Apabila
tahu lukisannya dibuat kulit buku antologi puisi yang saya terbitkan bersama
rakan-rakan, anak saya melipat lukisan-lukisannya yang lain dan dimasukkan ke dalam
beg yang saya selalu bawa ke tempat kerja.
"Abi,
kakak dah masukkan painting dalam beg abi, nanti buat buku" katanya kepada
saya.
Saya
meng-OK-kannya sahaja. Hari ini balik kerja dalam bas baru sempat saya lihat
karya 'artis' ini. Tugas kita ibubapa adalah tidak membunuh kreativiti
anak-anak. Rumah bersepah itu lumrah, dan boleh dikemas, kreativiti yang mati
adalah hilangnya emas.
Kita
semua bersalah, termasuk saya sendiri, dalam proses membunuh kreativiti
anak-anak. Apabila menjerit kita suruh dia diam, apabila menconteng dinding
kita akan rampas pensil warna mereka, apabila mereka berlari kita seluruh
mereka duduk.
Anak-anak
tidak tahu apa-apa peraturan. Mereka masih sangat baru di dunia ini, jika
mereka berusia empat tahun, bermakna mereka hanya ada pengalaman selama empat
tahun sebagai manusia. Bila kita jerit "Jangan sentuh, panas!" maka
minda kreatif mereka cuba menafsirkan apa itu panas? Adakah makanan? Atau apa?
Mereka belum menguasai ilmu fizik dan belum menguasai konsep 'suhu'. Jadi
mereka akan mencuba untuk mencari makna apa itu 'panas' agar dapat dikumpul
menjadi pengalaman hidup.
Saya
masih membaca buku Jamie Glowacki dengan perlahan. Sekarang sudah sampai kepada
bab kreativiti. Apa itu kreativiti?
Kreativiti
punya banyak maksud, tak semestinya ia sama, malah mungkin boleh bercanggah.
Ada yang mendefinisikan kreativiti
sebagai proses mencipta suatu dari tiada kepada ada. Atau kreativiti sebagai
method untuk menyampaikan emosi dan perasaan dalam bentuk non-verbal. Juga
mungkin bermaksud perkara yang berbeza dari apa yang dianggap sebagai status quo.
Eksplorasi
anak-anak untuk mengenal dunia seringkali menyebabkan kita ibu bapa stress,
kita nampak bedak penuh dilantai sebagai satu tindakan nakal dan di luar
kebiasaan. Tetapi anak-anak tak pernah tahu pun apa itu 'kebiasaan'? Kerana
mereka belum biasa hidup di dunia. Minda kreatif mereka hendak membuat
eksperimen, bolehkah manusia berenang di lautan bedak di dalam bilik? Maka
mereka uji hipothesis ini. Kreativiti mereka sedang berfungsi, mereka mencipta,
dari tiada lautan bedak, kepada ada.
Masharakat
kita telah terbiasa dengan 'produk akhir'. Kerana kita bekerja di kilang, jika
tiada produk maka bagi kita tiada kerja, tiada hasil. Kita pun bawa minda
'pekerja' ini balik ke rumah apabila bersama anak-anak. Jika kita buat aktiviti
dengan anak-anak perlu ada hasil akhir, perlu ada buku yang siap diwarna,
setiap aktiviti perlu mengikut arahan yang telah disediakan, sangat sedikit
ruang ekplorasi. Walhal kreativiti juga wujud pada proses, bukan hanya pada
produk akhir. Contohnya cara memegang pensel, proses memilih warna, imaginasi
lain - pokok diwarna biru atau manusia berwarna pink. Jadi proses itulah yang
penting sebagai tempat mengembangkan kreativiti. Walaupun di mata manusia
dewasa hasil atau 'produk akhir' adalah kertas dengan contengan yang tiada
makna.
Ini
bukanlah satu seruan untuk membiarkan anak-anak membaling pinggan dan cawan
sehingga pecah bagi membiarkan mereka bereksperimen dan ber-kreativiti. Tetapi
sebagai teguran dan renungan kepada kita ibu bapa agar melihat anak-anak dengan
empati, memahami proses yang mereka sedang alami. Saya sendiri percaya
anak-anak perlu dimarahi apabila mereka melanggar peraturan, tetapi mereka
tidak wajar dimarahi jika mereka tidak diberi tahu apa itu peraturan. Ibarat
kita menyuruh anak bermain ping-pong tapi tidak diterangkan peraturan
permainan, bila mereka bermain mengikut peraturan sendiri, mereka dimarah,
mereka pun bingung.
Jadi
tugas kita sebagai ibubapa adalah menerangkan garis peraturan pada anak-anak,
agar mereka dapat mengembangkan daya kreativiti mereka dalam sempadan yang
selamat. Tentu sahaja mereka akan melakukan kesilapan, siapa tidak pernah
tersilap? Kita harus berhati-hati untuk tidak membunuh kreativiti mereka hanya
kerana mereka melakukan kesilapan.