Isnin, 27 Januari 2025

Catatan Baitul Muslim 71: Sepuluh Tahun Nan Berchenta

 

Tahun lepas merupakan tahun ulang tahun kesepuluh perkahwinan saya, namun disebabkan keadaan kesihatan yang merosot ditambah dengan kesibukan urusan duniawi, saya tidak sempat melakukan apa-apa refleksi terhadap perjalanan sepuluh tahun ini.

Saya merasakan saya berkahwin di usia yang agak muda, sebenarnya saya bercadang untuk berkahwin di usia 25 tahun, bagi mengikuti sunnah Nabi. Ternyata jodoh terlalu laju mengejar saya, setahun lebih awal saya selamat bernikah.

Bernikah bukanlah sesuatu yang mudah, selain perut, banyak perkara lain yang turut berubah. Saya struggle juga menyesuaikan diri. Berkahwin tidak semudah teori-teori indah seperti yang diungkapkan dalam “forum cinta” yang diadakan di universiti. Walaupun diwajibkan mengikuti kursus kahwin, banyak perkara dalam perkahwinan adalah seperti aspek kehidupan yang lain, ia perlu dilalui untuk dipelajari. Tidak boleh dibaca atau mendengar kuliah sahaja.

Alhamdulillah, isteri saya sudi menerima saya seadanya. Dia sedar saya tiada pengalaman berkahwin, jadi dia memaafkan saya. Saya juga sedar isteri saya tiada pengalaman berkahwin dan saya memaafkannya. Aspek kemaafan di dalam rumah tangga merupakan satu aspek yang besar, tidak mudah dijaga, sentiasa dalam hati akan terdetik rasa-rasa mahu mengungkit itu-ini. Saya dan isteri bukan pasangan sempurna, ada juga masa-masa kami bergaduh dan berbeza pandangan, itu asam garam dalam perkahwinan. Selagi kita mampu memaafkan, insha’Allah ikatan akan bertautan. Tetapi tidaklah bererti pasangan tidak perlu berubah, setiap perselisihan sebenarnya merupakan satu kuliah untuk kita belajar sesuatu.

Di awal-awal perkahwinan, saya masih ingat saya berazam pada diri untuk memberi wang pada isteri walaupun ketika itu gajinya lebih banyak dari saya. Semasa saya berkahwin saya masih belajar di peringkat pasca-siswazah. Ada juga bulan-bulan yang baki bank tinggal RM20 sahaja. Ada bulan yang saya korek duit simpanan tabung haji untuk memastikan azam ini dapat ditunaikan. Disebabkan masalah wang dan juga masalah-masalah kehidupan yang lain, akhirnya saya tinggalkan pengajian pasca-siswazah saya. Namun saya teringat pesanan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Kata beliau, jangan disebabkan miskin kita berhenti belajar. Ustaz Hadi berkata bahawa beliau hanya ustaz kampung sahaja, namun beliau tidak pernah berhenti belajar. Di tepi bantal tidurnya akan ada sebuah buku yang sedang dibacanya. Beliau menceritakan keseronokannya tentang bagaimana walaupun tidak mempunyai harta yang banyak, kembara ilmu membawa beliau hingga ke rumah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Bagi beliau, boleh makan nasi di rumah Dr. al-Qaradhawi merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Alhamdulillah, setelah bekerja beberapa ketika, saya diberi rezeki untuk menyambung kembali pengajian pasca-siswazah.

Hidup berkeluarga sememangnya bukan satu pelayaran yang mudah, keributannya akan bertambah berkali ganda dengan kehadiran anak-anak kecil. Anak-anak merupakan racun dan juga penawar. Mereka juga adalah amanah Allah yang berat kepada ibu bapa. Walaupun ada kalanya anak-anak menjadikan hidup terasa begitu berat, mereka jugalah yang menjadikan hidup begitu indah dan bermakna. Ada ketika dalam kehidupan saya menghadapi tekanan dan depresi, anak-anak yang menjadi pengubat bagi hati saya. Mereka menjadi teduh kepada jiwa saya meski pun mereka tidak menyedarinya. Ada kalanya kita merasakan kita ini loser dan tidak berguna dalam hidup, tetapi apabila ada anak-anak kecil yang sentiasa melihat kita sebagai insan hebat dan hero bagi kehidupan mereka, kita akan merasakan bahawa hidup ini merupakan hidup yang bermakna. 

Perjalanan sepuluh tahun ini merupakan nikmat besar kurniaan Allah kepada saya, hamba yang kecil dan hina. Moga saya belajar sesuatu darinya, dan dapat menjadi suami dan abi yang lebih baik pada hari esok dan seterusnya. Itu pun jika esok saya masih direzekikan dengan nyawa.

Selasa, 21 Januari 2025

Takut Menjadi Penulis? Lompat Dahulu


Ada ketika-ketika, saya akan mendapat soalan dari penulis pemula yang takut mahu keluarkan penulisan mereka. Kalau tanya saya, saya akan jawab, terbitkan dulu, takut kemudian. Antara soalan yang menggari pemerikan mereka adalah "Kalau penerbit tolak macam mana?".

Jawab saya, cari penerbit lain, penerbit bukan satu sahaja dalam dunia ini. Kalau semua penerbit tidak mahu menerbitkan karya kita, maka kita boleh terbitkannya sendiri. Yang penting jangan berhenti. Mereka kemudian bertanya lagi, "bagaimana kalau karya tak best dan dikritik oleh orang?".

Jawapan saya, bagus, orang yang berjaya adalah orang yang boleh terus menulis walaupun menerima seribu kritikan. Penulis yang gagal pula adalah yang berhenti selepas mendapat kritikan pertama. Oleh itu, jika anda mahu menjadi penulis tetapi takut, maka saranan saya lompat dahulu dalam bidang penulisan, simpan dahulu perasaan takut itu di dalam kotak.

Curriculum Vitae


Tahun 2025 ini, antara projek yang saya usahakan adalah untuk membina senarai bibliografi lengkap perihal penulisan, wacana, dan juga diskusi yang pernah saya sertai dan hasilkan. Ia akan menyenaraikan penulisan saya di dalam buku, jurnal, zine, laman web, dan juga penulisan di media elektronik. Halaman curriculum vitae ini cuba mengumpulkan bibliografi rekod penulisan dan wacana saya sepanjang beberapa tahun ke belakangan ini. Rekod ini akan menyenaraikan tulisan saya berbentuk buku, jurnal, artikel zine, nota, transliterasi dan lain-lain. Selain itu dikumpulkan juga program-program yang saya sertai sepanjang beberapa tahun termasuk seminar, ucapan, bengkel, diskusi, perbahasan, wacana, dan lain-lain. Walaupun rekod bibliografi ini cuba menjadi rekod yang paling lengkap, ada lagi beberapa penulisan yang masih belum disenaraikan termasuklah artikel di laman web, majalah, dan lain-lain. Juga rekod-rekod audiosiar belum sempat juga dimuatkan. Jika ada daya dan upaya, akan dikemaskini lagi di masa hadapan. Laman curriculum vitae saya boleh diakses di sini.

MATRI: Bersama Kuntuman Baru Yang Subur


Dalam kotak hati saya ada satu ruangan khas di mana saya menyimpan kenangan dan memori saya di MATRI. 5 tahun saya dikandungkan dalam rahim tarbiyah ini, sejauh mana pun saya pergi, tiada tempat yang lebih istimewa dari MATRI. Setiap kali saya pulang kepadanya, seolah-olah MATRI tidak pernah jemu menyambut saya, 22 tahun yang lalu seperti semalam. Setiap kali saya pulang, saya sentiasa merasakan saya pulang sebagai pelajar, pelajar kecil yang sama yang memakai baju raihan hijau 22 tahun yang lalu. Saya tidak pernah masuk dengan merasakan saya adalah "bekas pelajar". Apabila mendapat jemputan untuk kembali ke MATRI, hati saya berbunga, menolak tidak ada dalam pilihan saya.

Peluang untuk berkongsi hati dengan adik-adik MATRI merupakan peluang yang lebih berat dari timbangan emas, satu peluang yang sentiasa saya harapkan. Walaupun saya dijemput atas tajuk forum tertentu, saya sebenarnya datang dengan agenda saya tersendiri. Saya tidak mahu bersyarah atau memberi huraian akademik kepada adik-adik saya. Tetapi saya mahu kongsikan perasaan cinta dan sayang saya pada mereka. Mereka adalah kuntuman-kuntuman subur yang baharu, generasi yang bakal menyinari alam.

Saya melihat ramai senior dan abang-abang sering mengulang bahawa "MATRI sekarang tidak seperti dulu", generasi baharu dikatakan sebagai generasi lembik, generasi tiktok yang tidak tahan lasak seperti generasi dahulu. Saya mahu adik-adik di MATRI meninggalkan pemikiran ini. Bagi saya ia adalah pemikiran lapuk dari generasi yang lapuk. Yang masanya sudah di berlalu dan mereka sudah tidak relevan.

Bagi saya setiap generasi hebat sesuai dengan zamannya. Mereka tidak perlu mandi air telaga atau mandi di Tasik Melati untuk menjadi hebat. Generasi baharu akan menempuh cabaran baharu, jadi mereka perlu ditarbiyah dengan cara baharu, sesuai dengan kehendak zamannya. Bagi saya generasi baharu MATRI akan menjadi generasi yang hebat, lebih hebat dari generasi saya sendiri. Saya mahukan adik-adik MATRI bercita-cita tinggi, menjadi bukti bahawa sekolah kecil ini mampu melahirkan generasi yang mampu menyinari zaman, membawa dunia yang gelap ini kepada masa depan baharu yang lebih cerah.

Saya juga kagum dengan soalan-soalan yang ditanyakan. Ini menguatkan lagi perasaan saya bahawa generasi baru MATRI ini lebih istimewa. Lebih berani berfikir dan ber-idea. Saya yakin, mereka semua akan menjadi insan-insan yang penting di masa hadapan. Aset besar buat Islam. Terima kasih diucapkan kepada para guru, murobbi, dan murobbiah yang terus setia mengasuh adik-adik kami di MATRI. Kami terhutang budi, kerana kalian melakukan tanggungjawab yang kami lepasan MATRI sendiri tidak mampu laksanakan. Harap kalian terus sabar dengan mereka, melihat mereka dengan kasih sayang. Ketahuilah, sekelip mata sahaja mereka akan keluar dan menjadi sebahagian dari masyarakat. Kesabaran mendidik akan menjadi asset besar bagi masyarakat pada masa akan datang.

Maka teruslah berkuntum adik-adik MATRI.
Simpanlah cita-cita yang paling besar.
Dakilah gunung yang paling tinggi.
Hiduplah dengan tarbiyah yang membakar di jiwa.
Jadilah manusia berguna di bumi.
Kutiplah ilmu hingga ke celahan bumi yang paling tersembunyi.

Ada pun aku, 
abang jauhmu, 
tidak menyimpan apa-apa buat kalian,
kecuali cinta dan harapan.

Terima kasih MATRI yang memberi saya sedikit ruang untuk berkongsi hati dan rasa bersama adik-adik yang disayangi. Ampun maaf andai ada tersalah kata, atau ada lawak hambar yang dikongsikan bersama. Apa pun orang kata, MATRI tetap di hati. 

Penulisan ini merupakan catatan getusan hati saya dalam forum bertajuk "Nafiun Lighairihi" dalam Program Khas Tamrin Selamat Pulang 2024 bersama Hazmin Zolkapli dan Suhaib Shapiee (Moderator) pada 06 Januari 2025 bertempat di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah, Perlis.

Sabtu, 28 Disember 2024

Buku-Buku Healing Saya


Pada pandangan saya, beberapa golongan terlalu pantas menghukum orang lain dengan buku-buku mereka. Walaupun banyak sahaja buku yang saya tidak minat, dan saya pun tak rasa ia buku, tapi jika orang lain suka membacanya, itu hak mereka. Mereka hendak namakan buku mereka healing ke, feeling ke, dreaming ke, pening ke, itu juga hak mereka. Saya kira definisi buku healing tu sendiri belum betul-betul diperjelaskan. Apa yang dimaksudkan dengan buku healing?

Ia mungkin membawa maksud berbagai bagi orang yang berbagai. Bagi saya, buku-buku healing bermaksud buku yang kalau saya baca, saya rasa seronok, relaks, dan chill. Tidak semua orang ada otak yang sama, hidup yang sama, masalah yang sama, cara berperasaan yang sama. Untuk paksa mereka baca buku tertentu sahaja untuk menenangkan diri mereka adalah sesuatu yang di luar logika bagi saya.

Ada orang mungkin rasa relaks bila baca buku sejarah, ada yang bertenang dengan baca memoir, ada yang tenteram bila dapat baca karya akademik aras tinggi, ada yang rasa aman bila baca kata-kata yang puitis, ada yang rasa nikmat haqeqat bila dapat baca buku-buku agama. Tiada masalah, masing-masing boleh healing dengan cara masing-masing. Jangan ingat kita je yang best, itu perasan, padahal generasi kita mungkin membosankan kepada generasi yang lain. Boleh ke kita nak kawal perasaan orang lain?

Kegelisahan Dalam Pembacaan

 

Dahulu, antara kegelisahan saya adalah jika terlupa membawa buku apabila travel, kerana di celahan-celahan masa yang boleh diisi dengan pembacaan akan berlalu dan dibazirkan. Walaupun mungkin kita merasakan tidak akan ada masa untuk membaca apabila bermusafir, sebenarnya di celah-celahnya masih banyak situasi menunggu yang boleh digunakan.

Tetapi sekarang saya ada kegelisahan baharu, iaitu jika tidak bawa pensel bersama. Kerana pembacaan sekarang saya rasakan tidak lengkap jika tidak dapat dilakukan nota. Idea dan pandangan yang muncul akan terbazir jika tidak di-annotate-kan. Membaca secara leisure memang menyeronokkan, tetapi membaca bersama annotasi lebih memuaskan.

Menghadiahkan "Homo Historikus" Kepada Guru

 

Pada 13 Disember 2024, setelah selesai menghadiri kuliah. Saya sempat memberi hadiah buku saya, Homo Historikus kepada Puan Guru Dr. Norasmahani Hussain. Dr. Norasmahani merupakan antara guru awal saya dalam bidang sejarah, beliau banyak memberi pengenalan awal kepada saya terutamanya dalam hal teori dan kaedah sejarah. Ada beberapa orang guru lagi yang saya belum sempat berjumpa untuk diberikan hadiah buku. Moga Allah merahmati semua guru-guru yang mendidik saya.


Progres Sakit Jantung di Umur 34 Tahun

 

Saya mengalami serangan jantung kali pertama pada bulan November 2023. Selepas hampir setahun, saya mengalami serangan kedua pada penghujung Oktober 2024 dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Kubu Baru.

Pada minggu lepas, hampir setiap hari rasa chest pain, tapi sebab ada beberapa perancangan yang sudah diatur, jadi saya tangguhkan dulu untuk serah diri di hospital. Ada hari yang rasa mild sahaja, lepas ambil GTN dia resolve. Ada hari yang kuat juga sakitnya, sampai kebas tangan kiri, makan GTN tiga kali pun masih rasa chest pain-nya. Setelah seminggu bertangguh, saya pun pack la beg untuk serah diri di hospital untuk berjumpa dengan kardiologis pada 23 Disember 2024.

Kardiologis: Kamu ni hisap rokok banyak sangat kot?

Saya: Ish, suka hati doktor aja main tuduh-tuduh, saya mana hisap rokok.

Kardio: Ke awak selalu lepak dengan kawan yang hisap rokok?

Saya: Mana ada doktor, saya duduk rumah aje, aktiviti harian selalu memasak lepas tu tolong sidai kain sikit-sikit kalau tak hujan.

Kardio: LDL awak ni tinggi lagi ni 2.1, patut kalau makan ubat bawah 1.4, awak makan ke tak ubat ni?

Saya: Hari-hari makan doktor, macam solat, saya tak pernah tinggal, makan atorvastatin full tablet 40 mg.

Kardio: Yeke, kenapa tak turun. Awak makan apa hari-hari?

Saya: Makan sup ayam je doktor hari-hari.

Kardio: Sup pun banyak kolestrol, nak makan sup biar dia sejuk sikit, lepas tu buang minyak yang bertakung kat bahagian atas tu. Lepas ni jangan makan benda berminyak, santan, goreng-goreng semua tak boleh. Mee goreng kalau nak makan sekali sebulan je. Ubat apa awak makan sekarang?

Saya: Banyak doktor, perindopril, pantoprazole, glycine, clopidogrel, atorvastatin. Lepas tu hari tu doktor KKB tambah bisoprolol.

Kardio: Ok, saya tambah dosage sikit, clopidogrel awak makan dua kali pagi dengan malam. Tapi jaga-jaga siked, sebab darah akan jadi cair, jangan bagi tangan luka, gosok gigi pun jangan kuat-kuat. Saya bagi juga vastarel, awak makan sebulan.

Saya: Ok doktor. Saya ingat tahun depan saya nak pergi gym la doktor, dah tak boleh running, saya nak buat muscle, bagi sado macam Hugh Jackman. Exercise muscle tak kacau jantung.

Kardio: Condition awak dengan 50% block dekat LAD artery saya tak suggest la awak ni pegi gym, lagi pun muka awak tak masuk dengan bentuk badan sado. Awak kan suka masuk marathon, jogging je la keliling taman 10 km.

Saya: Doktor tak nak check ke, kot la block tu dah hilang.

Kardio: Kan tahun lepas baru buat angio, kompem ada lagi punya.

Saya: Boleh ke jogging sakit jantung ni doktor, saya dah tinggal dah jogging ni.

Kardio: Boleh, jangan laju sangat, slow-slow je, 10 km saya bagi.

Saya: Ok doktor, esok jugak saya update Strava. So hari ni warded tak?

Kardio: Tak payah la, saya nak cuti Krismas.

Selasa, 24 Disember 2024

Kesunyian Adalah Teman Baik Penulis

Sepanjang saya menulis, saya rasa kehidupan penulis ini ada musim-musimnya. Musim pertama adalah musim kesunyian. Dalam musim ini saya mempunyai banyak masa berseorangan. Boleh duduk termenung dengan tenang dan berfikir tentang banyak perkara. Saya boleh membaca dan menghadam buku berlama-lamaan. Membuang masa dengan menulis dan menghuraikan sesuatu yang mungkin pada mulanya tidaklah begitu bermakna. Kesunyian dalam musim ini merupakan teman baik bagi saya. Ia memberi saya masa dan ruang untuk larut dalam pemikiran. Tenang.

Musim kedua adalah apabila sesebuah penulisan itu diterbitkan. Musim ini merupakan musim perlawanan untuk merebut kesunyian. Jarang sekali pada musim ini saya dapat menyendiri dan bercakap-cakap dengan sepi. Biasanya masa dipenuhi dengan acara, berjumpa manusia, berdiskusi, minum kopi bersama, serta berdebat tentang idea. Kesunyian hanya dapat mengintai saya dari jauh sahaja pada musim ini. Masa merupakan satu komoditi yang kering, yang sering saya tidak punya untuk digunakan untuk duduk merenung jauh. Sama ada renungan dalam bacaan, atau renungan dalam penulisan. Tetapi seperti setiap musim, ia juga akan berakhir dan menerbitkan musim baharu.

Lama kelamaan acara akan surut dan saya akan hilang dari pandangan manusia. Ah. Ini adalah masa emas untuk saya melarikan diri. Bertemu semula dengan kesunyian. Kesunyian yang tidak pernah menyakitkan hati atau merajuk dengan saya. Sentiasa sahaja kesunyian itu menyambut saya semula apabila tamatnya musim acara. Saya dapat duduk kembali dan termenung lama, dalam sejuk hujan dan juga panas kopi. Cuba memahami falsafah penulis gila, dan juga idea tidak masuk akal pakar-pakar dunia, juga ada ketikanya hanyut dibuai bait puitis penulis putus cinta. Dalam kesunyian juga, idea biasanya datang bertandang segar, sembangnya panjang tanpa noktah. Dalam musim kesunyian sebenarnya adalah masa-masa indah. 

Kembali tenang.

Khamis, 19 Disember 2024

Ciri-Ciri Kedai Kopi Yang Berjaya


Sebagai seorang pembaca dan penulis, tentulah kehidupan harian saya tidak boleh lari dari secangkir kopi. Peneman setia saya dalam mengelamun menafsir manuskrip orang lain juga sebagai peneman hidup ketika saya sedang menulis manuskrip saya sendiri. Walaupun saya paling selesa membaca dan menulis di ruang kecil peribadi saya di rumah sendiri. Ada kalanya saya terpaksa keluar untuk membaca dan menulis di luar. Namun dalam banyak ketika, suasana di luar ini sering melukakan hati saya kerana suasananya yang tidak kondusif bagi saya melakukan kerja-kerja saya. Maka di sini saya ingin menetapkan beberapa ciri-ciri wajib yang harus ada pada pengusaha kedai kopi bagi memastikan kedai kopi mereka berjaya. Ciri-ciri ini harus dijadikan silibus wajib bagi pengusaha semua kedai kopi di seluruh dunia. Jika Elon Musk berjaya membina koloni manusia di Marikh, silibus ini seharusnya turut terpakai di sana.

Ciri-ciri kedai kopi yang berjaya:

1. Kopinya mestilah sedap dan pahit. Jika kopi itu manis sehingga tenggelam rasa pahitnya, maka itu sebenarnya bukan kopi, tetapi air gula yang ditambah sedikit serbuk kopi.

2. Suhu kedai tidak terlalu sejuk sampai menggigil, faktor suhu ini sangat penting kerana penulis dan pembaca seperti saya memerlukan masa duduk yang lama. Suhu juga tidak boleh panas dan merimaskan sehingga menyebabkan ketiak basah.

3. Tidak pasang lagu bising yang bingit. Membaca dan menulis memerlukan konsentrasi yang tinggi, sesuatu lagu mungkin diminati oleh barista, tetapi bagi peminum kopi yang sedang membaca dan mencari idea, ia mungkin adalah azab yang menyiksakan. Oleh itu kedai kopi yang baik perlu ada suasana tenang, perlu ada vibe tenang ala-ala Ghibli. Apakah yang dimaksudkan dengan vibe Ghibli? Saya selalu melihat hasil seni Ghibli yang ada unsur-unsur nature sebagai karya yang sangat menenangkan. Jadi, vibe Ghibli adalah kedai yang tidak terlalu sibuk, dan ada permandangan yang cantik di dalamnya.
 
4. Akhir sekali,jangan kacau orang yang sedang minum kopi sambil baca buku didalamnya. Ini merupakan sesuatu yang paling pantang! Jika pada ketika dia dikacau dia sedang dapat idea dan ideanya terputus, boleh jadi dia akan trauma seumur hidup.

Setakat pengalaman saya hidup di dunia yang singkat ini, saya belum jumpa kedai kopi yang telah memenuhi semua kriteria ini.

Ahad, 15 Disember 2024

Berangan Sampai Terlepas Simpang


Pagi 17 November 2024, selepas balik dari mengambil appointment di Hospital Alor Setar untuk berjumpa dengan pakar jantung, saya sedap berangan di dalam kereta. Jalan pada pagi Ahad itu lengang, jadi fikiran melayang dengan lebih jauh.

Semester ini saya ada satu lagi subjek yang perlu dilalui sebelum boleh menulis tesis. Sekarang saya sedang baca buku John Tully pasal sejarah Kemboja dan peranan yang dimainkan oleh Norodom Sihanouk. Seronok buku dia, pandai Tully ini menulis buku. Saya kira antara keseronokan menyambung pengajian dalam bidang sejarah adalah perkenalan dengan bahan-bahan bacaan yang menyeronokkan. Membuatkan kita seolah-olah dirasuk dengan pembacaan dan menimbulkan kehausan yang mendahagakan ilmu itu semakin kuat.

Saya pun berangan untuk tulis sebuah buku pasal sejarah Asia Tenggara, tajuknya mungkin "Bagaimana Asia Tenggara Muncul di Dunia" di mana diskusinya akan survey beberapa kerajaan Asia kuno seperti Kedah Tua, Angkor, dan Majapahit, kemudian melihat bagaimana proses permodenan bermula. Saya lihat banyak trend yang sama di negara-negara Asia Tenggara perihal sejarah mereka. Kemudian mungkin penutupnya akan berbincang tentang masa depan Asia.

Punya la khusyuk saya berangan, terlepas simpang Sungai Petani, sedar-sedar saya sudah sampai di Sungai Dua, simpang Bertam pun terlepas. Terpaksalah sedekah lebih sedikit bayaran tol lebuhraya kepada Kerajaan Madani.


Koleksi Fikir: Buku Baharu & Komuniti Buku Eksklusif


Buku Baharu Sampai di Rumah

Beberapa kitab ulama' sejarah yang tiba pada 20 November 2024, dengan kehadiran buku-buku baharu, ia akan memaksa kita membaca buku-buku lama kita. Selain itu, ia juga menjadi satu peringatan bahawa usaha mencari ilmu itu tidak pernah habis. Ilmu adalah lautan, tempat kita berlayar tanpa menjumpai sempadan. Walaupun tiada sempadan, dalam perjalanan, banyak permata berharga akan kita temui.

Komuniti Buku Eksklusif

Komuniti penulisan pun sebenarnya banyak yang eksklusif, walaupun mereka sembang macam-macam pasal keterbukaan, meraikan pendapat, dan lain-lain, tetapi itu semua hanya sembang semata-mata. Tapi jangan risau, komuniti yang eksklusif sangat ini lama-lama mereka akan hidup dalam bubble sendiri, mereka akan syok dengan geng mereka dan terpisah dari masyarakat. Oleh sebab itu jangan sibuk hendak bergayut dengan mereka, kalau kita ditolak, boleh jadi kita yang membosankan, atau mereka yang membosankan. Boleh cuba cari komuniti baharu, kalau tak jumpa juga, boleh dirikan komuniti baharu. Buat komuniti yang lebih inklusif, lama-lama geng-geng eksklusif ini akan kembali mengendeng sebab komuniti mereka semakin membosankan dan tidak dapat sambutan.

Memori Permusafiran & Pembacaan di Celahannya


Antara benda yang menenangkan jiwa dalam permusafiran adalah berteman dengan buku yang sedap di baca. Dua tiga hari ini memang selalu hujan di Kuala Lumpur, satu petang, saja ambil kerusi dan duduk membaca sambil ditemani hujan turun. Tenang hati seolah-olah hujan sedang membasahi hati. Mungkin lepas ni kena buat lagi, masa hujan lebat, ambil kerusi dan membaca sambil menghirup kopi. Fuh!

Buku yang dipilih adalah catatan kembara Zakaria Ali di Mexico pada zaman 70-an. Zaman ini saya rasa zaman emas para pelajar Malaysia mengembara di dunia. Rasanya antara vibe kembara lain yang seakan buku ini adalah buku Kembara Darus Senawi 1963 yang ke Mesir menaiki kapal laut. Baca kembara orang dulu-dulu ini menarik, sebab susah payah kembara itu memang real. Zaman tersebut belum ada wassap, airbnb, booking.com, agoda, air asia dan lain-lain. Jadi memang vibe susah travel itu boleh kita baca dalam aksara-aksaranya. Travel hari ini sudah menjadi lebih kepada leisure travel. Tunggu flight sambil minum latte, cabaran paling ganas pun adalah flight delay. Teringat baca buku Kembara Darus Senawi 1963, cabaran beliau stranded di India berbulan-bulan, terpaksa tumpang rumah setinggan untuk survive.

Di Mexico ini saya lihat cabaran Zakaria Ali juga boleh tahan hebatnya, kerana faktor bahasa, dan juga gaya kerja orang Mexico yang boleh tahan menyusahkan hidup orang lain. Tapi di celah-celah kesusahan itu, pasti diselitkan juga manisnya di mana.

Bila travel berseorangan, saya selalu teringat zaman belajar dahulu, malam-malam meredah salji dari asrama ke "vokzal" (stesen kereta api). Dahulu saya biasanya menaiki tren yang dinamakan Krasnaya Strella, dari St. Petersburg ke Moskva, hampir setiap bulan untuk menyertai program-program persatuan pelajar. Antara lagu best yang saya selalu dengar semasa travel adalah lagu Talib al-Habib yang bertajuk "Travel Light". Lagu ini sangat menenangkan dan poetic, saya tak pasti kenapa ramai yang tidak tahu tentang lagu ini dan kenapa ia tidak menjadi popular di Malaysia. Lagu-lagu beliau rare, kalau dihayati lirik pun saya akan merasa tenang sahaja. Sedikit liriknya saya kongsikan untuk menyebarkan vibe lagu beliau:

"Live this life like wayfarer journeying
Like a stranger on his way back home
Traveling light
Trying to break the shackles that bind me to the things tempting me to stay
But the truly precious is as light as a feather and all else is memory that fades away
Traveling on, just like a river flowing past hearts more unmoving than a mountain stone
Why do you flow they say?
And where are you going?
Onwards ever onwards to the sea and home".

Fuh, memori.

Aliran Sejarah Anti-Kolonial


Penulisan sejarah kaum peribumi bukan sahaja ditulis dengan bias dan prejudis. Ia juga ditulis dengan sengaja mengabaikan beberapa fakta utama bagi memperlihatkan keagungan kolonial Eropah. Dalam membaca sejarah Pulau Pinang, perkara ini dapat dilihat dengan begitu jelas bagaimana sejarah awal itu digelapkan dan tidak ditonjolkan. Pulau Pinang dicabut dari akarnya, iaitu Kerajaan Kedah, dan dikatakan dibuka oleh seorang mamat Inggeris dari Suffolk. Bagi melawan penjajahan sejarah ini, ahli sejarah dan penulis peribumi telah menulis sejarah yang beraliran anti-kolonial. Penulisan mereka inilah yang telah dianalisa oleh saya dalam kajian saya yang terkini. Terima kasih Journal of History and Archaeology yang menerbitkan kertas kajian saya. Jemput sahabat-sahabat membacanya, klik di pautan di bawah:


MTL 2024: Bersama Misi Banjir HALUAN di Kedah & Kelantan

Bersama Ustaz Aizat di Derang, Kedah pada 03 Disember 2024.

Pada setiap tahun, Malaysia akan dilanda Monsun Timur Laut (MTL). Ada kalanya, musim monsum ini membawa bersama banjir yang kecil sahaja. Ada juga tahun di mana air banjirnya begitu tinggi sampai menenggelamkan tingkat dua bangunan sekolah. Pada tahun 2024, MTL membawa banjir yang agak besar, membawa kerosakan teruk di sekitar negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Saya sempat turun ke beberapa misi di Kedah dan Kelantan dalam musim MTL 2024.

03 Disember 2024

Pada 03 Disember 2024, saya berkesempatan membersihkan dua buah rumah di Kampung Tengah, Mukim Derang, Kedah. Antaranya rumah mertua Ustaz Anas Mokhtar (UAM) kemudian rumah Ustaz Aizat, pengetua sekolah rendah Ma'ahad Derang. Kami juga sempat meronda-ronda di sekeliling kampung untuk melihat rumah penduduk dan mengagihkan roti dan air mineral. Sebahagian rumah masih belum surut airnya sepenuhnya. Sebahagian yang lain sudah boleh dimulakan proses pembersihan. Besar ujian yang menimpa penduduk. Kawasan Derang ini sudah mengalami banjir sebanyak 4 kali pada tahun ini sahaja. Ada yang baru sahaja beli perabot baru bulan lepas. Habis tenggelam dan hancur. Kerugian benar-benar menyayat hati. Harapan saya adalah semua yang berkemampuan untuk sama-sama turun padang untuk membantu membersihkan rumah penduduk. Juga menyalurkan bantuan seperti barang makanan. Semoga dengan bantuan kita dapat meringankan beban mereka.

06 Disember 2024

Pada 06 Disember 2024, saya sempat membantu penduduk membersihkan rumah bersama pasukan HALUAN Kedah di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah. Kebanyakan rumah-rumah penduduk sudah banyak yang sudah selesai dibersihkan di bahagian dalam. Namun masih banyak yang perlu dibersihkan terutamanya perabot dan kelengkapan rumah. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menyumbang tenaga pada hari tersebut.

Pasukan HALUAN Kedah di Taman Tabung Haji, Kepala Batas pada 06 Disember 2024.


09 Disember 2024

Setibanya saya dan Salahuddin Nordin  di Pasir Puteh, kami dijemput oleh abang ipar saya, Muhammad Zakiran Mahmud di stesen. Selepas sarapan, kami terus membantu mengagihkan bantuan barangan banjir kepada penduduk terjejas. Barangan yang diberikan adalah toto dan kain pelikat sumbangan RANDEX 2024 dan juga hygiene kit sumbangan Yayasan Hasanah. Sebanyak 60 set diagihkan dari rumah ke rumah di Kampung Gaal Hilir, Pasir Puteh. Kemudian sebanyak 45 set diagihkan kepada penduduk di Kampung Gong Pasir, Pasir Puteh secara berkelompok. Agihan berkelompok lebih mudah kerana tidak perlu gerak dari rumah ke rumah. Sebelah petang, sempat berendam di air terjun bersama anak-anak sedara.

Gambar bersama pasukan HALUAN di Johor mengangkat tangki air ke dalam lori di Taman Uda Murni pada 10 Disember 2024.

10 Disember 2024

Tim Haluan dari Johor tiba di Pasir Puteh diketuai oleh Wak Kamarojman. Kami bergerak ke Kota Bharu untuk loading barang pembersihan dan tangki air menggunakan 3 hilux dan sebuah lori. Ini kerana kawasan terjejas di Tumpat masih belum pulih sistem pengairannya sepenuhnya. Maka air perlu dipam ke dalam tanki dan dibawa menggunakan lori. Di Tumpat kami membersihkan kawasan kompleks Pondok berdekatan Sungai Golok. Dekat betul kampung tersebut dengan Thailand. Kami membersihkan beberapa bilik asrama dan juga bilik kelas. Sebelum balik, Muhammad Farhan Johan belanja kami makan siakap 4 rasa di Restoran Siam, Kota Bharu. Terima kasih kepada semua sahabat dan ahli keluarga yang banyak membantu menguruskan permusafiran kami dalam misi banjir kali ini. Semoga Kelantan dapat pulih sepenuhnya dan terus membangun bersama Islam. Jumpa lagi!

Gambar bersama Tim Bravo Randex 2024, Salahuddin Nordin dan Muhammad Farhan Johan.

Bichara "Homo Historikus" Anjuran Lestari Hikmah di Hubooks, Ipoh


Pada hari Khamis (12/12/2024) saya sempat membicarakan perihal buku terbaharu saya iaitu Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia terbitan Penerbit Cakna. Pertama, saya cuba menerangkan perihal pandangan saya perihal perkembangan kesedaran sejarah di Malaysia. Saya kira kesedaran sejarah di Malaysia ini terbahagi kepada beberapa fasa. Pertama adalah fasa sejarah tradisional di mana penulisan sejarah berbentuk sastera dan mempunyai pengaruh mitos dan legenda yang kuat. Kemudian fasa pensejarahan objektif yang mempunyai pengaruh kuat kolonial. Fasa terakhir adalah fasa pensejarahan baharu yang objektif, bebas dari pengaruh kolonial dan bersifat demokratik. Fasa akhir ini melahirkan pelbagai naratif baharu yang saling bertentangan antara satu sama lain.


Perbahasan juga dilanjutkan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Abang Syed Omar Hussain perihal keutuhan sejarah lisan dan juga kebolehan kita mencapai sejarah yang sempurna. Saya berpandangan bahawa sejarah lisan adalah sumber sejarah yang valid tetapi mesti dilakukan dengan metodologi yang betul dan dapat dipertanggungjawabkan. Sementara mencapai sejarah yang sempurna itu adalah kerja yang mustahil. Ustaz Syed Shahriman Jamalullayl pula membangkitkan persoalan apa yang hendak disampaikan melalui kesedaran sejarah. Saya berpandangan, jika manusia itu mempunyai kesedaran sejarah, mereka akan menggunakan hidup mereka dengan lebih bermakna dan memastikan mereka meninggalkan satu legasi yang baik bagi dunia. 

Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Mohd Rashidi dan Lestari Hikmah yang menganjurkan bicara buku manusia sejarah ini. Terima kasih Hubooks yang menjadi tuan rumah. Terima kasih semua teman-teman jauh dan dekat yang sudi hadir bersama. Terima kasih Saudara Izzuddin Khalis dan Ali Karimi Nasri, Presiden IIUMSU menemani saya drive dari Kedah. Harap ada manfaat, minta maaf andai ada salah dan silapnya.

Mengkaji Budaya Merantau Dalam Kalangan Orang Melayu


Saya melihat kajian sejarah di Malaysia banyak menekankan aspek politik dan ekonomi, ini jelas sekali menonjol dalam kajian yang dikeluarkan saban tahun. Aspek budaya jarang sekali dikaji sebagai tajuk utama. Jika dikaji pun, biasanya ia dibahaskan sebagai aspek sampingan sahaja dan bukan tonggak kajian utama. Saya masih belum menjumpai misalnya satu kajian terperinci perihal budaya merantau dalam kalangan orang Melayu. Kajian ini saya kira bukanlah satu kajian yang rumit, tidak perlu geran berjuta-juta atau makmal sehebat Large Hadron Collider (LHC), namun tidak ada yang cuba melakukannya. Dalam penilitian saya, sahabat serumpun kita di Indonesia lebih terkedepan dalam hal ini, kajian tentang budaya merantau dalam kalangan masyarakat Indonesia begitu banyak sekali. Tahniah Indonesia. Walaupun kajian saya ini tidaklah terperinci dan begitu mendalam, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka ruang agar aspek ini diketengahkan. Mungkin akan menimbulkan niat dalam kalangan pengkaji untuk meneroka aspek ini.

Saya juga menggunakan budaya perantauan ini bagi menolak label malas yang digunakan oleh pihak kolonial dan orientalis kepada masyarakat Melayu. Antara komen yang saya terima dari pewasit adalah kenapa tidak menggunakan karya Syed Hussein Alatas sebagai rujukan? Bukanlah beliau adalah pelopor kepada idea penolakan peribumi malas? Pertama, kajian ini bukan berfokus kepada penolakan label peribumi malas, itu bukan tunjang kajian. Ia sekadar dapatan sampingan. Kedua, itulah tugas penyelidik. Bukan sekadar melakukan penyelidikan yang sama. Jika penyelidikan yang mandiri dilakukan dan tidak terikat dengan idea Alatas, tetapi menghasilkan konklusi yang sama, itu sebenarnya merupakan sumbangan kepada idea Alatas, kerana konklusi itu menguatkan ideanya. Oleh itu kajian selari patut diraikan dalam penyelidikan, bukan semuanya mahu disuruh merujuk kepada bahan-bahan yang sama sahaja yang akhirnya menatijahkan pengulangan yang membosankan.

Terima kasih Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah yang menerbitkan tulisan saya. Jemput para sahabat untuk membaca dan mengkritiknya. Jemput baca artikel saya “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2), 2024.

Bibliografi Tahun 2024


Buku 

1. Syed Ahmad Fathi. Resistance Sudah Berbunga. Tochka Press, Mac 2024. ISBN: 9786299905011 

2. Syed Ahmad Fathi. Intelektual Yang Membosankan. Kenyalang Press, Mei 2024. ISBN: 9789670040707 

3. Syed Ahmad Fathi. Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Penerbit Cakna, November 2024. ISBN: 9786299517603  

Jurnal

1. Syed Ahmad Fathi. "Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia". Jawhar: Jurnal Kajian Ketamadunan 20: 83-97, 2024. ISSN 1675-8609

2. Syed Ahmad Fathi. “Anti-Colonial History: Pulau Pinang from the Point of View of Local Historian and Writer”. MINDEN Journal of History and Archaeology 1 (1): 58-70, 2024. ISSN: 3030-685X

3. Syed Ahmad Fathi. 2024. “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2): 1-13, 2024. E-ISSN 2590-4086

Nota: Alhamdulillah, berakhir sudah sesi penulisan untuk tahun ini. Tak tahu tahun depan masih ada masa atau tenaga untuk menulis, tapi jika ada ruang dan peluang yang diizinkan Allah, insha'Allah akan diusahakan.

Bulletin Siyasee: Kejatuhan Basyar al-Assad di Syria dan Kesannya Terhadap Timur Tengah


Pada 08 Disember 2024, tentera Hayat Tahrir al-Shams (HTS) berjaya menakluki Damsyik dan mengakhiri 55 tahun pemerintahan diktator keluarga al-Assad di Syria. Apakah kesan peristiwa ini dalam percaturan geo-politik di Timur Tengah. Dalam sesi ini, Syed Ahmad Fathi akan membincangkan perkembangan ini. Bulletin Siyasee ini berlansung pada 14 Disember 2024 dan merupakan anjuran bersama antara Siyasee, Naasieh Wealth Marketing, dan IIUM Journalism Club.

Rakaman program ini boleh diakses di Youtube.

Nota program ini boleh diakses di Substack.

Selasa, 3 Disember 2024

Peluncuran buku "Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia" di SIBF 2024

 

Akhirnya selesai juga peluncuran buku Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia di Selangor International Book Fair Sabtu lalu. Buku ini cuba menyoroti perkembangan kesedaran sejarah di Malaysia yang belum dikaji dengan serius dan mendalam di Malaysia. Harapannya buku ini dapat menimbulkan kesedaran sejarah dalam diri pembaca agar mereka menggunakan hidup mereka dengan penuh sedar bahawa kehidupan itu sebahagian dari proses sejarah.

Terima kasih penerbit Cakna yang bertungkus lumus menyiapkan buku ini dan mengatur peluncurannya. Terima kasih kepada moderator Firdaus Zainal dan Nomy Nozwir yang sudi berkongsi pentas. Kepada yang sudah membeli, terima kasih, selamat membaca!

Rakaman forum pelancaran buku boleh ditonton di sini.