Sabtu, 6 Februari 2021
Catatan Baitul Muslim 41: Kesihatan Mental Ibubapa
Hari-Hari Lebih Indah Dengan Puisi
Tak semua benda boleh ditulis sebagai artikel atau cerita, ada kalanya kita dijalari perasaan yang sebentar. Sama ada ia lahir dari perasaan sedih, kecewa, gembira, takjub, atau perasaan yang kita pun tak ada perkataan untuk diberi sebagai klasifikasi.
Disaat itu mungkin yang paling hampir boleh ditangkap perasaan itu atau digores perasaan itu kepada selembar kertas adalah dengan serangkap puisi, atau sebaris, atau mungkin sebuku. Puisi itu gambaran emosi, tapi ia boleh ditafsir dengan pelbagai cara. Tafsiran penulis mungkin berbeza dengan kefahaman pembaca, keduanya tidak salah, benar dalam keadaannya sendiri. Puisi yang sama mungkin membawa maksud yang berbeza di zaman yang berbeza.
Pada tahun 2019, saya bersama dua rakan diberi rezeki untuk berkolaborasi, dan kami menerbitkan sebuah antologi puisi bertajuk "Maka Kitab itu pun Menyanyi". Ia merupakan rangkuman perasaan kami, ada puisi percintaan, puisi kehidupan, puisi perlawanan politik, puisi anti-depresi dan pelbagai lagi, ada puisi yang saya sendiri tak pasti bagaimana mahu melabelkannya.
Ketika mengemas rumah, saya terjumpa baki 3 naskah lagi antologi ini. Jadi saya ingin menjualnya dengan harga RM15 sebuah, jika ada teman yang mahu membaca puisi semasa dikurung PKP yang disambung lagi kini. Saya juga masih ada menyimpan buku "Berfikir Tentang Pemikiran" edisi pertama, tinggal 8 naskah akhir yang sudah tidak dicetak, jika ada yang mahu saya ingin menjualnya dengan harga RM25 senaskah. Jika ada teman yang ingin beli keduanya secara kombo, maka saya menjualnya dengan harga RM30 sahaja.
Saya dengan seorang teman juga dalam proses menerbitkan sebuah zine pada bulan ini, Zine Skazka Edisi Pertama. Ini mungkin merupakan percubaan saya untuk bereksperimen menulis cerpen yang berbentuk imaginatif. Selama ini hanya sering menulis penulisan berbentuk artikel dan non-fiksyen.
Khamis, 4 Februari 2021
Rumah Berbumbung Hijau
Ahad, 31 Januari 2021
Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata - Reviu Buku
Petang itu kepala saya sakit, saya tidak tahu sakit kepala itu psikologi atau phisiologi. Mungkin sebab dari pagi duduk menghadap skrin, tengahari berdiskusi dengan universiti dan wakil industri, petang siapkan laporan yang tergendala, mungkin kepala panas. Selepas solat Asar saya keluar, duduk di laman rumah melihat hujan turun. Rintiknya semakin surut, di angkasa ada burung layang-layang terbang bebas. Kemudian kawanan burung pipit lalu melintas, mungkin mereka juga mahu pulang ke rumah masing-masing selepas pening mencari rezeki.
Buruh imigran yang sedang menyiapkan rumah jiran mula masing-masing memanaskan enjin motor, walau hujan mereka tetap bekerja. Beberapa ketika mereka semua hilang, tiada lagi riuh rendah persembangan mereka, walaupun saya tidak memahami bahasa mereka, namun sepertinya mereka ceria bekerja bersama. Teringin juga belajar bahasa mereka, boleh juga berbual-bual jika bosan.
Rintik hujan makin hilang, saya cuba untuk mematikan fikiran. Kata Eckhart Tolle, otak harus digunakan seperti alatan lain, andai sudah tidak digunakan harus di turn off, jika tidak kita penat berfikir tanpa henti. Apabila ada fikiran yang datang, cepat-cepat saya padamkan. Saya kembali merenung awan yang berarak, gerak awan agak pantas, mungkin penangan angin monsun belum berakhir. Entah apa yang menggusarkan kepala saya petang itu. Duduk melihat awan pun tidak tenang, ada sahaja fikiran yang cuba menyusup, namun segera saya padamkan. Saya sebenarnya menunggu anak-anak pulang tadika, selalunya mereka akan lari ke dalam rumah mencari dan menjerit nama saya apabila pulang. hari itu saya terasa terlalu penat berada di dalam rumah, biarlah saya menyambut mereka di luar.
Mereka masih belum tiba bersama isteri, saya pun bangun dan berjalan-jalan di halaman rumah tanpa arah. Kemudian akhirnya saya masuk semula ke dalam rumah dan mengambil naskah buku Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata tulisan Nur Kamilea Syasya binti Che Sharif. Saya duduk semula dilaman dan mula membaca. Saya rasakan dunia ini terasa kecil, syarikat penerbit Syihabudin Press ini rasanya adalah syarikat yang diusahakan senior sekolah saya, manakala Usaid Asmadi yang menulis prakata adalah mahasiswa Universiti Malaya bersama adik saya. Namun saya tidak mengenali Kamilea secara peribadi.
Di bahagian prakata Usaid menulis perihal magiknya penulisan, hal ini saya kira persis apa yang diperkatakan oleh Carl Sagan, namun sebab mereka berbeza. Bagi Sagan ia magik kerana ia membolehkan manusia yang dipisahkan dengan jarak beribu tahun untuk saling berkomunikasi, manakala menurut Usaid ia magik kerana 3 perkara. Pertama, ia boleh datang menghukum kita semula. Kedua, ia memperlihatkan perkembangan pemikiran kita, dan yang terakhir, boleh mengubat fikiran yang sedang rusuh. Cuma kata Usaid, dia selalu melangkau helaian prakata tanpa dibaca. Saya berbeza dalam hal ini, jika tidak dibaca kulit ke kulit, saya merasakan pembacaan saya tidak lengkap, sering saya merenung bahkan hingga ke belakang, di bahagian nota, bibliografi, juga indeks.
Kamilea memulakan pencak bicaranya atas dilema wanita, yang sering terperangkap dalam konstruk sosial untuk memilih dua curam, sama ada kerjaya atau keluarga. Kedua-dua pilihan ini mendatangkan kata-kata tidak manis dari masyarakat, seolah-olah apa pun pilihan mereka, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman "bersalah". Membaca dilema ini saya teringat akan buku tulisan Sheryl Sandberg yang bertajuk Lean In, saya kira ia buku yang wajib dibaca oleh setiap wanita, tidak kira mereka memilih kerjaya atau keluarga. Selepas para isteri membacanya, elok dipaksa juga suami membacanya, agar mereka faham situasi dan dilema wanita.
Buku ini turut memuatkan nasihat perihal harapan dan sifat tidak menyerah kalah. Nasihat-nasihatnya begitu bagus dan positif. Cuma mungkin saya terlalu tua untuk menjadi idealis, saya kira di masa muda juga saya idealis, melihat dunia penuh dengan optimisme dan harapan, namun semakin dewasa saya faham dunia ini tidak semua indah. Dunia ini diciptakan untuk manusia yang tidak sempurna dan penuh dengan ketidak sempurnaan, kekalahan, malah tragedi. Ia kadang tidak dapat kita elak se-optimis mana pun kita. Kadang kita perlu menerimanya apa adanya, dan mendefinisikan semula apa itu kejayaan. Namun bagi orang muda, idealis itu bagus bagi saya, kerana banyak sahaja perubahan baik dalam dunia ini lahir dari mereka yang idealis dan tidak mahu mengaku kalah walaupun sudah kalah.
Sampai di muka surat 11, kereta Myvi putih muncul disebalik rumah jiran, meluncur ke halaman. Anak-anak sudah melekat di tingkap kereta dengan senyuman, jeritan, dan lambaian. Maka saya harus letakkan semula naskah ini sebentar, untuk memberi hak masa kepada anak-anak.
Keesokan harinya, Idlan, anak saya yang kedua berumur 3 tahun bangun dengan badan yang panas. Dia punya masalah sakit perut, oleh kerana pada hari tersebut adalah hari Thaipusam, yang mana sinonim dengan kontroversi Menteri Besar Kedah, Idlan menemani saya di rumah pada hari itu. Apabila dia tidur, saya kembali membelek naskah buku ini.
Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang dipetik oleh Kamilea ketika membahaskan perlunya mahasiswa membaca. Iaitu ungkapan dari Napoleon Bonaparte yang menyebut "Aku lebih takut dengan empat orang penulis berbanding 1000 senapang". Petikan ini menggambarkan besarnya peranan ilmu, yang mampu menjadi alat pemandaian untuk melawan penguasa. Tidak sedikit sejarah yang merekodkan bagaimana tulisan merubah dunia, sebab itu kita membaca banyak buku yang diharamkan, penulis yang dipenjarakan, kerana penulisan dan keilmuan itu satu senjata yang ampuh. Cuma saya tidak dapat menemui quote yang asal seperti dipetik, jadi saya tidak pasti adakah kata-kata ini benar dari Napoleon, walaupun dari sudut maknanya begitu signifikan.
Saya juga begitu tertarik dengan frasa "melayang-lah ke angan masa kecil yang indah" ketika beliau menghuraikan perlunya kita menulis. Bagi saya menulis adalah terapi diri yang sangat berkesan, ketika saya sedang dirundung emosi, sama ada marah, sedih, kecewa, atau gembira, adalah masa yang sangat subur untuk saya "melayang", kata-kata biasanya mengalir ke dalam tulisan secara semulajadi, tanpa ada halangan. Selain dari mengalirkan emosi, ia juga adalah rekod penting akan perasaan saya, jika dirundung emosi sama, saya bisa pulang ke laman itu, kembali memetik dan merasai buah-buah yang saya tanam dahulu.
Menulis juga menurut beliau merupakan cara kita belajar berfikir, ia merupakan kaedah yang sesuai untuk kita menghadap pembacaan, menyusun informasi. Saya secara peribadi juga amat bersetuju dengan hal ini. Kadang kita merasakan kita faham akan sesuatu perkara, dengan menulisnya semula, kita dapat menyusun kefahaman kita, juga menguji kefahaman kita tadi. Dengan cuba menulis kefahaman kita semula kadang kita belajar, bahawa ada sisi yang kita belum benar-benar faham, membuatkan kita terus membaca lagi sehingga kefahaman itu dilengkapkan dan boleh disusun dengan rapi.
Menulis dan membaca memang tidak dapat dipisahkan, Kamilea menganalogikan penulisan tanpa pembacaan umpama tanaman yang hidup di tanah yang gersang. Penulisan yang disirami pembacaan adalah penulisan yang berisi, yang sihat, yang mampu membuatkan manusia lain berfikir. Bagi saya secara peribadi, menulis dan membaca itu adalah dua sayap ilmu.
Tulisan Kamilea Syasya ini menurut saya banyak berbentuk monolog yang memuatkan nasihat, motivasi, keperluan untuk terus cekal dalam hidup, dan pelbagai nasihat lagi. Walaupun ia dipasarkan sebagai sebuah zine, saya merasakan ia lebih dekat dengan sebuah buku, atau mungkin risalah kecil. Saya cukup tertarik akan penulisannya perihal menulis dan membaca, ia akan saya jadikan sebahagian dari rujukan, petikan, dan citation bagi buku saya yang akan datang. Moga-moga kita diberkati dengan lebih banyak lagi karya mutiara berharga dari penulis muda ini.
Khamis, 28 Januari 2021
Reviu Zine Fagiyu #9
Bak kata Widji Thukul yang sudah diubah suai "Hanya satu kata, mantap!" begitulah kata-kata yang boleh saya ungkapkan jika zine ini hendak disinopsiskan dengan satu ayat. Susun aturnya sangat kemas dan cantik, membuatkan seoalah-olah pembaca sedang memasuki sebuah kafe retro hipster. Bukan sahaja susun aturnya yang kemas, kontennya juga bagi saya sangat baik dan menarik.
Pencak pembacaan dimulakan dengan kolum wawancara bersama dengan Anis A. Azam yang merupakan mengusaha toko buku Gadis Buku. Banyak perkara-perkara yang diulaskan dalam segmen wawancara ini terutamanya dari sudut survival toko buku dizaman gawat Covid-19. Namun apa yang paling menarik bola pemikiran saya adalah isu "ilusi dalam kalangan ramai penulis dan pembaca". Anis membicarakan bagaimana penulis itu sering dianggap sebagai selebriti manakala pembaca adalah peminat. Ia adalah ilusi yang membuatkan seolah penulis itu eksklusif manakala pembaca adalah pemuja. Perkara ini menurut Anis membutakan mata penulis muda baharu, kononnya penulis itu satu kerja glamour, duduk dalam kelas elitnya tersendiri.
Oleh itu kadangkala penulis tidak mahu menjual buku, kerana merasakan itu tidak padan dengan kedudukan elit mereka sebagai penulis. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Anis ini. Saya juga kadangkala merasakan ia adalah satu curam dalam penulisan apabila pembaca merasakan saya yang menulis ini punya lebih banyak ilmu dari mereka. Saya lebih merasakan penulisan ini sebagai medan berkongsi idea, pengalaman, dan rasa hati. Mungkin ada nilai dari sudut ilmu, tetapi itu tidaklah menjadikan kita duduk dalam kelas yang lebih tinggi. Orang lain juga punyai ilmu, malah mungkin lebih banyak ilmunya dari penulis, cuma mungkin mereka tidak tintakan.
Zine Fagiyu #9 ini turut membedah dan membicarakan perihal medan seni musik tanah air. Antaranya bual bicara dengan kumpulan kugiran Langkasuka, juga reviu album musik kumpulan Raskat. Turut dikongsi promosi adalah zine-zine lain seperti Haiwan Bukan Kriminal oleh Bad Cat Club, Genesis Secawan Latte oleh Hanevad, Angkat Takbir Lepas Tangan oleh Nana, Zine Molek Ah #2 #4 dan #5 oleh Penerbitan Ikan Kekek, Zine Dari Johor #1 oleh Kolektif Naratif, Trans Rentboys; Love Don't Pay the Rent dan juga Pulang ke Rindu tulisan Khairul Kamarul.
Artikel Anarkis dan Pandemik Covid-19 tulisan Kon Zing menampakkan ciri-ciri anarkis zine ini. Artikel ini mengajak penyewa rumah melawan menuntut hak mereka di zaman kegelapan Covid-19 ini dari diusir oleh tuan rumah. Catatan pengalaman Selangkah ke Sebrang tulisan Mucky saya kira adalah luahan getaran hati perihal melangkah menuju alam rumah tangga, cuma saya merasakan tulisannya kadang terlalu berbunga untuk difahami manusia. Jelajah Puisi 2017; Melaka yang ditulis oleh Petak Daud membawa pembaca mengikuti hanyutan kilasan emosi penulis menyusuri Sungai Melaka. Tulisan ini bagi saya memberi kita kefahaman akan masa sendirian yang kadang kala kita perlukan, untuk merenung dan merasionalkan kehidupan.
Zine ini turut memuatkan banyak puisi, puisi yang paling menyengat emosi saya adalah Melihat Tidak Ada tulisan EA. Beliau menulis:
bukan dari yang jatuh,
tetapi kemudian,
apa yang akan tumbuh.
Puisi bagi saya merupakan satu aksi yang begitu sensitif dan emosional. Takrifannya sering kali berbeza antara penulis dan pembaca. Saya mungkin tidak tahu apa yang dialami oleh EA sehingga dia melahirkan puisi itu. Bagi saya ia membawa maksud yang positif, pengharapan, dan sifat optimisme. Saya sendiri gemarkan hujan, dinginnya, baunya, emosi yang dilahirkan hujan begitu menaikkan jiwa. Namun mungkin bagi sesetengah orang hujan adalah suatu yang tidak baik, mungkin pembawa banjir, namun puisi EA mengajar kita bahawa apa yang perlu kita perhatikan adalah apa yang tumbuh selepas itu. Mungkin selepas konflik dan revolusi akan lahir masyarakat segar yang baru, begitu optimisnya.
Akhir sekali adalaha kolum Cher Phen yang memuatkan dua buah cerpen. Cerpen pertama bertajuk Atok Ilmu Hutan tulisan Cech Adrea. Bagi saya tulisan ini ada unsur misteri dan kelakar. Adrea menulis beliau sendiri tak yakin akan nasihat-nasihat hutan Atoknya kerana kadang kedengaran seperti mahu menipu dan menakutkan budak-budak, tapi ada juga nasihat atoknya yang saya rasa macam logik, dan saya seperti Adrea tidak pasti nak percaya atau tidak. Cerpen penutup zine ini bertajuk Menghadap Malam yang Sangat Panjang tulisan Emma Maria. Saya suka gaya penceritaan yang memperlihatkan dunia dari kaca mata kecil seorang budak perempuan, cuma endingnya tidak begitu jelas pada fikiran saya, mungkin Emma mahu kita berteka-teki.
Saya agak sedih kerana sudah habis membaca zine ini, ia pembacaan yang menarik namun singkat. Nasib baik saya ada membeli edisi #10, jadi mungkin kesedihan saya tidak berpanjangan kerana boleh tenggelam semula dalam edisi seterusnya. Siapa yang sudah membeli, saya ucapkan selamat membaca. Siapa yang belum, cepatlah pergi beli. Tahniah diucapkan kepada barisan editorial, penulis, penerbit atas bingkisan ini. Moga banyak lagi edisi-edisi seterusnya yang boleh menghiasi mata dan minda kita.
Ahad, 24 Januari 2021
Kisah Kemurtadan Joram van Klaveren di Era Post-Modernisma
Joram van Klaveren merupakan
seorang ahli politik Belanda yang begitu anti dengan Islam. Beliau menyertai
Partij voor de Vrijheid (PVV), sebuah parti kanan yang diasaskan Geert Wilders.
Wilders merupakan sosok kontroversi yang bertangungjawab menghasilkan filem
'Fitna' juga pameran lukisan Nabi Muhammad. Penglibatan aktif Joram dalam PVV
dan mengetengahkan pelbagai usul di Parlimen Belanda untuk menutup masjid, membuang
Qur'an dari parlimen, juga mengharamkan Islam di Belanda menjadikan beliau
begitu terkenal sehingga beliau mendapat gelaran The Crown Prince of Wilders.
Joram mula menulis buku mengkritik
Islam, namun sepanjang kajiannya akhirnya beliau jatuh hati dengan Islam dan
mengambil keputusan untuk menjadi Muslim. Ucapan dan temuramah Joram di laman
Youtube perihal perjalanannya memeluk Islam merupakan rakaman yang selalu saya
ulang-ulangkan kerana begitu mengasyikkan. Pada penghujung tahun 2020 ketika
meninjau buku di Pelita Dhihin, Petaling Jaya, saya terjumpa naskah buku Joram.
Jadi dibeli sebuah sebagai koleksi dan tanda solidariti.
Buku beliau bertajuk “Apostate:
From Christianity to Islam in Times of Secularisation and Terror” dengan kata
pengantar oleh Shaykh Hamza Yusuf dan Prof. Abdal Hakim Murad. Saya tertarik
dengan kisah beliau, kerana pada era post-modern ini, dimana kita disalurkan
untuk berfikir dengan lebih rasional, saintifik dan sekular, Joram tidak murtad
dari Kristian untuk masuk ke daerah ateis atau agnostik, sebaliknya beliau
memilih Islam. Ia membuat saya tertanya-tanya kenapa beliau tidak memilih
pemikiran yang disogokkan kepada kita yang lebih sesuai dengan zaman ini. Jadi
saya mula membacanya.
Era dimana beliau mula mengkaji
agama juga merupakan era dimana Islam disinonimkan dengan keganasan. Kajian
agama beliau di peringkat sarjana bermula pada 11 September 2001, tarikh yang
sama berlakunya serangan ke atas WTC. (17) Namun disebalik zaman Islam
digambarkan sebagai agama yang ganas dan kejam, beliau tetap berjaya untuk
melihat bentuk sebenar agama Islam disebalik liputan-liputan media dan
propaganda. Walaupun agama sering dikatakan sebagai anti kepada pemikiran
rasional, bagi Joram, pengalamannya memeluk Islam adalah satu proses intelektual,
bukan hanya proses yang dikawal oleh emosi. (15) Keputusan ini bagi beliau
adalah keputusan yang rasional selepas meliau mengkaji persoalan agama.
Ketika dalam proses menulis buku
untuk mengkritik Islam, beliau menemui karya seperti biografi Nabi Muhammad
yang ditulis oleh Martin Lings yang akhirnya mengubah persepsinya dan menukar
arah tujuannya kepada pengembaraan peribadi untuk mencari Tuhan. (21) Pada era
post-modern ini, seperti yang ditulis oleh Nietzsche bahawa “Tuhan sudah mati”,
Eropah, termasuk Belanda sedang mengalami proses pensekularan, dimana setiap
aspek kehidupan dipisahkan dari agama. Menurut Joram, proses ini merupakan satu
eksperimen organik bagaimana masyarakat baru berkembang tanpa Tuhan. Beliau
juga melihat bagaimana idea progresif yang diimport dari Amerika yang
menghasilkan masyarakat yang punya krisis identiti. Manakala ahli politik
bermain sentimen “Judeo-Christian culture” walaupun ia sebenarnya sentimen
kosong, kerana masyarakat sudah hilang kepercayaan agama. (26)
Persoalan asas dalam pencarian
Joram, adalah “adakah Tuhan itu wujud?”. Ini merupakan persoalan yang
menyebabkan beliau tidak memihak kepada atheism. Menjawab persoalan ini beliau
membawakan hujah klasik tentang kewujudan Tuhan. Yang pertama adalah “The
Cosmological Argument” perihal perlunya “sebab kewujudan”. Beliau juga
membincangkan “The Kalam Argument” yang dipelopori oleh Al-Ghazali dan
dipopularkan hari ini oleh apologis Kristian, Dr. William Lane Craig. (34) Argumen-argumen
ini juga menolak tuduhan bahawa kepercayaan kepada agama hanya berdasarkan
kepercayaan buta (blind faith), ia mempunyai hujah-hujah logikal, ia adalah
kepercayaan berdasarkan pembuktian, agama bukanlah lawan kepada pemikiran
rasional seperti yang sering didakwa oleh militan ateis Richard Dawkins, iaitu
agama adalah “the enemy of reason”. (33) Beliau juga membincangkan teleological
argument yang berkisar tentang sebab kewujudan alam, keteraturan alam, juga
kewujudan “design” dalam alam semulajadi. (35)
Akhir sekali adalah hujah moral,
kewujudan Tuhan menjadi sumber untuk kita membezakan apa yang baik dan buruk
menurut Joram. Oleh itu kita melihat bagaimana golongan naturalis menghadapi
kesukaran untuk menyediakan hujah akan keperluan moral. Yuval Noah Harari
sebagai contoh menulis “apa-apa yang boleh dilakukan adalah natural”, jadi jika
fahaman ini diterima, apa yang dilakukan Hitler juga adalah natural kerana ia
boleh dilakukan, ini akan membawa manusia kepada moral nihilism dan keadaan
yang kucar kacir. Penolakan Tuhan dan perkara metafizikal menghilangkan
faundasi moral menurut Joram, beliau memetik pemikiran Isaiah Berlin yang
mengatakan hak asasi manusia perlu dihormati kerana ia adalah hak asasi
manusia. (39)
Selepas yakin akan kewujudan Tuhan,
beliau pergi kepada soalan seterusnya, Tuhan yang mana? Satu per satu persoalan
ini dikupas Joram, dengan hujah logika beliau juga diselitkan dengan pengalaman
peribadi. Hujah keraguan beliau kepada konsep “triune god” pada saya sangat
mirip dengan argumen-argumen yang dibawakan oleh Ahmed Deedat. Dalam naskah ini
juga beliau bawakan dalil-dalil dari Bible untuk dibandingkan dengan Al-Qur’an.
Persoalan-persoalan keganasan dalam agama juga diselongkari oleh Joram, ia
adalah perbahasan ikhlas menurut fikiran saya. Kisah pencarian Tuhan oleh Joram
ini bagi saya sangat berharga, ia harus dibaca pada fikir saya oleh umat Islam
sendiri, yang pada saya, banyak mengikut sahaja berbanding bersusah-payah
berfikir akan hujah-hujah rasional dalam agama.
Islam dan Kristian bagi Joram punya
persamaan yang terlalu banyak, sehingga dia merasakan perseteruan antara dua
agama ini umpama pergaduhan antara adik beradik. (55) Namun ribuan tahun
penolakan Kristian kepada Islam memainkan peranan besar dalam pandangan Barat
terhadap Islam hari ini. Islam dianggap sebagai bid’ah (heresy) dari agama
Kristian, dan Muhammad dianggap sebagai nabi palsu, naratif ini turut
dibincangkan dengan teliti oleh Prof. Edward Said dalam bukunya Orientalism, ia
adalah sikap bias awal dalam melahirkan bidang ilmu yang dipelopori Orientalis.
“Siapakah sebenarnya Muhammad?” tanya Joram. (61)
Kajian Joram berkenaan dengan sosok
yang dipanggil Muhammad membawanya membandingkan pelbagai teks, dari teks awal
Islam seperti biografi nabi yang ditulis oleh Ibnu Ishaq sehinggalah teks-teks
yang ditulis oleh Orientalis Barat seperti Gustav Weil. Antara teks menarik
yang dipetik oleh Joram dalam buku ini adalah tulisan Mahatma Gandhi dalam
Young India, 1928, Vol. X:
“I wanted to know the best of one
who holds today’s undisputed sway over the hearts of millions of mankind...I
became more than convinced that it was not the sword that won a place for Islam
in those days in the scheme of life. It was the rigid simplicity, the utter
self-effacement of the Prophet, the scrupulous regard for his pledges, his
intense devotion to this friends and followers, his intrepidity, his
fearlessness, his absolute trust in God and in his own mission. These and not
the sword carried everything before them and surmounted every obstacle. When I
closed the 2nd volume (of the Prophet’s biography), I was sorry
there was not more for me to read of his great life.” (74)
Hasil kajian beliau akhirnya
membersihkan pandangannya berkenaan dengan Nabi Muhammad. Kawan dan lawan
menulis bagaimana Muhammad mempunyai sifat yang mulia. Pakaian dan makanannya
sangat sederhana, tidak mahu dilayan dengan istemewa, malah tidak akan menyuruh
hambanya melakukan sesuatu yang dia boleh lakukan sendiri. (78)
Antara kekuatan lain buku ini
adalah ia memperkenalkan kepada pembaca pelbagai bahan ilmiah yang lain, ia
memberi ruang kepada pembaca meneroka sendiri jika mereka ingin lebih yakin
perihal apa yang diperkatakan. Saya sendiri mengenali sosok seperti Jonathan
Brown melalui buku Joram, Jonathan juga merupakan seorang yang telah memeluk
Islam, penulis karya terkenal seperti Misquoting Muhammad dan Slavery
& Islam.
Hukum murtad juga dibincangkan
dengan panjang lebar dalam naskah ini. Murtad perlu dilihat dalam konteks
zamannya, pada zaman dahulu, murtad disamakan dengan perbuatan mengkhianati
negara, satu aksi politikal. Ia juga satu aksi yang boleh menggugat kestabilan
sosial pada masa lampau. Nabi Muhammad sendiri menurut Taha Jabir Al-Alwani
tidak pernah membunuh seseorang kerana dia telah murtad. Antara kisah contoh di
zaman nabi adalah kisah ‘Ubaydullah bin Jahsh yang masuk Islam kemudian kembali
kepada Kristian, dan Nabi Muhammad tidak membunuhnya. Dalam isu murtad ini saya
setuju, kerana soal kepercayaan ini tidak boleh dipaksa, dan dengan membunuh
itu bagi saya bukan merupakan cara penyelesaian yang terbaik.
Persoalan sifat kebencian kepada
yahudi (anti-semitism) dalam kalangan orang Islam juga dipanjangkan dalam buku
ini. Saya berpendapat kebencian umat Islam kepada kaum Yahudi ini adalah atas
faktor politik, penjajahan dan kekejaman yang dilakukan Israel kepada kaum
Palestin merupakan sebab utama kebencian ini. Sehingga kadang kala mereka
membuat generalisasi bahawa semua yahudi itu zionis dan semua zionis itu
yahudi. Padahal ramai orang yahudi yang anti zionis, anti penjajahan malah
anti-Israel. Dalam naskah ini, Joram memberi contoh-contoh dimana zaman
pemerintahan Islam yang memberi keistimewaan kepada kaum yahudi. Contohnya
Maimonides yang dilantik menjadi doktor peribadi Salahuddin Al-Ayubi. Juga
bagaimana Sultan Bayazid II menghantar kapal untuk menyelamatkan orang-orang
Islam dan Yahudi apabila mereka dihalau oleh Ferdinand dan Isabella, untuk
dijadikan rakyat Uthmaniyah. Isidore Singer merekodkan dalam Jewish
Encyclopedia-nya bahawa Bayazid berkata “bagaimana kamu boleh mengatakan bahawa
Ferdinand adalah pemerintah yang bijak...padahal dia memiskinkan negaranya dan
mengayakan negara saya”. (135)
Antara penulisan Joram yang lain,
yang saya kira merupakan perkara yang baru bagi saya adalah beliau
memperkenalkan naskah Hayy bin Yaqzan yang ditulis oleh Ibnu Tufail. (173)
Walaupun Islam sering dituduh sebagai anti-thesis kepada idea-idea kebebasan,
karya Ibnu Tufail ini menurut Joram merupakan antara karya yang mempengaruhi
perkembangan falsafah liberal Barat. Beliau juga menukilkan tokoh-tokoh Islam
yang merupakan foundasi bagi peradaban moden seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina,
Ibnu Rushd, dan Ibnu Al-Haytham. Joram mengetengahkan idea bahawa Islam bukan
sahaja tidak bertentangan dengan liberalism malah Islam membawa pengaruh kuat
terhadap pembentukan idea liberisma Barat. Buku Ibnu Tufail tersebut menjadi
buku bestseller di Eropah Barat selepas diterjemah ke dalam bahasa Inggeris
pada tahun 1674, ia menjadi bestseller hingga ke abad ke-18. Menurut Prof. G.J.
Toomer pengaruhnya keatas falsafah barat tidak dapat dinafikan. (175) Idea Ibnu
Tufail ini mempengaruhi ahli falsafah seperti John Locke yang sering dianggap
Bapa Liberalisma Barat.
Joram juga mengkritik tokoh seperti
Maududi yang baginya menterjemahkan Islam kepada satu bentuk ideologi. (179)
Joram mengkritik idea Maududi yang ingin memaksa agama menggunakan apparatus
negara. Dalam kritiknya Joram membawakan hujah Hamzah Yusuf yang menolak idea
pemaksaan agama menggunakan apparatus negara. Menurut Hamzah Yusuf negara Islam
berbentuk seperti ini tidak pernah dan tidak akan wujud, mereka yang berfikiran
bahawa agama boleh diwartakan melalui undang-undang berada dalam keadaan
delusi.
Tentunya tulisan dan kritikan Joram
van Kleveren ini punyai perkara yang kita persetujui dan tidak persetujui.
Terpulang kepada pembaca untuk mengambil apa yang dimahukan dan menolak apa
yang mereka rasa tidak tepat. Namun saya secara peribadi merasakan bingkisan
tulisan Joram ini merupakan satu naskah yang baik dibaca. Ia tidaklah berbentuk
seperti memoir, lebih kepada perbahasan titik-titik teologi yang dirasakan
bermasalah dalam hidup beliau yang akhirnya membawa beliau kepada Islam. Naskah
ini juga baik dalam mengetengahkan literatura-literatura yang mungkin belum
pernah kita baca dan telusuri perihal teologi.
Hari Yang Produktif
Hari ini hari Ahad, hari Ahad isteri bekerja, Kedah bekerja di hari Ahad, anak-anak juga ke taska dan tadika. Jadi bolehlah saya memfokuskan sedikit masa dan usaha saya menghadap kerja-kerja penulisan, pembacaan, dan penerbitan. Sebab semalam tertidur awal bersama anak-anak, hari ini segar bugar menyiapkan kerja-kerja yang ada.
Hari ini dimulakan dengan menyambung suntingan terhadap manuskrip buku yang sedang diusahakan untuk diterbitkan tahun ini. Sudah berhari-hari saya sunting. Hari ini berjaya menyelesaikan semuanya dan dihantar kepada pihak ketiga, penyunting luar pula untuk melihatnya. Ini penting bagi setiap naskah, iaitu dilihat dan disunting oleh orang lain selain penulis, kerana penulis biasanya mempunyai blind spot dalam tulisan mereka. Dengan bantuan penyunting luar, kelemahan ketara ini boleh dibaiki.
Kemudian sekitar tengahari sempat bersama dua orang sahabat untuk merakam lakonan drama pendek. Drama ini merupakan tugasan yang diberikan dalam satu konvensyen yang saya sertai. Selepas tamat konvensyen peserta perlu bekerja dalam kumpulan menyiapkan drama pendek perihal apa yang difahami dari konvensyen tersebut.
Kemudian selepas selesai rakaman, saya mendapat teks dari syarikan percetakan bahawa dua naskah zine yang sedang saya usahakan bersama seorang teman sudah diap dicetak. Saya segera ke kedai untuk mengambilnya kemudian terus ke pejabat pos untuk menghantar satu naskah contoh kepada sahabat saya di Kulim.
Pulang ke rumah saya menyambung penulisan artikel bedah buku berkenaan dengan sebuah buku yang ditulis oleh penulis Belanda. Saya sempat juga menghabiskan penulisan ini walaupun hari sudah lewat petang. Apabila anak-anak pulang, tiada lagi masa untuk fokus menulis atau membaca, masa harus difokuskan pada anak-anak. Saya gembira pada mulanya, kerana banyak yang berjaya diselesaikan, hari yang produktif. Namun hidup pasti memberi kita sesuatu apabila kita gembira.
Apabila sudah petang saya mencari buku nota saya, saya ingat ia ada saya gunakan semasa berbincang untuk merangka skrip lakonan. Teman berlakon mengeluarkan buku nota tersebut dan meletakkan di atas kereta. Saya pun tidak perasan dan membawa kereta ketika mengambil zine di kedai cetak, saya mencari di sekeliling rumah tetapi tidak ketemu. Besar kemungkinan buku nota tersebut telah jatuh di tengah jalan. Banyak nota berharga dalam buku tersebut namun apatah daya. Kata orang tua-tua "barang yang hilang usah dikenang", walaupun sedih, hidup perlu diteruskan. Jodoh saya bersama buku nota itu ditakdirkan tidak lama. Walaupun produktif, ada juga perkara yang terhilangkan. Bak kata orang Jawa "you gain some and you lose some".
Isnin, 18 Januari 2021
Melempar Minda Kembali ke Dalam Laut
Hari ini kita tahu terlalu banyak, bukan terlalu sedikit. Menjadikan pundak kita sesak, minda kita tenat, fikiran kita penat. Dunia dipenuhi dengan pelbagai jenis masalah, menjadikan kita 24 jam resah. Ketenangan merupakan rahsia manusia yang hilang, kita perlu berlumba dengan semua orang, kita perlu berjaya seperti semua orang, kita berlari, namun akhirnya kita tewas. Termenung merenung dinding kosong.
Kita mahu kewujudan kita ini bererti sesuatu. Sekurang-kurangnya dunia menjadi lebih baik selepas kita mati meninggalkannya. Namun kita buntu untuk bermula di mana. Kita terlalu banyak informasi. Ada kapal terbang terhempas di negara seberang, adakah kita perlu pergi ke sana membantu, jika tidak, mengapa berita itu kita diberi tahu. Atau adakah kita perlu menjadi saintis, bekerja melawan masa untuk mencipta vaksin yang menyelamatkan dunia. Atau kita perlu menyediakan kapal, membuat ekpedisi ke kutub bagi menyelamatkan beruang yang hilang habitat kerana kecairan glacier. Atau ke Afrika, menghantar makanan? Apa yang kita perlu lakukan dengan berita-berita masalah dunia yang meributi kaunter informasi minda kita.
Keributan informasi ini satu perkara yang tidak dikenali oleh nenek moyang kita. Kita mungkin boleh mengejek mereka kerana mereka tidak pandai membuka akaun Facebook, atau me-re-tweet cerita gossip panas, atau menonton kejadian viral di Youtube. Tetapi mereka hidup dengan tenang. Pagi ke sawah atau ladang. Petang memberi makan lembu dan ayam, anak-anak dibiar mandi parit. Malam-malam mengaji Al-Qur’an sebelum tidur. Mereka tidak perlu fikir rusuhan yang berlaku di Washington atau siapa di tangga pertama manusia paling kaya dalam dunia. Mereka sudah kaya dengan ketenangan, itu sudah cukup.
Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk berdakwah supaya manusia menjadi pasifis atau menjadi penganut defeatism. Sekiranya anda mampu mengubah dunia, berbuat baik meskipun hanya menghilangkan secebis duri di jalanan, itu adalah baik. Setiap kebaikan itu adalah baik, meskipun sekecil mikroskopik. Seperti kisah yang terkenal, perihal seorang lelaki, yang berjalan di tepi pantai. Dia melihat seorang budak sedang membaling tapak sulaiman kembali ke laut dengan berhati-hati.
“Hai budak, apa yang kau perbuat?” soalnya hairan.
“Tapak sulaiman ini harus segera dikembalikan ke dalam air, ia akan mati kering jika dibiar terdampar” jawab budak itu gigih.
“Tapi ada berjuta-juta lagi tapak sulaiman berkilometer di sepanjang pantai, ia tidak mengubah apa-apa” soalnya lagi bertambah bingung.
Budak itu mengambil tapak sulaiman baru, dan dibaling ke dalam laut.
“Tidak bagi tapak sulaiman yang berjaya saya selamatkan ini, mereka dapat merasai perubahan” jawabnya puas.
Tentu sahaja kita tidak dapat mengubah dunia yang luas ini dengan tangan kecil kita, ia terlalu besar untuk diubah oleh hanya satu tangan kudrat manusia. Namun, itu juga tidak bermaksud kita tidak harus berbuat apa-apa. Mungkin lambakan informasi ini membingungkan kita, kita lemas di dalamnya. Jika boleh berbuat kebaikan, berbuatlah meski sekecil apa pun, jika tidak, jika lemas dan rimas, tiada masalah juga untuk menutup berita. Menutup kaca-kaca peranti elektronik untuk berjalan-jalan di taman.
Mencari ketenangan dengan melihat awan yang bergerak perlahan, tinggalkanlah dunia yang penuh dengan ribut beritanya. Tutup sepasang mata dan nikmati secawan kopi panas, rasai bagaimana kopi itu menyerap masuk ke dalam mulut. Bak kata Eckhart Tolle, nikmati saat sekarang, berhenti sebentar dari hiruk pikuk untuk merasa hidup.
Jika masalah dunia terlalu besar untuk diselesaikan, tidak mengapa, jangan salahkan diri anda. Lihatlah persekitaran sekeliling. Mungkin ada kucing kurap yang boleh dibantu dan diberikan makanan. Mungkin ada buku yang sudah lama dibeli tidak dibaca. Mungkin ada roti yang sudah lama terbiar dan boleh diberi kepada burung merpati. Mungkin tiada siapa yang kisah jika anda tidak berkongsi apa-apa di laman sosial? Atau mungkin sudah tiba masanya anda berbuat baik kepada diri sendiri? Melemparkan minda kusut ke dalam laut agar boleh tidur nyenyak dalam mimpi yang indah. Mungkin anda perlu berehat sebentar, bertenang, masalah dunia tetap akan ada apabila anda bangun nanti, sekurang-kurangnya jika tidur ia boleh dihadapi bila anda bertenaga semula.
Ahad, 10 Januari 2021
Catatan Baitul Muslim 40: Nota Tahun Baru 2021
Tahun baru 2021 jatuh pada hari Jumaat, Amni bangun awal pagi itu, lebih awal dari Idlan. Saya sedang membaca buku diatas kerusi, Amni datang dan berbaring diatas karpet didepan saya, mungkin bermalas-malasan kerana baru bangun dan masih mamai.
"Hari ini tahun baru, kakak dah 6 tahun" kata saya padanya.
Dia kehairanan, dan bangun sambil melihat dirinya atas bawah, pada fikirannya jika bertambah tahun badannya akan menjadi besar berbanding 5 tahun.
"Adik berapa tahun hari ni?" soalnya.
"Adik dah 3 tahun" balas saya.
Antara persoalan yang selalu saya dan isteri bincangkan pada saat ini adalah "kaedah memarahi anak". Memarahi anak bukanlah sesuatu yang menyenangkan hati ibubapa. Saya sendiri sering menyesal apabila sudah memarahi anak, dalam banyak ketika saya akan bersyukur jika saya berjaya untuk menahan diri dari meninggikan suara. Apabila anak bergaduh, kita akan pantas meninggikan suara memarahi anak pertama. Saya kini dalam proses untuk belajar menahan diri dari marah apabila mereka bergaduh, strategi terbaru saya adalah melihat sahaja, memastikan mereka tidak pukul memukul, dan memujuk adiknya yang menangis. Kemudian saya akan bertanya kepada kakaknya adakah apa yang dia lakukan itu adalah baik?
Ia tidak selalunya berjaya, tetapi bagi saya ia lebih memuaskan hati saya dari meninggikan suara. Meski dalam beberapa keadaan, saya juga akan terhilang kawalan. Bagi saya secara peribadi, marah ini ada dua bentuk. Satu adalah marah kerana kita sedang emosional, kita marah sebab kita sedang marah. Ini bagi saya merupakan marah yang kaunter-produktif. Kita marah hanya untuk melepaskan amarah. Marah yang kedua adalah marah yang berstrategi, kita marah kerana ada sesuatu kesalahan yang dibuat oleh anak, dan kita punya strategi untuk mamahamkan dia akan kesilapannya, ada unsur penerangan dan pengajaran. Marah dalam bentuk ini, bagi saya adalah sihat.
Antara bentuk marah lain yang saya sesali adalah marah kepada anak pada kesilapan yang dilakukannya pada kali pertama. Seperti yang ditulis oleh Jamie Glowacki, anak-anak ini tidak tahu sempadan baik dan buruk, jadi kita perlu menerangkan sempadan, apa yang baik apa yang buruk. Jika kita tidak pernah terangkan, dan mereka melakukan kesilapan, hal ini bukan 100 peratus silap mereka, kerana mereka tidak tahu. Jadi kesilapan kali pertama perlu segera dimaafkan, dan diterangkan mengapa ianya salah. Adalah tidak adil buat mereka dimarahi tanpa ada penerangan akan sempadan baik-buruk.
Di tahun baru juga, saya berfikir saya harus menyimpan diari, seperti Marcus Aurelius, jika ada hari yang mana saya marah dan hilang kawalan, di malam hari saya haru tulis, yang pertama apa yang berlaku, yang kedua saya harus fikir kemudian tulis mengapa ianya terjadi, dan yang ketiga saya harus bermuhasabah apa yang sepatutnya saya lakukan dalam situasi tersebut, apa strategi yang lebih baik, teknik yang lebih berkesan, dalam menangani situasi tersebut. Jangan silap, bagi saya, anak memang perlu dimarahi dalam beberapa keadaan, tetapi marah tersebut perlulah berisi, perlulah mencapai objektik koreksi, bukan sekadar semburan emosional yang melukakan anak. Jadi mungkin ini perlu menjadi resolusi saya untuk tahun baru, menulis diari marah, berfikir, dan cuba memperbaikinya.
Dalam bab memarahi anak ini, saya dan isteri sama-sama bersalah. Cuma mungkin bezanya ego lelaki lebih tinggi. Selepas marah biasanya saya akan menyesal dan mula berfikir. Tetapi isteri saya lebih proaktif, dia akan buka cerita selepas anak-anak tidur, meluahkan rasa hatinya, kekecewaannya kepada diri sendiri apabila terlepas marah, sering kali disulami air mata. Saya biasanya akan mendengar, nak memberi nasihat, saya pun bersalah juga, jadi apa yang isteri saya ceritakan, saya akan mengenangkan kesalahan saya. Di tahun baru ini kami berbincang dan merasakan bahawa kami perlu belajar perkara ini. Kerana perkara ini tidak pernah diajar di sekolah atau universiti.
Isteri saya membeli Ebook Saya Taknak Marah Anak Lagi yang ditulis oleh kaunselor Maznah Ibrahim, saya sebenarnya memang liat nak membaca buku digital, tapi saya fikir ada masa saya perlu merendah diri, melawan kehendak, untuk belajar benda baru. Menarik juga buku tersebut, di dalamnya beliau menceritakan sebab-sebab yang membuatkan kita marah juga teknik mengatasinya. Antaranya adalah kerana rasa "superiority" kita sebagai ibubapa. Sedangkan boleh jadi apa yang dikatakan anak itu betul, saya sangat setuju bab ini, banyak kali dalam kehidupan saya sebagai ayah, saya mendahulukan marah pada kata-kata anak, namun akhirnya terbukti apa yang dikatakan anak betul, dan saya salah. Jadi ini mungkin satu perkara yang saya perlu betulkan tahun ini, ambil kira apa yang dikatakan anak. Bukan tolak dahulu kemudian baru selidiki.
Menjadi ibu dan ayah, mendidik anak ini memang merupakan perkara yang mencabar, saya merasakan kita boleh membaca 1000 buku pun, ia tetap tidak akan menyediakan kita untuk tugas mendidik anak, kerana ia adalah perkara yang praktikal, ada unsur emosi, perasaan, keadaan, yang tidak mungkin boleh diterangkan di dalam buku. Namun itu tak bererti kita tidak perlu membaca dan belajar. Pengalaman dan teknik orang lain merupakan satu perkara yang berharga, jika tidak berkesan pun kepada anak kita sendiri, sekurang-kurangnya kita akan faham, kita tidak rasa keseorangan, ia adalah struggle setiap ibu bapa. Dan dengan lebih banyak bacaan, informasi, dan ilmu, kita mampu merancang strategi yang lebih baik walaupun tidak sempurna, kerana kesempurnaan itu tak mampu dimiliki manusia








