Sabtu, 11 Ogos 2018

Catatan Baitul Muslim 15: Pimpinlah anakmu ke syurga




Setelah kita mendapat iman, kita perlu merasakan bahawa usia adalah jambatan, modal untuk balik bertemu ALLAH. Masa berlalu dengan begitu pantas, tahun 2018 yang kita rasa seolah baru bermula kini sudah lebih dari separuh telah pun berlalu.

Kita habiskan hidup bekerja untuk memberikan segala-galanya kepada anak-anak. Tapi kita perlu tanya kepada diri kita. Kita nak sediakan anak-anak untuk apa? Agar satu hari nanti mereka dapat menjadi pekerja makan gaji? Atau untuk sediakan mereka kepada perkara yang lebih kekal, untuk bertemu ALLAH. Kita mahu menjadi ibubapa yang menyiapkan anak-anak untuk menjadi ahli syurga. Target kita adalah untuk di himpunkan bersama semula dalam satu keluarga di dalam syurga nanti.

Sebelum kita meninggal, kita perlu sedar adakah anak-anak akan meneruskan hidup dengan iman dan mendoakan kita nanti. Anak-anak kita tidak akan terus kecil. Satu hari nanti dia tak akan suruh kita tiup belon lagi, mereka akan ada kawan-kawan, ada teman berbual. Masa kini adalah masa kita bersama anak-anak, jika kita terlepas masa keemasan, kita tak akan dapat semula masa bersama anak-anak.

Zaman kini untuk mengekalkan anak dalam iman merupakan satu cabaran yang sukar. Dua tujuan besar kita membentuk anak:

1. Membentuk mereka sebagai hamba ALLAH
2. Membentuk anak dengan ilmu dan kemahiran agar mampu berkhidmat kepada Islam dan manusia sejagat.

Selagi ada matahari terbit selagi itu ada harapan dan bantuan ALLAH, seharusnya kita tidak berputus asa. Sebelum kita mahu didik anak, kita sendiri perlu dididik dan mempunyai kefahaman. Kita nak faham apa ciri-ciri anak soleh dan cara untuk mencapai tujuan ini. Dr. Tariq Suwaidan menerangkan bahawa usia keemasan untuk didik kepimpinan anak-anak adalah umur 4-6 tahun.

Kita kena peruntukkan 3T untuk anak-anak. Time, touch, talk. Orang barat sendiri mengambil pengajaran dari orang Islam, dengan menceritakan kisah (seerah) pada anak-anak. Kita sendiri perlu menjadi tokoh yang mempersonakan untuk anak-anak, baru dia akan mencontohi kita. Dia akan belajar dari kita dengan melihat bagaimana perilaku kita, apa yang kita sembangkan dengan kawan-kawan kita. Jadi kita kena sibuk membina diri, kerana anak-anak akan sentiasa memerhatikan kita. Anak-anak akan terus membesar, dia tak akan tunggu kita. Kita tak boleh kata pada dia “tunggu sekejap, jangan membesar lagi, tunggu ayah jadi baik sikit”.

Kita membesarkan dan mendidik anak-anak kerana perasaan cinta kita pada mereka. Cinta tak semestinya berbalas. Mungkin satu hari nanti anak kita tak balas cinta kita, itu bukan tugas kita. Kita yang pilih untuk mencintai mereka, mencintai semula adalah tugas mereka bukan kita.

Nota dari siri seminar bersama Tuan Haji Rosdi Baharom.

Senarai rujukan:
1. Sentuhan jiwa untuk anak kita oleh Dr. Muhammad Muhammad Badri
2. Children around the Prophet by Dr. Hesham Al-Awadi

Selasa, 7 Ogos 2018

Buat sahabat: Kau umpama rumput



Buat sahabat.
Bunga mawar yang indah juga mempunyai duri yang bisa melukakan. Begitulah resam manusia, secantik mana, seteguh mana, dia juga punya keburukan. Kadang terkhilaf dikala merentas saujana hidup yang luas, kadang kata yang tidak enak terlepas.
Kehidupan sering kali merupakan satu perjalanan yang penuh misteri, keyakinan kita terhadap masa depan sering terlindung disebalik tabir takdir. Tiada yang kekal, sentiasa berubah, pucuk baru menganti ranting yang patah. Begitu juga manusia dengan hati yang tidak sempurna, mudah sahaja hati berbolak balik apabila dilanda air bah.
Menyoroti ruang kehidupan yang kecil dan sempit ini, sentiasa kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang menjadi teman, ada juga yang menjadi sahabat yang lebih erat dari keluarga.
Ada ketika kita berubah, kita terkhilaf, namun sahabat setia cekal disisi. Mereka bersahabat bukan kerana emas dunia, bukan juga kerana pangkat dan darjat. Yang dicari hanya ukhuwah dibawah redha tuhan. Mereka ibarat rumput, nampak biasa sahaja, tetapi teguh tidak berganjak apabila dilanda angin taufan.
Mereka bersama kita mendaki gunung. Setia bersama membelah samudera, tidak goyah dengan badai fitnah. Mereka kenal diri kita lebih dari kita mengenali diri sendiri. Ketika kita di lembah hina, mereka tidak malu untuk turun bertemu semula. Memimpin tangan kita kembali ke jalan yang sejahtera.
Dikala kita lemah, kawan berkepentingan menjauh, mereka datang tanpa diundang. Memujuk hati dengan penuh ikhlas. Mereka kenal kita luar dan dalam, kanan dan kiri. Mereka tidak mahu apa-apa, hanya mahu melihat kita bangkit kembali, bersama menadah redha tuhan.
Terima kasih buat semua sahabat.
I will cherish you for the rest of my life

Sabtu, 21 Julai 2018

Titik biru yang malap


Voyager-1 dilancarkan pada 5 September 1977 dari Cape Canaveral Air Force Station, Florida, Amerika Syarikat. Antara misinya adalah untuk mengkaji planet-planet dengan lebih dekat. Pada 14 Febuari 1990, Voyager-1 telah mengembara jauh, sekitar 6 billion kilometer dari bumi, tempat asal ia berlepas. Namun berkat hasil tangan manusia dengan akal kurniaan tuhan, Voyager-1 masih dapat menerima signal arahan dari NASA Deep Space Network di bumi.

Dari jarak 6 billion kilometer ini, Carl Sagan, seorang ahli astronomi yang merupakan salah seorang penyelidik dalam NASA memohon agar kamera Voyager-1 di halakan ke bumi bagi mengambil gambar ‘Family potrait’ bumi bersama adik-beradik planetnya yang lain. Permintaan beliau diluluskan. Gambar tersebut menyaksikan ruang kosmos yang luas, dan ada satu titik pixel kecil berwarna biru pudar terapung ditengah sinaran matahari. Dari 640,000 pixel di dalam gambar tersebut titik bumi hanya sebesar 0.12 pixel. Dalam syarahan beliau di Universiti Cornell pada tahun 1994, Sagan berkata “That’s here. That’s home. That’s us”.

Sagan kemudian menulis buku bertajuk ‘Pale blue dot’ sempena gambar istimewa ini. Dalam bukunya Sagan menulis bertapa pengkajian astronomi merupakan satu perjalanan yang sangat merendahkan diri (humbling). Bertapa bumi ini sangat kecil apabila dibandingkan dengan kosmos yang terbentang luas, ibarat sebutir habuk. Bertapa manusia sangat angkuh dan bongkak, manusia yang kagum dengan ideologi masing-masing, sanggup membunuh dan dibunuh untuk merebut sebahagian dari habuk kecil ini. Gambar titik biru pudar ini sepatutnya mengingatkan mereka, bertapa kerdilnya mereka, dan belajar untuk hidup bersama.

Kita tidak pernah mendengar sekumpulan kucing di Arab Saudi berkomplot untuk membunuh spesis kucing lain di Yaman. Tetapi manusia, manusia yang mengaku mempunyai tuhan, mengaku mulia dengan agama, manusia yang dikurniakan akal, membunuh spesis mereka sendiri dengan cara yang kreatif. Mereka mencipta pelbagai jenis persenjataan moden dan canggih untuk membunuh spesis mereka sendiri beramai-ramai. Menggunakan guided missile, hydrogen bomb, kalashnikov, gas kimia, senjata biologi, dan seribu satu cara lain. Malah seronok dan berbangga dengan perbuatan mereka. George Carlin, seorang pelawak berkata, dalam banyak-banyak spesis kehidupan, hanya manusia yang membunuh spesis sendiri untuk keseronokan.

Jika kita melihat situasi negara kita hari ini, kita akan nampak bibik-bibik kebencian antara satu sama lain. Kita gagal menerima perbezaan, melihat orang lain yang berbeza dengan kita dengan penuh kebencian. Kita bersifat prejudis terhadap orang yang berbeza agama, bangsa, bahasa dan fahaman politik. Walaupun pilihanraya sudah berakhir kita terus saling membenci, memburukkan orang lain, memfitnah, menyebar kebencian, saling perli memerli di media sosial. Kita lupa raison d'ĂȘtre negara kita adalah perpaduan. Perbezaan adalah fitrah, kita perlu belajar hidup berbeza bersama.