Sabtu, 23 Mei 2020
Catatan Baitul Muslim 29: Anak Menangis Malam
Jumaat, 22 Mei 2020
Memaknai Rumi: Siri 9
Politik, Thymos, dan berakhirnya Ramadhan
Ramadhan tahun ini sepertinya tenang, walaupun peristiwa dan drama politik terus bermain di pentas media, kelihatannya ia tidak banyak menangkap imaginasi dan perhatian rakyat. Mungkin kerana keberkatan Ramadhan, juga keterbatasan PKP, mengalih fokus masyarakat untuk hal-hal lain seperti ibadah dan kelangsungan hidup. Pada hal itu, ada juga baiknya saya kira, kerana kita manusia perlukan rehat, maka mungkin ini peluang kita merehatkan emosi dalam masa yang sama menenggelamkan diri dalam sujud mencari ketenangan dari Pencipta, mengejar janji-janji-Nya.
Walaupun hal-hal politik ini sentiasa dikaitkan dengan kekotoran, ketamakan dan naluri haiwani manusia mengejar kekuasaan, namun suka atau tidak suka, politik menentukan banyak perkara dalam hidup kita, dari harga makanan asas, yuran pengajian, insuran pekerjaan, semuanya sikit atau banyak berkait dengan polisi pemerintahan yang termasuk dalam kluster politik. Oleh itu, sukar untuk kita menjadi agnostik perihal politik, atau melepaskan diri sepenuhnya. Kecuali jika kita berjaya mengasingkan diri didalam hutan belantara, dan terpisah dari integrasi peradaban dunia moden. Kita perlu sentiasa menjadi pelajar kepada sejarah dan politik, dan pembelajaran itu bukan sahaja didapati dalam buku dan teks literatura, tetapi juga peristiwa dan perkembangan terkini, yang seharusnya menjadi ilmu waqi'ei (semasa) kepada kita.
Pendedahan rakaman audio baru-baru ini yang berdurasi lebih dua jam, merupakan antara kuliah ilmu yang menarik. Disini rakyat bawahan yang tidak mengisi mana-mana borang boleh mendengar syarahan-syarahan dari pensyarah yang mempunyai pelbagai latar belakang dari pelbagai bidang pengkhususan. Ada yang datang dari latar Islam progresif, liberal demokrat, populis, oppurtunis, kroni kapitalisma, reformis, juga bidang pengkhususan kecil seperti e-sport. Kita dapat lihat perspektif mereka, juga teknik mereka berbahas dalam menyelesaikan masalah. Sesi syarahan ini, jarang-jarang dapat kita dengarkan, ia adalah sesi pelajaran yang baik.
Kaca mata kita selalunya melihat pergelutan politik dari kaca mata Machiavelli, iaitu politik hanya sanya perihal merebut kuasa tanpa ada batasan moral. Atau dalam kata lain, untuk berjaya dalam politik, strategi dan helah lebih utama dari pertimbangan moral. Mungkin ada benarnya analisis ini. Namun manusia itu kompleks, tingkah lakunya sukar untuk diterangkan dalam satu aspek sahaja, contohnya kegagalan Darwinisma untuk menerangkan konsep altruism dan moral.
Plato dalam usahanya menerangkan sifat manusia membawakan 'Tripartite Soul' dimana manusia itu mempunyai tiga bahagian. Yang pertama adalah Eros yang disamakan dengan kehendak yang memenuhi keperluan fizikal seperti makan dan minum, yang juga wujud dalam haiwan dan tumbuhan. Yang kedua adalah Logos, keupayaan intelek dan kemampuan untuk berfikir, dimana haiwan juga mempunyai kemampuan berfikir walaupun terbatas. Yang ketiga adalah yang hanya unik untuk manusia, iaitu Thymos. Thymos mempunyai tafsiran yang pelbagai seperti spiritedness, atau dalam tradisi Islam sering disebut sebagai kerohanian. Thymos dapat menerangkan perilaku manusia yang berlaku diluar logik kehendak dan rasional akal. Contohnya mengapa manusia berperang, ia diluar logik kehendak (kehendak untuk kekal hidup) juga rasional akal (kebolehan untuk menyelesaikan pergaduhan dengan diplomasi dan mengelakkan kesengsaraan).
Francis Fukuyama dalam bukunya perihal berakhirnya sejarah mengaitkan Thymos dengan falsafah Hegel yang menyatakan bahawa ia adalah sifat manusia yang inginkan pengiktirafan. Peperangan sebagai contoh, merupakan usaha manusia untuk mendapatkan pengiktirafan akan kehebatan sebuah bangsa dan negara, walaupun ia tidak masuk akal dari sudut ekonomi. Fukuyama mengaplikasikan konsep ini kedalam politik, dimana jika sebelum ini kita hanya melihat ia sebagai pergelutan politik tanpa batas moral ala-Machiavelli, sebenarnya ia mempunyai lapisan lebih dalam, berkaitan sifat manusia yang mahukan pengiktirafan. Maka konsep Thymos Fukuyama ini boleh membantu kita merasionalkan gerak-geri ahli politik yang mungkin tidak masuk akal jika kita lihat dari perspektif lain.
Yang sudah menjadi Perdana Menteri mahu diiktiraf legasinya, yang belum mahu diiktiraf pengorbanan reformasinya. Yang muda ingin diiktiraf idealimanya, begitulah seterusnya.
Pergelutan, pertikaman, dan pergaduhan politik sudah tentu akan berterusan lagi tanpa penghujung. Tetapi Ramadhan sudah sampai kepada penghujung, dan hidup kita juga pasti akan sampai ke penghujung. Tidak salah kita belajar, dari buku, dari peristiwa, atau dari rakaman audio sulit yang didedahkan. Tetapi kita juga perlu memberi peluang kepada jiwa kita untuk berehat, bermunajat, dan merasai kemanisan-kemanisan ibadah. Semoga Ramadhan kita diterima, ibadah kita diiktiraf Pencipta, dan sujud kita berjaya menenangkan jiwa.
Selamat beribadah dan selamat menyambut Aidilfitri. Maaf
lahir dan batin.
Sabtu, 16 Mei 2020
Dilema Demokrasi Liberal
Manusia pertama menurut Hegel
![]() |
Ahad, 10 Mei 2020
Mengenang Abu Asri bin Zailani
Sabtu, 9 Mei 2020
Catatan Baitul Muslim 28: Pluviophile
Selasa, 5 Mei 2020
Kerinduan Pada Mereka Yang Telah Berlabuh Ke Kampung Abadi
Pergerakan Islam & Cabaran Untuk Kekal Relevan
Pemikiran Syed Qutb berkenaan dengan "Islam VS Sistem Jahiliyah" merupakan pemikiran yang lahir di zaman dimana Mesir pada ketika itu dicengkam oleh nasionalisme yang sangat pekat. Agama ditekan dan ramai tokoh yang menentang idea yang dipegang kerajaan menghembuskan nafas terakhir mereka di tali gantung.
Idea ini ternyata berkesan kerana ia merupakan idea yang simple dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Baik ahli akedemik atau petani, pelajar universiti atau tukang kayu, hatta golongan buta huruf sekali pun boleh memahami idea bahawa "selain Islam adalah jahiliyah". Ia tersebar luas dan dianggap sebagai idea revival Islam, dan mempengaruhi banyak pergerakan lain diserata dunia Islam yang pada zaman itu sedang bertarung dengan kolonialisme, imperialisme dan pelbagai cengkaman lain.
Saya tidak bermaksud untuk mengkritik pemikiran Syed Qutb, kerana bagi saya ia mempunyai sumbangan besar dalam mengembalikan Islam dalam diri ummat ini. Ia merupakan catalyst kepada perubahan, perubahan yang kita nikmati hari ini.
Situasi di Malaysia juga banyak berubah. Kita tidak lagi di jajah oleh kuasa kolonial (secara fizikal, minda terjajah merupakan perbahasan lain). Islam tidak di tekan dan kita lihat banyak perubahan yang positif bagi Islam. Jika dahulu anak-anak ke sekolah memakai seluar pendek dan skirt, kini kita melihat sekolah-sekolah berpakaian uniform yang menutup aurat. Dahulu hanya ada pinjaman konvensional, sekarang kita sudah ada pembiayaan dari bank-bank Islam, instrumen pelaburan patuh syariah. Saluran TV yang memaparkan program Islam sudah tidak asing. Kita perlu menerima hakikat bahawa zaman telah berubah.
Pemikiran perlu berubah sesuai dengan zamannya. Hatta pandangan ulama juga berubah mengikut zaman, tempat dan waqi. Jadi untuk kekal relevan, kita perlu bersama berubah mengikut perubahan. Bukan bermakna kita mengorbankan 'al-aslu' kita, tetapi perlu memahami realiti. Walaupun banyak perubahan yang positif, masih ada ruang untuk kita perbaiki dalam masyarakat dimana Islam boleh memberi solusi.
Pergerakan Islam hari ini merasai kekurangan tenaga muda. Tenaga muda yang di didik oleh institusi sendiri, akhirnya keluar dan tidak bersama arus pergerakan Islam. Kenapa? Jawapan paling mudah adalah ini adalah tapisan, mengeluarkan hati yang tidak ikhlas manakala yang ikhlas akan terus kekal. Namun, hari berganti tahun, kita melihat yang tertapis itu semakin banyak, yang menjayakan program adalah muka yang sama. Semakin lama ia lebih seperti 'kelab pencen' dari sebuah pergerakan Islam yang segar dan sihat. Seharusnya kita bertanya, mengkaji, dan jujur menyelesaikannnya.
Kita masih menggunakan istilah 'sistem ini haram', 'sistem ini hanyalah Islam tempelan' dalam masa yang sama tidak dijelaskan sistem yang bagaimana boleh diterima sebagai sistem Islam yang jelas, manifestasinya, praktikalitinya. Dalam masa yang sama anak-anak di dalam institusi kita mengambil kursus Islamic banking, keewangan Islam, syariah dan mereka akhirnya bekerja di bank-bank Islam, ada yang menjadi sukuk arranger, ada yang menjadi penasihat syariah di bank, ada yang menjadi pegawai di institusi yang mengeluarkan status patuh syariah terhadap produk kewangan. Mereka melihat dan mendengar paradoks ini, sistem jahiliyah pada masa program, namun di institusi kita ia merupakan subjek yang mereka pelajari dan tempat mereka mencari rezeki. Lama ke lamaan mereka menjauh, mereka tidak nampak persamaan pemikiran ini dengan realiti.








