Sabtu, 30 April 2016

Why does the world exist?: One man's quest for the big answer



Penulis: Jim Holt
Penerbit: Profile books, 2013

Selepas membaca buku A brief history of time oleh Stephen Hawking saya mencari buku yang dapat menyambung perbahasan berkenaan dengan permulaan alam semesta. Buku tulisan Jim Holt ini menjadi pilihan saya untuk merungkai persoalan ini dengan lebih mendalam.

Namun berbeza dengan Hawking, Holt mengambil pendekatan merungkai misteri penciptaan alam dengan perbahasan falsafah. Beliau membincangkan pandangan juga kritikan ahli falsafah sepanjang zaman berkenaan dengan persoalan ini. Nama-nama seperti Plato, Decartes, Hume, Nagel, Schopenhauer, Nozick, Al-Ghazali, dan ramai lagi, merupakan nama-nama yang sering dipetik di dalam buku ini bagi membincangkan spekulasi-spekulasi berkenaan dengan kejadian alam.

Holt walaupun dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan ajaran Kristian, saya kira membincangkan tajuk ini tanpa bias atau memihak kepada mana-mana fahaman dan ideologi. Sama ada pandangan agama, atheist, agnostik, semuanya dibincangkan dengan adil, diberi penghargaan pada sumbangannya, dan di kritik pada kelemahan nya.

Terdapat juga perbahasan-perbahasan falsafah yang saya kira sangat berat untuk dihadam oleh pembaca awam. Namun, dalam masa yang sama terdapat banyak bahagian yang mudah difahami dan persoalan yang dibangkitkan boleh di capai oleh akal fikiran manusia yang tidak mendalami falsafah. Sememangnya, manusia akan terus mencari bagaimana alam ini bermula, meskipun mungkin soalan ini terkeluar dari ilmu manusia. Seolah-olah manusia ini di satu dimensi, manakala soalan ini berada dalam dimensi yang lain.

Sekiranya anda meminati falsafah serta perbahasan-perbahasan ontologikal, anda boleh cuba membaca.

Philosophy - n. A route of many roads leading from nowhere to nothing.

Jumaat, 8 April 2016

Azri kau adalah anugerah



Aku terkejut pagi itu, pelbagai perasaan tiba-tiba hadir, segala memori bersama bermain semula di dalam minda ku, seolah-olah baru semalam kita ketawa bersama. Aku seolah-olah tidak percaya kau telah pergi selama-lamanya. Namun di luar bidang kuasa ku untuk mengawal soal nyawa, ajal dan hidup.

Kita bertemu buat kali pertama di lapangan kapal terbang Pulkovo pada musim panas 2010. Perwatakan  kau yang periang dan ceria membuatkan manusia disekelilingmu berasa senang, tidak memerlukan masa yang lama untuk kita berteman rapat. Sungguh dunia menangis saat kau pergi.

Aku masih ingat semasa Azri dan batch mereka baru tiba di St. Petersburg, aku menyambut mereka. Seperti biasa, kami sediakan masakan buat mereka yang baru tiba ke bumi yang sangat asing. Petang itu, aku membawa Azri untuk membeli beberapa keperluan makan. Aku masih ingat mukanya yang ketakutan, keluar tanpa passport, kerana passport pada masa itu ada pada pihak universiti untuk urusan visa.

Sekian lama kita bersahabat, aku dapati kau mempunyai perwatakan yang berbeza dari yang lain. Di dalam usrah kita aku dapat memerhatikan bahawa kau mempunyai hati yang lembut, begitu mudah mengalirkan air mata saat mendengar pengorbanan ibu bapa juga tazkirah berkenaan dengan dosa. Saat aku berputus asa jika teman lain tidak dapat menghadiri usrah, kau tetap hadir, memberi semangat agarku tidak berputus asa.

Aku sangat kagum dengan perwatakanmu, kesolehan juga kejujuran. Hari berganti hari, tahun berganti tahun hubungan kita semakin akrab. Setelah setahun kau bukan lagi adik ursahku, kau menjadi rakan se-usrah dan kau pula menjadi naqib dan memimpin usrah bersama adik-adik yang lain. Hati ku bangga, aku gembira melihat perubahan dirimu yang sungguh ketara.Teringat salah satu tazkirah yang kau sampaikan di dalam usrah kita, aku masih ingat ketika itu kau baru sahaja kehilangan sejumlah wang dari dalam bank. Kau berkata sambil menangis  “Mungkin kita mendapat ujian disebabkan kita telah lama tidak mengadu pada Allah dan tiada hubungan dengan Allah”. Sungguh aku kagum dengan peribadi dirimu.

Azri merupakan peminat Chelsea, kadang-kadang aku akan datang ke biliknya jika ada perlawanan penting. Dia juga sangat minat bermain DOTA, namun tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tarbiyah. Azri adalah adik usrah yang soleh dan sangat mudah berubah, setelah beberapa tahun usrah bersama, beliau sering menemaniku ke Moscow untuk menghadiri daurah. Begitu juga pada cuti semester musim panas, kami akan berprogram bersama. Azri juga sangat aktif dalam aktiviti persatuan, beliau menjadi bendahari MESSP ( Malaysian Engineering Student of St. Petersburg ) ketika aku di tahun akhir. Azri juga meminati frisbee, dia juga sering membantu untuk mengadakan futsal mingguan di universiti.

Dan sungguh aku rindu mendengar luahan hati mu menceritakan masalahmu padaku. Aku sudah menganggap kau seperti adik kandung ku sendiri. Kita bersama men-tarbiyah diri dan sesama sendiri, St. Petersburg dan Moscow menjadi saksi, keazaman kita menghadiri usrah dan daurah, semata-mata untuk mencari redha Allah. Sungguh aku rindu saat-saat indah kita berukhuwwah, bersama-sama mengejar kereta api untuk menghadiri nadwah, nangis tawa kita di dalam dakwah. Kau teman yang sentiasa hadir memberi ku kekuatan. Semasa aku telah menamatkan pengajian kau utus surat buatku, aku menangis sediri membacanya di dalam kapal terbang.

Ku buka suratmu semula.

Ke hadapan Syed Ahmad Fathi,

Tujuan ana tulis surat ini, sebab ana tahu, ana tak mampu cakap benda yang ana tulis ini depan anta. Sedih sangat, kadang-kadang sampai termenangis bila fikir kita dah nak berpisah. Pertama dan selama-lamanya ana nak mintak maaf banyak-banyak kat anta, sebab banyak buat salah, bahan, mengata, cakap anta guna dalil sama je (smiley), tapi ana rasa kita boleh "bahan-membahan" antara satu sama lain tu sebab kita ddah terlalu rapat dan selesa dengan anta, dah terasa macam abang sendiri. Plus, anta jugaklah naqib 1st ana, yang memperkenalkan ana dengan usrah, banyak tarbiyyah ana daripada nakal-nakal dulu, dah jadi baik sikit walaupun belum baik dan soleh macam anta, tapi ana masih cuba untuk memperbaiki diri untuk jadi mukmin yang lebih soleh dan tolong doakan ana walaupun lepas ni anta dah takde , doakan ana untuk terus tsabat di jalan ini, meneruskan kerja dakwah dan tarbiyah kat sini. Terima kasih banyak-banyak atas jasa anta dan syukur sangat pada Allah yang telah mempertemukan kita di St. Petersburg ini, dan memberikan hidayah kepada ana untuk berubah di bawah didikan anta. Ana doakan supaya anta di kurniakan redha Allah dan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak, dan semoga terus soleh dan tsabat di jalan ini. Selamat menempuh alam baru, alam pekerjaan dan semoga baitul muslim yang bakal di bina, diberkati Allah dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Semoga dikurniakan anak-anak yang soleh/solehah dan comel-comel (smiley). Harap kita boleh berjumpa lagi di Malaysia, tapi still ana akan merindui anta di sini , rindu lawak-lawak anta yang kadang-kadang hambar tu, rindu masakan anta walaupun kari je selalu masak, rindu nak main bola dengan anta walaupun ana selalu kena marah sebab flop, dan yang paling rindu sekali, rindu nak usrah dengan anta lagi. You are my 1st and the best Naqib so far (Hazrul pon best jugak*smiley*). Uhibbuka Fillah! Selamat tinggal. Anyeong ~ Sehingga ketemu lagi. 

Ukhuwwah fillah abadan abada (ayat Wafi).

Sincerely,
Azri/ Matyi

Membaca suratmu aku tersenyum sendirian. Seolah-olah kau sedang bercakap dengan ku, dengan jenaka-jenaka kita yang selalu. Surat ini akan sentiasa hidup bersamaku, meski aku harus terima yang kau sudah tiada.

Aku juga rindu jaulah kita ke Scandinavia, menjelajah bumi Allah mencari ikhtibar buat bekalan di perjalanan. Kabin kecil di dalam kapal semasa pelayaran menjadi saksi, kita bersama duduk sebentar bermuhasabah mendengar kau memberi tazkirah. Bagai mana aku mampu lupa? Bagaimana pula aku mahu teruskan lagi saat kau sudah tiada? Semasa cuti musim panas, kita bersama-sama mendaki Bukit Larut bersama ahli usrah, juga menziarahi rumah mu di Titi Serong, Parit Buntar. Bilakah masanya kita mampu ulanginya kembali?

Aku terkedu pagi itu mendapat berita kau telah tiada. Seolah tidak percaya, hati ku menjerit menangis, adakah ini mimpi? Lebih terkilan aku tidak dapat melihat wajahmu kali terakhir, aku tidak dapat bersama menguruskan jenazahmu kerana kekangan kerja. Aku hanya mampu bersolat dari jauh, mendoakan kau tenang disana. Kau terlalu muda, namun apakah daya kerana ajal tidak mengenal usia. Khabar mengatakan kau berpuasa pada hari itu, dan kemalangan motosikal berlaku selepas kau sudah menyelesaikan solat Isha’ di masjid, sedikit sebanyak aku bersyukur. Allah mengatur pengakhiran yang baik buatmu. Lebih mengusik hati apabila melihat profile picture facebook mu, gambar kita bersama saat kau dan Rauff datang beraya di rumahku.

Kau lah teman, sahabat, rakan usrah, teman dakwah, kau adalah anugerah. Moga kau bahagia disana bersama Sang Pencipta, ceritakanlah kepada Dia, kisah ukhuwwah kita di dunia.

Dalam ingatan:

Muhammad Azri bin Aminuddin
18 Disember 1991 - 4 April 2016