Apabila mendapat khabar berita tentang kematian Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam merasa sangat sedih kerana tidak dapat pergi menziarahi teman seperjuangannya buat kali yang terakhir. Zaman tersebut, belum ada sistem pengangkutan seperti hari ini. Boestamam mendapatkan mesin taipnya, meluahkan perasaannya, penulisan merupakan saliran bagi beliau untuk meluahkan perasaan. Dalam tribute beliau kepada Dr. Burhanuddin, beliau menyatakan bahawa temannya itu merupakan “bapa kebangsaan Melayu”.
Tribute tersebut tidak dihantar ke akhbar, kerana Boestamam tidak mahu ia “dikerat-kerat” oleh editor, ia kemudian diabadikan dalam naskah bertajuk Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. (Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora, 1972), hlm. 72-78). Boestamam memang seorang penulis yang prolifik, beliau pernah menulis untuk akhbar Majlis bersama Ibrahim Yaacob. Jika dibaca memoir Boestamam, beliau memang seorang penulis yang natural, penulisannya enak, tidak dibuat-buat, disulam dengan pengalaman dan juga kadang kala diselit dengan jenaka. Penulisannya ranum dan matang.
Menulis itu bagi saya merupakan sebuah seni. Seperti seni lain, ia mengambil masa untuk matang, untuk ranum, untuk rendang dan enak dipetik. Saya selalu merasakan, penulisan yang sedap itu lahir dari perasaan yang sebenar, bukan dibuat-buat, bahkan penulisan non-fiksyen sekali pun, jika seninya benar, boleh menggetarkan jiwa lebih dari karya fiksyen. Menulis juga merupakan ladang yang subur untuk meluahkan perasaan, hatta perasaan yang paling sensitif, yang paling subversif, jika benar seninya, boleh ditulis dengan gubahan yang mempesonakan.
Seperti bidang-bidang lain, teknologi sebenarnya banyak membantu meningkatkan kualiti penulisan. Jika digunakan dengan betul dan tidak curang. Salahnya pada penulisan-penulisan yang tempang itu bukan pada teknologi, tetapi moral dan pertimbangan. Teknologi hanya alat manusia, jika diguna dengan betul, boleh membantu manusia. Tetapi boleh juga jika diguna dengan bersalahan, mencipta “art berat” yang janggal dan dangkal.
Menulis seharusnya menjadi lapangan akal dan jiwa. Untuk kita menggubah perasaan dan idea. Untuk kita mengadun revolusi dengan cinta. Dan jika betul seninya, mampu menjadi lapangan yang mengubah jiwa manusia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan