Rabu, 22 Januari 2020

Oh Crap! I Have a Toddler


Buku ini merupakan buku yang pertama saya habiskan bacaan pada tahun 2020, saya mula membaca pada bulan Oktober 2019, jadi agak lama bagi buku yang hanya bermuka surat sebanyak 300 mukasurat. Sebenarnya ia bukanlah buku yang pertama, buku pertama adalah buku teks ICS. Sahaja saya baca dengan perlahan kerana saya bukan mahu sekadar membaca, saya juga ingin merenung nilai dan idea yang dibawa, juga cuba mengaplikasikannya ke dalam sistem parenting saya pula.

Buku ini saya kira realis – bukan lagi berlegar di medan teori atau retorika, Jamie sendiri sering mengulang, jika sesuatu itu tidak dapat mencapai objektif, ia perlu ditukar. Kita kadang-kadang terlalu takut dalam membesarkan anak-anak, kerana menanggap kesilapan mendidik anak-anak tidak dapat dibaiki semula di kemudian hari. Tapi kata Jamie, tiada siapa yang lebih mengenali anak kamu melainkan kamu sendiri, jadi kamu adalah ‘pakar’ dalam menjaga anak kamu.

Bahasa yang digunakan ada ketikanya sedikit kasar, sedikit pasar, tetapi apa yang penting adalah praktikalitinya. Saya faham, buku parenting sering bercanggah antara satu sama lain, buku ini kata ini, buku itu kata itu, tetapi saya kira kita tetap perlu banyak membaca buku parenting kerana ia adalah reminder dan peringatan tentang fasa kehidupan yang sedang kita lalui, ia sedikit sebanyak dapat mengubati diri kita dari menjadi ‘gila’.

Jika kita membaca buku Faber & Mazlish mungkin pendekatannya adalah bercakap dengan kanak-kanak dan memberi mereka pilihan, tetapi Jamie mencabar idea ini, bukan semua perkara kita boleh beri pilihan pada anak-anak, kerana mereka belum mencapai pemikiran rasional dan berjangka panjang. Ketika masa yang kritikal seperti melintas jalan, kita tak boleh beri pilihan kepada anak untuk pegang tangan atau jalan sendiri. Jamie menekankan tentang pentingnya ibu bapa bersifat autoritatif tetapi tidak authoritarian.

Banyak konsep yang menarik seperti konsep anak yang baru belajar mengenal dunia, mengenal tubuh badan, mengenal peraturan kehidupan, yang kita kadang-kadang lupa bahawa mereka baru berada di bumi beberapa tahun, tentu sahaja banyak perkara baru yang mereka ingin cuba. Juga perihal aktiviti dan kreativiti. Kita sering menyusun masa anak-anak kita dengan padat sehingga tiada ruang untuk mereka berfikir sendiri aktiviti yang mereka boleh lakukan, menurut Jamie kebosanan adalah pintu kepada kreativiti, dan kreativiti itu merangkumi maksud yang luas. Berenang dalam lautan bedak juga satu kreativiti!

Saya juga mengagumi konsep parenting Jamie kerana beliau bukan sahaja memfokus pada anak-anak. Tetapi fokus juga harus diberi pada diri sendiri, pasangan dan hubungan suami-isteri. Kerana tanpa hubungan suami isteri yang baik, ia tidak dapat memayungi institusi yang dinamakan keluarga. Kita perlu menjaga diri kita sendiri sebelum kita mampu menjaga anak-anak. Teknik mengurus tantrum beliau juga saya kira sangat praktikal dan real.

Membesarkan anak-anak sememangnya bukan tugas mudah, tetapi Jamie mengingatkan tiada siapa yang lebih pakar berkenaan dengan anak kita melainkan kita, kita bersama mereka sejak lahir kitalah yang paling mengenal mereka, segila manapun tugas membesarkan anak-anak, Jamie menutup buku ini dengan nota optimis “you got this!”.

Isnin, 20 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 26: Lawak Kahwin Dua Yang Tidak Lawak



Kita sudah memasuki tahun 2020, rasanya lawak tentang khwin dua ini sudah boleh kita tinggalkan sebagai sejarah sahaja. Biarlah generasi baharu ini hidup dengan lawak-lawak baru yang lebih membina. 

Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan seorang teman, kami sudah berteman agak lama sejak zaman idealis era mahasiswa dahulu lagi. Kawan lama biasanya tiada hijab apabila berjenaka dan bersembang, buatlah lawak apa pun, dua-dua tak akan terasa hati. Tapi bila dia keluarkan lawak kahwin dua, entah kenapa saya tak boleh terima ia sebagai lawak, sikit pun tidak ada rasa untuk gelak.

Pertama, kita sahaja kenal isteri kita sebagai isteri. Pengorbanan yang dia lakukan untuk kita, baik dalam urusan membesar dan menjaga anak-anak, hinggalah urusan menjaga serba-serbi keluarga. Saya tak dapat bayang, walaupun se-saat saya boleh khianati pengorbanan yang isteri saya dah lakukan sepanjang kami bersama, walaupun kami baru berkahwin selama 5 tahun.

Kedua, saya katakan padanya, ada seribu satu perkara yang saya hendak lakukan dalam hidup ini, adakah yang difikirkannya hanya perempuan? Kemana hilang idealisme dan retorik-retorik kita selama ini. Saya sendiri secara peribadi banyak cita-cita peribadi yang belum tertunai, seperti ingin menjadi pelukis, ingin membuka rumah anak yatim, ingin duduk di kampung mengajar anak orang asli, ingin belanja pengemis di tepi jalan makan nasi ayam sambil bersembang pasal falsafah kehidupan, ingin temuramah nenek di kampung dan menulis sejarah keluarga dan migrasi Kaum Banjar ke Perak, dan seribu satu lagi cita-cita. Sedikit kecewa jika idealisme mudah sahaja padam, dengan lawak-lawak kahwin dua.

Ketiga, kenapa saya tak rasa lawak kahwin dua ini lawak, kerana saya sudah banyak melihat sendiri kesan kawin dua ini dalam merosakkan keluarga, kesannya pada anak-anak yang ditinggalkan dan diabaikan ayah mereka. Lawakkah? Dan perkara ini berlaku pada kawan-kawan saya disekeliling saya, ia sangat mengguris hati, tiada secebis lawak sedikit pun.

Saya tetap mengiktiraf poligami dalam Islam. Kerana bagi saya ia adalah solusi yang diperuntukkan Islam dalam membela isteri yang kematian suami, juga jika dalam keadaan sosial dimana populasi perempuan melebihi lelaki. Islam meletakkan poligami sebagai instrumen mengangkat darjat wanita, mereka mempunyai kedudukan sebagai isteri dan boleh mewarisi harta, bukan sebagai perempuan simpanan yang tiada apa-apa obligasi dari sudut perundangan dan warisan. Namun ia perlu diletak pada kadar dan keperluannya, dan semestinya kadar itu bukan suatu lawak atau bahan jenaka.

Ahad, 12 Januari 2020

Serindu malam


Apa itu rindu?
Kenapa datangnya selalu di malam waktu?
Saat tiada mentari
Yang ada hanya cahaya sunyi
Yang tergantung diluar kotak ini
Di luar tingkap hati.

Berkali kali ia datang
Berkali kali jua aku juang
Untuk menyimpan permata
Biar ia tinggal dalam kelopak mata
Namun sekalian kalinya ku tewas pada sepi
Ia pun tumpah jua ke pipi.

Aku rindu pada waktu aku sudah tidak merasa
Sudah tidak boleh dibinasa
Kerana aku sudah tiada.

Mereka memanggilnya mati
Suatu yang patut ditakuti

Mungkin mereka silap akan hal itu
Mungkin itu, itu saatnya aku
Tidak perlu lagi dihanyuti rindu
Mungkin itu..


Rabu, 8 Januari 2020

Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?



Pembunuhan Qasem oleh Amerika di Baghdad merupakan satu peristiwa besar yang membuka tirai tahun baru 2020. Dalam isu ini kita melihat polarisasi reaksi dunia, perbezaan reaksi ini membolehkan kita mengagak di manakah satu-satu negara itu meletakkan kepercayaan mereka kepada kutub-kutub kuasa dunia.

Israel segera menyokong tindakan pembunuhan oleh Amerika ini. Russia mengutuk serangan tersebut sementara China mengeluarkan kenyataan agar Amerika berhenti dari “mencabuli negara lain dengan menggunakan kekerasan”. Iraq pula membuat keputusan untuk “menghalau” semua askar-askar asing yang ada di tanah air mereka. Maka seharusnya dimana kita perlu meletakkan pendirian kita?

Isu besar disini adalah pencabulan kuasa, penggunaan aksi terorisma dengan membunuh berbanding pendekatan diplomatik, aksi unilateral kuasa asing di negara berdaulat yang lain, penguasaan negara besar terhadap negara-negara lemah dan kecil. Jika kita melihat dari kacamata ini, kita akan sama-sama menolak dan mengutuk pembunuhan ini.

Namun sayangnya, tatkala negara-negara Islam diceroboh, dihancurkan, dibakar, ustaz-ustaz kita masih melihat semua ini dari naratif dan kacamata Sunni-Syiah. Tatkala negara-negara Islam perlukan kesatuan, kebersamaan, sokong-menyokong, ustaz-ustaz kita lebih gemar meniupkan api sengketa Sunni-Syiah.

Dalam masa yang sama, ramai ustaz-ustaz ini mengkagumi sosok seperti Erdogan di Turki, yang dianggap penyambut obor khilafah yang hilang, sebagai singa baru dunia Islam. Mereka juga mengkagumi perjuangan Hamas dalam memerangi golongan kolonialis Zionis. Ada dikotomi besar dalam pemikiran mereka ini. Kerana tatkala mereka menolak Iran atas dasar akidah, dan mengagungkan Erdogan dan Hamas, Erdogan dan Hamas sendiri merupakan sekutu baik Iran.

Lebih kelakar pemikiran mereka yang meniupkan api kebencian terhadap Iran yang dilihat sebagai Syiah, apabila Ismail Haniya, orang kanan Hamas juga mengistiharkan bahawa Soleimani sebagai syahid, malah lebih tinggi beliau diistihar sebagai Syahid memperjuangkan Baitul Maqdis. Sekarang macam mana? Adakah Hamas Syiah? Jika betul perlukah kita hentikan bantuan pada Gaza? Ustaz-ustaz ini pernahkah diishtiharkan sebagai pejuang Baitul Maqdis?

Sengketa Sunni-Syiah ini sudah beratus tahun, selama beratus tahun itu ummat berbunuhan, tak terbilang nyawa dan darah yang sudah mengalir. Perlukah kita panjangkan lagi sengketa ini buat ratusan tahun mendatang? Perlukah anak-anak kita terus benci-membenci antara satu sama lain, berbunuhan tanpa henti?

Sebab itu saya secara peribadi hormati pendekatan, baik Tuan Guru Hadi, baik Tun Dr. Mahathir dalam isu ini, yang mengambil pendekatan jalan tengah, kita jalin hubungan baik dengan mereka, tidak bermakna kita mengiktiraf akidah mereka. Kita jalin hubungan dengan China, adakah ia menjadikan akidah kita Komunisme? Kita jalin hubungan dengan Filipina, adakah itu menjadikan akidah kita Kristian Katolik? Tidak. Kita hidup dalam dunia yang lebih besar dari sekadar Muslim-Sunni. Buka lah mata. Dalam dunia yang besar ini kita perlu bekerjasama dengan orang yang tidak sama dengan akidah kita dalam hal-hal kebaikan.

Bukan isu akidah itu tidak penting. Kita juga membaca kitab Fathi Yakan Maza Yakni Intima’ Lil Islam, kita menelaah permasalahan “saya mestilah Islam dari sudut akidah”. Tetapi bukan semua perkara perlu kita lihat dalam lensa ini. Hal-hal berkenaan dengan strategi perlu diambil kira. Perlu kita lihat mana yang lebih dekat dengan kita, sebab itu ketika Rom berperang dengan Parsi, baginda nabi mengharapkan kemenangan Rom, malah diberitakan Allah akan kemenangan Rom, adakah itu bermakna baginda berakidah dengan akidah Rom pada ketika itu? Tentu sahaja tidak.

Mungkin ustaz-ustaz kita perlu juga membaca tulisan Henry Kissinger, arkitek polisi luar Amerika, buku tulisan Samuel Huntington, yang mencipta kerangka baru dalam menamakan Islam sebagai musuh baru peradaban barat dalam teori “clash of civilization” beliau. Juga buku operatif-operatif CIA seperti Graham Fuller dan Michael Scheuer. Agar mereka faham bahawa persengketaan, faksi-faksi kita ini telah lama mereka faham, kaji, dan gunakan dalam melemahkan kesatuan ummat. Mereka mungkin nampak gagah dengan dalil-dalil agama mereka, nampak berani, tetapi sebenarnya mereka sedang memenangkan musuh tanpa mereka sedari.

Persoalan ini adalah persoalan keganasan Amerika menindas negara-negara lain yang lemah agar tunduk pada hegemoni mereka. Amerika dalam sejarah imperialnya membunuh jutaan manusia, bukan sahaja Muslim. Dari Jepun, Vietnam, Laos, Kemboja, Iraq, Afghanistan, sejarah keganasan imperial ini panjang dan masih berterusan. Dalam mengekang cengkaman Amerika keatas negara-negara kecil, lemah, mundur, dan membangun, adakah perspektif kita masih Sunni-Syiah? Mana suara kita ketika Saudi Arabia membunuh anak-anak Yaman?

Sudah terlalu lama kita berbunuhan disebabkan perbezaan akidah. Kitab-kitab yang dikarang oleh kedua-dua belah pihak juga sudah jutaan, dengan dakwat sebesar lautan. Cukuplah kita generasi baru setuju untuk tidak bersetuju dalam permasalahan akidah Sunni-Syiah, kita lukis garisan akidah kita disitu, dan berganding bahu dalam perkara-perkara lain untuk kemakmuran bersama. Cukuplah sejarah sebagai guru kita.

Rabu, 1 Januari 2020

Catatan Baitul Muslim 25: 2020 & Ketakutan Mendapat Anak


Ketika sedang bekerja di pejabat tiba-tiba talifon bimbit bergetar, sahaja saya senyapkan talifon itu agar tidak menganggu "jiran-jiran" yang lain yang sedang tekun bekerja. Isteri saya menghantar pesanan bahawa tahun 2020 ini akan menjadikan kami, bayi yang lahir pada tahun 1990, masuk ke dekad yang ke-3 dan secara rasminya menamatkan usia 20-an kami. 

"Hope our new age will bring us an extra share that make us more sabar dalam mendidik dan mengharungi bahtera rumahtangga bersama, bertambah keimanan kepada Nya". 

Saya pun membalas "Dah tua kita rupanya, I'm bless growing old with you".

Ya, 30 tahun merupakan satu tempoh yang lama. Pelbagai perkara telah saya lalui. Saya belajar merangkak dan berjalan. Menamatkan sekolah rendah. Menangis di talifon awam sekolah menalifon ibu ketika di asrama sekolah menengah. Mengucapkan selamat tinggal kepada ibu ayah dan keluarga menaiki kapal terbang ke luar negara, membuat perbentangan kerja kursus akhir di hadapan pensyarah, ditemuramah pengurus dan mendapat slip gaji pertama, mengucapkan "aku terima nikahnya" di depan imam, menunggu sendirian di depan wad bersalin, menghantar anak kecil pertama ke tadika, menunggu di dewan bersalin kali kedua, ya, telah banyak perkara yang sudah saya lalui. Muda bukan lagi kata yang sesuai untuk mendefinisikan usia.

Pesanan isteri perihal "sabar" itu memang diperlukan. Sebagai mana benda lain, perkataan dan praxis merupakan dua benda yang berbeza, kata itu mudah. Dan di masa-masa tertentu, emosi-emosi tertentu, marah lebih mudah dari perkataan "sabar". Tetapi lambat laun aku harus sedar, akan sedar, bahawa marah dan menjerit itu tidak menyelesaikan, sama ada kesedaran itu cepat atau sudah terlambat.

"Mendidik" juga saya kira satu terma yang sangat perlu diberi perhatian. Lebih mudah kita memberikan video dan cerita kepada anak-anak agar mereka tidak "menganggu" kita. Tetapi itu bukan didikan sebenar walaupun akhirnya mereka mendapat pelbagai jenis perkataan Inggeris dari video-video tersebut. "Didikan" mestilah ada unsur kebersamaan, kasih-sayang, dan komunikasi bersama antara ibubapa dan anak-anak. Tulisnya mudah, praxisnya memerlukan usaha dan susah payah, melawan perasaan inginkan kesenangan, kerehatan, dan keselesaan.

Mungkin tajuk "Ketakutan Mendapat Anak" itu kedengaran kontroversi, malah mungkin satu frasa sensitif yang melukakan bagi pasangan yang telah lama berusaha dan mencuba untuk mendapatkan anak - permata rumah tangga, racun dan penawar bagi perasaan ibubapa.

Tetapi frasa itulah yang berlegar dalam minda saya beberapa hari ini. Selepas mendapat anak pertama dahulu, memang ada perasaan takut untuk mendapat anak kedua. Kerana pada masa itu baru saya faham, bahawa anak bukan sahaja menuntut masa yang banyak dari kehidupan, tetapi juga menuntut perkara-perkara material dan ekonomi. Tidak dapat memberikan apa yang diperlukan oleh anak-anak adalah ketakutan sebenar bagi insan bergelar ayah. 

Saya selalu bersembang panjang dengan Guan Lim berkenaan dengan perkara ini. Beliau memberi sudut pandang ateis dalam melihat keperluan untuk adanya anak-anak. Bagi Muslim, anak itu adalah anugerah dan rezeki, ia tidak patut dibuang kerana faktor ekonomi. Tetapi sekali lagi, ayat "anak adalah rezeki" itu tampak mudah pada perkataan, ia begitu sukar bagi praxis. Maafkan saya jika saya terlalu banyak mengulangi perkara ini, ia bukanlah pleonasme atau tautologi, tetapi sememangnya perasaan yang kerap kali berulang datang.

Namun Alhamdulillah, apabila anak kedua tiba, ternyata "anak adalah rezeki" itu benar. Segalanya dicukupkan Tuhan. Memang ia memerlukan kerja keras dan usaha, terutamanya bangun malam bagi tahun pertama. Tetapi selepas itu, malam-malam berubah tenang seperti sedia kala, dan siang penuh dengan tangisan dan gelak tawa - isi kepada rumahtangga.

Tahun baru ini kita harusnya panjatkan kesyukuran, mengira nikmat-nikmat yang wajar kita alhamdulillah-kan, mengucapkan selamat tinggal pada 20-an, mencari "sabar", memberi "didikan", dan mungkin, sebagai pelengkap lamunan yang sudah dua-tiga hari berpanjangan, untuk berhenti dari ketakutan.

Memaknai Rumi: Siri 8 - Edisi Khas



Hari demi hari kita selak, kita telaah dan hayati, akhirnya kita tiba di pagi baru. Kita tutup tahun 2019 untuk memasuki dekad baru. Pagi ini terasa aman, mataharinya bersinar ceria, anginnya lembut mendinginkan jiwa. Mari mulakan dekad ini dengan mencari bahagia, melihat kedalam diri, memberi makna kepada sesuatu yang kita gelarkan sebagai kehidupan. Mari kita mulakan dekad baru, tahun baru 2020 ini dengan Rumi.

This mirror inside me shows...
I can’t say what, but I can’t not know! (42)

Bait rangkap ini menangkap hati. Dalam diri kita ada perasaan, yang selalu membuatkan kita merasakan kita tahu sesuatu, kita merasai sesuatu, merasai emosi yang kita tidak dapat ungkapkan dengan kata-kata. Itulah perasaan, satu pengetahuan yang kita tak bisa ungkapkan. Ia adalah bukti bahawa sesuatu yang tidak dapat diungkapkan, tidak dapat ditulis, tidak dapat diceritakan, tidak semestinya tidak wujud. Ia wujud tetapi dalam bentuknya yang tersendiri, didalam hati, tak tertafsir oleh sebarang ilmuwan mahupun karyawan. Maka dipermulaan baru ini, carilah bahagia jauh di dalam diri, ia wujud wahai teman.

The axe doesn’t worry how thick the branches are.
It cuts them to pieces. But not the leaves.
It leaves the leaves alone. (43)

Setiap insan punya kekuatan mereka sendiri. Seperti daunan yang kelihatan lembut, mudah melayang, meliuk-liuk ditiup angin. Tetapi apabila kapak datang, dahan yang keras yang menjadi mangsa, dedaun lembut dibiarkan tidak cedera. Dalam kita merenung tahun baru ini, terimalah kelemahan-kelemahan kita, kesilapan yang tak mungkin dapat kita betulkan, perkataan yang telah keluar dan tak mungkin kita padam kembali. Dalam masa yang sama carilah kekuatan dan kelebihan yang kita ada dicelah-celah kelemahan kita. Gunakanlah ia untuk menempuh cabaran di masa hadapan.
Dan dalam kita menempuhi cabaran masa hadapan, jangan kita risaukan masalah-masalah yang bakal dan mungkin timbul. Teruslah mara dan berusaha. Ibarat kapak yang tak pernah memikirkan kekuatan atau ketebalan kayu. Ia terus sahaja menghayun, mengapak, sehingga akhirnya dahan yang paling keras pun terbelah. Begitu jugalah kita dalam menghayuni kehidupan, teruslah bekerja membelah segala masalah.

Mari kita akhiri dengan sebuah cerita oleh Rumi.

Ada seorang anak muda mencari sebuah nasihat, dia mahu bertanyakan soalan kepada ahli bijak pandai. Orang-orang kampung memberitahunya, ada seorang Sheikh yang sangat tinggi keilmuannya, carilah dia dihujung kampung bermain dengan kanak-kanak. Sheikh ini mempunyai pengetahuan yang mendalam, tetapi ia menyembunyikannya dengan berlakon gila dan bermain dengan kanak-kanak.

Maka pergilah pemuda tadi mencari Sheikh tersebut. Dia menjumpai Sheikh tersebut sedang menaiki kuda mainan dan bermain dengan anak-anak. Anak muda tadi bertanya, mengapa Sheikh tersebut menyembunyikan kebijaksanaannya?

“Mereka ingin aku bekerja untuk mereka, mereka mahu aku menjadi hakim, menjadi magistret, menjadi penafsir kepada lembaran-lembaran perkataan. Tetapi pengetahuan aku tidak mahukan itu semua. Ia mahu menikmati dirinya sendiri” kata Sheikh tersebut.

I am a plantation of sugarcane, and at the same time
I’m eating the sweetness. (46)

Walaupun sudah 747 tahun, kisah yang dibawakan Rumi ini masih relevan pada tahun 2020. Kita sering melihat ilmu sebagai tiket untuk kita memasuki alam pekerjaan. Kita mengejar sekeping sijil sarjana muda untuk kita hantar sebagai umpan mencari pekerjaan. Maka hilanglah kemanisan ilmu itu, ilmu yang kita kumpul dan pelajari tidak dapat kita rasai, tidak dapat kita hirup dan resapi, akhirnya kita hanya menjadi robot dan pekerja di kilang dan pejabat. Kita terlupa kehidupan yang kita ingin hidupkan, kita terlupa keilmuan kita.

Sheikh itu menyambung lagi, bahawa apabila keilmuan itu dipergunakan dan diremehkan hanya untuk karier dan pekerjaan, ia akan selalu risau akan pandangan orang lain. Ia tidak lagi jujur dengan ilmunya, tetapi sering menggunakannya untuk habuan dunia. Dia bercakap apa yang orang mahu dengar, dia sorokkan apa yang manusia tidak mahu dengar. Luntur keilmuan kepada sekadar hiburan.

Bagi Sheikh tersebut ilmunya adalah untuk Tuhan, dia telah jatuh cinta dengan Tuhan. Maka biarkanlah dia menjadi orang yang jatuh cinta, yang nampak seperti orang gila di mata orang lain. Kerana orang yang tidak gila sentiasa risau, risau tentang pandangan orang lain, risau akan apa yang bakal terjadi, risau dengan masalah itu ini. Tetapi tidak bagi orang gila, orang gila tidak risaukan apa-apa.

Let the lover be disgraceful, crazy,
Absentminded. Someone sober
Will worry about things going badly.
Let the lover be. (46)

Maka untuk tahun baru ini, mungkin kita wajar tinggalkan pandangan-pandangan manusia. Kita berikan ia pada Tuhan! Selamat tahun baru sidang pembaca!

Ahad, 29 Disember 2019

Membaca di Tepi Tingkap Bas


Antara moment-moment yang saya selalu dekat dengan hati saya sepanjang perjalanan kehidupan sebagai pekerja adalah perjalanan pulang menaiki bas dari Pulau Pinang ke Sungai Petani. Membaca buku sambil melihat sawah padi luas terbentang, kawanan burung pulang senja, begitu mengasyikkan jiwa, begitu mengamankan hati. 

Malah saat-saat seperti itu merupakan saat kebanyakan idea datang untuk menulis, malah mungkin sebahagian besar buku dan tulisan saya digarap ditepi tingkap bas. Benarlah kata-kata Tolle bahawa dalam diam dan sepi kita bertemu diri, benar juga kata-kata Glowacki bahawa dalam suasana kebosananlah terbitnya idea dan kreativiti. Maka di tepi tingkap bas lah tempat saya termenung, menulis, berfikir, berpuisi, dan kadang-kadang, apabila penat datang dengan kuat, saya akan tertidur.

Menaiki pengangkutan awam terdapat seribu satu kelebihan. Abaikan sebentar servis yang teruk, jadual tertunda, kelewatan dan sebagainya. Kenderaan awam memberi kita peluang beremu dengan manusia setiap hari, manusia-manusia asing, yang tidak pernah kita temu sebelum ini. Kita dapat melihat pelbagai ragam manusia, dari yang menjerit gila, sehinggalah yang diam tersenyum sendiri melihat talifon bimbit.

Saya masih ingat perbualan panjang saya dengan seorang pakcik. Asing, saya tidak mengenalinya, tetapi perbualan itu sangat mengasyikkan. Pakcik itu sederhana sahaja orangnya, jika dilihat dari luarnya, tiada apa yang istimewa. Dia bercerita tentang kisah hidupnya berkhidmat di serata dunia, kisah-kisah mamak Pulau Pinang, sejarah Sungai Petani dan bas mini berwarna merah, impiannya untuk bersara dan menjadi seorang sufi, hinggalah kepada hal-hal keluarga dan kesihatan. Beliau sebenarnya merupakan doktor pakar tulang di sebuah hospital swasta terkemuka. Asyik sekali perbualan kami petang itu. Akhirnya aku juga tidak tahu siapa namanya, biarlah, keasyikan itu sudah cukup bagiku. Cukup untuk membuai lamunan petangku.

Pengangkutan awam sememangnya tidak asing bagiku. Masih lagi aku ingat kegiatanku semasa muda remaja menaiki bas dan LRT di ibukota berkeliaran di Petaling Street, Pasar Seni, Chowkit. Juga man amungkin aku lupakan lamunanku didalam bas, tramvai, dan metro di bandar lagenda Leningrad. Juga perjalanan musim sejuk dari vokzal di Peterburg ke Moskva, salji-salji putih yang melitupi pokok dan rumah diperdalaman Russia, semuanya membuatkan memoriku berkenaan dengan pengangkutan awam begitu mengashikkan.

Satu hari aku terjumpa buku bertajuk "Aku ingin membaca 1000 tahun lagi". Mungkin jika ditanya, aku akan menjawab "Aku ingin membaca, termenung dan merenung di tepi tingkap bas 1000000 tahun lagi"!

Rabu, 25 Disember 2019

Catatan Baitul Muslim 24: Apa Guna Suami, Jika


Saya masih ingat ketika mula berkahwin, antara janji saya pada diri sendiri adalah menerima isteri. Terima bukan sahaja apa yang baik, yang disukai, yang sesuai, tetapi menerima juga yang tidak baik, tidak cocok atau tidak sesuai. Kerana seperti manusia-manusia lain, isteri punya baik dan buruk, sama seperti suami, manusia yang punya baik dan buruk. Seperti yang dikalamkan Tuhan, manusia dikurniakan "fujur" dan "thaqwa".

Kenapa penting berjanji pada diri? Kerana cinta itu perasaan, ia bersifat datang dan pergi. Ia mungkin kuat dipermulaan tetapi bisa hilang di tengahari. Ia bersinggahsana di hati, yang selalunya berbolak-balik. Tetapi kalaupun perasaan itu hilang, janji akan terus kekal. Ia tanggungjawab saat kita menerima akad, kekal harapnya hingga ke hujung hayat. Maka tika marah kita bertanggungjawab, ketika sedih kita bertanggungjawab, ketika bahagia kita bertanggungjawab. Kekal janji itu sebagai tali.

Dan hidup, hidup itu kadang kita rasa seperti anugerah, kadang kita merasa ia perit persis satu sumpah. Apa guna suami jika dia tidak menjadi penyambung nyawa buat isteri, penyejuk hati saat dia marah, penguat hati saat dia kalah, pemberi senyum saat dia gundah. Sama-sama hidup di saat mewah, juga kekal bersama saat yang tinggal hanya kuah.

Tugas suami bukan hanya memetik nikmat ketika dia berminat, namun hilang ketika hidup terasa berat dan penat. Haruslah dia setia melukis bahagia, walaupun dihalang seluruh dunia, setia bersama hingga takdir mengambil nyawa. Pasti ada saat-saat yang gawat, ada saat suhunya tinggi, kata-katanya marah, matanya pasrah. Pada ketika itu bukalah semula naskah-naskah janji, bukankah sumpah kalian berbunyi setia ketika diuji? Sekuat mana pun ribut, ia akan berlalu. Sekelam mana pun malam, akan tiba pagi yang baru. Segelap manapun gerhana, mentari akan bersinar semula. Ketika semuanya sudah kembali, kita akan merasakan nikmat dan manisnya setia.

Dan itu, itulah maknanya cinta.

Selasa, 17 Disember 2019

Setiap Orang Mempunyai Cerita


Setiap orang mempunyai cerita mereka tersendiri. Mereka diberi Tuhan dua pilihan. Pertama, menyimpan cerita tersebut. Kedua, menulis cerita tersebut. Jika mereka memilih pilihan yang pertama, cerita mereka akan mati dikafankan bersama mayat mereka, ditanam dan tidak akan diketahui generasi kemudian. Jika mereka memilih pilihan kedua, maka generasi akan datang mempunyai peluang untuk mengetahui cerita mereka.

Setiap cerita itu mungkin signifikan, mungkin tidak, ramai yang merasakan tiada apa istemewanya tentang kehidupan mereka, tiada apa yang perlu ditulis buat generasi seterusnya. Tetapi sebenarnya bukan penulis yang perlu menjadi juri dan hakimnya, biarlah tugas itu ditentukan pembaca dan generasi akan datang, ketika mereka membuka semula sejarah dan cerita lalu.

Begitulah sebenarnya sabda nabi, ketika benih berada ditanganmu saat esok merupakan hari terakhir dunia, tugasmu adalah menanam benih itu. Nabi menyabdakan bahawa tugas kerdil manusia adalah usaha. Jadi tika hidup dan cerita berada di tanganmu, maka tugas kamu adalah menulisnya.

Saya menulis bermula dari suatu masa yang saya sendiri tidak memahami apa itu penulisan, apa tujuannya, apa kesannya. Dalam perjalanan penulisan saya temui pelbagai ragam manusia. Ada yang berterima kasih, kerana dapat mengaitkan perasaan mereka dengan penulisan saya. Ada juga yang menegah, siapa awak hendak menulis dan mentafsir, awak bukan doktor falsafah. Jika doktor falsafah adalah syarat manusia untuk menulis, nescaya dunia yang kita hidup pada hari ini akan lebih miskin dengan karya, sedangkan falsafah itu sendiri bermula dari manusia yang tidak punya gelaran doktor falsafah.

Maka menulislah! Turunkan tinta, biar kata-kata berbicara. Persetankan tegahan dari mereka yang mahu manusia semua berlindung di dalam gua yang selesa. Pergi kembara dan meneroka, lihatlah dunia yang dicipta Sang Pencipta, dan apabila sudah terkumpul cerita, perlu kita semua bertinta.

Tetapi tinta sahaja tidak mencukupi tanpa membaca. Menulis dan membaca merupakan dua sayap yang sama pentingnya untuk menerbangkan idea. Apabila banyak membaca kita akan merasa kita perlu banyak menulis, dan ketika kita menulis kita akan merasakan bahawa kita perlu banyak membaca. Dengan dua sayap ini kita dapat membebaskan minda dan jiwa, kita akan sedih dan gembira, kita akan menangis dan tertawa, kita akan tersenyum bila tiba masa menutup mata.

Maka terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang membaca blog peribadi saya ini. Ia ditulis oleh manusia, pastilah ada cacat dan cela disini sana. Jika terjumpa celanya harap di kritik kemudian dimaafkan kekhilafannya. Jika terjumpa baiknya harap disimpan kemudian disebarkan pada dunia.

Sebelum saya pulang bertemu Tuhan, biarlah kata-kata ini tertinggal dan ditinggalkan di dunia. Selamat membaca!

Catatan Baitul Muslim 23: Membunuh Kreativiti Anak-Anak


Apabila tahu lukisannya dibuat kulit buku antologi puisi yang saya terbitkan bersama rakan-rakan, anak saya melipat lukisan-lukisannya yang lain dan dimasukkan ke dalam beg yang saya selalu bawa ke tempat kerja.

"Abi, kakak dah masukkan painting dalam beg abi, nanti buat buku" katanya kepada saya.

Saya meng-OK-kannya sahaja. Hari ini balik kerja dalam bas baru sempat saya lihat karya 'artis' ini. Tugas kita ibubapa adalah tidak membunuh kreativiti anak-anak. Rumah bersepah itu lumrah, dan boleh dikemas, kreativiti yang mati adalah hilangnya emas.

Kita semua bersalah, termasuk saya sendiri, dalam proses membunuh kreativiti anak-anak. Apabila menjerit kita suruh dia diam, apabila menconteng dinding kita akan rampas pensil warna mereka, apabila mereka berlari kita seluruh mereka duduk.

Anak-anak tidak tahu apa-apa peraturan. Mereka masih sangat baru di dunia ini, jika mereka berusia empat tahun, bermakna mereka hanya ada pengalaman selama empat tahun sebagai manusia. Bila kita jerit "Jangan sentuh, panas!" maka minda kreatif mereka cuba menafsirkan apa itu panas? Adakah makanan? Atau apa? Mereka belum menguasai ilmu fizik dan belum menguasai konsep 'suhu'. Jadi mereka akan mencuba untuk mencari makna apa itu 'panas' agar dapat dikumpul menjadi pengalaman hidup.

Saya masih membaca buku Jamie Glowacki dengan perlahan. Sekarang sudah sampai kepada bab kreativiti. Apa itu kreativiti?

Kreativiti punya banyak maksud, tak semestinya ia sama, malah mungkin boleh bercanggah. Ada yang  mendefinisikan kreativiti sebagai proses mencipta suatu dari tiada kepada ada. Atau kreativiti sebagai method untuk menyampaikan emosi dan perasaan dalam bentuk non-verbal. Juga mungkin bermaksud perkara yang berbeza dari apa yang dianggap sebagai status quo.

Eksplorasi anak-anak untuk mengenal dunia seringkali menyebabkan kita ibu bapa stress, kita nampak bedak penuh dilantai sebagai satu tindakan nakal dan di luar kebiasaan. Tetapi anak-anak tak pernah tahu pun apa itu 'kebiasaan'? Kerana mereka belum biasa hidup di dunia. Minda kreatif mereka hendak membuat eksperimen, bolehkah manusia berenang di lautan bedak di dalam bilik? Maka mereka uji hipothesis ini. Kreativiti mereka sedang berfungsi, mereka mencipta, dari tiada lautan bedak, kepada ada.

Masharakat kita telah terbiasa dengan 'produk akhir'. Kerana kita bekerja di kilang, jika tiada produk maka bagi kita tiada kerja, tiada hasil. Kita pun bawa minda 'pekerja' ini balik ke rumah apabila bersama anak-anak. Jika kita buat aktiviti dengan anak-anak perlu ada hasil akhir, perlu ada buku yang siap diwarna, setiap aktiviti perlu mengikut arahan yang telah disediakan, sangat sedikit ruang ekplorasi. Walhal kreativiti juga wujud pada proses, bukan hanya pada produk akhir. Contohnya cara memegang pensel, proses memilih warna, imaginasi lain - pokok diwarna biru atau manusia berwarna pink. Jadi proses itulah yang penting sebagai tempat mengembangkan kreativiti. Walaupun di mata manusia dewasa hasil atau 'produk akhir' adalah kertas dengan contengan yang tiada makna.

Ini bukanlah satu seruan untuk membiarkan anak-anak membaling pinggan dan cawan sehingga pecah bagi membiarkan mereka bereksperimen dan ber-kreativiti. Tetapi sebagai teguran dan renungan kepada kita ibu bapa agar melihat anak-anak dengan empati, memahami proses yang mereka sedang alami. Saya sendiri percaya anak-anak perlu dimarahi apabila mereka melanggar peraturan, tetapi mereka tidak wajar dimarahi jika mereka tidak diberi tahu apa itu peraturan. Ibarat kita menyuruh anak bermain ping-pong tapi tidak diterangkan peraturan permainan, bila mereka bermain mengikut peraturan sendiri, mereka dimarah, mereka pun bingung.

Jadi tugas kita sebagai ibubapa adalah menerangkan garis peraturan pada anak-anak, agar mereka dapat mengembangkan daya kreativiti mereka dalam sempadan yang selamat. Tentu sahaja mereka akan melakukan kesilapan, siapa tidak pernah tersilap? Kita harus berhati-hati untuk tidak membunuh kreativiti mereka hanya kerana mereka melakukan kesilapan.

Isnin, 16 Disember 2019

Jualan Gudang Utusan VS Big Bad Wolf 2019


Sahabat saya, Rayer yang menetap di New Zealand menghubungi saya beberapa hari lepas. Terkejut juga saya, sudah lama terputus hubungan tiba-tiba menjelma. Rayer merupakan orang Melayu yang berkerja sebagai akauntan di sana. Beliau bertanya sama ada saya akan pergi singgah ke jualan gudang Utusan. Walaupun merantau jauh di negara orang, mungkin akar nasionalis beliau masih setia di sini, beliau masih cakna dengan isu-isu yang mengeluti Malaysia.

Kebetulan saya memang hendak ke Kuala Lumpur menziarahi ibu dan ayah. Beliau memberi saya RM240 untuk dihabiskan di jualan gudang untuknya. Saya bertanya nak beli buku apa? Katanya taste pembacaan beliau sama dengan saya, beliau cenderung dengan genre sejarah, politik, falsafah dan sebagainya, jadi dia serahkan urusan memilih buku pada saya.

Saya bertanya kepada pihak Utusan berkenaan dengan waktu perniagaan, mereka kata dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Jadi pada hari kejadian saya singgah di Big Bad Wolf (BBW) dahulu di The Mines, kerana saya keluar awal pagi dan BBW buka 24 jam. Isteri saya mahu membelikan buku untuk anak-anak.

Seperti biasa apabila pergi ke pameran buku, ketika melihat-lihat buku, isteri saya akan memandang saya, tersenyum, dan mengusik "Mana buku 'Berfikir Tentang Pemikiran'?". Saya gelak kecil, namun hati bergumam, buku rare dan underground mana boleh jual di pasaran terbuka, tidak mahu kalah.

Saya bersetuju dengan tulisan Komrad Benz Ali, apabila buku dijual dengan terlampau murah, buku tersebut seolah-olah hilang nilai dan 'harga diri' nya. Orang beli sebab murah, bukan kerana rasa ingin tahu, ingin membaca, atau ingin mendalami sesuatu idea. Buku menjadi seolah-olah satu komoditi, bukan lagi bahan intelek. Ia wujud sebagai beban kepada penerbit yang ingin menghabiskannya segera.

Mungkin itu merupakan salah satu sebab saya masih membeli buku di Kinokuniya, walaupun sesetengah orang mengatakan buku disana harga 'kapitalis'. Kerana bagi saya, buku yang berharga memang perlu ada ‘harga’. Kawan saya, Lee Kuang Juan sering sahaja menawarkan e-book percuma pada saya, katanya buat apa membazir beli buku fizikal, dia boleh tolong download secara percuma untuk saya. Tapi saya menolak setiap kali, saya tak rasa rugi membeli buku fizikal jika saya rasa buku tersebut benar-benar menarik minat saya. Dalam masa yang sama, saya menyokong penulis asal.

Saya sempat menyelit buku perihal perang Vietnam yang ditulis oleh Nigel Cawthorne dan buku perihal anak perempuan Stalin karangan Rosemary Sullivan di celahan pembelian buku anak-anak. Selesai membayar kami ke Taman Shamelin Perkasa.

Sampai ke gudang Utusan, suasananya sangat menyedihkan. Dengan buku yang berteraburan dan keadaan gudang yang gelap. Buku yang sudah dibelek tidak disusun semula, malah setiap buku tiada tanda harga. Tapi tidak boleh salahkan mereka juga, mungkin sudah tiada pekerja tetap yang mampu mengurus.

Saya pun mula mengumpulkan buku sesuai dengan kehendak saya, buku berkenaan dengan politik, tokoh, juga ada satu buku tafsir seingat saya. Saya tidak menggemari novel, namun saya dapati banyak novel yang diterbitkan. Saya kumpul buku sampai tak cukup tangan, bubuh dalam beg sandang juga terasa berat. Antara buku yang saya sempat kutip adalah Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu oleh Ahmad Jelani, Kepimpinan dan Perjuangan Pemuda Umno oleh Zin Mahmud et al., Malaysia’s New Economic Policy: An Overview yang disunting oleh Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin, dan banyak lagi.

Saya perhatikan banyak juga buku perihal jahitan, gubahan, resepi yang saya kira terlalu spesifik dan niche. Saya tak dapat tahan dari bertanya, mengapa buku seperti ini dicetak secara mass production? Saya tak fikir oranng awam akan membelinya, kecuali jika sesorang itu memang berminat, atau seseorang itu ada kelas jahitan contohnya. Sepatutnya buku seperti ini dicetak base on demand. Seperti jurnal-jurnal berimpak maksima di menara universiti, ia perlu dicetak dan disimpan dalam perpustakaan, tetapi jarang hingga hampir mustahil akan dibaca oleh masharakat awam.

Banyak juga buku yang saya lihat design kulitnya seperti dibuat menggunakan template Microsoft PowerPoint era 90-an, tiada nilai estetika. Ya betul, isi buku yang penting, tapi dalam pasaran buku yang mencabar, kulit yang menarik merupakan senjata utama dan pertama untuk menarik pembaca memegang dan menyelak isi buku. Juga buku-buku gambar, yang bagi saya secara personal bukan 'buku', tetapi lebih kepada bahan pameran. Saya juga pelik, buku seperti ini juga patutnya dicetak berdasarkan permintaan.

Namun, apa pun kesilapan itu, patut kita lihat dalam rangka untuk pembaikan akan datang, terutama sekali bagi mereka dalam industri pembukuan. Kedatangan ramai rakyat Malaysia ke gudang Utusan sedikit sebanyak menggembirakan hati. Apa pun perbezaan politik, masih ramai yang datang membeli, tanda sokongan terhadap satu wadah penerbitan yang antara tertua dan banyak menyumbang pada pembinaan negara ini.

Saya akhirnya sampai ke kaunter bayaran. Sekotak buku yang saya kumpul hanya bernilai RM79. Saya tanya Rayer sama ada dia mahu buku resepi masakan? Katanya tak mahu. Saya pun lega kerana tidak perlu pusing sekali lagi, sekadar memulangkan baki wang pada Rayer.

Semoga industri buku terus subur di Malaysia, dalam masa yang sama menyuburkan intelek manusia-manusia di dalam negara tercinta ini.

Jumaat, 13 Disember 2019

Penghasilan Kulit Buku Antologi Puisi


Saya masih ingat ketika di Pesta Buku KL tahun lalu, membeli dan menyelak naskah buku 'Kept In Ink' tulisan pemuzik dan penulis, Abang Francis Wolf. Buku beliau bukan sahaja memuatkan penulisan tetapi lukisan-lukisan yang beliau sendiri lukis sepanjang pengembaraan beliau. Saya bertanya tentang lukisan original, dengan tegas beliau katakan "Not for sale!".

Buku Francis merupakan antara inspirasi kami ketika kami mula merancang konsep dan isi antologi puisi kami. Pada asalnya kami ingin berkolaborasi dengan mana-mana artis baru-nak-up untuk memasukkan karya mereka diselingkan dengan puisi-puisi kami. Namun, ibarat kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan", kami tidak berjaya menjumpai mana-mana artis yang sudi berkolaborasi dalam masa yang singkat.

Namun itu tidaklah mematahkan semangat kami. Ibarat kata pepatah "air yang tenang jangan disangka tiada kura-kura". Akhirnya kami menjumpai seorang artis kecil berusia 4 tahun bernama Amni. Karya-karya beliau begitu abstrak dan sukar difahami manusia dengan mata kasar. Walaupun tidak dapat memenuhi konsep asal iaitu selingan antara puisi, karya beliau akhirnya kami jadikan kulit buku.

Memilih kulit buku bukanlah semudah yang disangka. Designer kami menghasilkan karya kulit beberapa kali. Cubaan pertama adalah menggunakan gambar bunga liar dengan sinar low-light. Kemudian konsep corak batik Melayu. Juga gambar kulit menggunakan hasil fotografi retro dan moden. Namun semuanya seperti, tiada unsur uniqueness dan personal



Sehingga lah kami mengambil keputusan untuk menggunakan karya lukisan Amni. Kini karya lukisan Amni menjadi sebahagian simpanan karya di Perpustakaan Negara Malaysia melalui naskah antologi puisi kami. Apabila mendapat tahu karya beliau digunakan sebagai kulit buku, kini setiap kali dia melukis dia akan lipat dan masukkan kedalam beg kerja ayahnya sambil berkata "Abi painting ni nanti buat buku, kakak masukkan dalam beg abi".

Mungkin satu hari nanti kami akan jumpa artis lain yang sudi berkolaborasi, bolehlah kami terbitkan edisi kedua "updated and revised". Semoga karya kecil kami ini, memberi sumbangan kepada pembendaharaan puisi negara.

Hari-hari lebih indah dengan puisi!

Khamis, 12 Disember 2019

Pengalaman Menulis dan Menerbitkan Buku



Buku 'Berfikir tentang pemikiran' merupakan buku pertama yang saya terbitkan bersama syarikat Independent Insight. Saya cetak sedikit sahaja sebab tak berani nak cetak banyak, tak habis nanti nak buat apa? Ia merupakan dilema yang selalu mengeluti penerbit-penerbit kecil dan indie, yang tidak mempunyai modal yang besar juga capaian pemasaran yang luas. Berjaya menjual 100 naskah pun merupakan satu kejayaan yang besar buat penerbit kecil.

Saya masih teringat nasihat sahabat saya Najmi Abd Rahim, dia usahakan syarikat percetakan. Ketika saya menghantar manuskrip untuk cetakan dia nasihatkan "Aku dah baca, boleh jual ni, cetak la seratus". Tapi saya tetap tak berani, jadi saya cetak hanya 50. Alhamdulillah, sebulan sahaja habis semua, saya hanya tulis di Facebook sahaja, itu pun bukanlah promosi pun, sekadar memberi tahu buku saya telah siap ditulis. Malah kawan-kawan saya di pejabat juga membeli, baik kawan Melayu mahupun kawan-kawan Cina, India, Singh dan lain-lain.

Lega, saya pun malas hendak mencetak lagi. Kemudian, tidak lama selepas itu sahabat saya Izzat Ibrahim mengajak saya menyertai beliau untuk menjual buku di Pesta Buku KL 2018. Saya pun fikir, ada ke orang nak beli? Beliau tak putus asa terus mengajak saya. Akhirnya saya cetak lagi 50. Itu pengalaman pertama dalam hidup pergi PBAKL jual buku, selama ni pergi beli buku sahaja. Kami dapat menyewa reruai yang murah dan dikongsi dengan syarikat penerbitan lain. Ramai juga yang membeli pada masa itu, ada cikgu, ada adik-adik sekolah, mahasiswa, yang paling kelakar mungkin ada seorang wartawan FMT datang booth kami dan beli buku. Ada juga orang-orang yang saya pun tak tahu muncul dari mana. Alhamdulillah habis. Lega sekali lagi.

Tapi selepas itu masih ada sahabat-sahabat yang masih bertanya. Ada yang istiqamah tanya hampir setiap bulan. Saya pun fikir, apa guna tulis buku kalau orang yang nak baca tak dapat beli dan baca. Saya ambil keputusan untuk cetak lagi buat kali yang ketiga, kali ini hanya 30 naskah. Sebab kali ini, saya sudah mempunyai orang yang order, tidak sampai sebulan juga buku-buku ini hampir habis terjual, yang berbaki juga semua sudah ditempah orang.

Semasa saya mencetak buku kali ke-3 pada Disember 2019, saya bersama rakan-rakan menerbitkan antologi puisi ‘Maka Kitab Itu Pun Menyanyi’. Antologi ini kami cetak sebanyak 150 naskah, jadi setiap penulis mempunyai 50 naskah untuk dijual. Tolak 5 naskah wajib untuk serahan pada Perpustakaan Negara Malaysia, saya mempunyai 45 naskah. Antologi puisi ini nipis sahaja jika dibandingkan dengan buku pertama saya, kurang 100 mukasurat. Setelah beberapa bulan, ditangan saya tinggal kurang dari 5 naskah yang tinggal.

Cabaran kami untuk menerbitkan buku adalah mencari pencetak yang sesuai. Ada pencetak yang memberi harga murah, tapi tidak berkualiti. Semasa ingin mencetak antologi puisi, kami berhadapan dengan cabaran pencetak yang mempunyai servis yang buruk. Selepas membayar deposit, kami dijanjikan dengan jangka masa dua minggu untuk pesanan kami siap dicetak. Hampir dua bulan kami menunggu. Hampir setiap minggu pencetak memberi alasan yang pelbagai, vendor bermasalah, kemudian kata sudah siap tapi belum boleh bagi, alasan kononnya berada di luar negara. Akhirnya kami tuntut semula deposit atau kami membuat tuntutan undang-undang. Akhirnya kami dapat deposit kami semula dan mencari pencetak lain.

Bila saya renung-renungkan semula, ada keseronokan menerbitkan dan menjual buku-buku sendiri. Namun jika dibandingkan, saya lebih suka menulis dari menjual. Sebab itu ketika Muzamel bertanya mengapa ingin segera menerbitkan naskah antologi, saya katakan bahawa saya ingin segera meninggalkan buku ini dibelakang agar saya boleh fokus menulis buku seterusnya. 



Selasa, 10 Disember 2019

Membaca Rambut Panjang Simbol Perlawanan


'Rambut Panjang Simbol Perlawanan' merupakan zine kedua yang saya baca pada tahun 2019. Ia ditulis oleh Mr. Copyleft dan diterbitkan oleh Republik Zine. Walaupun temanya berbaur politikal dan ideologikal, ia masih lagi boleh dikategorikan sebagai bacaan ringan, sesuai dengan bentuknya sebagai sebuah zine.

Ia dibuka dengan satu petikan akhbar mengenang tahun 1992 dimana penyanyi-penyanyi rock di Malaysia diperintahkan oleh menteri untuk memotong rambut. Mereka yang degil tidak mendapat tempat dalam televisyen dan radio, hingga penaja konsert pon menarik diri, akhirnya penyanyi terkenal seperti Amy Search dan Awie akur dan memotong rambut mereka. Saya baru tahu bahawa ini semua pernah terjadi di Malaysia! Bagaimana lelaki berfesyen dengan rambut panjang diperangi kerajaan. 

Persoalan rambut dipandang sangat berat oleh kerajaan, ini mengingatkan saya berkenaan dengan konsep "totalitarian democracy" yang saya baca tidak lama dulu. Walaupun kita memilih penguasa menggunakan saluran demokrasi, kehidupan rakyat dikawal dari setiap segi, tidak banyak beza dengan sistem totalitarianism, cuma bezanya adalah kaedah pengawalan. Dalam sistem demokrasi kita punya pelbagai kementerian, dari kementerian sukan hingga kementerian kebudayaan, ekonomi, semuanya perlu dikawal dan diselia, "kebebasan" tidak lebih dari sekadar slogan. Begitulah juga dengan aspek penampilan dan urusan rambut.

Zine ini banyak mengambil contoh-contoh dan inspirasi dari Indonesia, sehingga saya merasakan bahawa ia lebih mengkritik dan memperhalusi isu ini di sana, walaupun sekali sekala penulis cuba membawa garis persamaan itu ke Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir. Di Indonesia, lelaki berambut panjang digelar Gondrong. Media Indonesia sering menyamakan fesyen rambut panjang atau gondrong ini sebagai orang yang jahat dan berbahaya.

Persoalan rambut panjang juga menjadi lebih sistematik dalam masyarakat nusantara dengan kedatangan agama Islam, sebelum ini rambut panjang merupakan perkara biasa bagi pendekar-pendekar. Pengaruh agama membawa nuansa baru, budaya dan cara baru, ia juga dikaitkan dengan gender dimana lelaki disinonimkan dengan rambut pendek, rapi dan kemas, manakala wanita berambut panjang.

Namun saya kira zine ini mempunyai paradoks yang jelas. Sebagai contoh pada satu ketika penulis menulis "Gondrong hanya sebuah cara fesyen atau gaya rambut yang sama sekali tidak berkaitan dengan moral dan status sosial.Semua ini benda luaran...tentunya tidak mampu mewakili sesuatu yang berada di dalam diri" (Mukasurat. 22). Atau dalam kata lain, rambut panjang hanya gaya fesyen bukan mewakili apa-apa yang bersifat dalaman seperti moral atau ideologi.

Namun pada ketika yang lain, penulis menulis "rambut tidak sekadar mahkota anda, tapi boleh jadi menjelaskan pendirian politik anda" (Mukasurat 47). Di sini penulis mengatakan bahawa rambut boleh mewakili sesuatu yang bersifat dalaman seperti pendirian politik. Maka kita ditinggalkan dengan satu paradoks, adakah rambut panjang sekadar satu fesyen atau ia melambangkan pendirian politik? Bagi saya sebenarnya, dengan mengatakan bahawa rambut panjang sekadar fesyen, ia bertentangan dengan raison d'etre zine ini sendiri iaitu "rambut panjang simbol perlawanan".



Juga permasalahan istilah yang diketengahkan saya kira merupakan persoalan yang remeh. Sebagai contoh penulis mengatakan bahawa penggunaan istilah "belia" menggantikan kata "pemuda" merupakan "pemesongan sejarah" kerana istilah pemuda bagi penulis lebih menggigit, menggugat, subversif dan revolusioner. Saya kira banyak lagi perkara penting yang elok kita gaduhkan dari persoalan pemilihan istilah.

Akhir sekali penulis menyimpulkan bahawa rambut panjang tidak semestinya melambangkan perlawanan, tetapi sekadar pemilihan. Terutamanya generasi muda yang mahukan kelainan dari peraturan sedia ada, untuk mereka menonjolkan ke-individua-an mereka. Tidak semestinya ideologikal, kemungkinan sekadar rebel without cause.

Apa yang saya suka mengenai zine ini bukanlah ketepatan sejarah atau pendapat penulisnya, tetapi argumen-argumen yang melaraskan otak-otak pembaca untuk berfikir, kita tidak semestinya akan bersetuju, tetapi kita akan berfikir. Zine ini penuh dengan paradoks, contoh-contoh dan sumber dari Indonesia, yang tidak terlalu berat untuk difikirkan. Sesuai untuk bacaan ringan bagi sebuah zine.

Jumaat, 29 November 2019

Membawa mimpi bertemu rindu


Membawa mimpi bertemu rindu,
Tak terkisah dek sejarah orang dahulu,
Tentang bahagia yang menjalari kalbu,
Apabila anak pulang ke laman ayah ibu.