Manusia sentiasa bergerak dalam kehidupannya. Sentiasa dalam perjalanan. Kita bermusafir ke kampung, melawat bandar dan negara lain, atas pelbagai tujuan kita berjalan. Jika tidak berjalan jauh pun manusia akan bergerak, setiap hari ke tempat kerja, ke sekolah, ke kedai, sentiasa manusia itu dalam satu perjalanan. Jika dia tidak keluar rumah pun dia akan berjalan, ke bilik tidur, dapur, bilik tamu, atau bilik air.
Walaupun manusia itu tidak bergerak sekali pun, jika dia tidak berubah tempat dari sudut ruang, manusia tidak dapat lari dari bergerak dalam peredaran masa. Sedar atau tidak, perjalanan kehidupan manusia yang singkat ini adalah satu permusafiran. Yang sementara, kita hidup dan berjalan menuju kematian.
Dalam permusafiran manusia ini mereka dikurniakan hati. Ada manusia yang sedar akan keberadaan hatinya, sentiasa dia menjaganya. Ada juga yang sedar, namun lama kelamaan mereka hanyut dalam dunia objek, realitinya hanya objek, sehingga dia terlupa akan hati yang dibekalkan padanya.
Aku kira begitulah diriku. Dalam permusafiran hidup yang singkat, kadang kesibukan dengan pelbagai objek menumpulkan perasaan, menghilangkan rasa keberadaan hati. Kadang aku merintih pada Tuhan, agar hatiku dikembalikan.
Tuhan memberiku peluang untuk berjalan, bermusafir, mencari hati yang hilang. Hakikatnya pencarian itu adalah pencarian dalaman, namun aspek luaran juga mempengaruhi kita sedikit sebanyak. Dalam pencarian ini. Perjalananku ini aku panggil sebagai "Rihlah Jiwa", di mana Tuhan membenarkan aku melupakan sebentar objek-objek kehidupan. Dengan ini aku boleh fokus mencari kedalaman jiwa, mencari ketenangan, dan jika aku bernasib baik, ditemukan dengan hati yang baharu.
Aku memerhatikan gugusan awan di luar tingkap, begitu cantik penuh kemegahan. Tinggi tak tercapai oleh kawanan burung. Kadang-kadang awannya bertompok, kadang seperti kabus yang sepi, kadang berkepul. Awan-awan ini umpama dunia yang tersendiri, dengan kerajaan dan sistem yang berbeza dari bumi. Awan ini bercahaya apabila disirami mentari, persis seperti sebuah lukisan. Merenung awan, kadang aku bernasib baik, dapat melihat pesawat kecil di ufuk lain, terbang menjauh, sebelum hilang di balik awan. Dan apabila mentari semakin merendah, seolah ufuk adalah garisan pemisah antara langit biru dan langit merah. Tidak puas rasanya merenung awan, jika diizinkan, aku mahu merenungnya selama-lamanya, sepanjang zaman.
Di bawahnya adalah lautan biru yang tenang terbentang. Di atasnya beberapa buah kapal yang kelihatan kecil, membawa kargo-kargo mereka merentas samudera. Permandangan ini sedikit sebanyak menjentik jiwa, perihal keagungan penciptaan alam. Yang luas dan tertib.
Di mata orang lain, mungkin aku kelihatan biasa sahaja. Mungkin mereka lihat aku tidak teruja, seharusnya aku teruja seperti insan lain. Tetapi aku harus jujur dengan diriku, aku tidak mampu menjadi orang lain. Aku adalah aku, yang mahu berjalan mencari ketenangan. Mencari hati yang hilang.
Dalam mempersiapkan diri aku buat perjalanan ini, aku merenung almariku. Mencari lembaran-lembaran untuk dibuat peneman. Baru aku sedar, banyak lembaran yang aku kumpul berkisar tentang politik. Sejarah politik, ekonomi politik, memoir politik, biografi politik dan bermacam lembaran politik lain. Aku mahu berpisah dari semua ini. Sebaliknya aku ingin membawa lembaran yang dapat menemaniku dalam pencarian ke dalam, bukan ke luar.
Antara yang akhirnya aku putuskan adalah lembaran tulisan Hesham Al-Awadi yang membicarakan perihal bagaimana Nabi Muhammad berinteraksi dengan anak-anak kecil di sekelilingnya. Bagaimana beliau menghormati mereka, meletakkan kepercayaan, mengubah riak wajah agar anak-anak sekelilingnya merasa aman. Dalam perjalanan penuh penantian ini, ini adalah salah satu lembaran yang menemaniku. Aku selak selak dalam Rihlah-ku, mengisi masa dengan kisah sang nabi. Moga nanti aku diberi izin menziarahi tempat-tempat kehidupan beliau.
Jadi ini adalah pengenalanku kepada perjalananku ini. Moga-moga Tuhan pelihara daku di dalamnya. Di beri ketenangan, diberi ruang untuk merintih dan meminta. Ruang untuk merasa bahagia, dengan hati yang baharu. Hati yang segar terpelihara.
(Catatan Rihlah Jiwa ini merupakan catatan renungan semasa mengerjakan umrah bersama ibu pada bulan April 2022).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan