Ahad, 15 Jun 2025

Reviu Buku 'Demokrasisma' Oleh Halaman Bacalah

Baru-baru ini, buku Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi telah mendapat ulasan dari halaman Facebook Bacalah. Berikut adalah sedutan ulasan dari Bacalah:

"Syed Ahmad Fathi membawa masalah demokrasi ini ke skala global dengan mengatakan negara-negara yang mengamalkan demokrasi inilah sebenarnya yang menghasilkan kehancuran. Amerika Syarikat yang berbangga dengan demokrasi yang diamalkannya merupakan gengster utama yang menyerang negara-negara lain atas tiket keadilan dan demokrasi. Banyak negara yang hancur dengan pertumpahan darah yang begitu tinggi. Menurutnya lagi, sistem demokrasi tidak boleh dipaksa, ianya harus ditekuni oleh rakyat negara itu sendiri sebelum ianya boleh diterima ramai. Suntikan sistem demokrasi secara paksa hanya akan menghasilkan negara yang goyah dan mencetuskan perang saudara.

Banyak lagi masalah-masalah lain yang dinukilkan oleh Syed Ahmad Fathi di dalam buku ini. Beliau turut banyak menyanggah idea Francis Fukuyama di dalam buku The End of History. Francis Fukuyama percaya, demokrasi liberal merupakan sistem kerajaan yang paling sempurna, tiada lagi sistem lain yang lebih baik akan tercipta selepas itu. Aku bersetuju dengan Syed Ahmad Fathi, demokrasi hanyalah alat yang dicipta manusia. Sedangkan manusia itu juga tidak sempurna, apatah lagi alat yang dicipta oleh mereka. Sistem kerajaan akan terus berevolusi tanpa henti sehingga ke hujung peradaban dunia.

Berbanding Benz Ali, tulisan Syed Ahmad Fathi nampaknya lebih berhati-hati terutama sekali apabila menyentuh ekologi politik Malaysia. Idea dan pemerhatian beliau di dalam buku ini begitu baik, namun ianya boleh menjadi lebih baik sekiranya beliau lebih tegak dalam penulisan untuk mengulas politik Malaysia.

Seperti biasa, buku terbitan Rabak-Lit memang menawan. Buku-buku Syed Ahmad Fathi sebelum ini nampak sedikit bosan dan macam untuk orang tua. Kali ini, Rabak-Lit berjaya menjadikan buku ini sangat segar dengan rekaan muka depan yang sangat menarik. Tidak cukup dengan itu, grafik-grafik yang menyegarkan mata juga diteruskan di bahagian dalam buku ini.

4/5 untuk buku ini. Sedap untuk dinikmati untuk lebih memahami demokrasi. Buku yang tidak terlalu berat juga tidak terlalu ringan untuk pembaca macam aku."

Untuk ulasan penuh, layari halaman Bacalah di Facebook.

Reviu Buku 'Demokrasisma' Oleh Sidi Muhammad Yusoff

Baru-baru ini, buku Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi telah mendapat ulasan dari Dr. Sidi Muhammad Yusoff. Ulasan ini telah diterbitkan di dalam bahasa Inggeris. Berikut adalah sedutan ulasan dari Dr. Sidi:

"I believe the author adopts an unconstrained vision, as evidenced by his belief in substantial changes to the political landscape and his moral scepticism agaisnt current institutions. Zainal, on the other hand, adopts a more constrained view, as his work aims not at radical revolution, but as a “shock” to awaken the Malays into action. His belief in internal reform through stable, incremental change is a hallmark of the constrained vision. Indeed, this dance of ideas between two young thinkers is much needed in our fatigued climate of political rhetoric and anti-intellectualism.

The author concludes the book by asking why we should continue to be optimistic about democratic institutions, when they have failed us at many historical junctures.

The final chapter, written in the context of the horrendous situation in Gaza, ironically mirrors Fukuyama's conviction that liberal democracy is the “final” and most perfect chapter of human history.

This is not merely a polemical political book, but a sober one carried by critical analysis. Highly recommended."

Untuk melihat ulasan penuh beliau, tekan pautan ini

Memilih Sebuah Buku Sebagai Sebuah Adikarya

Saudara Fadzul Iqram ada bertanya kepada saya, dalam banyak buku-buku yang saya tulis, mana yang terbaik? Soalan lebih kurang sama ditanyakan oleh Amirzudin Suhaimi masa sesi diskusi di Pentas Merdeka, PBAKL. Amir bertanya, kalau nak faham pemikiran kau nak baca buku yang mana? Soalan yang sama juga ditanya oleh Muhamad Azan Safar, buku mana yang aku boleh baca kalau nak fahami pemikiran kau?

Semua soalan ini menjurus agar saya memilih buku saya yang paling baik dan menggambarkan pemikiran saya. Susah sebenarnya hendak pilih satu buku yang terbaik, kerana saya merasakan buku saya yang terbaik belum lagi saya tulis. Kedua, saya merasakan sebuah buku tidak boleh menggambarkan keseluruhan pemikiran penulis.

Saya beri tahu Amir dalam jawapan saya, buku itu hanya menggambarkan cebisan pemikiran penulis. Ia tidak menggambarkan keseluruhan sifat dan pemikiran penulis. Kalau hendak kenal penulis, perlu berkawan dengan dia, travel bersama, makan bersama, baru kita boleh mengenali penulis seperti kita mengenali kawan-kawan kita yang lain. Sebab penulis ini manusia biasa sahaja, maka jika hendak memahami mereka, kita perlu guna cara yang sama dengan cara kita memahami manusia lain.

Ketiga, pemikiran itu satu benda yang susah kita hendak letakkan dalam satu kotak atau dalam satu buku. Pemikiran itu sentiasa berubah. Buku yang ditulis, mungkin pemikiran penulis pada masa dan ketika itu, tetapi seiring masa berlalu, dia akan lalui pengalaman lain, dia akan terdedah dengan idea-idea lain, pemikiran dia akan berubah. Sebab itu soalan ini susah hendak dijawab, sebab pemikiran saya sendiri mungkin sudah tidak sama dengan pemikiran buku yang saya tulis pada tahun 2018.

Memilih buku yang terbaik juga susah kerana setiap buku itu ditulis untuk menjawab persoalan yang berbeza. Jadi jawapan saya mungkin begini:

Jika buku yang mewakili pemikiran awal saya, maka ia adalah buku Berfikir Tentang Pemikiran. Tetapi pemikiran saya kemudian berubah, jadi buku Lalang di Lautan Ideologi merupakan buku yang mewakili pemikiran saya yang terkemudian. Tetapi sebab buku ini juga sudah agak lama ditulis, pemikiran saya hari ini telah berubah lagi, namun belum sempat dibukukan kerana saya sibuk dengan urusan duniawi yang melalaikan.

Ada buku yang merupakan pandangan saya terhadap beberapa isu dan topik. Buku ini tidak menggambarkan pemikiran keseluruhan, tetapi pemikiran berdasarkan topik. Buku-buku ini bersifat topikal dan ala-ala monograf.

Buku Intelektual Yang Membosankan adalah pandangan saya perihal ilmuwan dan keilmuwan. Buku Demokrasisma adalah pandangan saya tentang sistem demokrasi. Buku Resistance Sudah Berbunga merupakan pandangan saya tentang perjuangan pembebasan Palestin. Ada juga buku saya yang sedikit akademik. Tidak banyak pandangan saya didalamnya dan tidak bersifat polemikal. Buku Homo Historikus adalah dalam kategori ini.

Akhir sekali, terdapat buku yang saya tulis santai-santai dan rileks sahaja. Buku healing bagi saya. Buku seperti Dua Sayap Ilmu dan Malam Dalam Aksara Yang Panjang. Dua buku ini juga tidak polemikal, tidak juga akademik. Lebih kepada untuk meraikan kebahagiaan menulis dan membaca dalam suasana yang santai dan melalaikan. Buku yang lebih ringan adalah Maka Kitab Itu Pun Menyanyi, koleksi puisi saya bersama Mohd Muzamel Zainal dan Tulip Ungu. 

Jadi setiap buku itu dia terbaik dalam kategorinya sendiri. Tapi memang betul, penulis-penulis hebat dia akan ada sebuah mahakarya dia. Misalnya Edward Said dengan Orientalism, Adam Smith dengan Wealth of Nation, Howard Zinn dengan People’s History, Ibnu Khaldun dengan Muqaddimah. Tetapi disebabkan saya bukan penulis hebat, jika ditanya saya, yang mana merupakan mahakarya, adikarya, atau magnum opus saya, jawapannya ia belum ditulis lagi. Belum ada.