Selasa, 15 Februari 2022

Mengenang Atuk Ho (Sahar bin Sidin)


Pada 23 Januari 2022, saya menerima khabar duka bahawa Atuk Ho yang saya kasihi telah tiada. Atuk Ho atau nama sebenarnya Sahar bin Sidin merupakan adik kepada Wo, Hafsah binti Sidin (nenek saya di sebelah ibu). Atuk Ho merupakan atuk yang sangat peramah, dan selalu bercerita dan melayani kami cucu-cucu yang pulang ke kampung. Setiap kali balik ke Kampung Parit Tengah, Bagan Datuk, rumah Atuk Ho merupakan rumah yang selalu kami singgahi terutamanya pada hari raya. Apabila saya besar sedikit di sekolah menengah, Atuk Ho adalah orang yang menyuruh saya untuk membaca khutbah raya di Surau Kampung Parit Tengah. Tiap kali raya dia akan cari saya untuk bagi buku teks khutbah. Itulah antara pengalaman pertama saya bercakap di depan orang ramai. Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, adik-adik pula mengambil alih tugas membaca khutbah raya kerana kami bersekolah di sekolah agama. Agak mencabar juga membaca teks khutbah dalam tulisan Jawi bila diingat-ingat semula.

Atuk Ho juga merupakan orang yang kuat bekerja. Sehingga tua beliau masih ke kebun dan melakukan kerja-kerja berat seperti meracun. Wo kadangkala ada menasihatinya untuk berhenti berkebun, namun dia tetap juga nak berkebun. Antara dialog yang saya ingat yang pernah diucapkan beliau adalah apabila beliau menjawab cadangan yang diberikan kepadanya untuk berhenti bekerja dan membiarkan anak-anak yang menyaranya. Kata beliau:

"Aku ni bela anak-anak bukan nak suruh depa bela aku bila aku tua, selagi aku boleh bekerja biar aku bekerja cari rezeki sendiri".

Begitulah lebih kurang ayat beliau, walaupun saya tidaklah seratus peratus ingat akan dialog ini, atau betulkah beliau pernah mengucapkannya, tapi dalam ingatan saya, beliau pernah bercakap sebegitu. Biasanya apabila orang tua-tua bersembang di kampung saya dengar sahaja, sama ada saya dengar sambil bermain dengan sepupu sepapat atau saya dengar sambil tengok televisyen.

Beraya di rumah Atuk Ho juga berbeza dengan beraya di rumah atuk-atuk yang lain. Orang lain biasanya memberi duit raya dalam sampul, tetapi di rumah Atuk Ho, setiap kali raya disediakan plastik yang berisi dengan pelbagai gula-gula. Duit raya juga ada dalam plastik berisi gula-gula ini. Ketika Raya Haji, biasanya Atuk Ho akan mengetuai orang-orang kampung menyembelih lembu. Malah sering kali rumahnya menjadi lokasi gotong royong dan merewang. Biasanya di pokok kelapa depan rumahnya akan di tambat lembu korban.

Semasa saya betul-betul kecil (besar sedikit dari bayi), saya merasakan saya antara cucu yang paling disayangi beliau. Pemergian Atuk Ho begitu membekas di hati saya. Hilang satu lagi sosok yang banyak mengisi kenangan zaman kecil saya. Semoga Allah merahmati dan menerima segala amal soleh Atuk Ho dan mengampunkan dosa-dosanya. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Semua Benda Perlu Diselamatkan


Selamatkan itu, selamatkan ini.

Antara dialog dalam anime Attack on Titan yang menarik bagi saya adalah ketika Armin memberitahu Gabi bahawa dia tak ada keinginan untuk membunuhnya. 

"Kill this, kill that, that is all in your mind".

Saya rasa dialog ini bergetar kuat dengan situasi kehidupan harian. Terutamanya perihal politik tanah air. Buka sahaja media sosial kita akan lihat pelbagai gerakan, pelbagai seruan, pelbagai orang. Mahu selamatkan itu, selamatkan ini. Selamatkan negara, selamatkan ekonomi, selamatkan alam, selamatkan pokok, selamatkan haiwan, selamatkan planet dan bermacam benda lagi nak diselamatkan.

Yang terbaharu dan paling kelakar adalah buat pilihanraya nak selamatkan ekonomi. Kalau pilihanraya boleh selamatkan ekonomi, elok kita buat pilihanraya seminggu sekali.

Dahulu saya terkesan juga dengan slogan-slogan nak selamatkan "sesuatu" ini. Kita mesti berjuang nak selamatkan sesuatu. Masa saya kecil, saya dengar banyak slogan selamatkan negara, negara ini sudah tenat, negara ini ekonominya parah, sudah mahu bankrap, selamatkan itu, selamatkan ini. Namun bila saya besar saya lihat negara saya berkembang macam itu juga.

Ada salah, silap, dan kurangnya. Bukanlah negara ini sempurna. Kita harus perbaikinya dengan kemampuan kita. Tapi ia bergerak dengan baik secara relatif. Teringat kata-kata Carlin perihal manusia yang mahu menyelamatkan planet, walhal planet sudah wujud berbillion tahun sebelum manusia wujud. Sebenarnya mereka nak selamatkan manusia yang bakal pupus kata Carlin, planet ini baik-baik sahaja.

Mungkin bukan negara ini yang sakit, rosak, bakal hancur, korup, bangkrap, dan sebagainya. Tapi yang rosak itu adalah orang-orang di dalamnya. Negara ini baik-baik sahaja.

Ahad, 13 Februari 2022

Wacana Bersama Ideolog yang Sia-sia

Untuk memahami dunia, kita tidak dapat lari dari memahami ideologi. Kerana ideologi telah mencorak sejarah, dan kita adalah produk sejarah, gagal memahami ideologi bererti kita gagal memahami apa yang telah membentuk masyarakat kita hari ini. Tetapi ideologi bukanlah segala-galanya. Golongan yang terlalu pekat ideologinya cenderung menjadi ideolog, bagi mereka ideologi mereka telah disamakan dengan kebenaran. Walhal boleh jadi kebenaran terletak di luar daerah ideologinya, tapi itu tidak lagi menjadi minatnya. Dia terus memunggungi ideologi walaupun terpaksa menafikan realiti.

Bagi golongan seperti ini, semua wacana adalah wacana ideologi, kebenaran bagi mereka mesti ideologikal, otaknya tak dapat memahami kebenaran di luar ideologinya. Pemikiran mereka adalah pemikiran binari, mana-mana pendapat selain pendapat mereka mesti dicop sebagai ideologi berlawanan, meski pun ia keluar dari kajian yang objektif.

Jika ideolog tersebut cenderung pada ideologi kiri, semua yang melawan pendapatnya akan dicop ideologi kanan, diwarnakan seperti bercumbu dengan kekuasaan. Pemikiran binari inilah yang menyebabkan mereka cenderung mengamalkan budaya cancel culture, yang memberi mereka alat untuk memaksakan ideologi binari mereka ke atas orang lain. Mereka tidak dapat bertahan untuk berhujah. Tidak boleh berwacana, mereka bertindak mendiamkan lawan.

Jika berwacana pun, wacana dengan mereka adalah sia-sia, kerana mereka tak ingin pun untuk melihat isi perbahasan. Mereka lebih cenderung untuk cari modal untuk meletakkan lawan mereka dengan label. Apabila sudah berjaya meletakkan label kanan, maka baginya dia telah berjaya. Apa-apa yang kanan harus ditolak, tak perlu berwacana lagi. Kerja mudah menang debat wacana awam dengan melempar label. Boleh menang mudah dengan melabel, buat apa berwacana?

Apabila diberi contoh, mereka tak akan sibuk melihat contoh, tapi sibuk berusaha untuk mencari siapa yang beri contoh tersebut, bagaimana untuk mengaitkan dia dengan ideologi kanan. Tampal label lebih mudah. Kemudian boleh bersorak "hah! contoh ni kanan kita kena tolak".

Tidaklah semua golongan kiri sebegini, menurut Chomsky golongan kiri yang seperti ini adalah golongan yang melakukan kesilapan dari sudut prinsip dan taktikal, banyak lagi golongan kiri yang sebenarnya bersifat intelektual. Cuma sebahagian yang mengaku "aktivis" dan berkelakuan seperti ini bagi saya langsung tak intelektual. Sebab itu pemikir kiri seperti Noam Chomsky sendiri tak bersetuju dengan cancel culture, malah sign surat yang mendokong kebebasan bersuara dan menolak cancel culture yang menyekat kebebasan bersuara dan berfikir. Apa Chomsky tak faham wacana kekuasaan? Atau Chomsky sekarang sudah masuk golongan kanan?

Bagi saya ideolog anti-intelektual ini membuang masa sahaja jika diajak berwacana. Mereka lebih minat melabel dari bahas isi. Tak banyak beza dengan agamawan yang melempar label "wahabi", cuma golongan ini akan melemparkan label "kanan" , "bigot" dan sebagainya.

Chomsky pernah ditanya, dia tak risau ke kerana ada pendapatnya yang sama dengan golongan Nazi? Jawab Chomsky, kalau Nazi cakap benda betul, betullah, kebenaran tetap kebenaran. Begitu juga apologis Israel pernah bertanya kepada Norman Finkelstein, dia terima ke orang label dia self-hating Jew kerana pandangan dia yang pro-Palestin? Finkelstein dengan tenang jawab "habis kalau aku self-loving Jew, adakah semua yang aku cakap akan jadi betul?". Kata beliau lagi, lihatlah fakta, yang penting adalah fakta, siapa saya tidak relevan.

Tanpa mengurangkan kepentingan untuk kita belajar perihal ideologi, dalam wacana intelektual, bagi saya yang penting adalah fakta bukan ideologi. Follow the evidence wherever it goes. Sebab itu saya rasa tak bermanfaat berwacana dengan ideolog anti-intelektual, mereka tak kisah pasal fakta, mereka hanya berminat bagaimana nak menampal label pada lawan mereka untuk menang mudah, lepas tampal bolehlah mereka berlari-lari sini sana dan bersorak-sorak.

Memaknai Pembacaan: Tahap ketiga


Pernah sekali saya dijemput untuk memberikan satu pengisian kepada pelajar-pelajar sebuah kolej swasta. Salah seorang pendengar pada ketika itu adalah seorang professor. Beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak memaknai pembacaan. Saya kira ia soalan yang beliau sendiri sudah tahu jawapannya. Mungkin beliau sengaja mahu menguji saya. Atau paling tidak beliau mempunyai pandangan perihalnya, namun sebelum memberi pandangannya beliau mahu mendengar respon saya.

Saya memberi jawapan bahawa bagi saya untuk memaknai pembacaan, saya biasanya akan membaca dengan perlahan. Saya tidak membaca dalam keadaan memaksa atau terpaksa. Sebaliknya dalam keadaan tenang dan damai. Supaya saya dapat memikirkan perihal apa yang dibahaskan. Jika penat saya akan berehat, dan mula membaca semula ketika saya sudah sedar dan segar. Saya juga akan menandakan pada buku saya mana idea, quote, pandangan yang saya rasakan menarik.

Sambil membaca saya biasanya akan menulis perihal apa yang saya baca sebagai satu proses pencernaan tentang apa yang dibaca. Bagi saya ini juga adalah sebuah rekod akan apa yang saya fahami. Saya boleh rujuk semula nota bacaan saya ini untuk digunakan dan dinukilkan kembali dalam penulisan saya pada masa akan datang. Walaupun ini akan menjadikan pembacaan saya tidak sepantas orang lain, bagi saya ia akan lebih memberatkan dan memperdalamkan kefahaman saya. Bagi saya, begitulah sifat ilmu, ia memerlukan masa. Masa adalah sebahagian dari kandungan dalam resepi untuk mencari ilmu.

Professor itu bersetuju dan dia menambah apa yang dia rasakan dapat lebih memaknai pembacaan. Bagi dirinya, untuk lebih memaknai pembacaan, seseorang itu perlulah berkongsi bahan bacaannya dengan orang lain. Iaitu menjadi altruist reader. Atau dalam kata lain, dia boleh menerangkan kefahaman yang dia dapat kepada orang lain. Dengan menerangkan semula apa yang kita baca, kita dengan itu sebenarnya belajar menyusun informasi, belajar menguji kefahaman kita, belajar berfikir, dan belajar mengolah idea.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Bagi saya aktiviti berkongsi perihal bahan bacaan ini satu proses yang mengayakan kefahaman. Mungkin juga itu boleh dikatakan sebagai tahap ketiga dalam memaknai pembacaan, tahap pertama adalah membaca, tahap kedua adalah memahami, dan tahap ketiga adalah boleh menerangkannya semula. Sebab itu saya sebenarnya gembira jika ada teman-teman yang menjemput saya dalam diskusi buku, saya boleh mencapai ketiga-tiga tahap ini. Walaupun kadangkala masa dalam kehidupan ini terbatas, selagi ada upaya, saya cuba juga penuhi jemputan.

Bagi saya sebenarnya pembacalah yang akhirnya akan memaknai sebuah penulisan itu bukan penulis. Penulis boleh menulis sesuatu penulisan, namun selepas ia diterbitkan, proses pemaknaan penulisan itu sudah terlepas dari kawalan penulis. Sebab itu kita lihat hari ini, teks yang sama boleh melahirkan aliran fikir yang berbeza. Malahan teks yang sama boleh mencambahkan pelbagai mazhab yang berbeza dan saling bertembung antara satu sama lain. Kerana akhirnya, yang memaknai penulisan adalah pembaca bukan penulis. Satu perkataan boleh dimaknai dengan makna yang berbeza-beza.

Contohnya Madilog tulisan Tan Malaka. Bagi Hamka yang membacanya, beliau mengatakan bahawa Tan Malaka mencintai Islam. Namun apabila Madilog yang sama dibaca oleh Syed Hussein Alatas beliau mengatakan bahasa Tan Malaka telah meninggalkan Islam. Kedua-duanya membaca buku yang sama tapi sampai kepada kesimpulan yang berbeza.

Perkara ini pernah dituliskan oleh antara penulis kegemaran saya, Bart D. Ehrman yang mengkaji perubahan-perubahan yang dilakukan oleh scribes dalam evolusi Kitab Perjanjian Baharu. Pada mulanya beliau merasakan apa yang dilakukan scribes ini adalah salah kerana mereka mengubah kebenaran. Namun lama kelamaan, setelah bertahun-tahun beliau mengkaji, beliau semakin kurang judgemental terhadap scribes yang menyalin semula Kitab ini. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan makna teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya sendiri, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Manusia jugalah yang akan menentukan melalui makna-makna yang mereka fahami itu, apa yang akan dilakukan selepas itu.

Berkaitan juga dengan memaknai pembacaan ini, saya juga sekarang terminat akan kajian perihal bahasa-bahasa kuno. Bagaimana manusia dapat mengetahui maksud-maksud yang tersimpan dalam bahasa-bahasa yang telah pupus yang ditulis dalam bentuk cuneiform dan hieroglyph. Ia memenuhi gelas kekaguman saya bagaimana manusia mampu membaca semula tulisan-tulisan ini dan menggali makna-maknanya. Ia bukan kerja mudah, memerlukan ketekunan dan kegigihan beberapa generasi. Antara tokoh yang saya minati akan hal ini adalah Irving Finkel satu sosok yang menarik untuk dibincangkan. Tapi mungkin itu akan menjadi maudhuk dalam penulisan yang lain. 

Selasa, 1 Februari 2022

Anekdot Tahun Baharu 2022


Rousseau ada menulis dalam bukunya The Social Contract, antara kata-kata beliau yang paling terkenal:

“man are born free but everywhere he is in chain”.

Saya memahami kata-kata Rousseau ini sebagai tiadanya apa yang dipanggil kebebasan mutlak. Walaupun Hegel mengatakan sejarah manusia adalah sejarah perjuangan untuk pembebasan, manusia hanya boleh berjuang untuk kebebasan dengan menghampiri kebebasan, namun tidak akan pernah dapat memeluk kebebasan yang mutlak. Di hujungnya pasti akan ada sesuatu yang akan menggari manusia.

Bak kata Kenny Ackerman “everyone is a slave of something”.

Jika pun kita tidak percayakan Tuhan, kita akan bertuhankan perkara lain. Bertuhankan manusia, benda, atau bertuhankan perasaan kita sendiri. Manusia memang dahagakan perubahan dan pembebasan. Tidak sedikit dalam sejarah, lautan darah ditumpahkan atas nama kebebasan. Tidak sedikit juga slogan kebebasan ini akhirnya ditunggang oleh pembebas yang akhirnya menjadi penindas baharu. Akhirnya manusia tetap juga digari, cuma berubah tuan sahaja.

Dalam sejarah pernah dikatakan manusia perlu dibebaskan dari cengkaman raja. Untuk dipimpin oleh kebijakan pekerja. Namun ini juga akhirnya berakhir dengan tragedi yang lebih mencengkam. Diktator raja diganti dengan diktator proletariat. Sebab itu ada pemikir seperti Bakunin, yang beranggap revolusi perubahan itu tidak boleh dipimpin, kerana ada kecenderungan pemimpin revolusi ini akan melahirkan diktator baharu. Bagi Bakunin, tugas perubah-perubah hanya untuk membantu revolusi bukan memimpin revolusi.

Namun pemikiran Bakunin ini ada juga masalahnya. Ruang dan peluang revolusi bukan tiba banyak kali, ia adalah ruang dan peluang yang sempit, jika tidak direbut, ia akan direbut oleh orang lain. Itulah yang berlaku menurut Chomsky apabila Bolshevik mengambil alih Revolusi Rusia, para perubah-perubah asal akhirnya diperangi, dan negara dipimpin oleh ideolog seperti Lenin dan Trotsky dan kemudian baton pemerintahan jatuh kepada pemerintahan kuku besi Stalin. 

Kebebasan merupakan satu punca tenaga yang sangat kuat buat manusia. Walaupun akhirnya mereka tidak akan mungkin memeluk kebebasan mutlak. Kebebasan tetap mengiurkan dan membelai jiwa naluri insan. Akan selalu manusia merinduinya. Seperti Annelis yang menyorok dari buruan tentera fasis, dia hanya mahu keluar dan merasai kehangatan cahaya matahari – cahaya matahari itu adalah simbol perasaan kebebasannya.

Saya memulakan penulisan saya dahulu dengan menerbitkan buku sendiri. Walaupun ketika itu ada teman yang mengajak untuk menerbit bersama menulis di satu rumah penerbitan, saya menolak. Kerana saya merasakan pada ketika itu syarikat yang dicadangkan tidak berapa kena dengan selera pemikiran saya. Terbit sendiri bukan satu hal yang senang, tetapi ia juga tak mustahil di zaman ini. Bagi saya terbit sendiri adalah satu yang membebaskan, kita tidak terikat dengan kehendak-kehendak syarikat penerbitan.

Penulis memang sepatutnya menulis akan perasaannya, pemikirannya, apa yang dia rasakan benar, bukan apa yang orang lain katakan benar. Robert Fisk, seorang wartawan ulung misalnya, mengatakan bahawa penulis mesti memastikan tulisannya diterbitkan, bukan tulisan yang telah diubah menjadi penulisan editor atau pemilik syarikat penerbitan. Biasanya jika ada pihak penerbitan yang tidak mahu menerbitkan penulisan saya atas faktor tidak sesuai dengan pemikiran mereka, saya akan berhenti menulis untuk mereka, kerana saya tidak rasa selesa menulis bagi orang yang ada kecenderungan tertentu, saya mahu bebas menulis dan menerbitkan pemikiran saya. Biar pun mungkin readership-nya terhad, bagi saya itu lebih memuaskan, lebih jujur dan lebih bebas.

Projek Penulisan 2022 - sejak dahulu saya cuba untuk memahami dunia. Untuk memahami dunia tak dapat lari dari perjalanan untuk membaca dan mempelajari ideologi-ideologi yang ada dalam dunia ini. Teras paling dalam yang melahirkan semua pemikiran yang ada dalam pergolakan sejarah dunia saya kira adalah perasaan manusia untuk bebas, atau juga disebut sebagai falsafah pembebasan. Pada setiap zaman manusia mahu bebas dari sesuatu, ideologi lahir sebagai rangka fikir tentang bagaimana mahu bebas. 

Oleh itu salah satu buku saya yang akan terbit tahun ini adalah buku perihal ideologi. Buku ini adalah kumpulan esei saya selama 3 tahun, yang mencakup hal-hal ideologi, falsafah, politik dan rencana umum. Dalam usaha saya untuk merasionalkan dunia. Terima kasih diucapkan kepada Cukong Press yang sudi menerima karya kecil saya untuk diterbitkan. Terima kasih juga pada Ocha Vozvyshennyy yang sudi meneliti manuskrip awal, memberi pandangan dan kritikan. 

Buku kedua yang saya rancang adalah sebuah buku yang meneroka dua aktiviti kegemaran saya, iaitu menulis dan membaca. Disamping meneroka sejarah, falsafah, dan juga objektif bagi menulis dan membaca, buku ini juga merupakan rakaman pengalaman dan pandangan saya akan dua topik ini. Buku ini sebenarnya telah siap sejak tahun lepas lagi, namun disebabkan beberapa kekangan ia tidak dapat diterbitkan pada tahun lepas. Sekarang ia berada dalam proses akhir penerbitan. Penerbit ada memaklumkan bahawa mereka jangkakan buku ini dapat diterbitkan pada bulan Februari 2022. Selain dua buku ini, saya mahu take a break from writing, saya akan lebih memfokuskan penulisan pada tahun ini sekitar hal-hal peribadi yang dekat dengan kehidupan saya. Jadi janganlah tanya saya “tak ada buku baru lagi ke?”.

Di lapangan pembacaan pula saya merasakan ada banyak buku yang saya hanya baca separuh sahaja pada tahun lepas. Oleh itu target pembacaan saya tahun ini adalah untuk menghabiskan buku-buku yang telah saya mulakan pembacaan pada tahun lepas. Antaranya biografi Svetlana Alliluyeva, anak kepada Stalin, masalah Palestin dari kaca mata orang Kristian tulisan Gary Burge, Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI Bil. 02), sebuah novel yang menelusuri sejarah silam China tulisan Susan Barker, kitab Al-Muqaddimah tulisan Ibnu Khaldun, dan akhir sekali naskah klasik falsafah tulisan Jean-Jacques Rousseau. Selepas habis buku-buku ini, barulah saya akan meneroka almari buku saya untuk bacaan baharu. Pembacaan bagi saya tidak lengkap dan memuaskan jika tidak dihabiskan kulit ke kulit buku-buku yang telah dimulakan.

Semoga semua perancangan untuk tahun ini dapat dicapai dengan jayanya. Ameen ya Rabb.