Selasa, 8 Disember 2015

Why Men Don't Listen and Women Can't Read Maps: How We're Different and What to Do About It



Penulis: Allan Pease dan Barbara Pease
Penerbit: Broadway Books, New York. 1998

Benarlah kata-kata yang berbunyi : Sekiranya anda mahukan akhirat adalah dengan ilmu, sekiranya anda mahukan dunia adalah dengan ilmu, sekiranya anda mahu keduanya adalah juga dengan ilmu! Begitu juga dalam hubungan terutamanya dengan jantina berlawanan, ia juga memerlukan ilmu.

Persepsi pertama saya pada buku ini adalah ia merupakan buku cliche yang akan hanya mengulangi tulisan John Gray dalam perkataan dan ayat yang berbeza. Saya akui, saya tersilap. Buku ini sangat provokatif, menarik dan logikal. Ia membentangkan thesis bahawa pemikiran lelaki dan wanita sangat berbeza serta membawa bukti dari kajian-kajian yang dibuat ke atas otak manusia.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan hujjah evolusi biologi, namun kajian terhadap kemampuan otak wanita dan lelaki serta perbezaan nya merupakan satu kajian yang penting dan dapat membantu kita memahami perbezaan pemikiran spesis yang sama namun berlainan jantina.

Pelopor-pelopor gerakan feminis sedunia harus membaca buku ini. Mereka harus sedar dan mengakui bahawa lelaki dan wanita merupakan ciptaan yang sangat berbeza. Mereka mempunyai keupayaan yang berbeza, mereka berfikir dengan cara yang berbeza. Dominasi kaum lelaki pada sesetengah jenis pekerjaan dan dalam arena politik adalah bukan kerana konspirasi yang dibuat oleh kaum lelaki, tetapi ia adalah hasil dari sifat biologi yang telah diprogramkan.

Bagi mereka yang ingin berpisah atau sudah buntu mencari penyelesaian pada pertikaian rumah tangga, saya sarankan anda berhenti dahulu dari mengambil tindakan dan meluangkan masa untuk membaca buku ini. Inshallah anda akan menjadi lebih toleran dan memahami. Tahniah diucapkan kepada Allan dan Barbara Pease.

Sabtu, 5 Disember 2015

In the early hours : Reflections on spiritual and self development



Penulis: Khurram Murad
Penerbit: Revival Publications , United Kingdom

Kedengaran pintu besi asrama di ketuk oleh pengawas. Pelajar lain telah pun mengosongkan asrama, kemas berbaju sekolah. Saya seperti biasa, menjadi orang yang terakhir turun. Sementara orang lain sudah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran, saya turun bertuala, membawa barangan mandi, dan baju sekolah yang masih pada penyangkut baju. Tahun itu adalah tahun 2006, dan saya sudah di tingkatan 4. Pengawas asrama melihat saya dengan muka menyampah, saya bersahaja, maklumlah sekarang sudah senior.

Sementara pelajar lain sudah menunggu di kelas saya masih di bilik air untuk mandi. Namun saya kebiasaan nya  sempat sampai sebelum guru tiba untuk masa pertama. Hari itu adalah hari rabu, subjek pertama adalah pendidikan jiwa, subjek yang saya kira tidak diajar di sekolah kebiasaan. Guru kami adalah Tuan Hj. Rosdi Baharom, trainer yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Walaupun saya dikelaskan sebagai pelajar bermasalah, subjek itu antara yang sangat membekas dihati.

Lapan tahun selepas saya melangkah keluar dari sekolah saya masih ingat akan subjek tersebut, hingga akhirnya saya dapat membeli sendiri buku yang sering dijadikan rujukan oleh guru kami itu iaitu buku 'In the early hours : Reflections on spiritual and self development' yang merupakan koleksi kuliah Khurram Murad di Leicester, United Kingdom.

Saya mula membaca buku ini empat hari selepas kelahiran putri pertama, saya kini sudah berkahwin dan bukan lagi pelajar sekolah. Terkejar-kejar antara tugas menjaga anak, berkerja, buku ini dibaca agak perlahan dan lambat dihabiskan meskipun nipis sahaja.

Buku ini sedikit sebanyak menyedarkan saya, setelah sekian lama membaca buku worldview Barat, alignment pemikiran saya sedikit lari. Peringatan dalam buku ini terutamanya ketika membahaskan sudut pandang kehidupan sedikit sebanyak menyedarkan saya mengenai perlunya melihat kehidupan dunia dengan kacamata akhirat. Ustadh Khurram Murad juga memperingatkan kita bahawa pentingnya sikap optimistik dalam memohon apa jua daripada Allah. Beliau memetik kata-kata Sufyan ibn Uyayna, "Meskipun seseorang tahu akan hal dirinya, hendaklah dia sentiasa meminta dari Allah, kerana Allah menjawab hatta kepada permintaan iblis yang merupakan sejahat-jahat makhluk seperti yang diungkapkan dalam Surah Al-Araf ayat ke-14."

Kita juga hendaklah sentiasa menjaga niat kerana ia merupakan jiwa kepada badan, umpama benih. Kebanyakan biji benih kelihatan sama, tetapi apa yang ada di dalamnya yang akan membezakan apa yang akan tumbuh, dan buah apa yang akan dihasilkan. Begitu juga dengan niat, andai niat jahat yang tertanam, buah buahan kejahatan lah yang akan dihasilkan.

Banyak lagi nasihat-nasihat yang saya kira sangat mengesankan hati. Sekiranya anda sudah lelah mengharungi kehidupan ini, mari duduk termenung sebentar sambil menyelak halaman tulisan Ustadh Khurram Murad ini!

Ahad, 8 November 2015

Catatan Baitul Muslim 9



Erti hidup pada menerima.

Dalam sebuah baitul muslim, seperti mana rumahtangga yang lain ia memerlukan kepada kedua-dua belah pihak saling memberi dan menerima. Sekiranya satu daripada dua itu hanya memberi dan satu lagi hanya menerima, keadaan ini tidak stabil. Mungkin nampak stabil pada seketika, namun lama kelamaan ketidakstabilan akan tersirna semula.

Ya, kita sering disogokkan dengan frasa 'erti hidup pada memberi'. Perkataan 'disogok' mungkin terlalu negatif. Mungkin yang lebih sesuai 'diperingatkan'. Namun peringatan ini sering sahaja terlalu satu sudut, tidak wasatiah. Kita jarang diperingatkan akan pentingnya penerimaan dalam satu hubungan yang sihat.

Seseorang mungkin hanya mahu memberi sahaja pada zauj/zaujah nya, ketika dia diberi, dia menolak dek teringatkan bahawa tugas utamanya adalah memberi, jarang dia diperingatkan bahawa dia perlu juga menerima.

Menerima bukan sahaja memberi kenyamanan pada si penerima. Si penerima mungkin berasa dihargai, diingati dan disayangi, tetapi pemberi juga mendapat kenyamanan perasaan sekiranya pemberiannya diterima, dia juga akan merasa puas kerana dapat membahagiakan orang lain, merasa usahanya tidak sia-sia dan dihargai.

Begitu juga dalam baitul muslim, berhati-hati dalam menolak, keengganan menerima boleh memberi signal negatif pada pasangan. Misalnya, zaujah menawarkan diri untuk membuat air, namun zauj tidak dahaga dan merasakan tidak mahu menyusahkan pasangan nya. Lalu dia menolak. Signal yang diterima oleh zaujah mungkin bukan "Oh dia tidak mahu menyusahkan saya, dia sangat penyayang". Sebaliknya apa yang dirasakan adalah "Ermm nampaknya dia tidak menghargai keinginan saya untuk menawarkan kasih sayang kepadanya".

Lelaki terutamanya mempunyai fitrah suka menolak. Pertama mungkin kerana faktor ego, dengan menerima dia merasakan dirinya dibawah dan perlukan bantuan. Atau mungkin juga faktor suka berdikari dan melakukan kerja sendiri. Atau mungkin kerana dia sudah dibesarkan begitu, sebagai seorang yang independent. Namun, perlu ingat, untuk menjamin baitul muslim yang sihat, zauj perlu belajar menerima. Malah seharusnya penerimaan itu dengan senyuman dan ucapan penghargaan. Sekiranya sukar untuk melafazkan terima kasih, tulis sahaja di whatsapp, atau conteng pada kertas.

Perempuan juga mempunyai tendency untuk menolak. Terutamanya dalam bab makanan dan pakaian, biasanya perempuan lebih cerewet, lelaki mempunyai mindset 'asalkan kenyang' jadi mereka kurang memilih terutamanya bab makanan. Perlu bagi zaujah juga belajar menerima, sekiranya ditawarkan makanan yang tidak digemari, jangan terus menolak sebaliknya cuba makan sedikit, sekiranya kita dapati makanan itu tidaklah terlalu teruk dan rasa nak termuntah, eloklah kita makan perlahan-lahan, belajar untuk memakan nya. Jika selepas kita makan sedikit, sudah nak termuntah, tolak lah dengan baik tanpa melukakan hati zauj.

Apa sahaja yang diberikan oleh zauj/zaujah seharusnya kita terima dengan redha, hargai dengan ucapan penghargaan, kerana itulah kasih sayang, pemberian dan penerimaan. Hilang salah satu, ia bukan lagi kasih sayang. Moga Allah beri kita baitul muslim yang mawaddah dan sakinah. Uhibbukifillah.