Jumaat, 17 September 2021

Ketika Kolonial Eropah Meruntuhkan Kesultanan Taosug

 

Kebanyakan sejarah yang ditulis dan dipelajari oleh kita sejak sekolah merupakan sejarah yang berkontekskan negara. Ianya ditulis kebanyakannya untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan negara. Namun sebenarnya konsep negara moden atau negara bangsa yang kita fahami ini merupakan konsep yang sangat baharu jika dibandingkan dengan tempoh sejarah yang direkodkan. Malah sejarah itu sebenarnya lebih jauh ke belakang, kebanyakannya tidak direkod, memorinya hilang ditelan zaman.

Oleh itu menulis sejarah dalam perspektif negara bangsa moden kadangkala merupakan perspektif yang silap, kerana dalam kebanyakan sejarah yang panjang negara bangsa moden itu tidak wujud (atau belum wujud), jadi konteks tersebut juga tidak wujud. Terdapat satu artikel yang menarik perihal hal ini yang ditulis oleh Mohammad Raduan bin Mohd Ariff dalam Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (Jati) Bilangan Ke-2 yang diterbitkan pada Disember 1996 oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Menurut Raduan, kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu merangkumi banyak pulau-pulau, ia tidak pernah didirikan secara eksklusif dalam satu pulau sahaja. Pada zaman itu, bukan manusia sahaja yang berhijrah antara pulau-pulau yang ada, malah kerajaan juga berhijrah dalam dunia kepulauan. Kerajaan Srivijaya contohnya berpindah ke Melaka dari Sumatra sebelum kemudiannya berundur ke Johor Lama. Konsep negara bangsa moden menurut beliau adalah ciptaan kuasa kolonial Eropah yang datang kemudian.

Artikel Raduan menganalisa Laut Sulu yang didiami oleh pelbagai bangsa seperti Taosug, Bajau, Samal, Magindanao, Maranao, Sangil, Yakan, Palawani, Jama Mapun, Melebuganon dan Melayu Brunei. Hasil laut dan hasil hutan dalam kepulauan ini merupakan sumber utama ekonomi bagi kerajaan Sulu yang diperintah oleh Kesultanan Taosug yang mendominasi bangsa-bangsa lain di Kepulauan Sulu. Bangsa-bangsa lain mempunyai kesultanan kecil namun mereka dikuasai oleh “Sultan of Sultans” iaitu orang Taosug yang berpengkalan di Jolo (hari ini dalam Filipina). Sultan pada ketika itu merupakan khalifah, imam, ketua angkatan perang, ketua undang-undang dan pengutip zakat. Sektor ekonomi ditadbir dari Rumah Bichara di Jolo. Mereka mempunyai kekuasaan penuh ke atas kawasan Timur Laut Borneo.

Sumber ekonomi mereka pada ketika itu merupakan mutiara, cengkerang penyu, tripang, sarang burung, sirip ikan yu, dan rotan. Sumber-sumber dikumpulkan dari pulau-pulau oleh penduduk setempat sebelum dieksport ke China. Bangsa Taosug menguasai proses pengumpulan ini. Jolo merupakan pusat pedagangan penting, pedagang Eropah yang tidak dapat menembusi pasaran China pada ketika itu akan ke Jolo untuk mendapatkan produk dari China. Dominasi Taosug ini akhirnya dipecahkan oleh gabungan kuasa kolonial Sepanyol, British dan Belanda. Ia dilakukan melalui beberapa fasa.

Fasa pertama adalah dengan membina pelabuhan-pelabuhan baru untuk mengumpul hasil laut dan bumi untuk eksport ke China. Kemudian kuasa kolonial mula menyerang pelabuhan tentera Kesultanan Taosug. Pada tahun 1848, Sepanyol menyerang tentera laut Samal di Balangingi. Fasa seterusnya adalah sekatan yang dilakukan ke atas pelabuhan Jolo pada tahun 1872. Kebanyakan tentera laut Taosug dikejar di lautan dan dikalahkan. Jolo ditawan Sepanyol pada tahun 1876. Kejatuhan Kesultanan Taosug mengakhiri penguasaan mereka ke atas Laut Sulu dan Celebes yang mana tidak dapat dicapai semula sehingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan ini, maka tanah jajahan dibahagikan antara kuasa-kuasa kolonial. Kepulauan Filipina dikuasai Sepanyol, Kepulauan Indonesia dikuasai Belanda, manakala Brunei dan Borneo Utara dikuasai British. Kuasa-kuasa kolonial bukan sahaja merubah lanskap politik Kepulauan Sulu, mereka juga mengubah struktur ekonomi. Jika hari ini Eropah mensyarahkan kepentingan memelihara ekosistem bumi kepada semua negara di dunia, merekalah yang mengubah sistem ekonomi di Kepulauan Sulu dari pengumpulan hasil laut dan bumi kepada pembalakan dan tanaman monokultur bagi menampung keperluan industri Eropah. Hutan-hutan di kepulauan ini bukan lagi dikumpulkan hasilnya tetapi diteroka untuk pembalakan. 

Di Utara Borneo, sistem pemerintahan sultan digantikan dengan pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Hutan Borneo memberikan keuntungan yang lumayan kepada ekonomi kolonial. Pada tahun 1940 eksport balak dari Borneo Utara merupakan yang ketiga terbesar di seluruh empayar British dengan Sandakan sebagai pelabuhan utama. Kemusnahan yang dilakukan kuasa kolonial bukan sahaja pada penduduk setempat tetapi juga kepada kehidupan komuniti yang ada. Bandar-bandar baharu dibuka di kawasan pedalaman dan dibangunkan oleh imigran yang dibawa dari luar. Penduduk setempat tidak dilibatkan dalam perusahan ekonomi baharu, pada 1941 satu per tiga penduduk Borneo Utara adalah imigran.

Khamis, 16 September 2021

Perpustakaan Youtube


Saya masih ingat semasa saya masih kecil, ibu selalu membawa kami adik-beradik ke Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak. Antara perkara yang menarik bagi saya perihal perpustakaan ini adalah seni reka atapnya yang cantik, macam corak batik. Saya dahulu mendaftar menjadi ahli walaupun tidak pernah meminjam buku. Selain atap, bagi saya yang masih kecil, yang menarik bagi saya adalah ruang multimedia. Saya tidak pergi membaca buku tetapi pergi ke ruang multimedia untuk menonton filem The Lord of the Ring.

Saya juga selalu ke ruangan majalah, kerana majalah bagi saya lebih santai. Saya pada usia itu saya belum meminati buku, namun tetap apabila menyaksikan buku-buku yang tersusun di almari perpustakaan begitu mempersonakan, berjalan di lorong-lorong di dalam perpustakaan dengan almari buku di kiri dan kanan menimbulkan satu perasaan kenikmatan, kenikmatan berada ditengah-tengah keilmuan.

Dari lensa restrospek, saya merasakan ilmu itu bukan sahaja tersimpan dalam bentuk aksara dalam helaian buku. Mungkin sebab itu Perpustakaan Negara mempunyai ruangan multimedia, kerana ilmu juga boleh disimpan dalam bentuk lain yang lebih moden.

Dari lensa retrospek yang lain, saya kira perpustakaan yang sering saya lawati pada zaman universiti adalah perpustakaan Youtube dimana ilmu manusia disimpan dalam bentuk video. Seperti perpustakaan tradisional, Youtube menyimpan pelbagai khazanah. Ada dokumentari, temuramah, diskusi, debat, dan pelbagai sarana ilmu yang mudah diakses melalui Youtube. Antara channel Youtube kegemaran saya lately adalah Blogging Theology yang dikendalikan oleh Paul Williams. Beliau banyak melakukan reviu buku yang saya rasakan best. Banyak juga buku yang beliau reviu yang sangkut dan saya beli.

Youtube bagi saya merupakan antara tools penting pada zaman ini dalam proses pendemokrasian ilmu. Pendemokrasian ilmu bagi saya merupakan satu proses di mana ilmu tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, tapi lebih terbuka dan merebak mencakupi masyarakat awam dan kebanyakan. Sebagai contoh, mungkin dahulu hanya golongan yang mempunyai wang atau golongan miskin yang mendapat biasiswa mampu masuk ke universiti. Di universiti mereka mempunyai akses untuk mendengar perbahasan-perbahasan pemikir-pemikir yang hebat. Namun hari ini, sesiapa sahaja yang mempunyai akses internet boleh mendengar pelbagai jenis syarahan dari universiti terkemuka seperti Oxford, Havard, atau Yale perihal pelbagai topik seperti matematik, falsafah, dan sejarah. Malah melalui perpustakaan Youtube kita boleh mendengar perbahasan tentang kajian-kajian yang lebih spesifik, contohnya kajian perihal tulisan purba seperti Epic of Gilgamesh

Carl Sagan, astronomer kegemaran saya ada menulis perihal keajaiban buku yang membolehkan manusia berlainan zaman untuk berkomunikasi. Pernah seorang sahabat saya yang menunjukkan pada saya gambar helaian surat yang ditulis pada lembaran papyrus oleh seorang budak lelaki bernama Apion, beliau menyertai tentera Rom di Alexandria dan di hantar ke Miseno. Beliau menukilkan surat buat ayahnya Epimachos untuk menyampaikan khabarnya pada keluarganya di Fayum, Mesir. Surat ini ditulis lebih 2 ribu tahun dahulu sebelum ditemui oleh ahli arkeologi. Dua ribu tahun bukan satu tempoh masa yang singkat, tiada manusia yang mampu bertahan selama itu, dalam tempoh dua ribu tahun, yang tinggal tentang kita hanya debu, malah mungkin atom-atom yang membuatkan kita “kita” pada hari ini sudah menjadi sebahagian hidupan atau objek lain. Tetapi kebolehan kita untuk membaca cebisan fikiran dan perasaan Apion dalam bentuk tulisan setelah dua ribu tahun merupakan satu keajaiban.

Keajaiban ini saya kira disambung dengan lebih sofistikated oleh Perpustakaan Youtube. Saya masih ingat bagaimana saya begitu excited mendengar temuramah Carl Jung di Youtube. Videonya hitam putih tetapi audionya jelas. Temuramah itu dirakam pada tahun 1959, 31 tahun sebelum kelahiran saya. Saya tidak perlu ke Switzerland untuk mendalami buah fikir Jung, saya juga tidak perlu lahir lebih awal. Banyak juga idea-idea kebebasan dan kesetaraan yang masuk ke dalam pemikiran dan pembacaan saya melalui Youtube. Banyak pemikir-pemikir yang saya kenal lebih awal di Youtube sebelum saya membeli buku-buku dan karangan mereka. Pemikiran Chomsky dan Zinn contohnya, saya kenali melalui video syarahan mereka jauh lebih awal dari saya membaca naskah-naskah mereka. 

Sebagaimana buku, yang mempunyai jenis yang picisan dan tidak berkualiti. Begitu jugalah perpustakaan Youtube, ada juga kandungannya yang tidak berkualiti, jadi kita perlu bijak menggunakannya. Hakikatnya ia hanyalah alat, boleh digunakan untuk kebaikan dan kerosakan. Umpama sepatah senapang, boleh digunakan untuk perjuangan pembebasan dan keadilan, boleh juga digunakan untuk penindasan dan penguasaan. Walaupun kita katakan ia adalah medium yang banyak menyumbang kepada pendemokrasian ilmu, ia tidak terlepas dari kawalan. Seperti tiadanya demokrasi mutlak, tiada juga kebebasan mutlak. Bak kata Rousseau dalam The Social Contract, “Man is born free but everywhere he is in chains”. Youtube juga tidaklah bebas, sebebas-bebasnya. Sebelum Facebook membuang kandungan dan menyah-aktifkan akaun dan page, Youtube telah lama membuang banyak video-video. Dahulu antara lagu rap kegemaran saya adalah lagu Meen Er Habi yang bermaksud “siapakah pengganas?”, lagu ini adalah lagu rap perihal pembebasan Palestin. Sebuah lagu yang sangat catchy. Ia pernah ada, pernah dibuang, hari ini saya semak, telah ada semula. Mungkin polisi mereka telah berubah, namun banyak video-video yang lain dibuang oleh Youtube kekal tiada.

Hari ini, selain dari membaca buku-buku fizikal, saya masih lagi setia melayari perpustakaan Youtube. Antara perbahasan kegemaran saya yang terkini adalah syarahan-syarahan Bart D. Ehrman, seorang cendiakawan yang mengkaji teks Perjanjian Baru (Injil) dari perspektif sejarah. Hampir kesemua video syarahan beliau telah saya tekuni, walaupun beliau sering membuka syarahan beliau dengan pengenalan dan humour yang sama, isi perbahasan beliau tetap menarik, energetik, dan intelektual. Beliau sering menekankan bahawa tugas beliau bukan untuk menukar agama atau fahaman sesiapa, tetapi tugas beliau adalah untuk orang yang mendengarnya berfikir. Keminatan saya terhadap Ehrman sehingga menyebabkan saya membeli buku beliau Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Beliau sememangnya merupakan penulis yang prolifik dan sangat produktif dalam menghasilkan buku-buku yang provokatif. Ini buku beliau yang pertama yang saya beli, tetapi mungkin bukan yang terakhir.

Antara syarahan kegemaran saya yang lain kebelakangan ini adalah syarahan dari Rashid Khalidi yang merupakan editor Journal of Palestine Studies. Saya tertarik dengan teori beliau bahawa perang terhadap Palestin bukanlah dilancarkan oleh Israel sahaja, tetapi ia adalah perang yang dilancarkan oleh kuasa-kuasa besar bermula dengan empayar British hinggalah kepada imperial Amerika hari ini sejak 100 tahun yang lalu. Buku beliau bertajuk The Hundred Years' War on Palestine telah lama berada dalam wishlist saya. Siapa yang ada naskah mur-mur nak dijual kepada saya sangat dialu-alukan.

Begitulah sedikit sebanyak fikiran saya perihal perpustakaan multimedia digital yang kita ada hari ini. Hari ini kita sudah lama berada di zaman pasca kolonial, saya kira dengan adanya pendemokrasian ilmu ini kita perlu membuka pintu era baru, era keilmuan dan era pemikiran yang seharusnya mengisi ruang kemerdekaan yang telah kita kecapi. Zaman kita seharusnya merupakan zaman pembinaan negara, dibina dengan ilmu dan pengetahuan.


Jumaat, 10 September 2021

Ulasan Buku The Retreat of Western Liberalism Tulisan Edward Luce

 

Buku bertajuk The Retreat of Western Liberalism tulisan Edward Luce ini pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2017, sejurus selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat. Sebahagian besar dalam permulaan buku ini apabila dibaca kedengaran seperti Luce sedang membebel perihal kemerosotan ekonomi Eropah. Namun banyak juga apa yang diperkatakan oleh Luce bagi saya merupakan perkara yang elok direnungi dan difikirkan.

Buku ini merupakan analisa beliau perihal fenomena kemerosotan kepercayaan Eropah terhadap sistem Demokrasi Liberal sedia ada, buku ini ditulis sebagai amaran kepada mereka yang mempercayai sistem ini agar berbuat sesuatu supaya sistem ini dapat bertahan dan berterusan. Analisa beliau dalam satu aspek, seperti ingin melihat kembali thesis Francis Fukuyama yang menyatakan Demokrasi Liberal berupakan sistem terakhir dalam dialektik falsafah politik manusia. (5) Antara contoh besar yang beliau bawakan adalah kemenangan Donald Trump dan juga Brexit sebagai bukti bahawa Politik Populism kini semakin mendapat tempat untuk menggantikan Demokrasi Liberal di dunia.

Hari ini pelbagai negara merasakan mereka tidak perlu berkiblatkan Eropah untuk maju. Bagi mereka, sejarah kegemilangan mereka kini sudah kembali, dan Demokrasi Liberal pula yang bakal menjadi sejarah. (8) Bagi Luce, sejarah belum lagi berakhir. Sejarah adalah pengulangan peristiwa kejayaan dan kegagalan manusia, tidak ada satu cara untuk menyusun bagaimana masyarakat perlu disusun dalam sesebuah negara. “Hanya terdapat satu cara” untuk menyusun masyarakat menurut Luce adalah ideologi agama. (11) Ditambah dengan kegagalan Arab Spring untuk membuahkan demokrasi, “adakah Tuhan Eropah iaitu Demokrasi Liberal telah gagal?” tanya Luce. (12)

Menurut beliau, apa yang menyebabkan sistem Demokrasi Liberal kekal relevan adalah kemampuannya memberikan perkembangan ekonomi. Apabila buah-buah perkembangan ekonomi ini hilang, sistem ini akan mula roboh. (13) Seperti kata-kata terkenal Barrington Moore Jr. "no bourgeois, no democracy”. Dalam sejarah, eksploitasi kolonial Eropah memberikannya kelebihan dari sudut ekonomi. Syarikat India Timur British sebagai contoh memusnahkan industri textile India bagi memberi ruang kepada industri sama di Lancashire. Industri porcelain China diganti dengan syarikat-syarikat Eropah. (22) Pada pandangan Luce, walaupun beliau mengiktiraf rompakan Eropah ke atas Asia melalui projek kolonial, apa yang menyebabkan Eropah berjaya dari sudut ekonomi menurut beliau adalah kehebatan teknologi mereka. (23) Beliau juga menyentuh bagaimana projek kolonial Eropah membawa century of humiliation kepada China, tema yang dibahaskan dengan panjang oleh Robert D. Kaplan dalam bukunya. (23)

Namun untuk melihat masa depan, kita tidak boleh bergantung kepada ahli ekonomi. Ahli ekonomi sering kali meramalkan pertumbuhan ekonomi yang akhirnya tidak terjadi. (27) Cara kita membaca nombor ekonomi juga sering kali membawa kepada kesimpulan yang salah. Penggunaan purata sebagai contoh, sering kali membawa kepada bacaan yang tidak bermakna. Secara puratanya manusia mempunyai 1.9 kaki setiap orang kerana terdapat manusia yang hanya mempunyai satu kaki. Contoh lain adalah jika Mark Zuckerberg memilih untuk tinggal di kampung kita, kita boleh katakan secara purata, ahli kampung kita adalah jutawan. (30)

Menurut Adam Smith dalam The Theory of Moral Sentiments, sistem kapitalisma hanya boleh berfungsi dengan berkesan apabila adanya kepercayaan pada satu sama lain. Tanpa kepercayaan dalam masyarakat, kos untuk berniaga akan meningkat. (38) Sifat skeptik oleh Amerika yang memimpin dunia terutamanya dibawah Trump menjadikan sistem kapitalisma tidak lagi efisien. 

Luce juga mengutarakan kebimbangannya perihal sistem meritokrasi Amerika Syarikat yang kini bergantung pada keturunan. Kejayaan anak-anak, juga kebolehan mereka untuk menjadi kaya bergantung kepada siapa ibubapa mereka. Bidalan moden kini berbunyi “jika anda ingin menjadi bijak dan energetik, langkah paling penting adalah memilih ibubapa yang betul”. (44)

Luce juga mengkritik kelab elit antarabangsa seperti Forum Ekonomi Davos yang baginya sudah tidak lagi memahami denyut nadi masyarakat biasa. Forum ini hanya mengeluarkan buzz words seperti thought leadership dan disruptive thinking tanpa memaknainya. Bagi Luce, demokrasi bukanlah penyelesaian untuk semua masalah. (69) Sama ada kita suka atau tidak, masyarakat hari ini merasakan identiti mereka lebih dekat pada negara berbanding identiti global. Globalisasi tidak serasi dengan demokrasi. Kita tidak boleh dalam masa yang sama mahukan demokrasi, determinasi nasional dan globalisasi ekonomi, satu daripadanya harus digugurkan. (72)

Selepas membahaskan bagaimana ekonomi dan globalisasi merencatkan demokrasi. Edward Luce kemudian melihat kesan projek demokrasi di seluruh dunia. Penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah antara isu yang mencalarkan imej liberal demokrasi. Demokrasi tidak boleh dipaksakan menggunakan senapang menurut beliau. (81) China, walaupun bersifat autokratik, tidak mempunyai niat dan usaha untuk menyebarkan model politik mereka ke seluruh dunia, malah misi Beijing sekarang adalah counter-revolution. China pada sudut pandang dunia lebih menghormati diversiti tamadun yang ada di dunia. (85)

Dengan kemenangan Trump melalui peti undi, penyokong liberal demokrasi di China berada dalam keadaan dilema. Walaupun mereka membenci Trump, mereka tidak boleh mengatakan rakyat mengundi presiden yang salah. Pengakuan ini akan menyebabkan mesej mereka untuk menjual demokrasi ala Barat di tanah air mereka semakin kedengaran kelakar. Jika undi rakyat silap mengapa harus mereka diberikan hak mengundi? (86) Bagi Luce, konsep “rakyat” adalah satu ilusi, fiksyen yang kita reka sendiri. Jika kuasa itu benar-benar ada pada rakyat, ke mana kuasa itu pergi? (87)

Ketidakpercayaan kepada sistem liberal Barat bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat antarabangsa, ia turut berlaku dalam masyarakat Eropah sendiri. Terutamanya apabila blok politik kiri mereka yang memperjuangkan “multiculturism” lebih dari perjuangan mengangkat ekonomi golongan proletariat. Melabelkan mereka yang tidak menyokong blok kiri sebagai rasis adalah mudah, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah, kerana masalah utama, iaitu masalah ekonomi, tidak diselesaikan. (99)

Golongan elit yang memimpin blok politik kiri Eropah pada hari ini sebenarnya sudah terpisah dengan semangat golongan proletariat. Golongan elit yang dahulunya disebut Marx sebagai “vanguard” – golongan borjuis yang mempunyai kesedaran, mereka menurut Marx akan mengetuai revolusi. Tetapi malangnya, blok kiri hari ini tidak berminat untuk memperjuangkan ekonomi kelas pekerja, jika Lenin lahir dalam kelas elit kiri Eropah hari ini menurut Luce, beliau akan mengajar cultural studies di universiti elit Sorbonne. (110) Krisis demokrasi liberal hari ini juga merupakan perlawanan yang disebabkan oleh percanggahan antara teori demokrasi asas dan idea liberal yang kompleks. Percanggahan antara kuasa majoriti rakyat melawan kelab elit terpelajar (rule of the expert). Rakyat Eropah sebagai contoh tidak mahu menerima makanan yang diubah genetik (GMO), namun keputusan mereka ini tidak dihormati. Mereka tetap perlu menerima GMO hasil keputusan golongan-golongan pakar dalam organisasi perdagangan dunia (WTO). Suara golongan pakar (expert) mengatasi suara rakyat. Ini bercanggah dengan teori demokrasi asas dimana rakyat majoriti boleh menentukan keputusan bukan golongan pakar. (120)

Walaupun kemenangan sosok populis seperti Trump memberi tamparan kepada sistem liberal barat, apa yang menyebabkan sistem ini masih bertahan (bagi Luce sistem ini hanya berundur tidak roboh) adalah karakter-karakter yang ada dalam sistem, mereka yang percaya kepada nilai demokrasi liberal dan terus mempertahankannya walaupun diancam kehilangan jawatan. Dari pemerhatian ini, bagi Luce apa yang mempertahankan sesuatu sistem adalah karakter manusia di dalamnya bukan undang-undang atau peraturan. (133)

Bagi Luce, golongan intelektual telah berbincang dengan begitu lama perihal limitasi yang ada dalam sistem yang mengutamakan suara popular. Malah kebanyakan perbincangan ini tidak membawa hujah-hujah yang baru sejak ia diperdebatkan oleh ahli falsafah Yunani Kuno. Bagi Plato, demokrasi akan diperintah golongan samseng (mob) jika pengundi kebanyakannya tidak dapat membezakan antara ilmu dan pandangan (opinion). Bagi Aristotle golongan ilmuan perlu memimpin dengan keizinan golongan majoriti. (137-138)

Buku tulisan Luce ini, walaupun mempunyai banyak pemikiran yang menarik, terdapat juga fakta yang saya kira meragukan. Contohnya beliau mengisahkan bagaimana sekitar tahun 2019, tentera China melancarkan torpedo ke atas kapal perang Amerika USS John McCain. Peristiwa ini tidak terdapat dalam public domain. Sama ada ia tidak pernah berlaku atau Luce mempunyai sumber perisikan rahsia yang tidak diketahui umum. Beliau juga tidak mengemukakan apa-apa referens terhadap dakwaan yang meragukan ini. (152)

Antara buku yang sangat meninggalkan kesan terhadap pemikiran saya adalah Orientalism tulisan Edward Said, sehingga hari ini ia masih saya selaki dan analisa perlahan-lahan. Apabila saya melihat analisa Barat terhadap Timur, Orientalism akan muncul dan menjadi kaca mata saya. Kaca mata ini sekali lagi muncul apabila Luce membahaskan bagaimana sarjana Eropah melihat China. Hegel dan Marx melihat China sebagai “oriental despotism”, social darwinism mengklasifikasikan China sebagai bangsa kasta rendah, bagi Mill China adalah tamadun yang cacat, dan menurut Max Weber China tidak mampu mengembangkan ekonomi kapitalis. Semua pemikir ini mempunyai prejudis walaupun seorang pun tidak pernah menjejakkan kaki ke China. Pemikir baharu, seperti Henry Kissinger lebih berhati-hati dari mengikuti jejak langkah keangkuhan kolonial Eropah, beliau lebih berhati-hati dalam memaksa dunia menerima nilai Barat. Namun ada juga pemikir kontemporari yang masih berfikiran prejudis. Ahli ekonomi, Paul Krugman contohnya, memperlekeh perkembangan ekonomi Asia sebagai fatamorgana, beliau menjangkakan ekonomi Asia akan tersungkur dan hilang seperti mana model yang dibawakan oleh Stalin. Semua ini merupakan pemikiran yang berakar dari idea bahawa Barat mempunyai kehebatan moral yang lebih tinggi berbanding peradaban lain. (162)

Mungkin teori Francis Fukuyama tidak tepat kerana hari ini kita melihat kebangkitan golongan populis yang mempergunakan nasionalisma untuk merebut kuasa. Mereka berjaya naik ke puncak kuasa menggunakan platform demokrasi mengalahkan seteru liberal mereka. Sesuatu keputusan yang baik, terutamanya perihal hubungan antarabangsa memerlukan masa untuk difikirkan. Namun teknologi hari ini memaksa keputusan dilakukan dengan pantas. Ini memberi kelebihan kepada pemimpin populis, kerana mereka tidak perlu berfikir panjang untuk merangka polisi, mereka hanya perlu mengikuti sentimen yang akan membawa mereka naik, bukan kajian atau fakta. Teknologi dalam hal ini meruntuhkan demokrasi. (170) Bagi pemimpin populis, fakta itu adalah rakan mereka jika menguntungkan, jika tidak, fakta adalah musuh. (179)

Edward Luce tidak banyak membicarakan perihal penawar kepada penyakit-penyakit yang menjangkiti demokrasi liberal pada hari ini. Bagi beliau, tugas bukunya adalah untuk membuat masyarakat risau perihal perkembangan yang berlaku, agar mereka sedar akan perubahan ini dan mula menanganinya dengan bijaksana. Antara saranan beliau adalah supaya kita berhenti memburukkan mereka yang mengundi calon populis, jika dari awal kita telah menolak dan melabel mereka dengan buruk, kita tidak dapat memenangi mereka semula. (191) Untuk mengembalikan masyarakat ke pangkuan demokrasi liberal hari ini menurut Luce adalah tidak mengetepikan sebahagian besar mereka. Beliau memberi contoh bagaimana perjuangan membela minoriti mengetepikan majoriti, contohnya polisi yang mengutamakan wanita, etnik minoriti, dan golongan muda yang dalam masa yang sama mengetepikan golongan lelaki kulit putih kelas pekerja. (189) Walaupun tidak banyak idea penyelesaian yang dibawakan, buku ini amat baik dalam menganalisa masalah dan krisis yang ada walaupun ada ketikanya tona penulisannya kedengaran seperti membebel dan sedikit membosankan.

Selasa, 7 September 2021

Perihal Dua Jenis Penulisan

 

Menulis itu ada dua jenis. Pertamanya kita penulis perihal idea, pemikiran, kisah, dan pengalaman orang lain. Kita boleh menggali sumbernya melalui bacaan, diskusi, atau mendengar dialog dan ceramah. Kita tidak dapat mengembara ke semua tempat, kita tidak dapat berjumpa dengan semua guru, tokoh, orang alim, cendiakawan, ulama, tetapi kita boleh membaca kisah dan idea mereka, baik yang ditulis mereka sendiri atau yang ditulis oleh orang lain perihal mereka. Dari kisah-kisah mereka ini, idea-idea mereka, kita boleh gunakan dan kembangkan dalam penulisan kita.

Jenis kedua adalah penulisan yang berakar dari pengalaman, pemikiran dan idea kita sendiri. Ini adalah jenis penulisan yang saya gemari. Aksara yang lahir dari perasaan kita sendiri. Namun ia tidaklah begitu mudah didapatkan kerana ada ketika idea tidak mahu datang, walaupun sesudah kita menghabiskan sepuluh cawan kopi pada jam tiga setengah pagi. Pengalaman juga sesuatu yang kadang kala sukar didapatkan kerana keadaan-keadaan semasa yang tidak memungkinkan. Maka ketika ia datang, ia adalah anugerah.

Masuk ke dalam hutan juga merupakan anugerah. Setelah sekian lama berkurung selama hampir 2 tahun, pada awal September 2021 saya berkesempatan untuk membantu penduduk di Yan, Kedah yang terjejas akibat banjir. Kami bersama masuk ke dalam hutan bagi membaiki paip air masyarakat yang menggunakan sumber air gunung. Mendengar musik yang dialunkan oleh unggas, burung dan serangga, musik yang dialunkan adalah musik ketenangan. Merasai sejuknya air sungai yang mengalir di badan. Duduk diatas batu menahan air terjun yang menderu-deru laju begitu menenangkan. Alangkah baiknya jika air yang menderu-deru laju ini boleh membasuh dosa-dosa, membasuh semua duka, membasuh fikiran-fikiran yang buruk, membasuh kesedihan dari cinta yang tak kesampaian, juga membasuh diri dari rindu kepada insan yang telah hilang.

Walaupun setelah hampir sebulan musibah banjir besar berlalu. Air sungai di kaki Gunung Jerai masih lagi berbaur lumpur. Namun apabila cahaya matahari memercik ke dalam air yang terjun di celah-celah batu ia menatijahkan cahaya yang berkerlipan yang mempesonakan. Pesonanya membuatkan saya tidak mahu berpisah dengan alunan air sungai ini.

Kembali kepada topik dua jenis penulisan tadi. Penulisan hasil pengalaman dan getusan perasaan sendiri ini, selain merupakan penulisan yang jujur, original, ia juga merupakan penulisan yang hanya boleh ditulis oleh kita sendiri. Kerana setiap manusia itu unik. Penulisan jenis ini adalah penulisan yang unik. Ramai penulis dan pengkaji membahaskan bahawa penulisan jenis ini merupakan sarana menenangkan diri, menghilangkan stress, serta mencipta saat-saat indah dimana kita berjumpa dengan diri kita sendiri. Menulis perihal perasaan adalah pertemuan antara kita dan jiwa. Manusia itu sememangnya mempunyai dualiti, minda kita boleh bersembang dengan jiwa, oleh kerana itu manulia mampu bermonolog. Pertemuan dengan jiwa ini merupakan saat yang membahagiakan, kerana tiada siapa yang memahami diri kita dengan baik melainkan diri kita sendiri. Oleh itu kita boleh katakan bahawa jenis penulisan yang kedua ini adalah proses kita bertemu diri sendiri.

Jenis penulisan pertama biasanya bersifat aqliyah, intelektual, dan kering. Ia lebih cenderung dengan fakta, nombor dan logika. Manakala jenis penulisan yang kedua pula lebih bersifat ruhiyah, penerokaan perasaan yang penuh emosional dan beraspek dengan aspek-aspek kejiwaan. Manusia bukanlah robot biologikal, mereka mempunyai jiwa yang lebih dalam, jiwa yang kedalamannya tak tercapai dengan kiraan logik. Dari kedalaman jiwa inilah lahirnya seni dan kesenian. Walaupun kedengaran seperti saya mengagungkan jenis penulisan kedua, tidaklah bermakna tulisan jenis pertama itu tidak berguna dan perlu ditinggalkan. Kita hidup dalam alam realiti yang natural dan punya sifat dan sudut material. Maka disini tulisan jenis pertama memainkan peranan penting mereka dalam menjelaskan aspek ini kepada kita. 

Kedua-duanya penting. Cuma jika ditanyakan pada saya mana yang lebih dekat dengan jiwa, tentulah jawapan saya adalah yang kedua. Jika ditanya kenapa? Tidak mampu saya terangkan, kerana saya sudah katakan bahawa ia diluar penerangan logika.

Selasa, 31 Ogos 2021

Peranan Mujaddid dalam Sejarah Islam Menurut Hassan Ali Nadwi


Buku tulisan S. Abul Hassan Ali Nadwi ini pertama kali diterbitkan dalam bahasa Urdu pada tahun 1955 dengan tajuk Tarikh-i-Da’wat-o-‘Azeemat. Beberapa kali diterbitkan dalam Bahasa Arab dengan tajuk Rijal ul-Fikr wad-Da’wah fil-Islam sebelum diterbitkan dibawah tajuk Saviours of Islamic Spirit. Buku ini ditulis untuk mengisi kekosongan penulisan sejarah perihal gerakan pembaharuan dalam agama Islam. Kebanyakan pensejarahan memfokuskan kisah raja-raja, sultan, dan khalifah, tidak banyak biografi ditulis berkenaan dengan pemikir intelektual yang membawa gerakan pembaharuan. Kekosongan ini memberi gambaran yang salah terhadap Islam, seolah-olah Islam merupakan gerakan yang statik dan tidak mampu melahirkan golongan pemikir.

Tokoh-tokoh pemikir yang disenaraikan merupakan mereka yang berani melawan kerosakan, mempertahankan nilai-nilai Islam serta menghidupkan semula semangat pembaharuan dalam jiwa umat. Bagi Hasan Ali Nadwi, sebenarnya tiada kelompongan dalam pembaharuan pemikiran intelektual Islam, apa yang perlu adalah usaha untuk menulis dan mengetengahkannya pada umum. Beliau bukanlah ingin memberi makna kepada “pembaharuan” yang dibawa bukan juga sekadar menamakan beberapa tokoh mujaddid, tetapi beliau ingin mensejarahkan usaha-usaha pembaharuan dalam sejarah Islam sejak 1300 tahun yang lalu.

Kaedah Penulisan

Hasan Ali Nadwi menulis dengan mengutamakan sumber-sumber primer dan menapis sumber-sumber sekunder. Untuk menganalisa pembaharuan sesuatu tokoh, nilai intelektual, budaya, dan kapasiti akademik tokoh tersebut mestilah dilihat pada situasi masa dan tempatnya. Melihat sumbangan seseorang tokoh dengan situasi zaman moden akan menatijahkan ketidakadilan.

Penulisan dan pemikiran tokoh yang dibahaskan juga dimuatkan dengan selengkapnya supaya pembaca dapat merasai sendiri kekuatan penulisan mereka dalam membawa mesej pembaharuan. Petikan-petikan pendek tidak memungkinkan pembaca mendalami maksud asal mereka. Beliau juga tidak hanya mempersembahkan penulisan dan pemikiran mereka tetapi juga membahaskan peribadi dan akhlak mereka. Beliau juga memuatkan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ini semasa zamannya bagi menjadikan analisa beliau lebih kritikal.

Keperluan Reformasi dalam Sejarah Islam

Islam merupakan agama yang telah sempurna seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3. Agama ini berakar dari keimanan yang merupakan nilai yang tidak berubah, juga pada keadaan zaman dan kehidupan yang sentiasa berubah. Allah memberi pada agamanya kebolehan untuk memutikkan daun-daun baru yang segar seiring perubahan zaman lalu memberikan panduan pada manusia di setiap zaman. Iman dalam Islam merupakan benda yang hidup, bukan budaya untuk hanya satu zaman atau susunan yang khusus untuk satu tempat. Islam membawa solusi, tetapi bukan satu solusi, Islam membawa pelbagai solusi untuk pelbagai zaman.

Islam juga merupakan agama yang terakhir. Oleh itu ia perlu bersifat universal, mempunyai semangat rentas bangsa, juga dapat berubah dengan pantas sesuai dengan zamannya. Untuk mengharungi perubahan ini, Allah mengurniakan kepada ummat ini dua perkara. Pertama adalah sunnah Rasulullah. Kedua adalah akan sentiasa ada mujaddid baru yang mempunyai kekuatan akhlak dan intelektual yang akan membawa penafsiran baru agar Islam kekal praktikal pada setiap zamannya. Ini adalah kehendak Allah.

Islam diserang oleh musuh-musuhnya sejak ia lahir di muka bumi lagi, ia bukan sahaja dapat bertahan dari serangan musuh sepanjang zaman, malah berjaya mengekalkan keasliannya. Kejayaan Islam boleh dilihat bukan sahaja dari kejayaannya menghadapi serangan tentera Salib dan Mongol, malah Islam berjaya menghadapi serangan pemikiran seperti penafsiran salah teks agama, tradisi asing, penyembahan manusia dan kubur, fahaman materialisma juga ateisma. Di setiap cabaran zaman ini Allah menghantar tokoh-tokoh yang menjaga Islam dan keasliannya. Banyak cabaran pemikiran yang pernah menjalari umat, seperti Qadriyah, Jahmiyah, ‘Itizal, dan Din-i-Ilahi, walaupun ada ketikanya ia sangat berpengaruh dan disokong penguasa, namun akhirnya ia tidak menjadi sebahagian dari Islam, Islam berjaya mengekalkan kesuciannya, manakala pemikiran ini hari ini hanya menjadi sekolah pemikiran yang kecil. Kehidupan akan sentiasa melahirkan masalah baru, agama yang boleh menjawab permasalahan baru akan kekal relevan.

Hasan Ali Nadwi juga menekankan kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat awam. Bagi beliau tugas menggali semula sejarah Islam yang hilang bukanlah tugas sejarawan semata-mata, tetapi perlu digalas bersama oleh masyarakat awam. Dari pembacaan, mereka akan melihat bagaimana usaha untuk menjaga agama ini dari dipesongkan tidak pernah berhenti sepanjang zaman. Golongan mujaddid dalam Islam telah membantu umat sepanjang zaman dengan penafsiran yang segar, membawa umat memilih jalan yang sederhana, menggunakan akal dan logik untuk membuang keraguan, mereka telah melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana sultan atau raja.

Maulana Jalal ud-Din Rumi

Antara tokoh yang disenaraikan oleh Hassan Ali Nadwi yang bagi saya merupakan sesuatu yang membuatkan saya curious adalah Rumi. Saya mengenali Rumi melalui puisi-puisinya sebelum ini, tidak sebagai mujaddid umat.

Rumi lahir pada zaman di mana ummat Islam dilanda pemikiran rasionalima. Era dimana kefahaman agama dianalisa hanya melalui lensa hujah rasional, logika dan perbahasan falsafah. Rasionaliti menjadi faundasi dan diaplikasi kepada persoalan-persoalan metafizikal seperti sifat-sifat Tuhan. Hanya pembuktian yang boleh dirasakan melalui deria manusia diangkat sebagai kebenaran. Walaupun rasionaliti menjadikan mereka kelihatan bijaksana, metodologi rasionalisma ini telah memadamkan kehangatan jiwa dan hati mereka. Disebalik kehebatan logik mereka, banyak persoalan-persoalan perihal perasaan dan rasa hati yang tidak dapat dijawab oleh mereka, mereka menjadi ahli akademik yang kering.

Di dalam kecelaruan krisis rasionalisma ini datangnya Rumi yang digelar Sultan ul-’Ulama. Rumi merupakan anak cendiakawan terkenal pada zamannya, iaitu Baha’ud-din Valed, lahir di Balkh (Afghanistan hari ini), beliau mengikuti ayahnya yang berhijrah ke Konya (Turki hari ini). Apabila ayahnya meninggal dunia Rumi menggantikan tempat ayahnya sebagai guru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Halab dan Dimashq dimana beliau bertemu banyak ilmuan termasuk Ibn Arabi. Rumi mengikuti fahaman Sufi Mistik apabila bertemu dengan Shamsh Tebrez. Kematian beliau diratapi bukan sahaja oleh Muslim pada zamannya, tetapi oleh orang Kristian dan Yahudi pada ketika itu, malah mereka turut dibenarkan untuk menyertai pengkebumian Rumi.

Rumi sangat kritikal terhadap golongan rasionalis atas sikap mereka yang terlalu mengutamakan deria manusia sebagai sumber kebenaran. Tetapi berbeza dengan ahli sufi lain, beliau tidak hanya menyeru pada cinta dan kejiwaan semata-mata, tetapi beliau cuba memberi jawapan kepada persoalan dialektik dan falsafah ketika logik tidak dapat menjawab sesuatu persoalan. Jawapan yang diberikan sangat halus sehingga pembaca boleh memahami jawapannya tanpa merasakan jawapan itu dipaksakan keatasnya. Kitabnya Mathnawi menjawab soalan-soalan teologi dan metafizikal yang tidak dapat dijawab falsafah.

Kini Islam jatuh ke tangan kita. Maka tugas kita untuk menyambung tradisi mujaddid ini dalam sungai sejarah Islam. Tugas besar ini tidak mungkin boleh kita lakukan jika kita sendiri tidak mengetahui sejarah tradisinya. Maka paling minimum tugas kita adalah membaca sejarah ummat. Dan buku Abul Hassan Ali Nadwi ini adalah petak yang baik untuk kita bermula.

Sabtu, 28 Ogos 2021

Memenangi Semula Jiwa Remaja

Penulisan ini merupakan gubahan dari syarahan Prof. Jeffrey Lang yang bertajuk “Winning Our Children Back to Islam”. Prof. Jeffrey merupakan seorang professor matematik di Amerika Syarikat yang memeluk agama Islam pada tahun 1982.

Terdapat 6 juta Muslim di Amerika Syarikat, 1 juta dari jumlah tersebut adalah convert, bakinya adalah Muslim sejak lahir yang kebanyakannya adalah imigran. Dalam 6 juta ini 60% adalah anak-anak yang lahir sebagai orang Islam di Amerika. Dr. Jeffrey Lang bertanya, dimana mereka? Kerana beliau telah menziarahi dan berucap di banyak masjid di Amerika tetapi tidak nampak golongan muda ini. Keadaan yang sama saya kira berlaku di Malaysia, dimana anak-anak kita di masjid dan program-program kita.

Kita sering berbincang dalam usrah-usrah kita bahawa kita mahu menegakkan semula Islam di dunia. Kita hendak memenangi semula kegemilangan Islam di dunia. Tetapi anak-anak kita sendiri kita tak berjaya menangi. Kita tak perlu tengok jauh dalam masyarakat luar. Lihat keadaan dalaman kita pun sudah mencukupi. Berapa ramai anak-anak kita yang masih mengikuti usrah? Berapa ramai pelajar-pelajar lepasan institusi kita yang tidak mengikuti kita. Bolehkah kita memenangi dunia jika orang disekeliling kita pun tidak berjaya kita menangi.

Kita boleh memilih jawapan yang menyedapkan hati. “Oh, ini semua pilihan Allah”. “Kita hanya usaha, natijah Allah yang nak beri”. Bukanlah ia satu pernyataan yang salah. Benar natijah itu Allah yang bagi. Tapi sejauh mana usaha kita, pendekatan kita, dapat menawan remaja kita. Atau kita sekadar guna ayat-ayat ini kerana kita malas untuk mengkaji sebab-sebabnya. Kita tak mahu mengkaji pendekatan kita atau mengubah pendekatan agar sesuai dengan generasi baru. Jika kita benar-benar serius mahu memenangi dunia kita perlu serius memenangi semula anak remaja kita.

Jadi apa yang kita boleh buat?

Pertama kita boleh bertanya kepada mereka. Berapa ramai ibu bapa yang betul-betul tanya anak-anak soal dakwah dan tarbiyah. Kita mesti bertanya untuk memahami, zaman remaja bukan lagi zaman kanak-kanak di mana kita boleh suruh atau paksa. Zaman remaja adalah zaman kita kena fahami mereka.

Remaja zaman sekarang berbeza dengan remaja zaman dahulu. Oleh itu pendekatan kita pada zaman ini mestilah mengambil kira perubahan zaman. Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah mengkritik sejarawan yang menulis dengan mengabaikan perubahan zaman. Remaja pada zaman ini terdedah dengan pelbagai persoalan. Sama ada kita suka atau tidak mereka akan terdedah. Sama ada kita halang atau tidak mereka akan terdedah. Dan keluarga mestilah menjadi saluran di mana anak-anak remaja boleh bertanyakan soalan-soalan mereka.

Zaman dahulu mungkin kita boleh kata, jangan tanya soalan itu ini. Tapi zaman sekarang, jika kita tidak dapat jawab, mereka punya pelbagai sumber baru berkat kemajuan teknologi, yang boleh memberi mereka jawapan. Dan jawapan yang mereka terima ini mungkin menjauhkan lagi mereka dengan kita.

Anak-anak remaja mesti diberi ruang untuk bertanya, mempersoal, tanpa rasa takut di marahi. Contohnya jika mereka merasakan pendekatan kita membosankan, bahan yang digunakan berulang-ulang bertahun-tahun, usrah cakap benda yang sama sahaja. Kita kena mempunyai kesediaan untuk mendengar keluhan ini dan cuba merungkai dan menerangkan dan menyelesaikannya. Jika reaksi kita adalah memarahi, atau menggelar mereka “Oh ini tak jelas fikrah, ini dah hanyut, ini pemikiran jahiliyah”, mereka akan berhenti bertanya dan berhenti mengikuti kita. Mereka akan menjauh. 

Tapi tak semua anak-anak remaja selesa bersembang dengan ibu bapa berkenaan dengan masalah-masalah mereka, kenapa mereka tidak ikut program dan sebagainya. Cara lain untuk mengetahui masalah dan pemikiran anak remaja adalah melihat perbincangan mereka di media-media sosial. Anak-anak biasanya lebih selesa mengekspresikan fikiran mereka di media sosial di mana golongan tua tidak ada. Di Twitter misalnya berbanding Facebook. Tugas kita bukan untuk counter-argument atau memberi ceramah kepada mereka dengan komen yang panjang. Tetapi adalah untuk memahami. Seelok-eloknya persoalan, perbincangan mereka ini direkod dan dikumpulkan, kemudian dikaji, dibincangkan dan dirungkaikan dalam program kira seperti daurah dan seminar. Bukan buat seminar untuk membincangkan topik yang kita nak, tajuk-tajuk lama yang tidak menjadi persoalan buat anak remaja.

Prof. Jeffrey Lang mengutip persoalan anak-anak remaja di America dalam bukunya “Losing My Religion: A Call for Help”. Buku ini ada diulas oleh Dr. Shabir Allydalam siri buku beliau pada bulan Ramadhan 2021. Bagi Dr. Shabir buku ini sangat membantunya dalam dakwah terutamanya anak muda yang merasakan mereka susah menerima agama di zaman moden ini. Mereka merasakan perbezaan dalam institusi kita dan sesuatu yang lain dalam pendidikan dan masyarakat mereka. Contohnya, di alam pendidikan dan kerjaya mereka diajar untuk berfikiran terbuka dan kritikal, manakala kita menyuruh mereka taat tanpa perlu berfikir dan bertanya. Jika mereka menggunakan pemikiran kritis mereka mungkin diperseoalkan “Orang beriman tak tanya soalan-soalan macam ni”.

Antara isu lain adalah isu wanita dalam masyarakat. Dunia moden hari ini memberi penekanan terhadap partisipasi wanita dalam masyarakat. Hal ini tidak boleh kita tinggalkan. Kita tidak boleh menyekat anak-anak remaja wanita kita dari menjadi pemimpin juga professional dalam masyarakat. Kita sebaliknya perlu membantu dan mendidik mereka untuk menjadi pemimpin. LAtih mereka menjadi speaker dalam program-program kita hingga boleh menjadi tokoh masyarakat. Jika ini kita tidak lakukan ia boleh menjadi fitnah balik buat kita, dan jika golongan muda wanita menjauhi kita, masa depan kita lebih kelam, kerana dari mereka akan lahir generasi-generasi baru.

Semua ini merupakan perkara serius yang akan menentukan masa depan gerakan Islam. Jika ianya tidak dilihat, dikaji, difahami, dan diselesaikan, kita akan kehilangan lebih ramai generasi-generasi baru.

Khamis, 26 Ogos 2021

Lebih cerah, lebih bahagia


Seorang insan,

hanya boleh lahir dalam satu kawasan.

Tetapi dia beberapa kali bisa,

mati di tempat lain di hayat masa.

Di buangan, di penjara, di rumah

yang dicemari penindasan dan penjajah,

menjadi mimpi ngeri yang parah.

Puisi mungkin mengajar kita tidak berserah,

untuk membangun ilusi yang indah.

Tentang bagaimana kita bisa lahir kembali,

lahir lagi berkali-kali.

Dengan puisi kita boleh membina dunia,

yang lebih cerah, lebih bahagia.

Dunia fiksi yang membolehkan kita berbai’ah pada dunia,

untuk hidup bersama dengan aman selama-lamanya.

Terjemahan ucapan penerimaan Anugerah Prince Claus oleh Mahmoud Darwich, penyajak dari Palestin.

Selasa, 24 Ogos 2021

Pembaca Adalah Pelajar Sejarah


Jika anda merupakan seorang pembaca, anda adalah seorang pelajar sejarah. Jika anda seorang penulis anda adalah seorang perekod sejarah. Hakikatnya semua buku adalah buku sejarah. Meski pun buku itu ditulis perihal isu semasa, apabila ia sampai ke tangan pembaca, ia sudah menjadi peristiwa lalu, ia sudah menjadi sebahagian dari sejarah.

Sejarah adalah satu subjek yang sangat mengasyikkan. Bagaimana peristiwa yang memakan masa beribu dan beratus tahun berlalu sekelip mata didepan kita dibalik helaian-helaian buku. Namun sejarah, seperti mana tulisan-tulisan manusia lain tidaklah seratus peratus objektif. Ia terdedah dengan perspektif penulis, ideologi mereka, cara mereka memilih sumber, juga metodologi mereka dalam menentukan apa yang ingin dimasukkan dan tidak dimasukkan ke dalam sejarah.

Ada penulis yang sekadar merekod apa yang sampai kepada mereka. Metodologi mereka adalah mengumpul, mereka memasukkan semua cerita tanpa menapis sama ada cerita tersebut tepat atau tidak. Mereka tidak mempertimbangkan sama ada ia masuk akal atau tidak. Ibnu Khaldun mengkritik metodologi ini, bagi beliau sejarah perlu diasingkan dari mitos dan cerita rekaan. Bagi Ibnu Khaldun, seorang sejarawan perlu bersifat kritikal dalam pemilihan sumber, menapisnya menggunakan ilmu-ilmu yang ada secara objektif dan logikal.

"Setiap sejarawan masuk ke dalam arkib melalui pintu yang sama, tetapi mereka keluar dari pintu yang berbeza. Pintu keluar yang mereka pilih ini berkait rapat dengan orientasi politik, pemahaman moral, dan juga keinginan untuk mencabar naratif hegemonik yang mendidik mereka dari kecilsehinggalah mereka menjumpai bukti-bukti yang baru" kata Ilan Pappe. Seorang sejarawan yang berani mencabar naratif sejarah Zionis walaupun beliau sendiri merupakan seorang Yahudi. Beliau mengkritik sejarawan seangkatan dengan beliau yang tidak mahu menulis sejarah dengan bukti-bukti baru kerana terbelenggu dengan ideologi nasional. 

Bagi Bart Ehrman, seorang sejarawan yang mengkaji Perjanjian Baru dalam Kitab Injil, sejarah bukanlah apa yang berlaku pada masa lalu, tetapi apa yang kita dapat buktikan bahawa ia berlaku pada masa lalu. Metodologi Ehrman ini lebih ketat berbanding Ibnu Khaldun, menurut Ehrman untuk sesuatu itu layak diklasifikasikan sebagai sejarah, ia bukan sahaja perlu melepasi ujian logik dan rasional, ia juga perlu datang dengan bukti. Ini bermakna peristiwa yang logik tapi tidak dapat dibuktikan pernah berlaku bukanlah sejarah tetapi diklasifikasikan sebagai spekulasi atau cerita.

Pembaca awam mungkin tidak mempunyai kemahiran untuk menapis sejarah seperti Ibnu Khaldun, kerana ia memerlukan kita untuk menguasai ilmu semasa. Untuk menentukan sesuatu itu logik atau rasional kita hendaklah menggunakan neraca zaman tersebut, bukan neraca zaman moden kini. Kita juga mungkin tidak mempunyai kemahiran pembuktian seperti Ehrman, untuk mengkaji bukti sejarah kita mungkin perlu menguasai bahasa-bahasa kuno yang telah pupus untuk menganalisa sumber primer. Namun kita masih boleh menjadi pelajar dengan membaca tulisan-tulisan sejarawan yang mempunyai kemahiran ini, kemahiran membaca cukup untuk menjadikan kita seorang pelajar sejarah. 

Ahad, 22 Ogos 2021

Tiada Kebenaran di Media Sosial

 


Kita hari ini begitu obses dengan media sosial. Setiap hari kita akan bangun tidur dan scroll media sosial kita untuk mengetahui apa yang berlaku di dalamnya, apa isu yang ada, apa yang sedang dibincangkan. Kita tidak mahu ketinggalan dalam memberikan pandangan kita terhadap isu semasa. Kita perlu komen dan participate dalam semua isu. Kita mahu menjadi sebahagian dari warganet.

Dalam obsesi ini page dan individu yang mempunyai follower yang banyak dapat menentukan perbincangan di media sosial. Isu apa yang ingin dinaikkan dan dibincangkan. Kadang kala isunya berguna, banyak kalanya isunya tak bermanfaat. Isu makcik taman bergaduh pun boleh menjadi isu nasional. Pelabagai isu remeh temeh juga boleh membesar menjadi topik internasional. Maka kita sibuk dengan perkara kecil yang tiada kena mengena dengan hidup kita dan terlepas perkara-perkara besar dalam hidup.

Kita hari ini melihat dan memahami dunia melalui media sosial. Apa yang berlaku di luar menjadi tontonan kita melalui gambar dan video yang di masukkan oleh orang lain. A picture can tell thousand stories, tetapi gambar yang sama juga boleh membawa cerita yang salah apabila diberi konteks yang berbeza.

Ada masanya media sosial memberi gambaran yang benar tentang apa yang berlaku di alam realiti. Banyak masanya juga ia memberi gambaran yang salah. Contohnya, pada tahun 2009, berlaku protes pelajar di Iran. Maka wartawan Barat sibuk berpung pang di twitter mengikuti cerita demonstrasi di Iran melalui hashtag dalam bahasa Inggeris. Namun hakikatnya akaun Twitter yang mengeluarkan hashtag ini kebanyakannya dari Barat bukan akaun orang yang duduk di Iran. Wartawan Barat juga terlalu malas untuk mencari sumber dalam Bahasa Farsi atau turun membuat liputan di lapangan. Jadi mereka dan pengikut mereka pun berdemonstrasilah dalam bubble mereka di Twitter.

Tim Marshall menulis perkara yang sama perihal Arab Spring. Bagi beliau ia adalah ilusi ciptaan wartawan Barat. Mereka menemuramah demonstran yang memegang plakad dalam bahasa Inggeris. Kemudian menulis dalam laporan mereka bahawa orang Arab kini bersedia menerima demokrasi liberal ala-Barat. Namun apabila pilihanraya dijalankan, mereka terkejut apabila rakyat Arab memilih pemimpin Islam, bukan pemimpin yang ditemuramah menaikkan plakad dalam Bahasa Inggeris. Generalisasi yang dibuat adalah generalisasi yang salah, demonstran tersebut tidak mewakili sentimen majoriti penduduk Arab. Inilah ilusi yang diwujudkan oleh media sosial.

Ilusi dari media sosial ini mempunyai kaitan rapat tentang bagaimana kita mudah ditipu oleh nombor. Antara buku yang menarik perihal perkara ini adalah buku Darell Huff, How to Lie With Statistics. Antara perkara yang dibahaskan Huff adalah bagaimana bias boleh berlaku dalam kaji selidik. Jika kita membuat kaji selidik melalui talifon, data kita tidak dapat menangkap selidikan dari mereka yang tidak mempunyai talifon. Jika kita buat di kampung, di bandar tidak direpresentasi. Jika kaji selidik online, rakyat offline tidak diambil kira suara mereka.

Begitu juga nombor yang kita lihat di media sosial, dari segi bilangan komen, like dan share. Kita mudah membuat konklusi bahawa ia adalah representasi sentimen masyarakat. Hakikatnya ia adalah sentimen pengguna yang aktif di media sosial sahaja. Mungkin juga dalam ramai itu kebanyakannya adalah troll dan fake akaun. Ramai lagi mereka yang tidak aktif di media sosial, atau di kampung yang tidak punya talifon pintar. Mereka ini tidak mengutarakan pandangan mereka di alam maya. 

Jadi jangan pelik jika ada ahli politik yang dikutuk teruk di media sosial, tapi menang setiap kali pilihanraya. Kerana pandangan media sosial tidak dapat mengukur dengan tepat pandangan dunia sebenar. Mungkin ada revolusi besar di media sosial, namun keadaan di dunia sebenar masih aman damai. Jadi, jadilah pengguna yang bijak menapis informasi. Dan ingat, dunia sebenar bukanlah dunia media sosial. Media sosial bukan mahkamah untuk menentukan kebenaran. Kebenaran tiada di media sosial, yang ada ialah perspektif masing-masing.