Jumaat, 3 Mac 2017

The five people you meet in heaven



Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Hyperion, 2003

Saya membaca buku ini selepas saya membaca tulisan Albom dalam Tuesdays With Morrie. Pada mulanya saya memikirkan bahawa buku ini merupakan catatan non-fiksyen sebagaimana buku pertama yang saya baca. Helaian-helaian terawal, membuatkan saya merasakan bahawa buku ini tidak menepati citarasa saya, saya memutuskan untuk berhenti membaca.

Kemudian apabila saya teliti semula, baru saya sedari bahawa ia adalah sebuah novel. Jadi saya merendahkan expectation saya dan membacanya dengan santai sahaja. Ia ditulis dengan bab yang pendek-pendek, jadi pembaca mudah sahaja berhenti dimana-mana kemudian menyambungnya semula. Buku ini mengisahkan pengembaraan Eddie di syurga selepas dia mati dalam satu kemalangan di tempat dia bekerja. Dalam pengembaraan nya Eddie bertemu lima manusia yang pernah mempunyai connection dengan kehidupannya. Mereka menerangkan kepadanya pengajaran disebalik peristiwa yang dilaluinya semasa hidup.

Orang pertama adalah The Blue Man. Pekerja sarkas yang mati kerana cuba mengelak Eddie yang pada masa itu masih kanak-kanak, mengejar bola ditengah jalan raya. Dia menceritakan kepada Eddie tentang hidupnya dan memberitahu bahawa kita semua mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Apa juga tindakan kita, kecil atau besar memberi kesan kepada sejarah kehidupan.

Orang kedua adalah kapten unit semasa Eddie bertugas sebagai tentera di Filipina. Beliau menceritakan semula kisah bagaimana mereka berjaya keluar dari tawanan tentera. Dia juga memberitahu bahawa dia lah yang menembak kaki Eddie kerana cuba menyelamatkan nya dari mati dibakar api. Eddie yang baru mengetahui hal ini berasa marah, kerana kecacatan kaki itu menghantuinya seumur hidup. Namun kemudian dia sedar bahawa untuk mendapatkan sesuatu, sesuatu yang lain perlu dikorbankan. Kaki yang cacat itu merupakan satu pengorbanan agar dia dapat terus hidup.

Orang ketiga adalah Ruby, yang merupakan wanita yang menjadi punca tempat Eddie bekerja dibina. Ruby menceritakan sejarah disebalik Ruby Pier dan kisah ayah Eddie. Eddie yang pada mulanya marah terhadap ayahnya yang membesarkannya tanpa kasih sayang akhirnya memaafkan beliau mendengar kisah hidupnya yang diceritakan oleh Ruby. Orang keempat adalah isterinya. Dimana beliau diberitahu bahawa cinta terus hidup walaupun orang yang dicintai telah meninggal dunia.

Orang yang terakhir yang berjumpa dengan Eddie adalah Tala. Kanak-kanak Filipina yang mati dibakar Eddie hidup-hidup ketika perang. Tiba ke bab terakhir ini, saya tertanya-tanya bagaimana penulis ingin memberi pengajaran dari kisah sadis ini. Ternyata Tala, tidak marah kepada Eddie kerana membakar dan menghancurkan hidupnya. Sebab? Kerana Eddie kemudian bekerja sebagai maintenance guy di pusat permainan kanak-kanak. Tala tidak marah kerana Eddie memastikan kanak-kanak lain dapat bermain dengan selamat. Saya merasakan pengajaran terakhir ini sangat kelakar, Mungkin penulis terpengaruh dengan fahaman American exceptionalism, dimana kamu masih boleh ke syurga walaupun membakar kanak-kanak hidup-hidup.

Anda boleh dapatkan buku ini melalui Amazon dengan link dibawah. Jika anda tidak dapat melihat link dibawah, anda boleh cuba disable ad-blocker pada browser anda.





Ahad, 19 Februari 2017

Heart and brain



Penerbit: Andrews McMeel, 2015
Penulis/ Pelukis: Nick Seluk

Komik strip ini merupakan koleksi paradoks yang dilalui oleh manusia setiap hari. Manusia mempunyai akan yang berfikir secara rasional. Manusia juga mempunyai hati yang melahirkan perasaan dan bersikap emosional.

Komik ini menggambarkan percanggahan yang sering berlaku dalam kehidupan harian kita apabila akal rasional bertembung dengan perasaan emosional. Dipersembahkan dalam lukisan yang kemas, dengan dialog yang melucukan, ia adalah resepi istimewa yang mampu membuat anda tersenyum ketika penat mengharungi kehidupan harian.

We all need a cup of humor everyday!

Rabu, 15 Februari 2017

Dear Leader oleh Jang Jin-Sung



Penerbit: Rider, 2014

Sehari selepas saya tamat membaca buku ini, Kim Jong Nam telah dibunuh oleh pembunuh upahan Korea Utara di Malaysia. Ia merupakan peristiwa yang mengabsahkan kekejaman parti buruh komunis dalam usaha mempertahankan kuasa mereka.

Buku ini merupakan sorotan pengalaman seorang penyair yang berkhidmat untuk Kim Jong-Il. Beliau mendapat anugerah khas dari Kim Jong-Il atas puisinya yang patriotik pada usia yang muda. Beliau kemudian berkhidmat di jabatan kerajaan yang bertanggung jawab untuk menyebarkan propaganda ke luar negara juga dalam negara.

Beliau mendapat kebenaran khas untuk membaca bahan-bahan terlarang termasuk bahan penerbitan Korea Selatan. Dari pengalaman beliau melihat keadaan ekonomi dalaman Korea Utara dan dibandingkan dengan kemajuan ekonomi Korea Selatan, Jang tidak dapat lagi menafikan pemikiran beliau bahawa polisi ekonomi sosialis dan ideologi komunis telah gagal di Korea Utara. Beliau berkongsi bahan bacaan terlarang dengan rakan beliau Young-min, namun akhirnya diketahui oleh pihak berkuasa.

Akibatnya mereka berdua terpaksa melarikan diri dengan menyeberangi sungai Tumen dan berlindung di Yanbian, China. Namun di China mereka masih diburu atas tuduhan bunuh, mereka di kejar oleh pihak berkuasa China dan juga Agen korea Utara. Mereka terpaksa bersenbunyi di kaki-kaki bukit.

Di China, etnik Korea diiktiraf sebagai etnik minoriti. Mereka inilah yang banyak membantu saudara mereka yang melarikan diri dari Korea Utara. Kebanyakan rakyat Korea Utara melarikan diri kerana keadaan ekonomi yang buruk, kelaparan, juga undang-undang yang kejam. Keadaan ekonomi yang mundur ini hingga ke tahap seorang ibu terpaksa menjual anaknya dengan harga 100 Won. Jang kemudian ke Shenyang , sebelum akhirnya berjaya sampai ke konsul Korea Selatan di Beijing dan mendapat perlindungan. Jang kemudian dipindahkan ke Seoul.

Selain kisah pelarian mereka, buku ini mendedahkan pelbagai polisi dalaman Korea Utara yang didedahkan oleh Jang selaku pegawai atasan dalam Parti Buruh Komunis. Antara polisi ini adalah strategi penculikan warga Jepun  bagi dijadikan agen Korea Utara, bagaimana ‘Sunshine Policy’ oleh Korea Selatan dimanipulasikan Korea Utara, bagaimana parti memanipulasikan sejarah, juga didedahkan kemewahan dinasti Kim.


Buku ini juga berjaya menyampaikan nilai kemanusiaan. Sepanjang pelarian mereka di China dan diburu oleh Agen Korea Utara, banyak pihak telah membantu mereka. Ada yang baik hati memberikan mereka makanan percuma, tempat tinggal, juga memberikan mereka wang untuk membeli tiket bas. Ia merupakan pengajaran bahawa kita perlu melihat seseorang itu lebih dari sekadar ideologi, agama, bangsa, tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan bebas.