Hari
demi hari kita selak, kita telaah dan hayati, akhirnya kita tiba di pagi baru.
Kita tutup tahun 2019 untuk memasuki dekad baru. Pagi ini terasa aman,
mataharinya bersinar ceria, anginnya lembut mendinginkan jiwa. Mari mulakan
dekad ini dengan mencari bahagia, melihat kedalam diri, memberi makna kepada
sesuatu yang kita gelarkan sebagai kehidupan. Mari kita mulakan dekad baru,
tahun baru 2020 ini dengan Rumi.
This
mirror inside me shows...
I
can’t say what, but I can’t not know! (42)
Bait
rangkap ini menangkap hati. Dalam diri kita ada perasaan, yang selalu
membuatkan kita merasakan kita tahu sesuatu, kita merasai sesuatu, merasai
emosi yang kita tidak dapat ungkapkan dengan kata-kata. Itulah perasaan, satu
pengetahuan yang kita tak bisa ungkapkan. Ia adalah bukti bahawa sesuatu yang
tidak dapat diungkapkan, tidak dapat ditulis, tidak dapat diceritakan, tidak
semestinya tidak wujud. Ia wujud tetapi dalam bentuknya yang tersendiri,
didalam hati, tak tertafsir oleh sebarang ilmuwan mahupun karyawan. Maka
dipermulaan baru ini, carilah bahagia jauh di dalam diri, ia wujud wahai teman.
The
axe doesn’t worry how thick the branches are.
It
cuts them to pieces. But not the leaves.
It
leaves the leaves alone. (43)
Setiap
insan punya kekuatan mereka sendiri. Seperti daunan yang kelihatan lembut,
mudah melayang, meliuk-liuk ditiup angin. Tetapi apabila kapak datang, dahan
yang keras yang menjadi mangsa, dedaun lembut dibiarkan tidak cedera. Dalam
kita merenung tahun baru ini, terimalah kelemahan-kelemahan kita, kesilapan
yang tak mungkin dapat kita betulkan, perkataan yang telah keluar dan tak
mungkin kita padam kembali. Dalam masa yang sama carilah kekuatan dan kelebihan
yang kita ada dicelah-celah kelemahan kita. Gunakanlah ia untuk menempuh
cabaran di masa hadapan.
Dan
dalam kita menempuhi cabaran masa hadapan, jangan kita risaukan masalah-masalah
yang bakal dan mungkin timbul. Teruslah mara dan berusaha. Ibarat kapak yang
tak pernah memikirkan kekuatan atau ketebalan kayu. Ia terus sahaja menghayun,
mengapak, sehingga akhirnya dahan yang paling keras pun terbelah. Begitu
jugalah kita dalam menghayuni kehidupan, teruslah bekerja membelah segala
masalah.
Mari
kita akhiri dengan sebuah cerita oleh Rumi.
Ada
seorang anak muda mencari sebuah nasihat, dia mahu bertanyakan soalan kepada
ahli bijak pandai. Orang-orang kampung memberitahunya, ada seorang Sheikh yang
sangat tinggi keilmuannya, carilah dia dihujung kampung bermain dengan
kanak-kanak. Sheikh ini mempunyai pengetahuan yang mendalam, tetapi ia
menyembunyikannya dengan berlakon gila dan bermain dengan kanak-kanak.
Maka
pergilah pemuda tadi mencari Sheikh tersebut. Dia menjumpai Sheikh tersebut
sedang menaiki kuda mainan dan bermain dengan anak-anak. Anak muda tadi
bertanya, mengapa Sheikh tersebut menyembunyikan kebijaksanaannya?
“Mereka
ingin aku bekerja untuk mereka, mereka mahu aku menjadi hakim, menjadi magistret,
menjadi penafsir kepada lembaran-lembaran perkataan. Tetapi pengetahuan aku
tidak mahukan itu semua. Ia mahu menikmati dirinya sendiri” kata Sheikh
tersebut.
I am
a plantation of sugarcane, and at the same time
I’m
eating the sweetness. (46)
Walaupun
sudah 747 tahun, kisah yang dibawakan Rumi ini masih relevan pada tahun 2020.
Kita sering melihat ilmu sebagai tiket untuk kita memasuki alam pekerjaan. Kita
mengejar sekeping sijil sarjana muda untuk kita hantar sebagai umpan mencari
pekerjaan. Maka hilanglah kemanisan ilmu itu, ilmu yang kita kumpul dan pelajari
tidak dapat kita rasai, tidak dapat kita hirup dan resapi, akhirnya kita hanya
menjadi robot dan pekerja di kilang dan pejabat. Kita terlupa kehidupan yang
kita ingin hidupkan, kita terlupa keilmuan kita.
Sheikh
itu menyambung lagi, bahawa apabila keilmuan itu dipergunakan dan diremehkan
hanya untuk karier dan pekerjaan, ia akan selalu risau akan pandangan orang
lain. Ia tidak lagi jujur dengan ilmunya, tetapi sering menggunakannya untuk
habuan dunia. Dia bercakap apa yang orang mahu dengar, dia sorokkan apa yang
manusia tidak mahu dengar. Luntur keilmuan kepada sekadar hiburan.
Bagi
Sheikh tersebut ilmunya adalah untuk Tuhan, dia telah jatuh cinta dengan Tuhan.
Maka biarkanlah dia menjadi orang yang jatuh cinta, yang nampak seperti orang
gila di mata orang lain. Kerana orang yang tidak gila sentiasa risau, risau
tentang pandangan orang lain, risau akan apa yang bakal terjadi, risau dengan
masalah itu ini. Tetapi tidak bagi orang gila, orang gila tidak risaukan
apa-apa.
Let
the lover be disgraceful, crazy,
Absentminded.
Someone sober
Will
worry about things going badly.
Let
the lover be. (46)
Maka untuk tahun baru ini, mungkin kita wajar tinggalkan pandangan-pandangan manusia. Kita berikan ia pada Tuhan! Selamat tahun baru sidang pembaca!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan