Sabtu, 16 Julai 2016

The Big Short



Penulis: Michael Lewis
Penerbit: Penguin books, 2015

'The line between gambling and investing is artificial and thin' - Michael Lewis

Buku ini merupakan penceritaan semula berkenaan dengan krisis ekonomi di Amerika pada tahun 2007 yang dikenali sebagai 'US housing bubble'. Ia dipanggil housing bubble kerana harga rumah yang meningkat setiap tahun akhirnya mencapai limit dan mula menurun. Penurunan harga menyebabkan banyak pembeli (peminjam) rumah tidak dapat melakukan refinance dan membayar hutang mereka.

Krisis ini sebenarnya telah dilahirkan pada 1987, apabila collateral debt obligation (CDO) yang pertama dilahirkan oleh Drexel Burnham Lambert Inc. Dimana hutang-hutang perumahan (mortgages) disatukan dan bank kemudian boleh mencipta bond. Dengan menjual bond-bond ini, bank mendapat semula cash dan mengalihkan risiko mereka kepada pembeli bond. Model ini boleh bertahan selagi mana peminjam (pembeli rumah) membayar pinjaman bulanan mereka plus interest. Model ini kelihatan stabil.

Namun bermula tahun 2015, sub-prime mortgages mula dimasukkan ke dalam CDO. Apa itu sub-prime mortgages? Ini adalah ketika dimana bankers mula menunjukkan sikap tamak mereka, kerana mereka boleh mendapatkan semula modal asal dengan menerbitkan bond dan mereka tidak perlu menanggung risiko. Sub-prime mortgages adalah pinjaman yang diberi kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan (not credit-worthy). Mereka mungkin immigran, penganggur dan sebagainya. Jadi bagaimana mereka membayar pinjaman? Mereka diberi teaser rate, iaitu kadar faedah tetap (fixed) yang rendah untuk 2 tahun sebelum mereka perlu membayar floating interest rate. Oleh kerana itu, pada tahun 2017 apabila tempoh teaser rate ini tamat, kebanyakan peminjam mula berhenti membayar (default) , mereka tidak mampu lagi membayar dengan kadar faedah floating yang tinggi. Kadar default ini berlaku besar-besaran menyebabkan krisis keewangan berlaku.

Oleh kerana sikap tamak banker di Wall Street mereka mula mencipta CDO mereka sendiri tanpa ada peminjam dan menerbitkan bond. Mereka juga memasukkan pinjaman yang tidak layak ini kedalam CDO dan mendapatkan triple-A rating dari rating agencies seperti S&P dan Moody's, yang mana merupakan tindakan pecah amanah (fraud) kerana pelabur mendapat kefahaman yang salah berkenaan risiko yang ditanggung. Triple-A rating menggambarkan bond yang dikeluarkan baik dan tidak berisiko.

Kenapa bank yang telah mengalihkan risiko kepada pembeli bond terjejas teruk semasa krisis 2007? Kerana kebanyakan banker yang tamak sendiri tidak memahami risiko ini, bagi mereka ia adalah easy money. Bond yang dijual ini kebanyakannya dibeli semula oleh pihak bank sendiri dalam skala billion menyebabkan mereka terdedah kepada risiko apabila peminjam mengalami default.

Buku ini menceritakan bagaimana ada individu-individu yang sedar akan penyelewengan ini. Dan mereka membeli insurans dalam bentuk credit default swap (CDS) yang mana merupakan insurans yang melindungi pemberi pinjaman sekiranya peminjam tidak mampu membayar hutang mereka. Mereka mendapat keuntungan berkali ganda hasil dari pembelian CDS ini.

Akhirnya bank-bank besar (investment bank) di Wall Streets di ishtihar bankrup seperti Bear Stearns, Solomon Brothers & Wachovia. Manakala bank-bank besar lain seperti Goldman Sachs dan Citigroup mendapat bail out dari US Fed dalam bentuk stimulus berjumlah berbillion USD menggunakan duit cukai rakyat.

Buku ini menarik kerana ia berjaya menerangkan krisis yang kompleks sehingga dapat difahami oleh masyarakat awam.

Isnin, 27 Jun 2016

China : Kapitalis yang memakai baju komunis



Di abad yang ke-21 ini setelah kejatuhan blok Soviet Union, hanya tinggal beberapa negara yang masih berdiri dengan ideologi komunisme, sebahagian besar dunia telah menerima dan sebati dengan sistem kapitalis dan konsumerisme. Antara negara-negara ini ialah China, Cuba dan juga Korea Utara.

Ramai orang kagum dengan kejayaan komunisme di era puncak mereka. Sesetengah pemimpin barat berkata "I've seen the future" apabila melihat kejayaan sistem komunis. Soviet Union dilihat sebagai model masa depan bagi negara yang ingin membangun. Soviet merupakan kuasa pengimbang yang menyaingi Amerika Syarikat dan Britain satu ketika dahulu. Mereka berjaya mendahului dalam pelbagai sudut, ketenteraan, sukan, mereka juga terkenal apabila berjaya menghantar Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa. Pemimpin-pemimpin negara Islam turut terpengaruh dan kagum dengan mereka, mereka menjalin kerjasama erat dengan blok komunis, antaranya Iraq dan Syria dan lain-lain. Namun kisah cinta ini berakhir pada tahun 1991 apabila blok Soviet Union berpecah secara rasmi di tangan Gorbachev.

Idea komunis lahir dari pemikiran Karl Marx, juga dikenali sebagai Marxist. Pada tahun 1848 Karl Marx dan Friedrich Engels menerbitkan ideologi mereka di dalam The Communist Manifesto. Yang menjadi sumber utama fahaman komunis. Jika kita membaca tulisan ini, kita akan dapati ayat-ayat yang penuh semangat, semangat memperjuangkan hak kaum proletariat menentang kaum bourgeois. Jika kita melihat ideologi Marx dan Engels dari sudut ekonomi, asas kepada komunisme adalah pengharaman pemilikan harta. Setiap harta adalah kepunyaan 'state' atau penguasa. Ini adalah punca kegagalan Soviet Union apabila ia telah berkembang begitu besar, dan setiap harta harus di hantar ke Moscow. Menyebabkan negeri-negeri jauh ditimpa bencana kelaparan kerana hasil tani perlu dihantar ke Moscow. Akhirnya membawa kepada ketidakstabilan. 

Jadi mari kita lihat dua asas ini, dan lihat apa yang berlaku di China. Yang pertama adalah perjuangan proleteriat atau kaum buruh  melawan kekuasaan bourgeois yang merupakan kaum bangsawan atau feudal. China menjadi republik dibawah pemerintahan Mao Zedong pada 1949 selepas beberapa siri perang saudara. Mao yang sangat kuat keimanannya kepada komunisme mengikuti jejak langkah yang sama dalam hal-hal ekonomi seperti blok Soviet. Ekonomi merosot ke tahap yang sangat dahsyat, dianggarkan 45 juta manusia mati hingga tahun 1961 dibawah model ekonomi komunis Mao. Dari sudut pandangan pertama kita melihat asas komunis proletariat melawan bourgeois, ia tidak ada sejak dari awal pemerintahan Mao. Kerana kaum pekerja (proletariat)  terus ditindas dan harus bekerja sehingga mati untuk keselesaan kaum bourgeois. Kaum bourgeois bukan lagi feudal dinasti China tetapi merupakan ahli tertinggi parti komunis China.

Asas kedua dalam sistem komunis adalah pengharaman pemilikan harta atau 'private ownership'. Semua adalah milik kerajaan atau 'the state'. Selepas kematian Mao Zedong, pada 1978 Deng Xiaoping mengambil alih kuasa. Ini adalah turning point dimana China hanya komunis pada nama. Xiaoping memulakan reformasi ekonomi dengan membuka pasaran China kepada dunia. Melonggarkan peraturan dagangan dan membenarkan pemilikan harta. Ia bukan lagi ekonomi komunis, tetapi ekonomi kapitalis dengan acuan China.

Sebab itu, kita dapati kilang-kilang yang menindas hak pekerja kebanyakannya di China. Walhal fahaman komunis itu sendiri diasaskan untuk memperjuangkan hak pekerja iaitu kaum proletariat. Walaupun China masih di pimpin oleh parti komunis, ia telah lama meninggalkan ideologi komunis.

Selasa, 21 Jun 2016

Catatan Baitul Muslim 10: Buat semua ayah didunia - Selamat Hari Bapa

Syarifah Amni Zaheerah - 7 bulan.

Tidak pernah terbayang masa depan, ia sentiasa misteri. Menyorok di sebalik tabir takdir, hanya terungkap apabila masanya tiba. Tidak awal tidak lambat. Sehebat mana perancangan manusia, tidak pernah dapat meneka apa yang ada dibelakang tabir itu, ada kala rancangan berjaya dan di banyak kala yang lain, kita bertukar rancangan.

Aku sering termenung saat memandu ke tempat kerja, melihat bendang bertukar musim sepanjang jalan di Tikam Batu hingga Kepala Batas. Ada kala cantik menghijau, ada ketika menguning sehingga ke ufuk, ada ketika gersang dan kontang selepas dituai. Tidak pernah terfikir aku menjadi aku sekarang. Sudah bekerja, sudah berkahwin, sudah menjadi bapa, sudah sedikit 'berisi'. Seperti baru semalam aku berkerja menangkap ikan puyu dan haruan di tepian parit di Bagan Datoh bersama adik-adik ku. Bermain bola dipetang hari berkaki ayam sehingga maghrib. Kini aku bukan lagi budak itu. Dulu sering terfikir 'aku ingin lekas dewasa', kini zaman kanak-kanak yang sering datang membuai rindu.

Walaupun mungkin kini aku sudah dewasa, aku ingin terus belajar. Belajar mengenai hidup, belajar mengenai kehidupan.

Menjadi bapa merupakan pelajaran yang sangat terkesan kepada diriku. Cabaran utama bagi ibu bapa dengan anak yang masih kecil adalah menidurkan mereka. Ia umpama peperangan yang harus ditempuhi setiap hari. Dalam banyak ketika kemahiran meneka sangat diperlukan, kerana anak kecil hanya mampu menggunakan satu bahasa - bahasa tangisan. Dari bahasa ini mungkin dia ingin tidur, mungkin dia sakit perut, mungkin dia hendak bertukar lampin atau ingin minum susu. Sering kali juga tekaan yang dibuat gagal, hingga tekaan ketiga barulah mengena. Mungkin naluri bapa ku belum benar-benar matang.

Membesarkan anak sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Segala-galanya perlu disiapkan. Kalau dahulu travel bersama isteri bawa dua beg sahaja, kini tidak lagi. Kereta akan dipenuhi dengan car seat baby, bakul susu, pampers, kain, bedak, pump susu, bantal menyusu, lapik tidur dan seribu satu keperluan yang lain. Separuh muatan kereta adalah barang keperluan anak. Tetapi itu lah manisnya pengalaman, aku sedar satu hari nanti anak ini akan membesar, ke asrama dan tinggal bersama pasangan sendiri. Tidak pernah satu saat aku merasakan ia adalah perkara yang menyusahkan, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup, yang aku akan rindui satu hari nanti.

Jika dahulu hendak pergi kemana-mana tidak perlu risau. Boleh ber-camping, mendaki gunung selama 5 hari, boleh tidur dalam hutan. Menjadi bapa, perkara pertama yang bermain dalam fikiran sebelum berjanji untuk apa-apa aktiviti adalah siapa yang akan jagakan anak. Jika dahulu masa mula berkahwin, boleh balik bertemu isteri dua minggu sekali, bila sudah ada si kecil bekerja 3 hari tidak balik rumah sahaja sudah rindu. Takut untuk tinggalkan anak lama-lama, takut dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, takut dia lebih rapat dengan pengasuh dari ayahnya sendiri.

Ada ketika isteri tidak sihat, suami perlu menjadi doctor cum nurse untuk menjaga isteri, dalam masa yang sama perlu menjaga anak. Ada aktiviti luar yang akan terbatas, terpaksa ditolak. Namun ia perlu dilakukan kerana ia adalah tanggungjawab, ia adalah amanah, ia juga adalah ibadah.

Melihat demografi Malaysia, menurut kajian kaum cina mempunyai keluarga yang kecil 1 hingga 2 anak. Keluarga melayu masih mengekalkan keluarga yang besar antara 4 hingga 6 anak. Faktor yang mempengaruhi nombor ini adalah ekonomi. Membesarkan anak bererti sedia berbelanja besar. Namun, orang melayu yang kebanyakan nya beragama Islam masih mengekalkan keluarga yang besar kerana dalam Islam mereka meyakini rezeki adalah dari ALLAH SWT. Setiap anak telah tertulis rezekinya.

Aku sendiri bukan lah dari keluarga bangsawan. tidak mampu balik kampung menaiki jet mewah, cuma mampu menaiki kereta yang telah berumur 10 tahun. Ya, membesarkan anak memerlukan belanja. Dan keadaan ekonomi sekarang tidak membantu kita. Namun aku sering teringat kata-kata seorang pemimpin apabila dipersoalkan mengapa organisasi terus membuka institusi pengajian walaupun tiada keewangan. Katanya "kita tak akan pernah cukup duit". Begitu jugalah dalam memulakan keluarga, terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja. Gaji masuk mungkin sama dengan perbelanjaan bulanan, keinginan-keinginan mungkin terpaksa ditangguhkan atau dikorbankan. Tetapi ia berharga. Segala penat dan pengorbanan ini terbayar apabila melihat anak tersenyum, melihat anak tidur dengan aman. Ia membahagiakan.

Percayalah, sesukar manapun untuk memulakan keluarga, mulakan lah. Berusaha mendepani cabaran, jangan takut. Adakalanya kita perlu tutup mata dan redah sahaja, serah natijah kepada Sang Pencipta. Satu hari anak yang menangis ini akan pandai berjalan, keluar dari jagaan kita. Kita akan merindui tangisan manja mereka, kita akan rindui melihat mereka belajar berdiri dengan memanjat badan kita, kita akan rindui wajah bayi mereka, kita akan rindu saat mereka masih boleh didukung. Akan tiba satu masa ia hanya akan tinggal kenangan dan disimpan dalam album gambar. Hargai lah hari ini, rasai lah hari ini. Hiduplah, ciptalah bahagia dan kebahagiaan.

Selamat Hari Bapa!