Jumaat, 29 September 2023

Membaca & Proses Berfikir


Saya kira proses pembelajaran tidaklah eksklusif pada membaca sahaja. Proses pencarian ilmu itu pelbagai, dengan mengembara, mencari pengalaman, berdialog, mendengar syarahan, menonton kandungan video, dan seribu satu cara yang lain.

Tapi saya kira membaca buku mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya adalah kelebihan berfikir. Berbeza dengan mendengar atau menonton kandungan. Proses membaca biasanya berlangsung dalam suasana yang senyap dan sunyi. Keadaan ini membenarkan kita menghadam maklumat dalam masa yang sama berfikir tentangnya.

Jika kita mendengar syarahan, tidak sempat kita berfikir tentang sesuatu perkara, pensyarah mungkin berkata perihal benda yang lain. Jadi fikiran kita segera teralih, ini menghalang kita daripada berfikir dengan lebih dalam. Tetapi proses membaca dalam diam dan kesunyian memberi kita ruang untuk berfikir dengan lebih mendalam dan panjang. Idea itu dapat digarap dengan lebih sempurna dalam kotak fikir kita. Ia boleh bermain-main lebih lama di dalam kolam pemikiran kita lantas membolehkan kita menimbang pelbagai sudut dan perspektif. Dengan membiarkan fikiran melayang, kita membenarkan idea mengalir dengan lebih lama. Hal ini akan menghasilkan takungan idea yang lebih bermutu.

Dan inilah sebab bagi saya pembacaan memberi kelebihan dalam mengayakan idea dan pemikiran, adalah lebih baik kita biarkan fikiran kita tenggelam dalam pembacaan.

Catatan Baitul Muslim 66: Memori Sebelum Hilang


Keluarga bagi saya merupakan kumpulan memori, memori tentang insan yang hidup bersama dalam sebuah keluarga. Insan-insan di dalamnya pasti tidak akan hidup bersama selamanya, itu sunnah kehidupan yang diatur Allah, namun yang pasti memori yang terkumpul akan kekal bersama hingga setiap ahlinya menghembuskan senafas nyawa. Dalam penulisan kali ini tiada sebarang nasihat atau motivasi kekeluargaan yang saya mahu coretkan. Sekadar ingin menyimpan beberapa memori sebelum ianya hilang pergi apabila anak-anak mula mendewasa.

Amni kini sudah darjah dua dan sudah bersekolah. Pencapaian akademiknya boleh dikira cemerlang, walaupun setiap hari dia sedikit liat untuk menyiapkan kerja sekolahnya dan perlu sering dikerah oleh uminya. Amni banyak menunjukkan minat dalam hal kesenian, kraf, dan juga sains. Dia masih lagi mengikuti kelas seni di hujung minggu di Global Art. Kini, Idlan juga sudah mengikuti kakaknya ke kelas. Jadi setiap minggu ada lukisan-lukisan baharu yang di bawa pulang. Jika dikumpulkan, mungkin boleh dibuat satu galeri pameran seni. Namun, kraf-kraf yang dibawa balik sukar disimpan kerana kekurangan ruang. Kebanyakannya akhirnya rosak dan dibuang. Namun mungkin itu semua boleh menjadi bahan latihan buat mereka untuk menghasilkan karya seni dan kraf yang lebih baik di masa hadapan. Sehingga kini Amni masih ingat lukisannya yang pernah saya jadikan sebagai kulit buku antologi puisi. Sering disebut "nah abi boleh buat buku baru", sambil menyerahkan lukisan.

Selain itu, Amni banyak menghabiskan masa menonton video di talifon bimbit. Antara cerita kegemaran terbarunya adalah animasi Jepun Cardcaptor Sakura. Ada ketikanya dia menyuruh saya melukis watak-watak anime untuknya. Amni juga banyak terpengaruh dengan eksperimen sains yang dilihatnya di dalam video. Cubaan terbaharunya beberapa hari lepas adalah memasukkan biji gula-gula mentos ke dalam air berkarbonat Coca-Cola. Namun eksperimen ini gagal kerana air tersebut tidak membuak dan melimpah keluar. Amni juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap pelekat, jika ke kedai Mr. DIY akan minta beli pelekat. Hingga ke sekolah pun berjual beli pelekat bersama kawan-kawan.

Idlan pula kini berada di tadika dan berusia 5 tahun. Antara lagu kegemarannya sekarang adalah lagu Ababil nyayian kumpulan Raihan. Setiap hari dia akan melihat video Abrahah di Youtube sambil mendengar nasyid ini. Juga menyuruh tokmi menceritakan kisah burung Ababil berulang-ulang kali. Semasa solat berjemaah maghrib, Idlan akan request agar surah Al-Fiil dibaca, jika tidak dibaca, dia akan mempersoalkannya selepas solat. Selain itu, antara video yang sering diulang-ulang adalah video tarian singa semasa hari Tahun Baru Cina atau lion dance. Dia masih ingat peristiwa dia menjerit dan menangis satu ketika dahulu ketika melihat lion dance secara live di kedai di Riverfront, Sungai Petani. Katanya kini dia sudah tidak takut kepada lion dance. Selain menonton video, kadang-kala dia akan melakukan lion dance sendiri dengan kakaknya menggunakan selimut. Disuruhnya saya merakam aksi mereka untuk dimuatkan di laman Instagram.

Aktiviti lain Idlan selain Ababil dan lion dance adalah mewarna dan juga menyiapkan buku aktiviti. Setiap hari dia akan meminta saya untuk mencetak sesuatu untuk diwarnakan. Selesai mewarna, lukisan akan ditampal di bilik tidur, atau dimasukkan ke dalam file yang mengumpulkan kertas-kertas warnanya. Kadang-kala dia akan mengajak saya menyiapkan puzzle yang dibelikan oleh tokmi kepadanya. Manakala sebelum tidur, dia akan meminta saya menceritakan sesuatu kepadanya. Biasanya saya akan mencipta sahaja apa-apa cerita berkenaan dengan haiwan atau dinosaur.

Juga sekarang kedua-dua anak ini akan bermain game Sonic Prime Dash di masa senggang mereka. Moga-moga mereka berdua tumbuh menjadi manusia yang baik.

Ahad, 24 September 2023

Tidak Lebih Dari Daun Kering Yang Hanyut Tanpa Sedar


Kadang-kala kita akan mempersoalkan keputusan yang kita buat dalam hidup. Di lautan infiniti kemungkinan, kita hanya dapat memilih satu pilihan. Meninggalkan infiniti pilihan lain yang telah ditolak satu. Selepas itu, alur kehidupan baharu akan terbentuk, suka atau tidak, kita tidak dapat berpatah semula selepas kita melakukannya.

Bagi saya, itu biasa. Itulah kehidupan. Kehidupan adalah satu dari pelbagai pilihan. Sebagai makhluk rasional, kita selalu akan berfikir ke belakang, menimbang betulkah keputusan yang kita lakukan ini. Namun, tiada siapa yang dapat menjawabnya melainkan diri kita sendiri.

Saya sering juga menilai keputusan dalam hidup. Sering kali banyak perkara yang mudah boleh dipilih. Tetapi entah kenapa, yang lebih susah itu lebih memikat hati untuk dipilih. Saya merasakan, hidup yang sekali ini, pastilah lebih bermakna jika kita mencuba sesuatu yang sukar. Sesuatu yang tidak dicuba oleh orang lain.

Teringat zaman di universiti. Masa tahun akhir, para pelajar disuruh memilih penyelia. Ada seorang penyelia yang digeruni pelajar, namanya Cistyakov. Mungkin kerana dia sedikit tegas dan garang. Semua pelajar tidak berani menjadikan beliau sebagai penyelia mereka. Saya pula tidak berapa gemar ikut orang lain. Jadi saya memilih beliau, kemudian ada beberapa teman lain yang memberanikan diri untuk memilih beliau. Orang kata, the rest is history.

Mengikut arus dan pilihan majoriti memang mudah dari menjadi dissenter, contrarian atau non-conformist. Tapi dimanakah keseronokan dalam hanya mengikut dengan senang lenang? Melawan arus tidak menjanjikan kejayaan, tapi kita dapat belajar lebih banyak daripadanya. Sama ada keputusannya jaya atau gagal. Ia memberi kita lebih kekuatan dan daya tahan.

Teringat puisi Inggeris yang dipelajari dulu-dulu masa di sekolah "the road not taken". Memilih jalan yang orang lain tidak mahu lalui kadang memang sukar dan mencabar. Ia melatih tahan dan sabar. Namun bagi saya, ia lebih memuaskan, dari sekadar mengikut sahaja arus dan apa yang ditetapkan. Seolah hidup tidak lebih dari daun kering yang hanyut tanpa sedar.

Ahad, 17 September 2023

Catatan Baitul Muslim 65: Kerinduan yang menggigit


Kerinduan yang paling menyakitkan adalah kerinduan yang dipisahkan oleh kematian. Merenung gambar-gambar lusuh lama juga tidak membantu, malah ada ketikanya hanya menambah kerawanan jiwa. Melihat rumah yang dahulunya riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil dan adik-beradik yang saling bertelingkah, kini hanya sepi, dengan perabut dibalut agar tidak dihuni habuk. Juga peralatan-peralatan lama, yang masih setia menunggu tuannya yang tidak akan pernah kembali, ia terdampar sepi mengumpul karat-karat besi.

Begitulah sebenarnya putaran hidup, suka atau tidak, tiada apa yang kekal. Anak-anak yang menghiasi hidup akan terus tumbuh membesar. Masa tidak akan menunggu ibu bapa yang mahukan manja-manja mereka berkekalan. Lama kelamaan anak-anak itu akan merdeka dan mandiri, dia akan keluar dari rumah bertebaran membawa diri. Dia akan membina hidupnya yang baharu, dengan orang-orang baharu. Putaran hidup ini walaupun menyedihkan, ia adalah lakaran kehidupan. Tiada siapa yang salah, kerana ia adalah sunnatullah. Yang muda akan tua, yang kecil akan dewasa, dan semuanya akhirnya akan meninggalkan dunia.

Sekuat mana pun kasih sayang yang dibina, apabila tiba masanya, perpisahan terakhir akan menggigit kita. Meninggalkan parut rindu di dalam hati yang tidak akan pernah sembuh. Parut yang akan kita bawa sehingga ke akhir hayat. Hidup ini sememangnya melankolik jika kita mahu memilihnya. Namun disebalik melankolik ini, hidup juga memberi kita pilihan untuk bahagia dan gembira jika kita memilihnya. Hidup, seperti juga sekeping wang syiling, mempunyai dua sisi. Ada sisi sedih, ada juga sisi gembira, dengan keduanya hidup kita diwarnai.

Selepas kita tenggelam dalam melankoli hidup, yang memang selayaknya kita tenggelam sementara, kita harus bangun semula. Untuk menghargai apa yang kita masih ada. Ya, kita kehilangan seseorang, tetapi kita tidak hilang semuanya. Haruslah kita adil, dalam menangisi insan yang sudah pergi, kita juga harus meraikan insan-insan yang masih ada di sisi. Menemani mereka, selama mana takdir membenarkan kita. Melankoli hidup dicipta Tuhan bukanlah sebagai perasaan yang sia-sia. Tetapi sebagai satu renjutan jiwa, agar kita menghargai apa yang masih kita ada.

Selagi kita punya masa bersama anak-anak, maka hargailah mereka. Raikan tangisan manja mereka. Lihatlah segala apa yang mereka mahu tunjukkan kepada kita, sama ada pencapaian kecil atau besar mereka. Dengarlah segala aduan-aduan dan rungutan mereka, sebesar dan seremeh mana pun yang kita rasa. Hayatilah pertengkaran antara mereka, kerana satu hari nanti, ribut tangisan dan perang mulut mereka adalah lagu yang sentiasa kita rindu dan damba. Sebelum kerinduan datang menggigit, kita harus menghargai kehidupan bersama insan-insan. Selama mana takdir membenarkan.

Jumaat, 15 September 2023

Ombak Yang Kepenatan


Dalam sebuah bual bicara, Saudara Wan Hamidi ada menegur penulisanku di mana aku menulis bahawa aku merasakan aku telah tua. Aku memberi tahu padanya perihal konteks penulisan ku itu. Kerana kebanyakan mereka yang datang mendekatiku untuk bertanya perihal hal-hal penulisan adalah orang yang lebih muda dari diriku, sebab itu aku merasakan diri ku tua.

Wan Hamidi menerangkan bahawa dia menegurku yang perasan tua kerana dia bimbang bahawa aku akan berhenti menulis. Katanya apabila seseorang itu tua, dia mungkin merasakan masa untuk dia menulis sudah selesai. Dia pun meletakkan penanya dan tidak lagi menulis. Pada ketika itu, aku merasakan, pasti aku tidak seperti itu. Aku masih bersemangat untuk menulis, dan aku akan terus menulis.

Namun sedikit demi sedikit apa yang digusarkan oleh Wan Hamidi itu menyelinap masuk ke dalam hidupku. Semakin lama aku semakin kurang menulis dan tidak lagi aktif menerbitkan penulisan. Malah banyak projek-projek penulisan yang tergendala dan berhabuk sahaja di dalam komputer. Sepertinya gelombang yang menolakku untuk menulis telah surut dan pudar. Ombak semangat untuk menulis dalam jiwaku sudah kepenatan.

Namun apabila direnungkan, sebenarnya tidaklah aku berhenti menulis langsung. Namun fokusku sudah berubah. Kebanyakan penulisanku berfokus pada hal-hal yang lebih akademik. Jadi aku kurang menulis perihal perenungan hidup, kisah-kisah, cerita pendek, yang sebelum ini merupakan jenis-jenis esei kegemaranku. Aku merasakan, sebenarnya, semangat menulis itu ada pasang surutnya. Mungkin kini aku di fasa persurutan, tetapi tidaklah sampai ke tahap berhenti.

Bagi aku penulisan itu memerlukan sifat istiqamah. Istiqamah ini bukan melakukan perkara ketika bersemangat sahaja. Melakukan perkara ketika bersemangat itu kerja mudah. Tetapi istiqamah yang sebenar adalah apabila kita memaksa diri kita melakukan perkara ketika kita penat dan malas. Jika dalam keadaan paling bawah pun kita masih terus cekal bekerja dan berusaha, maksudnya kita berjaya istiqamah. Walaupun mungkin usaha itu tidaklah sebanyak seperti mana ketika semangat kita sedang bergelojak dan membara.

Sedang aku melayan perasaan malas yang membadai jiwa ini aku menerima sepucuk mesej.

"Saiyid Ahmad Fathi berbakat, insyaallah masa depan menanti dia di sana."

Mesej ini merupakan mesej yang dihantar oleh Ustaz Darus Senawi kepada Ustaz Yazid Noh selepas Ustaz Yazid menyerahkan naskah Mendidik Untuk Bahagia kepada Ustaz Darus. Naskah tersebut merupakan antologi kumpulan catatan aktivis pendidikan di Sabah yang aku bantu susun, sunting, dan terbitkan. Bagi aku Ustaz Darus bukanlah penulis sebarangan, walaupun aku tidak pernah menjadi pelajar beliau secara langsung, aku ada membaca naskah-naskah kitab Arab yang beliau terjemahkan. Antaranya kitab Fiqh Al-Sirah yang merupakan kitab karangan Almarhum Sheikh Said Ramadhan Al-Buti, kitab terjemahan Ustaz Darus ini aku tekuni semasa aku menyambung pengajian di Rusia ketika muda dahulu. Namun bukunya yang paling berbekas bagiku adalah naskah Kembara Darus Senawi 1963. Bagi aku buku ini agak istimewa kerana ia memaparkan sudut peribadi beliau juga pengalaman mudanya.

Mesej dari Ustaz Darus ini, meski pun ringkas, membuatkan hati aku sedikit berbunga semula. Sedikit sebanyak kabus kemalasan bertiup pergi dan ombak kemalasanku sedikit sebanyak bergelora semula. Ayuh, aku mahu bermula semula.

Ahad, 3 September 2023

Mengabdi Diri Pada Keilmuan di Hela Kehidupan


Di pertengahan umur, kadang kita merasakan hidup ini terlalu mendatar, kita mungkin masih struggle dengan masalah kewangan tetapi ia bukan lagi perkara nombor satu dalam hidup. Anak-anak juga sudah mula bersekolah dan perlahan-lahan kehidupan kita kembali stabil, tidak lagi dipenuhi keributan. 

Ada yang menyebut fasa ini sebagai mid-life crisis, di mana manusia mula mempersoalkan apa yang telah mereka capai dalam hidup, mereka menilai semula arah tuju kehidupan mereka, kembali bertanya soalan fundamental, "apa yang sebenarnya aku mahu dalam hidup ini?". Bagi saya, fasa ini bukanlah sebuah krisis, tetapi perenungan untuk menilai semula arah tuju kehidupan, ini bagi saya perkara yang penting, perkara yang menyegarkan. Dalam kata lain, kita diberi peluang kedua untuk hidup dan mula semula.

Dalam fasa perenungan saya, tatkala saya merenung semula hela-hela halaman hidup, saya merasakan bahawa fasa yang paling membahagiakan dan menggembirakan saya adalah fasa belajar. Sememangnya belajar, masuk kelas, salin nota, dan menduduki peperiksaan merupakan proses-proses yang sangat saya nikmati dan hargai. Jika boleh, saya mahu menjadi pelajar seumur hidup, dan saya memang berhajat untuk belajar sepanjang hayat.

Belajar membawa saya ke pelbagai negara dan benua. Sebab itu, saya merasakan, kebelakangan ini, walaupun banyak faktor-faktor yang menghimpit hidup, dapat menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM merupakan antara perkara yang menggembirakan saya. Kembali menjadi pelajar merupakan satu pengalaman yang menyegarkan hidup.

Pada mulanya pihak universiti tidak menerima saya, kerana saya mempunyai latar pengajian dalam bidang yang berbeza, namun selepas melepasi kursus pra-syarat, saya diterima masuk. Bagi saya pengajian sejarah merupakan satu pengajian yang menyeronokkan. Ahli sejarah merupakan jambatan yang menghubungkan zaman, tanpa mereka generasi baharu tidak dapat menyelak jendela masa lampau dan memahami susur galur mereka. Sesi pengajian juga saya dapati sangat mengayakan pemikiran. Kita diajar untuk berfikir dan menganalisa, bukan lagi menelan fakta bulat-bulat.

Jadi saya ingin menyarankan, andai ada teman-teman yang sedang mencari sesuatu dalam hidup, marilah bersama saya menyambung pengajian. Paling kurang, jika pun tidak berapa faham subjek yang dipelajari, dapat jadi rakan sekelas dengan saya pun kira sudah beruntung.

Berfikir Tentang Pemikiran Selepas 5 Tahun


Dalam coretan kali ini, izinkan saya untuk bernostalgia. Buku Berfikir Tentang Pemikiran mungkin merupakan buku pertama yang saya tulis. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2018 secara swaterbit. Buku ini merupakan tiket saya untuk masuk ke dunia perbukuan. Walaupun diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2018, ianya ditulis jauh lebih awal, selama beberapa tahun. Jadi kandungannya sebenarnya merupakan pemikiran seorang budak lelaki di usia 24-25 tahun. Bagi saya, ia adalah satu umur yang terlalu awal dan sangat muda untuk melahirkan satu buku yang masak ranum ideanya, jitu hujahnya, dan juga menarik perhatian cerakinan dan olahannya.

Namun ketika itu saya masih muda. Satu zaman di mana kita mempunyai banyak idea dan usia di mana kita seorang idealis. Berlawan idea dan berhujah merupakan aktiviti yang merangsang jiwa, oleh itu banyak benda yang hendak diperkata dan ditulis. Dalam masa yang sama, saya mahu buktikan pada dunia bahawa saya mempunyai idea, walaupun sebenarnya dunia tak kisah pun sama ada kita ada idea atau tidak, ia tetap akan mengorbit suria seperti biasa.

Dan mungkin hari ini idea-idea saya tentang dunia telah berubah, tapi tetap buku ini istimewa buat saya. Kerana ia merupakan rekod fikir saya. Saya tidaklah pernah begitu kisah tentang apa yang orang kata perihalnya, kerana itu tidak pernah ada dalam perkiraan saya. Contohnya Benz Ali yang pernah mengkritiknya sebagai satu buku yang didaktik. Bagi saya buku ini merupakan rekod peribadi yang penting, kerana dengan merekodkan fikiran lalu kita, kita dapat merenungnya semula di masa hadapan, membandingkan ia dengan fikiran yang baharu. Dengan itu, kita mampu melihat bagaimana fikiran kita berubah. Jika tidak direkod, kita tak mampu menganalisa perubahan tersebut. Walaupun fikiran saya sudah berubah, tinta lama saya sudah kering, pena telah diangkat dan buku telah dicetak, saya tidak mempunyai keinginan untuk mengubah idea-idea lama saya. Biarlah ia tersimpan dalam naskhah ini. Namun saya tidak pernah berhenti mahu menulis perihal idea-idea baharu.

Walaupun dikritik, ada juga yang memujinya. Dari edisi swaterbit, buku ini kemudian mendapat nafas baharu apabila diterbitkan semula oleh Biblio Press dengan kata pengantar oleh Puan Emmy Hermina pada tahun 2020. Saya terhutang budi kepada Biblio Press kerana mereka benar-benar berusaha keras memasarkan dan mempromosikan buku ini hinggalah ia tersenarai sebagai 50 buku terbaik Malaysia oleh MBKM untuk tahun 2020/21. Dan pada tahun 2022 ia diterbitkan semula oleh Kenyalang Press. Jadi buku ini sudah bersalin kulit sebanyak 3 kali. Tetapi bagi saya secara peribadi, siapa yang mempunyai kulit yang pertama, mereka merupakan orang yang sangat saya hargai, kerana merekalah orang yang pertama yang menyokong penulisan saya. Jadi, terima kasih saya ucapkan.

Kulit pertama buku ini merupakan gambar saya di Peterhof, sebuah istana yang didirikan oleh Peter the Great di pinggiran Teluk Finland. Saya sudah lupa siapa yang mengambil gambar saya tersebut, mungkin teman saya Khalis atau Nazrin. Oleh kerana tajuknya “berfikir” penerbit kemudiannya memberikan kulit baharu dengan gambar patung skulptur Le Penseur yang dihasilkan oleh Auguste Rodin dalam edisi kedua dan ketiga. 

Oleh kerana itu, ia kelihatan seperti buku falsafah sedikit walaupun bukan itu mauduk asal penulisan saya. Jika ditanyakan kepada saya, adakah ia buku falsafah? Saya akan menjawab tidak, dan mungkin ya. Tidak jika falsafah yang dimaksudkan adalah pemikiran ahli falsafah yang selalunya diperkatakan seperti Socrates, Plato dan lain-lain, atau mungkin ahli falsafah moden seperti Hegel dan Marx. Kalau itu falsafah yang dimaksudkan, maka buku ini bukanlah bukunya. Tetapi jika falsafah yang dimaksudkan adalah lebih umum, iaitu tafsiran-tafsiran kepada dunia dan kehidupan, maka mungkin ya. Ia adalah produk tafsiran dan pemikiran saya perihal dunia dan kehidupan di sekeliling saya.

Sekian, sekadar sedikit nostalgia tentang penulisan.