Rabu, 23 Mac 2016

Kritik terhadap model ekonomi : Kapitalisma dan Komunisma


Artikel ini merupakan kesimpulan awal terhadap pembacaan dan penelitian terhadap dua model ekonomi yang sentiasa bersaing dan diperkatakan, model ekonomi yang sering menjadi perbandingan, dan dijadikan alternatif jika salah satu dari nya gagal. Jika berkesempatan kita mungkin boleh mempertimbangkan untuk membincangkan model ekonomi yang ketiga iaitu model ekonomi Islam.

Saya mengambil kira ekonomi sebagai cabang 'muamalat' yang mana ia tidak ditentukan secara 'qat'ei' , membawa maksud ia boleh disusun mengikut kemampuan akal manusia. Islam walaubagaimanapun menetapkan asas kepada sistem ekonomi dimana prinsip keadilan ditegakkan, pemansuhan riba, dan juga membanteras penindasan. Ekonomi adalah sistem pengurusan harta, perdagangan, jual beli bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia. Kerana ekonomi adalah cabang muamalat, pembaharuan dalam sistem ekonomi tidak boleh dikatakan sebagai bidaah.

Model ekonomi yang pertama, iaitu model kapitalis lahir dari rasa tidak puas hati pedagang-pedagang yang merasakan mereka tidak bebas dalam menjalankan perniagaan. Sistem ini menolak monopoli golongan monarki, dan juga sistem feudalisme. Hasil kerja yang menjadi rujukan utama bagi sistem ini adalah tulisan ahli ekonomi dari Scotland, Adam Smith pada tahun 1776 dengan bukunya yang bertajuk The Wealth of Nation. Sistem kapitalis menggalakkan kebebasan pasaran (free market), mengiktiraf pemilikan harta (private property). Ini bererti pasaran harus dibuka secara sama rata tanpa ada monopoli oleh entiti monarki atau syarikat yang mewakili kerajaan. Dan manusia bebas memiliki harta.

Namun semua sistem tidak sempurna, hakikat ini bukan kerana masalah sistem itu sahaja, tetapi berbalik kepada manusia itu sendiri. Kerana akhirnya manusia yang akan menjalankan sistem ini, adalah manusia yang tidak sempurna, ia akan menyebabkan sistem mudah diseleweng. Sistem ekonomi Islam sekalipun jika dijalankan oleh manusia yang mempunyai kepentingan peribadi akan melahirkan satu sistem yang menindas.

Ekonomi kapitalis pada mulanya menolak penindasan golongan monarki yang memerah hasil bumi dari hasil kerja rakyat, namun akhirnya sistem kapitalis sendiri melahirkan penindasan. Akibat dari kebebasan pemilikan harta dan kurangnya kawalan terhadap pasaran, syarikat besar mula mengeksploitasi golongan pekerja, kapitalisme juga melahirkan konsumerisme. Penindasan terhadap golongan bekerja / kaum buruh dapat kita lihat di negara-negara ketiga (third world country), dimana pekerja bekerja dalam keadaan yang dhaif dengan gaji yang rendah.

Penindasan terhadap kaum buruh ini melahirkan idea yang lebih radikal dalam menuntut keadilan ekonomi bagi manusia. Kaum buruh disebut sebagai proletariat oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dalam tulisan mereka The Communist Manifesto pada tahun 1848. Core idea dalam pemikiran komunisme adalah perjuangan golongan proletariat menentang golongan elit kapitalisme yang disebut sebagai bourgeoisie, ia merupakan perjuangan kelas (class struggles). Idea yang sangat radikal ini bukan sahaja menolak pemilikan harta dan pasaran terbuka, tetapi juga menolak agama.

Walaupun komunisme membawa idea yang sangat radikal, ia diterima oleh sebahagian manusia kerana mereka tertindas dibawah sistem kapitalisme. Seperti kapitalisme yang lahir dari perjuangan menolak penindasan, iaitu penindasan golongan monarki dan sistem feudalisme, komunisme juga lahir dari perjuangan menolak penindasan, dalam kes ini penindasan golongan elit kapitalis atau disebut sebagai bourgeoisie. Antara negara yang berjaya mengimplimentasikan idea Marx dan Engels adalah Russia dan China. Russia berubah kepada sistem Komunisme hasil Revolusi Bolshevik dan menyingkirkan Tsar Nicholas II. China berubah dari sistem dinasti kepada Komunisme yang dipimpin oleh Mao Zedong.

Sistem ekonomi komunis mengharamkan pemilikan harta, semua perniagaan adalah kepunyaan kerajaan, dan rakyat diberi pemilikan harta sama rata. Soviet pada mulanya mengalami kepesatan kemajuan ekonomi, hingga berjaya mendahului Amerika dengan menghantar angkasawan pertama ke orbit bumi, iaitu Yuri Gagarin. Namun kerana sistem ini memusatkan kuasa politik kepada hanya seorang manusia, ia akhirnya bertukar kepada sistem diktator. Sistem komunis Soviet runtuh pada tahun 1990 dan Russia berubah mendekati sistem kapitalis kembali. China juga akhirnya gagal mencapai pertumbuhan ekonomi, setelah kematian Mao, China hanya menggunakan nama Komunis tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Ahli ekonomi moden seperti Daron Acemoglu dan James Robinson mengemukakan teori bahawa kemajuan ekonomi adalah berkait rapat dengan sistem dan institusi politik. Dimana sistem politik yang sentiasa mempunyai check and balance, transparent dan mengutamakan kepentingan keseluruhan rakyat. Kuasa untuk membuat keputusan tidak hanya terletak pada seorang manusia tetapi dikongsi oleh semua segmen masyarakat. Perkara ini akan membawa kepada keputusan yang menguntungkan orang ramai, bukan kepentingan individu atau kumpulan tertentu.

Kesimpulannya, tidak kira apa juga sistem yang digunakan ia terdedah kepada penyelewengan kerana sifat manusia yang tamak. Salah satu cara untuk memastikan sistem yang dipilih tidak diseleweng adalah menghadkan kuasa pemerintah, pemerintah perlu berada dibawah undang-undang. Dan segala keputusan negara hendaklah dibuat secara kolektif, serta pemusatan kuasa kepada individu atau kumpulan tertentu perlu dihalang.         

Ahad, 13 Mac 2016

Why nations fail


Penulis: Daron Acemoglu & James A. Robinson
Penerbit: Crown Business, 2012



Buku ini membincangkan satu tajuk yang sangat menarik, mengapa sesetengah negara menjadi miskin dan mengapa sesetengah yang lain menjadi kaya. Buku ini cuba memberi penerangan berkenaan dengan permasalahan ini dengan berhujah bahawa keupayaan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan model politik negara tersebut, manakala faktor-faktor lain seperti budaya, geografi sebagai tidak signifikan.

Buku ini juga membincangkan critical junction, dimana peristiwa besar yang mengubah perjalanan sejarah sesebuah negara. Institusi yang lahir dari peristiwa ini akan mencorak keupayaan ekonomi negara tersebut. Ia merupakan sambungan kepada teori kapitalis moden yang dipelopori Adam Smith. Mengetengahkan kapitalis sebagai model ekonomi paling baik dan mentafsir semua model ekonomi selain kapitalis sebagai extractive dan tidak sustainable.

Sustainable economy memerlukan kemajuan teknologi, yang memerlukan perubahan (constant change). Perubahan dari cara lama ke cara yang baru. Pemikiran lama ke pemikiran baru. Proses peralihan ini akan memberi kuasa ekonomi dan politik kepada muka baru. Oleh sebab itu, ia sering ditentang oleh golongan elit dalam sistem politik sedia ada.


Dalam mempertahankan hujah ini pelbagai kajian kes telah di bincangkan mengambil kira pelbagai negara dan empayar zaman silam dan hari ini. Kajian yang diketengahkan meliputi masyarakat Neolitik, Empayar Inca dan Aztec, Empayar Rom, England, US, China, Korea dan banyak lagi.

Acemoglu & Robinson juga mengetengahkan bahawa kejayaan ekonomi atau kegagalan ekonomi tidak mutlak dan boleh berubah dengan berubahnya keadaan politik. Sistem politik yang lebih plural dan demokratik akan melahirkan pertumbuhan ekonomi yang sihat dan sustainable, ia akan menghasilkan inovasi dan juga creaative destruction dimana cara lama diganti dengan teknologi baru yang lebih efisyen.

Ini bermakna negara yang sedang membangun seperti Malaysia juga boleh rosak sekiranya sistem politik mula rosak. Acemoglu & Robinson mengetengahkan bahawa kuasa politik yang mutlak dan tidak di imbang akan membawa kerosakan. Dalam erti kata lain jika seorang pemimpin dengan sewenang-wenangnya boleh memecat dan melantik portfolio-portfolio utama negara seperti Ketua Polis, Peguam Negara, Gabenor Bank, Ketua SPRM, supaya kegiatan memasukkan hasil negara ke dalam poket sendiri mereka berjaya akan melahirkan negara yang miskin dan gagal.

Acemoglu & Robinson memberi contoh apabila presiden Zimbabwe mengistiharkan central bank sebagai bebas pada 1995 tetapi gabenor bank merupakan orang yang dikawal presiden, kadar inflasi meningkat dengan drastik. Inflasi bermula dengan 20 peratus, meningkat 140 peratus pada 2002, 600 peratus pada 2003, dan 230 juta peratus pada 2008! Menyebabkan wang kehilangan nilai dan ekonomi lumpuh. 

Dalam erti kata lain kuasa politik yang absolute dan tiada check and balance akan menghasilkan polisi yang korup dimana hasil negara hanya akan mengalir ke poket-poket segolongan elit yang memperjuangkan kepentingan peribadi. Akhirnya mereka akan menjual aset-aset negara yang akan mengakibatkan ekonomi lumpuh sepenuhnya.

Satu bacaan yang baik dan mencabar minda!

Jumaat, 26 Februari 2016

The Kite Runner


Penulis: Khaled Hosseini
Penerbit: Riverhead Books
Tahun: 2003

"Awak boleh berbahasa Pashtun?" tanya saya. Mukanya sedikit terkejut, kami makan di meja yang sama. Saya menemani isteri ke majlis pernikahan kawan nya. Salah seorang jemputan, adalah warga Pakistan - Afghanistan.

"Saya adalah bangsa Pashtun, tapi bagaimana awak boleh tahu berkenaan dengan Pashtun? Biasanya orang Malaysia hanya tahu negara kami sahaja, Afghanistan". Saya tersenyum, cuba mencari jawapan yang tidak berbaur riak. "Ermm. Saya suka membaca".

Saya masih ingat perbincangan malam itu. Sejak itu saya sangat ingin belajar lebih mendalam berkenaan Afghanistan, apa yang berlaku. Saya masih ingat ketika saya masih kecil, tentera Soviet ketika itu telah berjaya dikalahkan, mereka berundur dari wilayah Afghanistan. Dunia Islam bergembira dengan kejayaan Mujahiddeen. Tapi sayang, mereka kemudian berperang sesama sendiri.

Saya secara jujur tidak gemar membaca novel, namun tulisan Khalen Hosseini ini satu pengecualian. Ia merupakan karya fiksyen namun berlatar belakangkan sejarah non-fiksyen.

Novel ini mengisahkan kisah hidup seorang warga Afghanistan, dari kecil, hingga dia terpaksa berhijrah ke Amerika Syarikat apabila perang meletus. Ia berlatar belakangkan Afghanistan sebelum sistem raja digulingkan, kemasukan penjajah Soviet, perang saudara, hingga lah Amerika Syarikat campur tangan dan kerajaan baru pasca perang terbentuk.

Antara isu yang saya kira sangat baik dihayati yang di bawa dalam novel ini adalah berkenaan dengan diskriminasi kepada bangsa Hazara. Bangsa Hazara yang mewarisi genetik Mongol Tartar dan Uzbek dianggap sebagai bangsa yang hina. Oleh kerana mereka berfahaman Shiah, mereka juga ditekan oleh bangsa Pashtun yang berfahaman sunni yang menguasai ekonomi, politik dan sosial,

Apabila Taliban memerintah, mereka telah melaksanakan hukuman yang keras, sehingga Islam di salah anggap sebagai agama yang sangat keras dan kejam. Mereka turut melakukan pembunuhan beramai-ramai keatas bangsa Hazara, juga membakar kampung mereka. Khaled Hossaini, dalam pembawaan nya , berjaya melukis bagaimana, semua manusia adalah sama, dan kita harus belajar hidup bersama.

Kisah yang dibawa juga berkenaan dengan Amir, Hasan, Ali, Rahim Khan penuh dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang juga persahabatan. Beliau berjaya memanipulasi emosi pembaca dengan kisah yang penuh debaran, kesetiaan dan pengkhianatan. 

Novel ini seolah-olah membawa harapan baru kepada Afghanistan setelah sekian lama dicengkam peperangan dan dinafikan kemajuan.

Zendagi migzara.