Sabtu, 31 Julai 2021

Membaca Zine Hubooks Edisi-2

Gambar Oleh Paksu Sbx.

Zine Hubooks ini sememangnya menyelerakan. Kerana ia membincangkan persoalan buku, perihal penulisnya, pembacanya, penggemarnya, pengumpulnya, ia sangat dekat di hati saya. Tulisan Hafez J. Malim dalam naskah ini menyoroti pengalaman peribadi beliau bagaimana sebuah novel kanak-kanak pernah menjadikan beliau seorang pembaca buku. Novel Anak Din Biola tulisan Maaruf Mahmud. Apabila sudah dewasa, menemui semula naskah Anak Din Biola merungkai pelbagai nostalgia buat beliau.

Bicara kolektor bersama Dr. Saiful Akram, Jiwa Rasa, dan Rosli Yaakob juga menarik bagi saya. Walaupun saya bukan kolektor, membaca jawapan temuramah mereka sangat memberikan inspirasi. Terdetik hati untuk mengira naskah di almari buku peribadi, setelah dikira, almari saya hanya memuatkan sekitar 200 buku sahaja. Jauh tertinggal dari ribuan buku yang ada dalam almari para kolektor ini. Walaupun kagum, saya tidaklah berkeinginan mengumpul buku dengan banyak sekarang. Saya lebih kepada seorang pembaca dari penyimpan, walaupun setelah dibaca saya tidak akan jual, tetap akan simpan, fokus saya adalah membaca. Dari jumlah buku yang saya ada ini, kira-kira 30 peratus sudah dibaca.

Aisyah Rais mengimbau sejarah zine Fragranfrantik yang aktif dari tahun 2010 hingga 2014. Apabila membaca, saya terfikir, begitulah sifatnya penulisan. Walaupun sirinya mungkin sudah berakhir, jika ia berjaya menyentuh pembaca, ia akan timbul semula dalam peredaran zaman. Tulisan Yohana Hermadi dalam bahasa Inggeris juga memercik sedikit fikiran di minda saya. Beliau mengisahkan kesukaran beliau untuk mendapatkan naskah buku-buku sejarah Sabah. Membaca pengalamannya saya sedikit rasa bersalah dalam diri. Ada banyak ketika saya mengemas rumah-rumah lama pusaka, keluarga saya sendiri atau keluarga orang lain, saya banyak menemui buku langka tetapi tidak menyelamatkannya. Membaca tulisan beliau ini membuatkan saya kini berazam, jika peluang itu hadir lagi saya akan selamatkan naskah langka. Jika bukan pun untuk saya, saya boleh sediakan untuk para kolektor. Mungkin boleh juga dijadikan bisnes kecil-kecilan.

Sedikit cerita peribadi. Naskah zine ini mengandungi gambar koleksi buku lama yang gambarnya tidak berapa sopan. Saya sendiri tidak tahu pada mulanya kerana tidak menyelaknya habis pada ketika itu. Ia dibelek oleh isteri tercinta. Beliau kemudian menasihati saya agar tidak mempromosikannya dan tidak berkongsi akannya di media sosial walaupun ada tulisan saya di dalam naskah zine ini. Beliau juga mengingatkan agar ia tidak sampai ke tangan anak-anak. Saya akur dengan nasihat beliau lalu menggunakan upaya kreatif saya untuk menghilangkan gambar-gambar yang tidak sopan ini dalam masa yang sama memelihara tulisan-tulisan yang lain. 

Banyak lagi tulisan-tulisan dalam naskah ini yang tidak saya sentuh dalam komentar ringkas ini. Antara penulis lain termasuklah Mohd Jazuan, Fazli Malek, Benz Ali, Iqbal, Omar Bachok, dan Yen. Edisi kali ini juga ada peningkatan dengan penyenaraian buku-buku yang disebut dan dipetik dalam zine ini. Senarai buku ini ada di muka surat hujung, walau bagaimana pun saya merasakan ada nama naskah buku yang tertinggal dari senarai ini. Moga edisi baharu nanti lebih banyak isi dan perbahasan perihal buku yang menarik, juga mungkin, lebih sopan.

Memaknai Rumi: Siri 12


"Brother, stand the pain.
Escape the poison of your impulses.
The sky will bow to your beauty, if you do.
Learn to light the candle. Rise with the sun.
Turn away from the cave of your sleeping.
That way a thorn expands to a rose.
A particular glows with the universal. (62)

Dunia hari ini berpusing terlalu laju. Maklumat berubah terlalu pantas. Terlalu banyak informasi bersesak-sesak, yang semuanya mahu masuk ke dalam minda kita. Maklumat melimpah ruah sehingga kita pun tidak tahu apa yang perlu kita perbuat dengan semua maklumat yang ada ini. Semua masalah, baik jauh dan yang dekat, yang ada dan kebanyakannya yang tiada kena mengena dengan kita, semuanya ingin mengisi ruang minda kita. Kita pun kabur, pening, apa yang penting, apa yang tiada gunanya. Hari-hari kita diberi berita.

Ada wazir yang derhaka istana.
Ada kaisar yang tidak mahu melepas kuasa.
Ada skandal pada pemuka agama.
Ada lokap untuk wanita bersuara.
Ada pesukan tewas di negara Suria.
Ada gangguan makhluk halus bernama Kuruna.
Ada itu ini, disini, disitu, disana.

Kemudian ada kita. Kita yang mendapat berita.

Petang ini akhirnya aku memutuskan untuk duduk di halaman senja. Sambil ditemani anak dengan aiskrimnya. Aku putuskan senja ini aku mahu membaca puisi sahaja, bukan berita. Ada satu naskah terjemahan Rumi yang aku simpan. Sekian tahun aku baca tidak pernah habis. Naskah itu bukan untuk dihabiskan segera tetapi untuk dibaca bila seleranya tiba. Bila jiwa inginkan puisi, aku akan menyelaknya seketika, membaca kisah, dan meneka-neka makna aksaranya, sebelum aku simpannya semula.

Maka senja ini adalah senja bersama Rumi, bukan berita. Hari ini aku membaca sebuah puisi. Selepas kisah seorang jelita, selepas kisah panglima, selepas kisah seorang sultan penguasa. Perihal seorang lelaki di Qazwin, yang mahu sesuatu tanpa melalui proses kesakitannya. Maka aku nukilkan disini seperenggan. Dan dibawah adalah terjemahanku diatas Coleman. Meminjam nurun ala nur, ia adalah terjemahan di atas terjemahan. Yang sudah pasti tidak literal, tetapi lirikal.

"Aduhai kekanda,
bertahanlah dalam derita.
Tahanlah diri dari racun tindakan,
yang laju keluar tanpa fikiran.

Maka langit seluruhnya akan tunduk padamu,
menghargai kecantikan, jika kau lakukan itu.
Belajarlah untuk menerangkan lilin,
agar dengan suria kau bangkit menjalin.

Bangunlah dari diselimuti gua mimpi,
agar bisa berkembang membungai bumi.
Hingga akhirnya kau kan bisa bersinar menghapus kelam,
menerangi sekalian alam".

Melalui rangkap ini aku ingin bahaskan sedikit maksud yang aku fahami. Empat baris pertama bagiku mudah, untuk berjaya kita kena melalui prosesnya, kesakitan, kesusahan, tangisan, itu semua adalah kandungan kejayaan. Hari ini kita melihat semuanya hendak dilakukan dengan laju. Kita mahu baca berita dengan klik dan scroll sahaja. Jika dahulu perlu ke kedai, keluarkan duit, beli surat khabar, selak satu persatu, untuk dapat berita perlukan banyak usaha fizikal. Hari ini kita perlu rerakkan ibu jari sahaja. Maklumat juga pantas keluar dan masuk, kita membaca tulisan-tulisan di laman sosial maya, boleh ditulis pendek, pantas, viral, dan penuh sensasi. Tetapi keghairahan kepada kepantasan ini mengorbankan makna, tiada inti dan estetika, tiada renungan yang lama, penelitian yang rapi. Akhirnya kelajuan ini isinya adalah kekosongan.

Empat baris kedua adalah balasan yang kita dapat sekiranya kita bersabar dari tindakan dan perkataan yang reaksionari. Dunia akan melihat kita sebagai seorang yang pandai, pendiam tidak bererti pembodoh, banyak berkata tidak semestinya bijak. Sebaliknya kita berkata dan bertindak apabila perlu, setelah difikir dengan dalam. Tindakan kita adalah tindakan yang berstrategi dan punya makna. Tidak cukup kita hanya mencaci dan merungut, kita perlu nyalakan lilin, perlu berusaha untuk berjaya. Usaha-usaha kecil yang kita kumpul akan menyamai kejayaan yang besar. Ribuan cahaya lilin akan menerangi alam seterang suria.

Empat baris terakhir adalah ajakan untuk bekerja. Untuk bangun dari mimpi-mimpi yang sia-sia. Bangun dari bermalas-malasan. Dengan usahalah kita mampu memperbaik dunia. Bukan dengan keluhan dan omelan sahaja. Ini adalah inti pati puisi Rumi menurut fahaman saya untuk senja ini. Cebisan pengajaran dari Qazwin ratusan tahun yang lalu untuk manusia hari ini.

Sabtu, 24 Julai 2021

Kaca hari ini adalah mutiara masa hadapan



Dalam perbincangan bersama The Biblio Press yang lalu, saya ditanya apa yang memotivasikan saya untuk menulis. Menulis, seperti aktiviti manusia yang lain, sebenarnya dibelakangi banyak sebab. Makan, sebagai contoh, kita makan mungkin sebab lapar, dalam masa yang sama, kita makan sebab makanan itu sedap, atau mungkin sebabnya adalah terpengaruh dengan gambar makanan di Instagram. Ada banyak sebab kenapa manusia makan sesuatu makanan.

Menulis juga begitu, satu proses yang panjang, dan dalam proses itu kita dijalari pelbagai sebab. Ada ketika kita menulis sebab hendak bercerita, adakalanya hendak meluah perasaan, ada kalanya untuk berkongsi idea, begitulah seterusnya. Setiap orang tidak sama motivasi menulisnya, malah orang yang sama mungkin mempunyai pelbagai motivasi untuk menulis.

Pada sesi itu, jawapan saya adalah menulis adalah untuk generasi akan datang. Apa yang kita rasakan biasa pada hari ini adalah sejarah yang bermakna untuk generasi akan datang. Menonton filem melalui VCD sebagai contoh, atau mendengar lagu dari kaset, atau transfer gambar ke dalam disket, merupakan perkara biasa satu ketika dahulu. Tapi generasi hari ini mungkin tidak kenal dan tidak pernah tahu apa itu VCD, kaset, dan disket. Mereka sudah ada Netflix, Spotify, dan Cloud Storage.

Namun jawapan saya itu mungkin satu dari pelbagai sebab untuk menulis. Sebab lain untuk menulis adalah kerana ada satu perkara yang membuatkan kita teruja dan termotivasi. Kita menulis sebab there are something that incites us. Dan setiap orang punya perkara yang berbeza yang membuatkannya excited

Carl Sagan melihat bintang-bintang dan kagum, lantas dia menulis tentangnya. Jane Goodall kagum melihat Chimpanzee lalu menulis tentangnya. Begitulah juga kita, kita harus menulis tentang apa yang membuatkan kita kagum dan berfikir. Bagi saya itulah motivasi menulis. 

Tidak kiralah apa yang membuatkan kita kagum itu dirasakan menarik atau tidak oleh masyarakat. Saya kira jika penulis hanya menulis apa yang mahu dibaca oleh masyarakat, tidak mahu menulis perkara lain kerana takut tidak dibaca atau karya tidak dijual, itu bagi saya satu kemiskinan. Kadang kala kita mengikut arus, tetapi ada kalanya kita yang harus menjadi arus. 

Kebanyakan penulis yang saya rasakan best adalah penulis yang menjadi arus. Mereka menulis sesuatu yang orang lain tidak tulis. Walaupun pada mulanya masyarakat tidak mengendahkan mereka. Karya mereka menjadi karya rintis yang membuka pintu kepada bidang-bidang yang baharu. Orientalism tulisan Edward Said adalah salah satu contoh karya rintis. Belum ada sebelumnya sarjana yang menghabiskan masa, menggali sejarah penulisan Barat yang menulis perihal bangsa Timur. Tidak ada penulis yang mengkritik prejudis mereka melalui penulisan akademik dengan analisa yang kritikal. E.W. Said merintis penulisan seperti ini dengan karya monumentalnya yang membuka pintu kepada lebih banyak kajian dalam bidang pasca-kolonial.

Jadi menulislah apa sahaja yang membuatkan kita excited, tidak kira jika ia dianggap mundane atau biasa untuk zaman ini, kerana penulisan sifatnya merentasi zaman. Kaca hari ini adalah mutiara masa hadapan. Tulislah walaupun tidak mendapat sambutan, kerana masyarakat dan generasi sifatnya seperti tahun dan zaman, mereka bertukar ganti, tidak disambut generasi kini tidak bererti tidak akan disambut generasi akan datang.

Jika saya boleh memberikan serangkap nasihat buat penulis baru, saya ingin ungkapkan apa yang ditulis oleh Shlomo Sand, seorang professor dan sejarawan Israel dalam prakatanya dalam buku The Invention of the Jewish People. Kita diajar untuk menulis apabila kita sudah memikirkan sesuatu idea dan membuat konklusi tentangnya. Atau dalam kata lain, kita menulis tentang hal yang kita sudah yakin dan pasti. Ini merupakan metodologi penulisan yang diajarkan kepada kita dalam institusi pendidikan. Ia adalah metodologi yang praktikal dan terbukti berkesan dalam menghasilkan penulisan yang coherent dari awal hingga ke akhir, tulisan yang bersambung dan tanpa kontradiksi. 

Namun menurut Shlomo Sand, penulisan yang ditulis tanpa membuat konklusi awal adalah penulisan yang membebaskan. Kita menulis dalam masa yang sama meneroka jawapan-jawapan yang mungkin dijadikan konklusi. Penulisan kita mengikuti fakta, bahan, dan bukti yang kita temui sepanjang penulisan. Kita tidak tahu ke mana tulisan itu akan membawa kita. Ini akan melahirkan penulisan yang lebih membebaskan, lebih ikhlas, dan lebih adventure. 

Mengangambil iktibar dari metodologi Shlomo Sand ini, nasihat saya adalah tulislah dengan bebas walaupun anda belum punyai idea dan konklusi. Proses penulisan sepatutnya menjadi proses kajian, proses dimana kita menelaah bahan-bahan yang ada, melihatnya dengan objektif dan kritikal, lalu menulisnya tanpa bias dan prejudis. Gaya penulisan seperti ini memberikan kita kebebasan untuk menulis, idea boleh mengalir tanpa konkongan. Ini penting bagi penulisan di peringkat awal kerana objektif awal adalah untuk mengeluarkan idea. Tulis sahaja, biar pun compang-camping. Penyusunan dan penstrukturan boleh kita lakukan kemudian, apabila idea sudah keseluruhannya kita keluarkan.

Jadi, tulislah apa yang menarik dan menjadi minat anda, dan tulislah ia dengan penuh kebebasan.

Jumaat, 9 Julai 2021

Memetik Sebiji Puisi di Taman Rumi


Ada satu puisi yang ditulis oleh Rumi yang menurut saya sangat kuat pengaruhnya pada diri saya. Puisi ini diletakkan pada bahagian awal dalam naskah The Essential Rumi (di mukasurat ketiga pada naskah saya), naskah yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi dengan nuansa lirikal ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ini dilakukan oleh Coleman Barks. Walaupun ada yang mengkritik Barks atas terjemahan dan tafsirannya pada karya-karya Rumi, saya kira beliau mempunyai sumbangan yang signifikan dalam membuka pintu pembaca yang tidak mempunyai ilmu Bahasa Farsi untuk masuk bertandang di taman pemikiran karyawan agung Rumi ini. Minum dari puisi-puisinya yang manis dan mengkhayalkan, pada masa yang sama mengambil pulang beberapa putik pengajaran.

Saya pernah membaca puisi tersebut kepada kekasih saya. Pada ketika itu beliau sedang mencurahkan perasaan pada saya perihal masalah-masalah hidupnya. Saya ingin memberikannya kekuatan dan semangat dari rangkap tersebut. Apabila dia mendengar sahaja bait-bait puisi tersebut, dia lantas menangis. Bait tersebut berbunyi:

“Tutuplah kedua matamu wahai kekasihku,
Agar kau bisa melihat dengan mata hatimu,
Mengapa kau masih memilih dipenjara duka?
Sedangkan pintu bahagia sudah luas dibuka”

Bait ini saya terjemahkan secara lirikal juga, tidak literal. Terjemahan saya atas terjemahan Coleman Barks yang menterjemahkan Rumi. Terjemahan atas terjemahan. Namun saya kira maknanya tetap disitu. Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara yang baharu, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah kepada perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan lalu kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada di tangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkahlah keluar. Ya, bait-bait puisi Rumi ini membawa falsafah kebebasan.

Saya juga merasakan dengan kuat sekali, bahawa kadangkala keinginan untuk bebas itu memakan jiwa saya dengan begitu marak sekali. Sejak kecil kita diajar untuk tunduk dan taat, unjuk menjiwai jiwa hamba, untuk menurut apa yang ditentukan pada kita. Tetapi apabila dewasa, agensi kreatif dalam diri kita, keinginan untuk bebas yang ditanam Tuhan dalam jiwa kita sebagai sebahagian sifat manusia, mereka memberontak. Mereka mahu bebas mengembara, menjumpai, mencari, mencuba, mengekspresi, mereka mahu jiwa mereka terbang.

Maka ketika kita merasakan dunia ini terlalu mencengkam. Seperti takdirnya sudah ditetapkan. Beranikanlah diri untuk berpegang kepada bisikan kebebasan, untuk berangkat dari takdir yang membosankan kepada takdir baharu yang lebih menghidupkan. Tiada siapa yang dapat memenjarakan kita jika kita memilih untuk memegang kuncinya.