Isnin, 17 September 2018

Setia pada idea bukan pesona


Kita dapati dunia seringkali wujud dalam dualiti. Dalam pertarungan ideologi, polisi, susun atur ekonomi dan masyarakat kita dapati di sana wujudnya dualiti dalam bentuk idealisma dan realisma. Dalam arena ini kita lihat pelbagai ragam pesona, seseorang yang membina imej umumnya dengan warna akademia dan idealisma, namun ketika sudah diangkat ke puncak kuasa dialah orang pertama yang mendustai idealismanya sendiri dengan memberi alasan-alasan realisma. Dari kerangka idealisma, ia hanya menjadi retorik kosong, mengumpan minda massa untuk diangkat ke tangga kuasa. 

Kita boleh faham jika pesona itu seorang ahli politik, kerana konsisten merupakan elemen yang hampir mustahil untuk kita temui dalam janji, manifesto dan lidah politikus. Dia tidak boleh dikebalkan dari kritikan. Tapi bagi masyarakat intelektual, ia menjadi sangat janggal, aneh, malah sampai ke tahap sangat menjijikkan apabila golongan yang mengakui intelektual masih tidak dapat melepaskan diri dari pengaruh pesona ketika idealisma dibakulsampahkan.

Isu mahasiswa menjerit merupakan satu turning point yang sangat signifikan pada bulan September 2018. Di mana kita membezakan mereka yang setia pada idea dan golongan yang setia pada pesona. Golongan taksub pesona keluar dengan mengatakan mahasiswa menjerit dalam pertemuan dengan menteri apabila autonomi universiti dicabul sebagai biadap dan tidak berakhlak. Mereka lupa, mereka adalah orang yang sama yang mengagungkan idea 'mahasiswa melawan' sebelum ini. Tapi hari ini apabila pesonanya sudah menaiki takhta, imannya berubah, kini mereka berdakwah agar mahasiswa harus mengikut dan memberi tunduk hormat kepada politikus.

Sangat dangkal alasan menjerit adalah biadap ketika idealisma dicabul. Mungkin Ahed Tamimi yang menampar muka tentera Zionis dikala negaranya dijajah dan dicabul juga dikira biadab dan tidak berakhlak. Padahal aktivis mahasiswa sudah duduk berbincang dan ditolak dengan mentah. Menjerit adalah manifestasi protes, takkan mahu disuruh bercium mulut. Menteri yang jelas berbohong, menipu dan tidak berpegang kepada prinsip lebih biadap dan tidak berakhlak. 

Lebih menjijikan, ada yang cuba menggunakan taktik pembunuhan karakter. Cuba mengaitkan aktivis mahasiswa dengan tokoh liberal. Ia merupakan ad hominem yang sangat jelas, argumen central nya tidak dibahas. Padahal sebelum ini dialah yang melaungkan politik matang dan sejahtera.

Bak kata sahabat saya Udin Chor:

"Sujud macam mana pun seseorang, kalau dia berkata dusta, kita kena akui itu adalah dusta. Ingkar macam mana, kafir macam mana pun dia, kalau dia cakap benda yang benar kita kena akui itu kebenaran dia..satu benda itu bukan tertegak atas sahsiah tetapi atas hujah".

Kesetiaan harus diberi pada idea bukan pesona.

Ahad, 9 September 2018

Ad hominem: Reformis hilang punca


Ad hominem adalah perkataan Latin yang dipendekkan dari 'Argumentum ad hominem'. Ia merupakan falasi yang digunakan sebagai strategi perdebatan dimana seseorang itu tidak lagi bercakap berkenaan topik yang dibahaskan tapi menyerang peribadi individu.

Contohnya ketika berdebat berkenaan dengan pencabulan autonomi universiti oleh menteri, seseorang yang sudah tiada hujah tidak lagi berhujah dengan rasional, tetapi akan memilih berselindung disebalik serangan peribadi.

Sebagai contoh dia akan berkata:

"Kamu ni mentaliti kritik melulu"

"Kamu manusia suka bertikam lidah"

"Kamu ni sekadar nak cari perhatian"

"Kamu ni berani di Facebook jumpa depan senyap"

Semua hujah ini tak relevan dengan topik. Sekadar serangan peribadi apabila kehabisan idea. Contoh ad hominem paling sempurna. Sangat aneh mereka yang dahulunya mengaku berminda reformis, tapi apabila kesalahan mereka dibalas dengan demo, hanya alasan dangkal seperti "demo menganggu orang lain" dikeluarkan. Padahal puak merekalah yang kuat berdemo suatu ketika dahulu, diberi stadium pun mahu bersesak ditengah ibu kota menggangu lalu lintas. Apakah mereka telah buta dengan pangkat?

Padahal falsafah demo adalah untuk disturb the public bagi mengetengahkan satu isu. Ia mempunyai objektif khusus sebagai direct action untuk mengubah sesuatu polisi. Ia tidak sama dengan philosophical debate yang tidak mampu membawa objektif ini. Philosophical debate mungkin sesuai bagi memperkenal dan menanam ideologi, bukan direct action untuk mendesak perubahan dalam tempoh singkat.


Jumaat, 31 Ogos 2018

Mencari bahagia: Manusia dan dualiti



Langit bertukar dari hitam ke jingga. Perlahan-lahan warna jingga beralih ke biru muda, malam bertukar pagi. Kelihatan burung-burung keluar dalam kawanan, terbang bebas memulakan hari baru. Mindaku juga terbang melayang, sambil memandu kereta menyusuri banjaran Titiwangsa, jalan yang menghubungkan Gerik ke Jeli. Kabus tebal masih menyelimuti kawasan banjaran, anak dan isteri masih lena di buai mimpi. Fikiranku terbang semakin tinggi, semakin jauh. 

Ketenangan dan kebahagiaan mungkin merupakan sesuatu yang sering di kejar manusia. Dua perkara ini merupakan sesuatu perkara yang abstrak, emosi yang subjektif yang tidak wujud dalam bentuk fizik. Ianya bukan objek seperti poligon yang mempunyai sisi atau bucu, juga bukan elips yang mempunyai radius atau diameter. Oleh sebab itu manusia selalu gagal menemuinya apabila ia dicari dari sudut perspektif materialistik. Segala bentuk kebendaan, mungkin boleh mendatangkan kepuasan sementara, namun masih meninggalkan kekosongan besar dalam hakikat kehidupan insan. Dia akan terus mencari, melompat dari satu material ke material lain, dari basikal kepada kereta, dari rumah flat kepada kondominium mewah, tetap tidak dapat melegakan dahaga, hingga akhirnya insan tiba ke hujung usia.

Manusia hidup dalam dualiti. Dua unsur yang membuatkan dia merasakan dirinya hidup. Yang pertama adalah unsur utama, dalam tradisi Islam ia dipanggil roh. Eckhart Tolle dalam bukunya ‘The Power of Now’ menyebutnya sebagai the essence of being atau sekadar being. Unsur yang kedua bukanlah unsur utama ia lebih kepada alat untuk kita gunakan untuk terus hidup, ia dipanggil minda. Rene Descartes menulis bahawa manusia merasa wujud apabila mindanya boleh berfikir, beliau menulis "I think therefore I am".

Benarkah ada dualiti roh dan minda?

Antara bukti mudah dualiti roh dan minda ini adalah monolog yang wujud dalam hidup kita. Kita sering bersembang dengan diri kita sendiri, kadang-kadang ia berlaku dalam sedar, dan dalam banyak situasi ia berlaku dalam keadaan separa sedar atau tidak sedar. Minda adalah alat untuk kita gunakan untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, jika kita berehat tidak memikirkan apa-apa, minda kita akan kosong tetapi kita masih hidup. Ada ketika minda menguasai diri, kita melihat orang yang bercakap seorang diri dan dimasukkan ke dalam pusat rawatan mental kerana dia tidak lagi dapat mengawal mindanya.

Bagaimana kita mahu merasai kewujudan roh dalam diri?

Eckhart Tolle membawa teori bahawa kita akan merasai kewujudan roh ini dengan mengosongkan minda, cuba berada ditempat yang sunyi dan hening. Pada ketika itu kita akan lebih merasa sedar akan perkara yang berlaku disekeliling kita, kita juga dapat melihat minda kita sebagai entiti yang berbeza. Teori ini tidak asing dalam tradisi Islam. Sebab itu dalam Islam dianjurkan untuk bangun bertahajud diawal pagi yang hening, kerana dalam keadaan sunyi ini, dengan minda yang kosong, kita dapat bermunajat pada tuhan dan mengecapi ketenangan dan kebahagiaan.

Akhirnya aku tiba di Kelantan, selesai berurusan dengan resepsi dan masuk ke dalam bilik. Petang itu aku duduk di tepi pantai sambil dihembus ombak yang datang dan pergi. Anakku duduk di pangkuanku gembira bermain dengan ombak. Langit berubah kembali jingga, menandakan satu lagi hari dalam hidupku bakal berakhir. Bertemankan ombak dan langit jingga yang hening, fikiranku kosong, aku merasa hidup. Tenang. Bahagia.