Prof. Venkatesh memerhatikan aktiviti Bhushnam di universiti. Beliau tahu bahawa dia merupakan seorang Naxalite tegar yang mempunyai cita-cita menegakkan masyarakat dengan sistem communism dan socialism. Tapi beliau percaya apabila dia sudah mendapat ijazah universiti, pekerjaan yang baik, dan isteri yang cantik, cita-cita ini akan hilang ditelan masa.
Babak ini adalah sedutan dari novel Hindi 'Ujale ki Talash' atau terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris berjudul 'When faith turned red' yang ditulis oleh Sharad Pagare. Ia merupakan analisa umum tentang bagaimana golongan muda di cicirkan dari mana-mana perjuangan.
Dalam hiraki sosial, golongan tertinggi adalah golongan pemerintah, bangsawan dan ahli perniagaan kaya. Golongan pertengahan adalah masyarakat pekerja di kenali sebagai middle class. Manakala yang menduduki strata terbawah adalah golongan miskin, mereka yang tertindas dan terpisah dari arus pembangunan.
Dalam mengekalkan sistem pemerintahan sedia ada golongan middle class adalah golongan yang paling penting untuk dijaga. Sejarah menunjukkan apabila golongan pertengahan ini tidak diberikan hak, mereka akan menyertai golongan di strata bawah bagi menggerakkan revolusi bagi menyusun semula sistem masyarakat yang lebih adil.
Dalam buku monumental tulisan Howard Zinn 'The People's History of the United States' beliau meletakkan golongan ini sebagai pengawal kepada sistem pemerintahan sedia ada, dalam bab-bab terakhir, belia menulis perihal 'Revolt of the guard', di mana apabila golongan ini berhenti tunduk dan patuh, maka perubahan akan tiba.
Di Malaysia golongan pertengahan kebanyakan nya merupakan penjawat awam, pekerja di syarikat-syarikat GLC dan syarikat swasta. Sebab itu di Malaysia kita mempunyai jumlah penjawat awam yang besar, ia merupakan strategi bagi membentuk golongan pertengahan yang lebih besar. Golongan ini akan menjadi benteng untuk menghalang proses menukar pemerintah. Kerana mereka membantu menanamkan persepsi bahawa kebanyakan rakyat Malaysia berada dalam tahap kehidupan yang baik, well off dengan izin.
Mereka mempunyai gaji yang cukup, makanan yang cukup, dan kehidupan yang aman. Maka tidak ada motivasi untuk menukar keadaan sedia ada. Sebagaimana doktrin Milton Friedman, dimana perubahan hanya akan berlaku apabila masyarakat berada dalam krisis, sama ada krisis tersebut adalah benar atau hanya persepsi. Keadaan Malaysia sekarang tidak mencapai tahap krisis, dan golongan pertengahan masih boleh hidup dalam keadaan selesa.
Begitu juga dalam pergerakan revival Islam. Kita melihat trend yang sama. Seorang aktivis itu dilihat sebagai sangat proaktif semasa zaman remaja dan zaman mereka di universiti. Kerana mereka tidak punyai apa-apa, dan mereka mudah relate keadaan mereka dengan golongan susah. Apabila sudah memasuki alam pekerjaan dan perkahwinan, sedikit demi sedikit mereka dibawa oleh arus kehidupan. Tiada lagi semangat membara yang panas membakar, ia telah ditiup angin dan dipadamkan.