah kacukan Zulu-Scotland ini memberi gambaran kehidupan, emosi, perasaan disebalik wanita bertudung dan berpurdah di Eropah. Gambaran media yang menggambarkan wanita muslim sebagai minoriti yang tertindas, dinafikan hak, dan hidup dalam kawalan lelaki, Na'ima Robert memberi cabaran kepada pandangan ini dengan pendekatan berbeza. Disebalik gambaran buruk itu, muslimah terutamanya di Eropah hidup dalam keadaan yang baik, mereka mampu bergelak-ketawa, mempunyai masa untuk berhibur, mereka insan seperti insan lain.

Buku ini juga memberi gambaran yang lebih mendalam mengenai kebebasan wanita, yang mana selama ini 'kebebasan wanita' suaranya dipelopori golongan feminis mengikut definisi nafsu mereka sendiri. Sebaliknya kebebasan itu diertikan dengan skop yang lebih mendalam, lebih memberi kesan kepada jiwa. Islam membebaskan wanita dari kejahilan, mebebaskan wanita dari dijadikan objek seks untuk melariskan barang jualan. Wanita muslimah tidak perlu lagi mengejar kecantikan mustahil, kecantikan yang di'edit' menggunakan photoshop dan pembedahan plastik. Wanita muslimah bebas menjadi diri mereka sendiri.

Buku ini sesuai dikaji dan dibincangkan oleh golongan Feminis dan mereka yang mempunyai ideologi yang sama dengan pergerakan 'Sisters of Islam'. Satu buku yang sangat saya sarankan untuk dibaca, terutamanya buat para muslimah.