Ahad, 16 Oktober 2016

A Thousand Splendid Suns


“I know you’re still young, but I wanted you to understand this now. Marriage can wait but education cannot. You’re very, very bright girl. Truly you are, you can be anything you want, Laila. I knew this about you. And I also know that when this war is over, Afghanistan is going to need you as much as its men, maybe even more. Because a society has no chance of success if its women are uneducated, Laila. No chance.”

Ayat ini merupakan dialog yang sangat membekas dan memberi makna dari novel ini. Novel yang mengisahkan pengalaman Afghanistan melalui siri-siri peperangan dari kisah hidup dua orang wanita. Bermula dari penjajahan Soviet, perang saudara, penguasaan Taliban sehingga lah peperangan oleh Amerika. Bagaimana perperangan memusnahkan kehidupan dan keluarga di Afghanistan.

Mariam dan Laila, dua watak yang berbeza dan dari kehidupan berbeza, seorang gadis kampung dari Herat dan seorang gadis bandar dari Kabul. Dalam novel ini, peperangan menyatukan mereka dalam sebuah keluarga, berkongsi seorang suami yang ganas dan suka mendera isteri.

Hosseini dalam penulisan nya menggambarkan bagaimana wanita menjadi mangsa kepada dua keadaan. Yang pertama adalah mangsa kepada peperangan dan yang kedua adalah mangsa kepada masyarakat yang sering mengenepikan hak wanita.

Hosseini menggambarkan bagaimana wanita Afghanistan menjalani kehidupan yang sukar dalam masyarakat yang mengenepikan hak mereka. Penafsiran Islam oleh golongan Mullah dan Taliban mencorak masyarakat yang menafikan hak pendidikan bagi kaum wanita, memaksakan burqa, menghadkan pergerakan wanita di tempat awam juga diskriminasi dalam hak-hak asas seperti kesihatan.

Islam menurut penafsiran para mullah dan Taliban menjadi agama yang menindas wanita, walhal Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW membebaskan wanita dan memberikan mereka hak yang sebenarnya. Dalam sejarah Islam, peranan wanita di iktiraf. Bahkan Saidatina Aisyah merupakan sarjana feqah yang aktif meriwayatkan hadith.

Penafsiran yang jumud ini sebenarnya bukanlah berasal dari agama Islam tetapi dari budaya dan amalan masyarakat setempat yang mengamalkan ‘tribal system’, apabila Islam datang dan mereka memeluk Islam, budaya-budaya ini diasimilisasikan oleh mereka dan diterima sebagai sebahagian dari agama. Amalan memakai burqa sendiri sebenarnya bukanlah satu kewajipan agama, tetapi hak wanita jika mereka merasakan mereka ingin sedikit privacy. Kita dapati wanita muslimah di Asia dan sebahagian negara Arab tidak memakai burqa, cukup dengan berhijab. 


Novel ini akan membantu sesiapa yang ingin mengetahui sejarah moden Afghanistan dengan cara yang santai. Ia merupakan usaha Hosseini untuk mengetengahkan permasaalahan Afghanistan kepada dunia dalam satu persembahan yang mudah di fahami.

Jumaat, 30 September 2016

World Order



Penulis: Henry Kissinger
Penerbit: Penguin Books (2015)

Buku ini merupakan antara buku yang sangat saya nantikan. Penulisan berkenaan dengan politik dunia oleh seseorang yang merupakan watak utama di dalamnya. Ramai yang menganggap Kissinger sebagai penjenayah perang oleh kerana peranan yang beliau mainkan dalam foreign policy Amerika Syarikat (AS). Beliau merupakan arkitek kepada kudeta yang di dalangi AS juga siri perperangan yang disertai AS, terutamanya semasa era Presiden Nixon. Antara peperangan ini adalah peperangan di Vietnam, Laos dan Kemboja, yang menyaksikan jumlah kematian melebihi 4 juta orang.

Kissinger memulakan buku ini dengan menelusuri sejarah benua Eropah, bagaimana Eropah mengalami peperangan selama 30 tahun, yang mengorbankan hampir 8 juta manusia. Selain dari kuasa, agama dimainkan secara aktif dalam siri peperangan ini dimana fahaman Protestant bertarung dengan fahaman Catholic, ia juga mempamerkan bagaimana kuasa-kuasa besar saling berubah sekutu dalam strategi mereka. Tragedi perang agama ini diakhiri dengan Peace of Westphalia yang meletakkan prinsip asas keamanan dunia. Antara prinsip yang dipersetujui adalah menghormati sempadan negara, menghormati kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain.

Kissinger juga membahaskan peranan Revolusi Perancis juga Dua Perang Dunia dalam membentuk prinsip keamanan global. Juga peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh seperti Matternich, Bismarck, Napoleon, Churchill, Hitler, Stalin dan lain-lain.

Terdapat satu bab yang membahaskan perspektif Islam terhadap World Order, dalam bab ini Kissinger membahaskan bagaimana Islam memecahkan dunia kepada dua katergori iaitu Daar'ul Islam dan Daar'ul Harb. Juga revolusi pemikiran yang dibawa oleh Al-Banna melalui Ikhwan Muslimin, Kissinger mengkritik tulisan Sayyid Qutb didalam bukunya Milestones, beliau menulis tulisan ini sebagai pengishtiharan perang oleh Islam ke atas fahaman lain, katanya "a declaration of war against the existing world order that became a foundational text of modern Islamism".

Dalam perbahasan mengenai polisi luar negara Amerika, buku ini menonjolkan sikap hipokrit Kissinger dalam mempertahankan perperangan yang disertai AS. Beliau menyatakan keperihatinan AS dalam mempertahankan nilai demokrasi dan kebebasan merupakan faktor yang menggerakkan AS untuk memasuki perperangan. Menurutnya, AS berperang untuk mempertahankan nilai, bukan atas faktor kepentingan negara atau faktor material. Walhal dalam sejarah sehinggalah sekarang, kita dapati AS menyokong kudeta dan regim autokratik di kebanyakan bahagian dunia demi kepentingan mereka.

Buku ini juga memperlihatkan keyakinan beliau terhadap fahaman American Exceptionalism. Beliau mengutarakan bahawa AS bukan negara biasa, tetapi adalah engin dalam perancangan tuhan bagi menjaga keamanan dunia.

Walaupun begitu, buku ini juga mempunyai pelbagai sisi positif. Terutamanya dalam pemikiran, fakta sejarah dan juga keilmuan. Penerangan beliau berkenaan dengan bagaimana perkembangan Eropah dari negara-negara yang musnah akibat perperangan kepada termerterainya sistem Wesphalia, sangat berkesan dan mudah difahami. Analisis beliau berkenaan dengan Jepun, China dan India juga akan membantu pembaca memahami, kenapa setiap negara mempunyai dasar luar negara yang berbeza dan kaitan nya dengan sejarah. Sebagai contoh, bagaimana tulisan Kautilya iaitu Arthashastra yang setanding dengan tulisan Machiavelli mempengaruhi sikap India terhadap polisi luar negara.

Yang terakhir, penerangan beliau berkenaan dengan peranan media sosial dalam mempengaruhi apa yang kita yakini sebagai benar juga merupakan perbincangan yang mencambahkan pemikiran.

Untuk review dalam bahasa Inggeris, sila klik di sini.

Rabu, 17 Ogos 2016

The Wealth of Nations



Pertama kali saya mendengar berkenaan dengan Adam Smith adalah ketika mengambil subjek ekonomi semasa di universiti, yang diajar oleh pensyarah saya V. I. Radchenko. Subjek ekonomi bukan merupakan subjek teras, tetapi ia merupakan subjek yang perlu diambil bagi menamatkan pengajian. Dalam bahasa Russia karya ini dipanggil sebagai 'Bogatstva Narodov'. Radchenko dalam kuliahnya sering mengulangi frasa yang sangat terkenal dari buku ini iaitu 'invisible hand'.

Setelah menamatkan pengajian saya cuba mencari buku ini, dan ingin membaca sendiri apa isi kandungan nya. Saya akhirnya bertemu dengan buku ini di Kinokuniya dengan harga RM35 diterbitkan oleh Bantam Classic. Apa yang lebih menarik, buku ini mempunyai 1231 mukasurat. Bayangkan buku ekonomi setebal seribu mukasurat di baca oleh seseorang yang bukan ahli ekonomi. Saya mengambil masa 8 bulan untuk menghabiskan pembacaan.

Karya ini merupakan tulisan Adam Smith dari Scotland pada kurun ke-18 iaitu pada tahun 1776. Ia merupakan magnum opus dan menjadi rujukan utama ekonomi kapitalis moden berasaskan free market economy. Adam Smith juga dianggap sebagai bapa kapitalis moden.

Frasa yang paling terkenal dalam karya ini adalah 'invisible hand', ia ditafsir dengan pelbagai tafsiran, baik dari sudut ekonomi oleh ahli ekonomi, juga ada yang menafsirnya dari sudut falsafah. Dalam buku ini, frasa tersebut dapat dilihat pada mukasurat 572, ketika beliau membahaskan sekatan yang dikenakan keatas import barangan untuk menjaga industri tempatan. Menurut Smith, sekatan ini hanya menguntungkan segelintir peniaga yang akan memonopoli pasaran tempatan, tetapi ia merupakan kerugian kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sebagai contoh, untuk menjaga industri pembuatan kereta nasional, kerajaan menggunakan duti import yang tinggi ke atas kereta yang memasuki pasaran tempatan dari luar negara. Hal ini menyebabkan harga kereta import sangat mahal, dan rakyat tidak digalakkan secara tidak langsung untuk membeli. Kereta tempatan dapat dijual dengan murah, dan memonopoli pasaran. Walaupun perkara ini baik kepada industri perusahan kereta nasional, namun rakyat secara keseluruhannya mendapat kerugian. Hal ini kerana, mereka terpaksa membeli kereta tempatan walaupun kualitinya rendah kerana kereta asing terlalu mahal disebabkan duti import yang dikenakan.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa idea yang bercanggah dalam perbahasan Smith. Walaupun beliau mengetengahkan idea kapitalis, dimana matlamat utama ekonomi adalah keuntungan, Smith dilihat dalam dilema, kerana ada kalanya beliau  menyatakan, matlamat akhir ekonomi adalah memperbaiki kualiti hidup sosial, dimana setiap manusia berhak mendapat makanan, pakaian dan tempat tinggal. Polisi ekonomi harus mempunyai objektif sosial dan moral, bukan sahaja meningkatkan pendapatan nasional.

Antara idea yang saya kira sangat bernas dalam penyiasatan Smith adalah 'division of labour' atau pembahagian kerja, yang merupakan bab pertama dalam buku pertama. Ia merupakan satu cara untuk meningkatkan produktiviti dan diamalkan oleh hampir kesemua industri dalam ekonomi moden. Jika dahulu seorang pembuat meja akan mencari kayu, memotongnya, melicinkan, menyambung dan mengecat hingga ia menjadi produk akhir. Namun, bagi meningkatkan produktiviti, setiap jenis kerja perlu dilakukan oleh orang yang berbeza. Di kilang perabot hari ini kita melihat ada orang yang kerjanya setiap hari hanya memotong kayu, ada yang hanya menyambung, ada yang hanya mengecat. Setiap orang hanya melakukan satu jenis kerja yang spesifik, sehingga dia menjadi mahir dalam jenis kerja tersebut.

Dalam analisa beliau berkenaan dengan gaji pekerja buruh, Smith menjelaskan peningkatan gaji pekerja akan meningkatkan harga barangan di pasaran. Harga barangan juga bergantung kepada quantiti di pasaran, lambakan sesuatu jenis barangan akan menyebabkan harga barang merosot, juga sebaliknya. The inferiority of the quantity must be compensated by the superiority of the price. Kesukaran untuk menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu komoditi juga mempengaruhi harga komoditi tersebut. Target pengeluaran setiap barangan dalam teori ekonomi Smith adalah consumption, teori ini membawa kepada modern consumerism.

Berbeza dengan teori ekonomi Marx, Smith merupakan seorang advocate kepada pemilikan harta. Setiap individu berhak mengunakan sebarang harta (capital) mengikut kehendaknya, ini merupakan antara prinsip asas kapitalis iaitu individual liberty. Perdagangan seharusnya dibebaskan (de-regulation) dari campurtangan kerajaan. Institusi keadilan sesebuah negara juga memainkan peranan penting bagi sektor pembuatan dan perdagangan, kerajaan yang korup akan merosakkan kebanyakan sektor ekonomi.

Walaupun digelar sebagai bapa kapitalis moden, Smith dalam teori ekonominya sering kali mengulangi kepentingan untuk melindungi hak pengguna dan orang ramai. Perkara ini kelihatan begitu ironi apabila kita melihat konsep kapitalis diamalkan dalam realiti semasa dimana public sering menjadi golongan yang di tekan.

Walaupun terdapat pelbagai bab dalam buku ini saya kira sangat berat. Terutamanya perbahasan berkenaan dengan nilai matawang perak dan nilai komoditi jagung. Namun karya ini dapat membantu golongan yang ingin memahami stuktur ekonomi moden. Asas-asas dalam teori ekonomi Smith dapat kita lihat dalam stuktur ekonomi hari ini.