Rabu, 11 November 2009

Krisis siapa aku?


Menjalani bahtera kehidupan merupakan sesuatu yang istimewa dan indah. Kehidupan merupakan anugerah ALLAH yang Maha Pengasih. Sepanjang hidup kita bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Rakan dan Lawan . Baik dan Jahat . Cantik dan kurang cantik.

Sering juga kita menjumpai rakan-rakan yang sering mengatakan "Aku adalah aku" . "Aku tidak mahu menjadi orang lain" . Sememangnya setiap manusia unik secara tersindiri. Tiada yang 100% sama. Walaupun dia dilahir bersama 'identical twins' , perwatakan dan pemikiran pasti ada perbezaan.

Hidup ini hanya sekali. Jadi memilih cara hidup merupakan suatu yang kritikal. Bukan sesuatu yang boleh di cuba-cuba. Bukan sesuatu yang boleh di jadikan eksperimen. 'Life is not a gamble' . Dan memilih cara hidup yang Islamik tidak bermakna kita meniru orang lain atau tidak menjadi diri sendiri.

Kerana hidup yang indah dan mempersonakan ini hanya ada satu pengakhirannya. Pilihlah jalan yang mana pun. Jalan yang luas atau sempit. Jalan yang lurus atau bengkok. Hujung semua jalan itu adalah kematian. Ketika itu nanti hanya 1 jalan yang di terima sementara jalan yang lain di tolak. Jalan itu adalah Islam.

“Sesungguhnya agama (yang ada) di sisi Allah adalah Islam.” (Ali Imran: 19)

Memang fitrah manusia dilahirkan bersama nafsu. Golongan remaja mahu bebas. Mahu hidup yang tidak mempunyai sempadan. Namun apabila melihat semula dengan akal yang waras kebebasan yang melampau ini membawa kepada bukan kehidupan tetapi kehancuran. Tata cara dan aturan itu sebenarnya melindungi bukan membataskan.

Lihat saja mereka yang mabuk ditepi jalan. Bersama bau busuk. Mengganggu orang lain. Di sinilah sempadan dan tata cara memainkan peranan. Keindahan Islam terserlah. Pengharaman meneguk arak sememangnya tepat.

Soalnya bukan tidak mahu menjadi orang lain tetapi tidak mahu meninggalkan keseronokan dunia. Tidak mahu meninggalkan hawa nafsu. Wallahualam.


Jumaat, 6 November 2009

Depan belakang




"Klik" dia menekan button mouse . Serentak dengan itu emailnya terpapar pada skrin komputer. Cahaya skrin membasahi mukanya. "Huuh..tak ade email baru pun.." gumam hatinya melihat inboxnya yang kosong.

Cursornya digerakkan ke kanan skrin. 'View weather details' . "Klik" butang cursor ditekannya. Dibaca satu per satu ramalan cuaca :

'Today : Mostly Cloudy'
'Tomorrow : Snow showers '

Kemudian dia terus mendapatkan katilnya.3 a.m . Melihat jam digital membuatkan matanya kuyu.


Setelah selesai solat Subuh dia kembali mendapatkan katilnya. Masih terlalu awal untuk bersiap ke kelas. Mimpi yang ter'pause' sebentar tadi kembali berputar seperti butang 'play' telah di tekan semula.Tatkala sinar matahari menyuluh matanya dia terjaga. Sambil melihat jam di handphone dia turun dari katil dan merapatkan muka ke tingkap. "Huu..takde pun snow"

.................................................................

Apa yang menarik tentang hidup adalah ia satu yang tidak dapat diramal. Sungguhpun sedaya upaya menggunakan teknologi paling moden. Apa yang ada di hadapan akan sentiasa menjadi sesuatu di belakang tabir. Tabir itu hanya boleh disingkap setelah masanya tiba.

Kita dengan pasti tidak tahu apa yang ada di depan. Tapi apa yang pasti kita di berikan apa yang ada di belakang bagi menjadi panduan meneroka yang di depan.

Hidup ini seperti satu pengembaraan yang mana kita tidak tahu apa yang akan kita lalui. Dan setelah kita melalui beberapa laluan ia memberi kita keyakinan untuk meneruskan pengembaraan yang tidak tahu apa bakal terjadi.Hanya ALLAH sahaja mengetahui apa yang di hadapan . DIA sahaja tahu apa yang terbaik untuk manusia kerana DIA lah pemilik segala-galanya.

"ALLAH menciptakan langit dan bumi dengan Haq.Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang yang beriman." (Al-'Ankabut :44)



Ahad, 1 November 2009

Secara Analogi


Pagi itu cerah. Cahaya oren matahari membasahi tubuh Yuko . Cahaya yang menyiraminya dari tingkap bilik menyedarkannya dari lena tidurnya. Lantas Yuko bangun dan melihat ke luar tingkap. Pagi ini cerah dan terang. "Baik aku keluar melihat dunia " getus hati Yuko. Bukan senang nak dapat cuaca baik seperti ini di musim luruh ini.

Setelah bersiap-siap , Yuko pantas mencapai jaketnya dan keluar. Bersiar-siar di taman pasti menyegarkan . Kakinya terus melangkah menuju ke taman berdekatan dengan hutan simpan. Walau pun taman ini agak sunyi namun permandangannya sangat indah.

Sambil menikmati udara pagi disertai melodi kicauan burung mencari rezeki , Yuko ternampak sesuatu di sebatang pokok. Kelihatan seperti kotak dari kejauhan. Kakinya lantas melangkah bagi mengetahui objek tersebut.

"Ahh..sebuah mesin" teka Yuko. Terdapat banyak butang pada objek tersebut. Pelbagai warna.
Lantas Yuko menekan pada butang merah. "Pap!". Mesin tersebut mula beroperasi. Kelihatan skrin LED mesin tersebut bercahaya. Yuko semakin seronok mahu mengoperasikan mesin tersebut. Sungguh pun dia tidak mengetahui caranya.

Kali ini butang jingga pula ditekan Yoko. "Pap!" sebuah buku keluar dari sisi kiri mesin tersebut. Seolah-olah disket yang di'eject' dari komputer. Yuko mencapai buku tersebut. Dibelek dan dibaca tajuknya. 'Panduan mengoperasi Penstabil Koordinasi' . "Urh..tajuk saja sudah bosan" lantas Yuko melepaskan buku tersebut dan terus kembali ke mesin hitam tersebut. Buku itu terus menuju ke bumi lantas dari tarikan graviti.


Yuko semakin ghairah. Semakin banyak butang di tekannya. Satu per satu.Kesemuanya Yuko klik tanpa mengetahui yang mana satu perlu di klik dahulu. Tangannya semakin pantas . Kali ini tombol di kanan mesin dipulasnya. Masih statik. Mesin tersebut masih statik. "Ahh.." Yuko terlihat satu butang berbentuk petak. Berwarna kuning. Disebelahnya tertulis " Press in unstable condition" . Namun Yuko tidak mengetahui maksudnya. Dia tidak faham bahasa Inggeris. Dia juga tidak membaca penerangan pada buku manual.


"Pap!" butang itu ditekannya. Skrin LED mula berkelip-kelip kemerah-merahan. Di skrin LED juga tertulis "Stabilizing in 2 minutes. Safe distance 2 metres". Yuko yang langsung tidak memahami apa yang tertulis semakin seronok bermain. Mesin yang berubah dari statik kepada berkelip-kelip menambahkan minatnya.

"Pap!" saluran kecil muncul di sudut bawah mesin . Yuko semakin seronok . Tangannya cuba menyentuh saliran itu. "Pap!" saluran tersebut melepaskan gas panas. "Argh...!" jerit Yuko. Jari-jarinya pedih. Air matanya mula turun dari kelopak mata mengalir mengikut aliran di hidung. Sakitnya tidak dapat digambarkan. Yuko mengerang kesakitan.

Secara analogi:

Yuko - Manusia
Mesin Hitam - Hidup
Buku Panduan - Al-Qur'an Al-Karim