Sabtu, 23 Disember 2023

Jiwa Yang Selalu Sendiri

 

Tiada jiwa lain selainmu
yang boleh bertemu denganmu
kamu dilahirkan begitu
dan selamanya akan begitu.

Belajarlah bersendiri
kerana hidup adalah jalan sunyi
untuk dilalui jiwa setiap hari
tanpa ada yang menemani.

Belajarlah untuk tidak difahami
untuk disalah tangapi
dimarahi malah dibenci
kerana jiwa hakikatnya sentiasa sendiri.

Hanya yang akan menemani
adalah senaskah sunyi.
Maka jadikanlah ia tali
untuk kau pegang sepanjang perjalanan ini.

Belajarlah untuk gembira dalam sunyi
belajarlah untuk hidup dengan sepi
kerana fitrah jiwa memang begini
dilahirkan hidup tidak difahami.

Tuhan menciptakan sebuah rumah
buat setiap jiwa manusia
dalam lautan yang paling dalam
tak tercapai oleh apa pun.

Tiada cinta yang dapat menyelam
untuk memahami perasaan silam
tiada jiwa lain yang mampu 
merasai segala sakit sedihmu.

Maka jiwa yang selalu sendiri,
ketahuilah, kau saja yang memahami
jiwamu sendiri.

Setiap hari,
tiada henti,
hanya sunyi,
sampai mati.

Jumaat, 22 Disember 2023

Pesta Buku Tidak Antarabangsa KL (PBTAKL)


Pesta buku tahunan KL sememangnya merupakan acara tahunan yang selalu saya sertai. Kata ibu saya, masa saya umur 2 tahun pun ibu pernah bawa saya ke pesta buku KL. Awalnya memang pergi sebagai pembeli sahaja. Saya mula ada keinginan membaca buku-buku antarabangsa selepas membaca sebuah buku oleh Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat. Saya tidaklah mengagumi Friedman, malah banyak pandangannya yang saya tidak persetujui. Namun buku tersebut tidak dapat saya buang dari sejarah pembacaan saya. Ia adalah buku yang sangat mengasyikkan. Yang membuatkan saya dahaga untuk membaca lebih banyak idea-idea, pemikiran, dan juga sejarah dunia yang luas ini.

Maka, secara semula jadinya, saya berkunjung ke pesta buku KL untuk mencari buku-buku yang berlainan, yang antarabangsa, yang tiada di jual di kedai buku konvensional. Namun akhirnya saya menyedari, bahawa pesta buku ini bukanlah pesta antarabangsa seperti namanya. Saya sedar akan hal ini sejak tahun 2016, tujuh tahun yang lalu, kritikan saya pada tahun tersebut saya coretkan di blog, dan masih ada hingga ke hari ini.

Namun sejak tahun 2019, saya tidak lagi datang ke pesta buku KL sebagai pembaca. 2019 adalah tahun di mana saya menjual sendiri buku-buku saya yang diterbitkan sendiri secara swaterbit, pada tahun tersebut ada diberi ruang khas untuk penerbit mandiri. Selepas tahun 2019, pesta buku tersebut sudah berubah, ia telah menjadi medan untuk bertemu rakan-rakan buku, bukan lagi sebagai tempat saya datang sekadar mencari buku.

Ada yang mengkritik pesta buku KL sebagai pasar menjual buku-buku agama. Genrenya sangat sempit kepada buku-buku yang membosankan dan bersifat konspirasi. Namun saya ada juga menulis sanggahan saya terhadap kritikan ini. Kerana bagi saya, ada penerbit-penerbit kecil yang bukunya bagus, cuma pengunjung kena rajin meneroka di sudut-sudut kecil, di reruai belakang, dan kawasan tidak strategik. reruai besar biasanya hanya mengulang cetak buku-buku sama dengan genre yang serupa sahaja. Bagi saya, reruai-reruai kecil inilah yang menarik saya untuk turun ke pesta buku KL. Kerana mereka menjamu pengunjung dengan buku-buku yang mencabar pemikiran dan memberi topik segar yang berbeza.

Dua tiga hari kebelakangan ini, saya membaca keluhan dan tulisan banyak rakan-rakan penerbit kecil bahawa kebanyakan reruai sudah dibolot penerbit besar sebelum penyertaan dibuka lagi. Ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai pesta buku kali ini. Bagi saya, tanpa mereka, sudah tidak ada sebab saya perlu ke pesta buku KL lagi, sudahlah tidak antarabangsa, penerbit yang memberi tarikan juga akhirnya ditolak keluar oleh penerbit besar yang membosankan.

Maka saya kira, akhirnya pesta buku ini bukan lagi akan menjadi satu majlis para pencinta ilmu berkumpul dan berbincang perihal idea dan pemikiran. Ia akan menjadi sekadar tempat untuk membawa anak-anak berjalan-jalan. Juga menjadi tempat lawatan pelajar sekolah yang dipaksa menaiki bas beramai-ramai.  Sama seperti kedai buku yang makin tidak relevan dan menjual alat tulis, pesta buku tahunan KL juga nampaknya menuju kepada samudera kebosanan yang sama.

Jumaat, 15 Disember 2023

Catatan Baitul Muslim 68: Malam Ini Sekejap


Sekitar awal Disember 2024, aku perlu menjaga anak-anak di rumah beberapa hari kerana isteri berada di hospital bagi pembedahan sinus. Satu malam, aku mengurut kaki Idlan yang berumur 5 tahun dengan minyak Nona Roguy. Idlan biasanya sakit kaki malam-malam, doktor kata "growing pain", ada malam dia terjaga dan menangis, perlu diberi makan ubat tahan sakit baru boleh tidur semula. Jika diurut kaki sebelum tidur, biasanya dia tidak akan terjaga. Oleh kerana dia sudah tidur petang, malam itu, Idlan petah pula bersembang.

"Abi"

"Ya" jawabku sambil mengurut.

"Abi tahu tak kenapa malam ni sekejap?" tanya Idlan.

"Tak tahu, kenapa?" jawabku yang tak dapat menangkap maksud soalannya.

"Malam ni sekejap sebab kita kelip mata, buka mata dah pagi" katanya.

"Bukan kelip mata, tutup mata. Kita tidur tutup mata. Tapi betul lah yang adik cakap tu. Nanti adik kelip-kelip mata dah 6 tahun. Kelip lagi dah masuk sekolah macam kakak. Abi pun dulu kecik macam adik, kelip-kelip dah tua" jawabku, cuba menerangkan kepadanya konsep masa yang berlalu pantas.

"Tapi abi belum tua macam Tokmi?" tanya Idlan sambil tersengih.

"Nanti Abi kelip-kelip lagi, tua macam Tokmi la" jawabku.

Malam tersebut, pillow talk dengan anak kecil ini membuatkan aku berfikir dengan sekilas masa yang sebentar yang diberikan Tuhan untuk kita menghirup sedikit hidup. Aku kira, anak kecil juga sudah mula merasai bertapa masa berlalu dengan pantas. Kita hanya diberi peluang untuk menggenggam sebentar, lama ke lamaan kita perlu melepaskan semuanya, tak kira bertapa sayangnya kita terhadap apa pun.

Aku juga merasakan masa yang diberikan aku untuk hidup ini mungkin tidak lama. Terutamanya selepas serangan jantung pada bulan November 2023. Aku merasakan mungkin masaku sudah hampir tamat. Dunia ini ibarat jam gergasi, semuanya berputar mengikut putaran kehidupan yang sudah ditetapkan. Dan putaranku hampir tamat.

Amni, anak pertamaku pada ketika itu berada di darjah 2. Dia berada di fasa kehidupan di mana dia tidak lagi suka diarah-arah. Jadi usaha untuk menyuruhnya melakukan perkara harian seperti solat, tidur, buat kerja sekolah, malah mandi sekali pun sangat mencabar. Pada mulanya pendekatanku adalah dengan memarahinya. Namun seperti biasa, marah akan menimbulkan penyesalan dalam diri ibu ayah. Jadi kini pendekatanku agak berbeza, aku cuba belajar untuk menjadikan marah itu sebagai pendekatan kedua atau ketiga. Bagiku ketegasan masih penting, namun ketegasan bukanlah pengganti kepada kasih sayang. Walaupun niat kita baik, anak-anak perlu merasai kasih sayang itu. Rumah kita bukanlah kem tentera. Tetapi aku tetap berpegang, bahawa sebagai seorang ayah, sikap tegas itu perlu ada. Disiplin adalah satu skil kehidupan yang perlu diperturunkan kepada anak-anak. Namun aku merasakan fasa ini tidak akan kekal, ia akan berakhir seperti yang telah ditetapkan oleh jam gergasi dunia. Anak ini akan ke fasa seterusnya. Jadi, aku juga harus sedar akan hal ini, dan memilih strategi terbaik.

Strategi mendidik anak tidak boleh statik, ia perlu berubah sesuai dengan perubahan fasa kehidupan anak-anak. Seperti yang dikatakan Sun Zu, untuk memenangi peperangan, kita perlu fleksibel dan mampu mengubah strategi apabila keadaan memerlukan. Aku kira strategi mendidik anak-anak juga begitu, perlu bertahap, dan sentiasa mengikuti kesesuaian perkembangannya.

Malam-malam ini memang sekejap. Kelip-kelip mata, kedua-dua mereka akan membesar dan mendewasa. Jadi masa yang ada padaku adalah genggaman sementara. Bila-bila sahaja putaran aku akan tiba, dan genggamanku akan terlerai juga.

Ahad, 3 Disember 2023

Catatan Baitul Muslim 67: Metodologi Marah Anak-Anak


Minggu lepas hari lahir Idlan, jadi kami sekeluarga lari sekejap dari rutin harian dan bercuti singkat di Taiping. Berbulan-bulan Idlan ayik mengulang, katanya dia mahu pergi zoo untuk hari lahirnya. Tetapi apabila sudah di Zoo Taiping, kami berjalan hanya sekitar sejam, sebelum Idlan mengajak pulang kerana kepenatan. Kakaknya Amni masih mahu meneroka, namun akhirnya terpaksa juga dia mengikut pulang. Sebelum pulang, kami singgah mandi di Burmese Pool dan kemudian makan Kuey Teow Doli. Idlan yang kini sudah genap 5 tahun sudah petah bercakap. Kadang seronok juga bersembang dengannya di waktu malam sebelum tidur. Biasanya aku akan bertanya tentang kawan-kawannya di tadika, jadi banyaklah benda yang dia ceritakan. Idlan sekarang hanya ke tadika separuh hari, jadi apabila pulang tadika, antara soalan yang kerap ditanyakan kepadaku adalah "bila Abi nak habis kerja?". Ini selalu membuatkan aku dalam dilema apabila bekerja di rumah, pertama terasa rimas kerana asyik terganggu, kedua rasa bersalah kerana tidak melayan anak yang mahukan perhatian. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak memarahinya.

Teknik memarahi anak ini aku kira merupakan dilema ibu bapa sejak berkurun lamanya. Dari satu sudut, kita mahu mendisiplinkan anak, di sudut yang lain kita tidak mahu hubungan dengan anak-anak menjadi renggang. Tapi saya berpendapat, memarahi anak ini adalah sebahagian dari cara pendidikan. Cuma metodologinya perlu betul. Ia perlu digunakan dengan tepat pada masa dan keadaan yang sesuai, juga dengan metodologi marah yang sesuai. Untuk anak-anak yang terlalu kecil, seperti yang baru berusia 5 tahun, marah mungkin metodologi yang tidak begitu sesuai. 

Anak-anak yang sudah bersekolah mungkin lebih sesuai. Kerana mereka sudah mula memikul tanggung jawab. Oleh itu perlu ada pemupukan sifat pertanggungjawaban untuk memastikan mereka tidak culas terhadap tanggungjawab yang ada. Bagi saya metodologi marah yang betul adalah kita bersifat tegas, memberikan hukuman yang setimpal, dan memastikan mereka tidaklah sampai terluka atau merasakan kita tidak menyayangi mereka.

Bagi saya, pendekatan berleter tidak begitu efektif. Jika sudah disebut sekali pun tidak berjaya. Mengulang cakap benda yang sama berjam-jam bukan solusinya. Apabila peringatan yang cukup sudah diberikan saya kira ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan. Agar anak-anak faham bahawa ibu bapa mereka sudah berada di fasa yang mana mereka akan mengotakan kata-kata mereka. Sebagai contoh, jika ibu bapa telah memberikan penekanan "jika tidak disiapkan kerja sekolah, tiada masa untuk menonton video akan diberika" maka ibu bapa mestilah melaksanakan janji ini. Jika tidak, anak-anak tidak akan merasai ketegasan ibubapa mereka. Bagi saya ketegasan lebih efektif dari berleter.

Ia juga lebih efektif dari sudut psikologi. Bagi saya dengan berleter dengan panjang lebar, ia lebih banyak melukakan emosi anak yang semestinya sudah penat dimarahi. Saya juga tidak merasakan anak-anak yang sudah dimarahi akan mempunyai kompetensi akal untuk memproses leteran yang diberikan kepadanya. Bagi saya, dalam situasi anak sudah dimarahi dan diperingatkan, kita hanya perlu memberi satu arahan yang tegas, kemudian membiarkan mereka mempunyai ruang dan masa untuk berfikir. Tinggalkan mereka untuk bertenang dan berfikir tentang apa yang sudah kita nasihati. Jika kita terus menerus berleter, ini tidak akan membantu kerana besar kemungkinan mereka sudah menutup telinga apabila dimarahi. Maka lebih baik dalam keadaan ini, memberi satu nasihat yang tegas dan beredar. Anak mempunyai ruang dan masa untuk berfikir, ibu bapa juga mempunyai ruang dan masa untuk bertenang.

Bagi saya, ini adalah metodologi marah anak yang lebih berkesan.

Jumaat, 1 Disember 2023

Mon Monologue


Lama sudah rasanya tidak mencoret sedikit monolog. Jadi di ruang sempit ini, saya sekadar mahu melepaskan perasaan-perasaan yang ada.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu graduasi. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan dan saudara mara yang bergraduasi. Meriah sekejap aliran media sosial dengan gambar konvo. Ada yang berjaya menghabiskan sarjana muda, ijazah, dan doktor falsafah. Melihat semuanya sangat menginspirasikan.

Saya kira belajar dan menyambung pengajian adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan. Belajar bagi saya merupakan proses umum. Ia dilalui oleh semua orang, kadang-kadang mereka sedar, kadang mereka tidak sedar. Belajar tidak semestinya melalui pengajian formal, tidak semestinya memerlukan kita membaca buku, setiap sisi kehidupan kita dapat menjadi satu proses pembelajaran. Dialog kita, pekerjaan, pengurusan anak-anak, masalah-masalah hidup. Semua mengajar kita sesuatu sama ada kita sedar atau tidak.

Beberapa ketika, saya memang minat membaca buku. Bagi saya meneroka helaian buku adalah sesuatu yang membahagiakan. Meskipun kadang kesibukan hanya membenarkan saya menyelak beberapa halaman sahaja sehari. Lama kelamaan ia menjadi ruji harian. Walaupun membaca buku itu mengasyikkan. Saya kira ia juga mempunyai limitasinya yang tersendiri dalam proses pencarian ilmu.

Ia bersifat mandiri dan tidak berstruktur. Maksudnya, kita baca apa yang kita mahu baca, kita yang menentukan apa yang kita mahu pelajari. Kita juga boleh membacanya mengikut kelajuan kita sendiri tanpa apa-apa tekanan atau paksaan. Tetapi saya merasakan, untuk kita mahir dan belajar sesuatu perkara, kita memerlukan sedikit tekanan. Tidaklah tekanan yang membuatkan kita gila. Tetapi tekanan yang mampu mengeluarkan kita dari bilik kita yang selesa, dan belajar sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedar kita perlu belajar. Ini bagi saya memerlukan pengajian yang tersusun dan formal.

Seperti apa-apa objek logam yang cantik, ia memerlukan tekanan haba agar ia boleh dibentuk dan dibina. Saya kira proses mencari ilmu dalam dunia formal juga begitu. Ia memberi kita tekanan untuk kita berusaha. Kita perlu belajar walaupun kita malas. Kita tidak boleh bersenang lenang kerana kita mempunyai had masa. Maka ia memaksa kita berusaha. 

Berbanding dengan mencari bacaan sendiri. Memilih subjek formal untuk dipelajari memerlukan kita membaca bahan-bahan tertentu, kuliah pengajian akan membuka fikiran kita kepada bahan-bahan yang sangat menarik yang jika kita bergerak sendirian mungkin tidak kita temui. Kerana manusia secara bersendirian itu amat terhad upayanya. Dengan diskusi dan dialog, dia akan mendapat sesuatu perkara yang sudah diusahakan orang lain, jadi ini akan membantunya dalam usaha pencarian ilmu kerana sebahagiannya boleh didapati melalui usaha orang lain. Jika semua mahu dilakukan bersendirian, usahanya sangat terhad, malah penerokaannya mungkin tidak akan sampai ke garis hujung fatamorgana ilmu.

Menyambung pengajian sememangnya mengasyikkan. Duduk mendengar kuliah membuatkan kita terasa seperti pelajar muda. Walaupun mungkin rambut-rambut putih sudah mula muncul di sebalik selitan ikal rambut, namun jiwa kita akan sentiasa merasa muda dengan duduk belajar. Proses pembelajaran membuatkan jiwa kita segar, sentiasa mahu mencari dan memahami.

Keasyikan mendengar kuliah juga membuatkan kita sedar. Kita hanya titik nol kecil dalam lautan infiniti ilmu. Saya sangat gembira terutamanya jika menjumpai sesuatu perkara yang sebelum ini saya tidak ketahui. Memahami sesuatu yang sebelum ini saya sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Belajar sentiasa mengerdilkan kita. Semakin kita tahu, semakin kita sedar bahawa kita hanya zarah kecil dari bima sakti ilmu yang tiada penghujung. 

Menyambung pengajian juga memberikan kita peluang untuk mendampingi para sarjana dan pemikir. Memetik buah-buah ilmu mereka dari jarak yang lebih dekat. Memberi kita peluang merasakan sentuhan inspirasi. Melihat jalan ilmu yang telah mereka telusuri. membuatkan hati kita berbunga untuk menempuh jalan yang sama juga. Jalan-jalan ilmu yang membawa kita pada bahagia.

Maka jika ada satu perkara yang saya mahu lakukan sepanjang umur usia yang singkat ini. Saya mahu selamanya menjadi penuntut ilmu. Menjadi pelajar yang meneroka sempadan-sempadan pengetahuan. Menjadi rahib yang asyik bersendirian di perpustakaan. 

Hinggalah tiba satu hari di mana saya dipanggil semula oleh Tuhan.