Sabtu, 17 Oktober 2009

Masa akan berulang


Masa akan berulang adalah sesuatu yang mustahil. Masa-masa yang telah
berlalu merupakan sejarah dan tidak mungkin dapat diraih kembali . Jika di
cari saintis atau ahli fizik yang paling pintar pun mustahil untuk memutar kembali
masa yang telah terlepas. Atau mungkin segunung emas dan selaut wang kertas
juga pasti tidak dapat membeli harga 1 saat yang sudah berlalu.

Perkara ini disedari oleh semua. Jadi mengapa masih ramai yang tidak
menghargai masa mereka? Mengapa masih ramai yang mengeluh dan
berkata bahawa mereka kebosanan? Mengapa masih ramai mereka yang
menangguh kerja? Mengapa masih ramai yang melakukan kerja di "Last minute"
atau "Last second"?

Sememangnya hidup berlalu dengan pantas. Kita tak selamanya muda
dan tidak selamanya remaja. Tidak selamanya kuat dan tidak selamanya
hidup. Sangat kritikal bagi kita semua untuk menggunakan setiap saat sebagai
peluang bagi menambahkan amalan , mengukuhkan potensi , menimba ilmu ,
menggapai impian dan memperbaiki diri.

Oleh itu isilah masa yang ada dengan perkara berfaedah. Aturlah perjalanan
hidup dengan jadual yang sesuai agar dapat di realisasikan. Perbanyakkanlah
berfikir dan lakukan perkara yang bermanfaat dari melakukan perkara
yang hanya mendatangkan keseronokan sementara dan sia-sia.
Renungilah Firman ALLAH S.W.T :

" Demi waktu . Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian . Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, serta yang berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran" (Al-Ashr)