Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan

Jumaat, 8 April 2016

Azri kau adalah anugerah



Aku terkejut pagi itu, pelbagai perasaan tiba-tiba hadir, segala memori bersama bermain semula di dalam minda ku, seolah-olah baru semalam kita ketawa bersama. Aku seolah-olah tidak percaya kau telah pergi selama-lamanya. Namun di luar bidang kuasa ku untuk mengawal soal nyawa, ajal dan hidup.

Kita bertemu buat kali pertama di lapangan kapal terbang Pulkovo pada musim panas 2010. Perwatakan  kau yang periang dan ceria membuatkan manusia disekelilingmu berasa senang, tidak memerlukan masa yang lama untuk kita berteman rapat. Sungguh dunia menangis saat kau pergi.

Aku masih ingat semasa Azri dan batch mereka baru tiba di St. Petersburg, aku menyambut mereka. Seperti biasa, kami sediakan masakan buat mereka yang baru tiba ke bumi yang sangat asing. Petang itu, aku membawa Azri untuk membeli beberapa keperluan makan. Aku masih ingat mukanya yang ketakutan, keluar tanpa passport, kerana passport pada masa itu ada pada pihak universiti untuk urusan visa.

Sekian lama kita bersahabat, aku dapati kau mempunyai perwatakan yang berbeza dari yang lain. Di dalam usrah kita aku dapat memerhatikan bahawa kau mempunyai hati yang lembut, begitu mudah mengalirkan air mata saat mendengar pengorbanan ibu bapa juga tazkirah berkenaan dengan dosa. Saat aku berputus asa jika teman lain tidak dapat menghadiri usrah, kau tetap hadir, memberi semangat agarku tidak berputus asa.

Aku sangat kagum dengan perwatakanmu, kesolehan juga kejujuran. Hari berganti hari, tahun berganti tahun hubungan kita semakin akrab. Setelah setahun kau bukan lagi adik ursahku, kau menjadi rakan se-usrah dan kau pula menjadi naqib dan memimpin usrah bersama adik-adik yang lain. Hati ku bangga, aku gembira melihat perubahan dirimu yang sungguh ketara.Teringat salah satu tazkirah yang kau sampaikan di dalam usrah kita, aku masih ingat ketika itu kau baru sahaja kehilangan sejumlah wang dari dalam bank. Kau berkata sambil menangis  “Mungkin kita mendapat ujian disebabkan kita telah lama tidak mengadu pada Allah dan tiada hubungan dengan Allah”. Sungguh aku kagum dengan peribadi dirimu.

Azri merupakan peminat Chelsea, kadang-kadang aku akan datang ke biliknya jika ada perlawanan penting. Dia juga sangat minat bermain DOTA, namun tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tarbiyah. Azri adalah adik usrah yang soleh dan sangat mudah berubah, setelah beberapa tahun usrah bersama, beliau sering menemaniku ke Moscow untuk menghadiri daurah. Begitu juga pada cuti semester musim panas, kami akan berprogram bersama. Azri juga sangat aktif dalam aktiviti persatuan, beliau menjadi bendahari MESSP ( Malaysian Engineering Student of St. Petersburg ) ketika aku di tahun akhir. Azri juga meminati frisbee, dia juga sering membantu untuk mengadakan futsal mingguan di universiti.

Dan sungguh aku rindu mendengar luahan hati mu menceritakan masalahmu padaku. Aku sudah menganggap kau seperti adik kandung ku sendiri. Kita bersama men-tarbiyah diri dan sesama sendiri, St. Petersburg dan Moscow menjadi saksi, keazaman kita menghadiri usrah dan daurah, semata-mata untuk mencari redha Allah. Sungguh aku rindu saat-saat indah kita berukhuwwah, bersama-sama mengejar kereta api untuk menghadiri nadwah, nangis tawa kita di dalam dakwah. Kau teman yang sentiasa hadir memberi ku kekuatan. Semasa aku telah menamatkan pengajian kau utus surat buatku, aku menangis sediri membacanya di dalam kapal terbang.

Ku buka suratmu semula.

Ke hadapan Syed Ahmad Fathi,

Tujuan ana tulis surat ini, sebab ana tahu, ana tak mampu cakap benda yang ana tulis ini depan anta. Sedih sangat, kadang-kadang sampai termenangis bila fikir kita dah nak berpisah. Pertama dan selama-lamanya ana nak mintak maaf banyak-banyak kat anta, sebab banyak buat salah, bahan, mengata, cakap anta guna dalil sama je (smiley), tapi ana rasa kita boleh "bahan-membahan" antara satu sama lain tu sebab kita ddah terlalu rapat dan selesa dengan anta, dah terasa macam abang sendiri. Plus, anta jugaklah naqib 1st ana, yang memperkenalkan ana dengan usrah, banyak tarbiyyah ana daripada nakal-nakal dulu, dah jadi baik sikit walaupun belum baik dan soleh macam anta, tapi ana masih cuba untuk memperbaiki diri untuk jadi mukmin yang lebih soleh dan tolong doakan ana walaupun lepas ni anta dah takde , doakan ana untuk terus tsabat di jalan ini, meneruskan kerja dakwah dan tarbiyah kat sini. Terima kasih banyak-banyak atas jasa anta dan syukur sangat pada Allah yang telah mempertemukan kita di St. Petersburg ini, dan memberikan hidayah kepada ana untuk berubah di bawah didikan anta. Ana doakan supaya anta di kurniakan redha Allah dan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak, dan semoga terus soleh dan tsabat di jalan ini. Selamat menempuh alam baru, alam pekerjaan dan semoga baitul muslim yang bakal di bina, diberkati Allah dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Semoga dikurniakan anak-anak yang soleh/solehah dan comel-comel (smiley). Harap kita boleh berjumpa lagi di Malaysia, tapi still ana akan merindui anta di sini , rindu lawak-lawak anta yang kadang-kadang hambar tu, rindu masakan anta walaupun kari je selalu masak, rindu nak main bola dengan anta walaupun ana selalu kena marah sebab flop, dan yang paling rindu sekali, rindu nak usrah dengan anta lagi. You are my 1st and the best Naqib so far (Hazrul pon best jugak*smiley*). Uhibbuka Fillah! Selamat tinggal. Anyeong ~ Sehingga ketemu lagi. 

Ukhuwwah fillah abadan abada (ayat Wafi).

Sincerely,
Azri/ Matyi

Membaca suratmu aku tersenyum sendirian. Seolah-olah kau sedang bercakap dengan ku, dengan jenaka-jenaka kita yang selalu. Surat ini akan sentiasa hidup bersamaku, meski aku harus terima yang kau sudah tiada.

Aku juga rindu jaulah kita ke Scandinavia, menjelajah bumi Allah mencari ikhtibar buat bekalan di perjalanan. Kabin kecil di dalam kapal semasa pelayaran menjadi saksi, kita bersama duduk sebentar bermuhasabah mendengar kau memberi tazkirah. Bagai mana aku mampu lupa? Bagaimana pula aku mahu teruskan lagi saat kau sudah tiada? Semasa cuti musim panas, kita bersama-sama mendaki Bukit Larut bersama ahli usrah, juga menziarahi rumah mu di Titi Serong, Parit Buntar. Bilakah masanya kita mampu ulanginya kembali?

Aku terkedu pagi itu mendapat berita kau telah tiada. Seolah tidak percaya, hati ku menjerit menangis, adakah ini mimpi? Lebih terkilan aku tidak dapat melihat wajahmu kali terakhir, aku tidak dapat bersama menguruskan jenazahmu kerana kekangan kerja. Aku hanya mampu bersolat dari jauh, mendoakan kau tenang disana. Kau terlalu muda, namun apakah daya kerana ajal tidak mengenal usia. Khabar mengatakan kau berpuasa pada hari itu, dan kemalangan motosikal berlaku selepas kau sudah menyelesaikan solat Isha’ di masjid, sedikit sebanyak aku bersyukur. Allah mengatur pengakhiran yang baik buatmu. Lebih mengusik hati apabila melihat profile picture facebook mu, gambar kita bersama saat kau dan Rauff datang beraya di rumahku.

Kau lah teman, sahabat, rakan usrah, teman dakwah, kau adalah anugerah. Moga kau bahagia disana bersama Sang Pencipta, ceritakanlah kepada Dia, kisah ukhuwwah kita di dunia.

Dalam ingatan:

Muhammad Azri bin Aminuddin
18 Disember 1991 - 4 April 2016


Ahad, 31 Januari 2016

Cikgu, saya nak drop Addmath



Akhirnya tiba waktu yang aku sangat harap ia tidak berlaku, aku perlu pergi meneruskan kehidupan ke alam baru. Selepas ini tiada lagi suasana kemeriahan, riuh rendah pelajar yang mewarnai hidup. Ramai juga pelajar yang datang berjumpa pada hari terakhir. Ada yang mahu bergambar, ada yang datang meminta maaf dan mengucapkan selamat jalan, juga yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Namun, yang paling membekas di hati adalah apabila datang seorang pelajar menyapa.

"Cikgu" seorang pelajar memanggil. Dia menyorok disebalik pintu, seingatku aku mengajarnya ketika dia di tingkatan satu, subjek matematik.

"Saya dengar cikgu nak pindah, saya ada 50 sen sahaja. Cikgu ambil lah, hadiah dari saya" sambil menyerahkan kepingan duit syiling 50 sen kepada ku. "Terima kasih" jawabku sambil tersenyum padanya. Dalam hati saya menangis.

Sebenarnya aku telah jatuh hati dengan kerjaya pendidik. Kerjaya yang aku kira sangat mulia, mengajar di sekolah agama tidak semewah mengajar di sekolah kebangsaan, pengorbanan yang diperlukan adalah lebih besar. Masih aku ingat tahun lalu.

Aku bersiap-siap untuk pulang, sudah lewat petang, setelah semuanya dimasukkan didalam beg, dan dikumpulkan buku untuk dibawa pulang, aku ke pejabat untuk menghantar claim bulan itu. Waktu itu aku masih lagi guru sementara, gaji dibayar mengikut hari.
Semasa di pejabat untuk menghantar dan mengisi claim, datang seorang pelajar.
"Cikgu saya ada soalan add math nak tanya". Aku melihat jam, sudah hampir jam 6 petang.

"Mana soalan?" jawab ku berseloroh. Terus dia hilang kemudian membawa kertas masuk pejabat. Hati ku sayu, tak sampai hati untuk berkata " Nanti kita bincang dalam kelas". Aku pun berkata padanya " Kamu duduk di kelas mana? Lepas habis urusan pejabat cikgu datang". Dia lantas memberitahu dan kembali ke kelasnya.

Petang itu aku pulang lewat. Hati ku sayu semula.
Mereka disini beberapa kali bertukar guru. Ada ketika beberapa bulan berlalu tanpa guru. SPM pula tinggal beberapa minggu. Maklumlah sekolah agama rakyat tidak mendapat bantuan kerajaan. Gaji kecil sahaja untuk guru. Jadi, guru selalu sahaja berhenti.
Tapi petang itu hati ku sayu, pelajar seperti ini gagal bukan kerana mereka malas. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan guru. Guru yang mampu setia mengajar dengan gaji yang rendah. Guru yang mampu berkorban. Air mata ku menitis dalam kereta petang itu. Aku juga keluaran sekolah agama rakyat. Guru ku dahulu juga gajinya rendah, tetapi anak muridnya dapat masuk universiti di luar negara dengan biasiswa. Sekarang tiba giliran ku pula, menangis. Aku mahu melihat anak-anak dalam rahim tarbiyyah ini terjaga akademiknya. Tidak merasa lekeh dan rendah diri bila keluar sekolah nanti.

Bagi ku mengajar merupakan satu kepuasan bukan sekadar pekerjaan. Mereka bukan aku lihat sebagai pelajar, tetapi sebagai anak-anak sendiri. Pernah juga ketika dalam satu kelas lewat petang seorang pelajar bertanya kepada ku.

"Cikgu dah lewat petang ni, cikgu tak nak balik ke? Cikgu tak sayang kat baby cikgu?"

Sebenarnya dia mahu balik awal dan tidak mahu menyiapkan latihan. Aku ketika itu baru beberapa hari mendapat anak sulung. Aku menjawab. "Kamu pun anak cikgu". Dia tersipu malu dan kembali membuat latihan.

Di ketika lain seorang pelajar datang berkata "Cikgu, saya dari dulu lagi fail Fizik, cikgu tak berputus asa ke dengan saya?" Aku menganggap kalian ibarat anak sendiri. Bagaimana seorang ayah mampu berputus asa dari berusaha untuk melihat anaknya berjaya?

Sesiapa yang menjadi guru matematik tambahan, ayat yang anda akan sentiasa dengar dari para pelajar adalah "Cikgu, saya nak drop addmath" Tugas guru bukan hanya perlu mengajar, guru juga perlu memberi motivasi kepada anak-anak didik agar berjiwa kental dan berani menyahut cabaran. Tidak kalah sebelum berjuang. Andai ada peluang, aku ingin menjadi pendidik lagi.

Jumaat, 29 Januari 2016

Tumbuhlah tinggi mencapai angkasa



Masih segar dalam ingatanku saat kawanan burung terbang selepas subuh
Embun pagi masih basah dan mentari juga belum tumbuh
Ku gagahkan diri pada awal waktu merentasi sempadan negeri yang jauh
Ku rintis pagi agar dapat bersama anak-anak ku bersama melentur buluh

Hari-hari kita lalui bersama mengembara ke muara ilmu
Aku gembira saat melihat anak-anak ku petah membaca wahyu
Aku mahu menyiapkan kalian untuk mentadbir dunia yang kian buntu
Agar kalian mampu menjadi generasi cemerlang yang baru

Jika keras bicaraku padamu saat kita besama dalam perahu ilmu
Bukanlah membekas kan luka menjadi nawaitu
Cuma mahu melihat anak-anak ku pantas tidak keliru
Agar tidak tersesat dalam perjalanan jauh menuju alam yang baru

Aku ingin kalian tumbuh besar menjulang tinggi ke angkasa waktu
Biar pucuk naik tinggi hingga ke persada langit biru
Aku ingin kalian terbang bebas laksana sang helang sedang memburu
Dengan sayap keimanan dan ilmu menjadi pemandu

Jangan kalian anak-anak ku hanyut dengan arus longkang dunia
Pegang eratlah tangan - tangan sesamamu merentas remaja
Ketahuilah bukan kata manusia yang membuatkan kau mulia
Tetapi tangismu di tikar sujud yang akan membantu kalian di sana

Hari-hari yang kita lalui kini harus ku simpan di dalam kotak memori
Berat hatiku untuk meninggalkan kalian anak-anak ku sendiri
Seolah-olah usia tidak pernah cukup untuk di isi dengan ilmu dan bakti
Cinta ku masih tertinggal di dalam ruang ini seolah tidak mahu pergi

Aku merenung jauh melangkaui ufuk lapangan sawah jingga
Pergi ku meninggalkan kalian bukan kerana terluka
Bukan juga kerana benci dan tidak cinta pada anak-anak semua
Masakan aku lupa pada kalian barisan pewaris agama

Tanganku akan sentiasa menadah doa kepada kalian anak-anak ku tercinta
Tumbuh lah tanpa ragu dengan penuh semangat dan ilmu bercahaya
Moga satu hari nanti masa akan membawa kita kembali bertemu gembira
Sehingga waktu itu tiba ku pohon ampun atas semua dosa-dosa

Sekolah Menengah Agama Ibrah
Jumaat 29 Januari 2016.

Ahad, 24 Januari 2016

MATRI : Nasihat buat Guru & Apa yang tersisa setelah 9 tahun



"Kalau macam ini perangai kamu, ustaz yakin Allah tak akan bantu kamu masa peperiksaan" ujar seorang ustaz yang meletakkan semula tangan nya kebawah, tidak jadi mahu menampar mukaku. Ustaz yang berbadan gempal, berkaca mata, bibir tebal dan rambut tersikat rapat itu memandang wajahku dengan penuh kebencian. Aku masih ingat detik itu, ia sering berputar dalam ingatan ku, setiap kali ia bermain semula dalam kepala, aku tidak dapat menolak dari bertanya, "Siapakah ustaz ini yang boleh menentukan bantuan Allah kepada hamba-hambanya?".

Ya, aku akui zaman menduduki PMR bukan merupakan zaman terbaik ku. Aku masih terlalu muda untuk faham soal hidup, soal tarbiyah. Apatah lagi soal dakwah. Remaja muda yang masih mencari erti dan belajar dari kesilapan-kesilapan. Sesetengah guru tidak dapat menerima pelajar sebegini, suka memberontak, mereka di golongkan sebagai pelajar bermasalah.

Namun bukan semua guru memandangku dengan kebencian.

"Fathi mari sini sekejap, betul ke teacher dengar kamu ikut kawan-kawan keluar sekolah" soal arwah Teacher Basimah di kantin sekolah. Aku malu, tidak menjawab hanya tersengih.

"Kamu ni pelajar pandai, jangan kawan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah itu" nasihatnya lembut. Pandangan nya penuh kasih sayang, menyimbah api muda dalam diriku untuk memberontak.

Semasa di tingkatan tiga juga kami pernah bermain bola pada jam 3 pagi di dalam kelas. Seorang senior datang menegur "Wei ustaz datang, baik blah cepat". Kami ingat ia cuma gertakan kosong agar kami berhenti bermain. Rupa-rupanya warden benar-benar datang. Satu per satu dari kami mendapat hadiah. Aku mendapat satu tumbukan di muka. Bibirku pecah berdarah, seminggu rasanya baru aku dapat makan dengan normal semula tanpa ada kesakitan.

Malam itu kami didenda untuk membersihkan sekolah. Habis denda Ustaz membawa kami makan. Semasa di restoran masing-masing malu, diam membisu. Akhirnya ustaz yang order nasi goreng untuk kami. Malam itu, ustaz bercerita berkenaan hidupnya, tidak ada kata-kata yang menghina kami. Seolah-olah ustaz faham, kami sedang membesar, dan kesalahan adalah perkara biasa. Kami perlu didenda agar dapat membezakan kesalahan, bukan dihina atau di hilangkan penggantungan pada Allah. Kami perlu di tunjukkan jalan. Ustaz dan guru-guru yang seperti ini yang akhirnya menjadikan kami manusia.

Semasa tingkatan satu aku merupakan pelajar kegemaran Ustaz Abdul Hadi Osman, masih aku ingat Ustaz sering sahaja menegurku apabila jumpa di jalanan "Maza taf'alun?" , "Ila aina tazhabun?" . Ustaz senang dengan ku kerana aku antara pelajar tingkatan 1 yang baik bahasa arabnya. Aku juga senang dengan Ustaz, senyum ustaz sahaja kepadaku sudah buat aku gembira untuk 1 minggu.

Antara titik perubahan dalam diri ini adalah apabila Ustaz menegurku semasa tingkatan 3. Waktu itu aku baru dijatuhkan hukuman rotan di khalayak ramai. Cuma aku lebih bernasib baik dari teman lain dan tidak digantung sekolah. Selepas zohor Ustaz Hadi duduk disebelahku, bertanya khabar dan memberi nasihat kepada ku atas tindakan-tindakan salah ku. Dari nada nasihatnya aku sayu, aku sedar ustaz kecewa dengan ku, aku bukan lagi muridnya yang baik yang petah berbahasa Arab semasa di tingkatan satu. Aku bertanya kepada diri, sekarang aku sudah jadi siapa?

Memori-memori inilah yang masih segar dalam ingatanku setelah 9 tahun meninggalkan MATRI. Renungan kasih sayang arwah Teacher Basimah, kisah hidup Ustaz Mahadzir di restoran pada larut malam, permandangan Ustaz Hadi bersimpuh di sebelahku selepas Solat Zohor di musolla dan kasih sayang guru-guru lain, perkara inilah yang sentiasa menjadi pencorak hidupku. Ketika aku mula tersasar meninggalkan tarbiyah dan dakwah, mereka datang semula dalam bentuk memori menasihatiku. Aku sudah tidak ingat topik 2 subjek Geografi tingkatan 3 ataupun sajak bahasa inggeris dalam buku antologi tingkatan 1, tetapi sentuhan dan didikan mereka berbekas pada diriku. Nasihat mereka segar dalam ingatan.

Oleh itu, sekiranya anda kini bergelar guru ketahuilah. Bukan helaian-helaian buku teks itu nanti yang akan di ingati oleh anak didik anda dalam kehidupan mereka. Itu hanya akan menjadi ilmu akal sahaja. Sebaliknya kasih sayang dan nasihat akan mereka bawa seumur hidup mereka. Jangan pernah sekali melihat pelajar dengan kebencian. Sebesar mana pun kesalahan mereka jangan putuskan pergantungan mereka dengan Allah. Sebaliknya balaslah kesalahan itu dengan hukuman yang berbentuk kasih sayang. Agar mereka sedar mereka salah, dalam masa yang sama mereka merasakan diri mereka di sayangi.

Pelajar bermasalah hari ini mungkin doktor 10 tahun lagi, mereka mungkin menjadi Ustaz dan guru, mereka akan menjadi ibu dan bapa. Seharusnya guru melihat mereka dengan masa depan yang jauh, usia remaja penuh masalah hanyalah episod kecil dalam kehidupan mereka, episod yang bakal berlalu. 

Masa persekolahan adalah masa yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Masa itu akan sentiasa dikenang bahkan digenang dengan air mata. Maka isilah masa itu dengan nasihat dan kasih sayang. Jangan berputus asa dengan mereka. Nasihat kita mungkin tidak terkesan pada masa itu, ia mungkin akan memberi kesan 10 tahun lagi apabila dia sudah mula matang. Bersabarlah.

Sembilan tahun terasa sangat jauh. Andai ada kereta api masa, sungguh aku mahu berpatah balik kesana, merasai segalanya semula, meski hanya sesaat sahaja. Sungguh aku rindu.

Khamis, 25 Julai 2013

Buat adik-adik ku di St Petersburg




Alhamdulillah segala puji bagi Allah , setelah empat tahun kini berakhir sudah pengajianku di bumi tarbiyah St. Petersburg ini. Tidak keterlaluan jika aku katakan antara anugerah  yang paling bermakna bagiku sepanjang tahun pengajianku disini adalah adik-adik junior yang sentiasa aku sayangi. Ku titipkan tulisan ini buat kalian sebagai tanda kasih sayang dan sebagai ucapan perpisahan.

Adik-adik ku yang aku sayangi , jadilah insan yang berguna untuk manusia lain. Hidup ini akan terasa singkat sekiranya kita hidup hanya untuk diri sendiri. Dunia ini telah dipenuhi dengan manusia yang tamak dan hanya mementingkan diri. Apa yang sangat diperlukan pada saat ini adalah manusia yang ikhlas , beriman dan sanggup berkorban untuk orang lain. 

Penyakit sekularisma , hedonisma , materialisma dan individualisma telah melumpuhkan ummat ini. Ummat Islam yang dahulunya kuat kini kehilangan identiti , dihina dan dipijak. Maka tidak ada jalan lain bagi mengubati keadaan ini selain dari membangunkan semula generasi mudanya. Kalianlah generasi yang bakal mengembalikan kegemilangan ummat ini. Maka binalah diri kalian , rakan-rakan kalian dan adik-adik yang bersama kalian. Persiapkanlah diri dengan keimanan , ilmu , dan kefahaman. Usahlah disibukkan hari-hari kalian dengan perkara-perkara kecil yang tidak memberi manfaat. Bangun dan berkerjalah!

Sentiasalah bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Jadi lah insan yang sentiasa dahagakan ilmu. Janganlah dihabiskan malam-malam kalian bermain dan menonton perkara yang tidak berfaedah yang menyebabkan kalian lesu untuk bangun ke kelas. Kuasai lah setiap mata pelajaran tidak kira Sosiologi, Fizkultura, Matematik, Teormekh, Sapromat dan lain-lain. Tiada subjek yang tidak penting!

Lihatlah bagaimana generasi Islam sebelum kita membina ketamadunan dengan ilmu. Tidakkah kita berasa malu bahawa generasi Islam kita hari ini merupakan generasi yang ketinggalan dalam bidang keilmuan?  Mari lah kita bersama-sama memikul tugas ini. Ummat ini tidak memerlukan insan-insan yang malas belajar, yang akhirnya memburukkan lagi imej Islam. Berubah lah, mari menjadi bangsa yang kaya dengan ilmu. Ya, menuntut ilmu bukan satu tugas mudah, hayatilah pesan Imam Syafi’e :

“Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menangung peritnya kebodohan”

Adik-adikku yang sangat aku cintai, dekatkan lah diri kalian dengan Al-Qur’an. Hidupkan hari-hari kalian dengan tilawah. Bacalah terjemahannya setiap hari atau secara mingguan. Berusahalah melancarkan bacaan. Sekiranya kalian mengatakan kalian tidak punya masa mempelajari Al-Qur’an, maka aku dan kalian serba tahu itu tidak benar, kerana kita di SMTU mempunyai masa yang berlebihan. Adalah tidak logik jika kita mampu menonton siri-siri drama dan filem hampir dua jam sehari dan tiada masa untuk membaca sehelai dua Al-Qur’an yang hanya mengambil masa 10 minit!

Ingatlah pesanan kekasih kita yang sangat kita cintai, Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya" (HR Muslim)

Maka oleh itu, marilah kita berpegang dengan Al-Qur’an. Ketahuilah Al-Qur’an bukan diturunkan untuk digantung ayatnya di dinding-dinding, bukan juga tujuan di turunkan Al-Qur’an untuk dibacakan kepada air kemudian diminum. Bukan juga untuk dilagukan dan dipertandingkan sahaja. Tetapi ALLAH menurunkan nya untuk kita fahami dan amalkan dalam kehidupan kita, seperti dalam firman nya Surah Al-Baqarah ayat 185:

“Dia menurunkan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan, sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan kepada petunjuk itu dan pembeza antara yang haq dan batil” 

Hayatilah kehidupan para sahabat yang mengamalkan Al-Qur’an dalam hidup mereka. Mereka menjadi satu generasi yang unik, Al-Qur’an mengubah mereka menjadi insan-insan yang sangat dikagumi dalam sejarah peradaban manusia. Itulah formula nya jika kita hendak membangunkan semula generasi ini. Kita perlu menghidupkan Al-Qur’an dalam hidup kita.

Khas buat adik-adikku yang perempuan, sungguh aku berbangga dengan kalian yang terus istiqamah mengenakan hijab dan menjaga kehormatan walaupun berada di negara sekular ini. Kalian menonjolkan Islam tanpa perlu berbicara dan berkata-kata. Oleh kerana kalian berbeza dan berada dalam masyarakat yang tidak memahami tuntutan Islam, sentiasa lah menjaga diri. Elakkan diri berjalan berseorangan walaupun mungkin ke tempat yang dekat dan elakkan melalui jalan yang sunyi. Semoga Allah juga yang menganjari segala amal baik kalian dan sentiasa melindungi kalian.

Adik-adikku ketahuilah bahawa hidup ini adalah satu persinggahan. Kita akan meninggalkan nya satu hari nanti sama ada kita mahu atau tidak. Oleh itu berbekal lah secukupnya. Kejarlah dunia kalian namun jangan dilupakan akhirat. Kejarlah harta kekayaan, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi miskin. Kejarlah pangkat dan kedudukan, Islam tidak menyuruh penganutnya hanya menjadi khadam dan budak suruhan. Kejarlah ijazah dan ilmu, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi bodoh. Namun ingatlah bahawa dunia ini bukan matlamat, ianya hanya alat bantuan agar kita sampai ke destinasi akhir kita dengan selamat.

“Dunia adalah tempat kesenangan yang sementara, sedangkan kampung akhirat adalah tempat kesenangan dan kebahagiaan yang kekal” (Surah Ankabut : 64 )

Di kesempatan ini juga aku ingin memohon maaf atas segala kekurangan ku sepanjang 3 tahun , 2 tahun , 1 tahun dan 1 bulan kita bersama. Aku memohon maaf andai ada berbahasa kasar atau ada membuat lawak-lawak hambar yang mengguris hati . Aku sangat mengharapkan sekiranya ada kebaikan yang aku lakukan kalian dapat mencontohinya, agar aku dapat berkongsi pahalanya dan sekiranya ada keburukan yang aku lakukan kalian dapat memaafkan ku dan meninggalkannya, agar aku tidak mewarisi dosanya.

Terima kasih atas semua memori bersama. Aku akan merindui futsal bersama, main bola petang-petang, pergi gym,  usrah-usrah kita, shoping di galeriya, snowboard di ohta park, BBQ, sambut birthday bersama, tengok bola bersama. Aku akan merindui kalian. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Ia sangat menyentuh hati dan aku menghargainya. Jazakallah. Moga Allah pertemukan kita lagi. Selamat tinggal.

Abangmu dalam Islam,
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Saint Petersburg 16 Ramadhan 1434H.

Ahad, 23 Ogos 2009

MATRI menggamit Memori

Beribu batu. Mungkin. Sudah lama rasanya aku meninggalkan alam persekolahan. Tetapi imej-imej saat-saat kita bersama masih berputar-putar di mindaku setiap hari. Tempat-tempat di Perlis menjadi saksi di mana kita pernah melakar ukhuwwah ini. Ah..indahnya waktu itu.


Waktu di sekolah rasanya bosan. Rutin yang sama. Kelas . Asrama. Dewan makan. Semuanya di dalam sempadan persekolahan. Bila dah habis sekolah? Baru rasa rindu saat bosan dahulu. Masa-masa bersama merangkak melihat dunia.





Paling best mestilah waktu off class. Masa kita berjalan-jalan. Banyak juga tempat yang kita pergi bersama-sama. Bukit jerneh. Padang besar. Pulau Pinang. Gua kelam. Makan Char Kuey Teow sekali sekala.Keluar tengok bola. Main futsal bersama. Huh..sume aktiviti menarik kita.




Kat MATRI kawat memang kita akan sentiasa ingat. Bermula dengan syabab. KRS. Bomba. Pbsm. Lawan je mesti pegi kem Timah Tasoh. Tapi aku pernah join Krs dan Bomba je.Seingatku kem bomba paling menarik. Ingat Bomba mesti ingat ALBO ngan Cikgu Mi. Sebab dulu Cikgu Mi ada belanja aku Mee Goreng.Hehe.





Dalam banyak-banyak tahun. Paling memorable mestilah waktu form 3. Orang kata waktu form 3 ni la budak-budak nak cuba benda baru.Kira ni zaman nakal-nakal. Zaman cikgu pening kepala. Tahun ni aku kenal Anas Norkefli. Walaupun sekolah sekali bape bulan je. Tapi aku ngan dia cepat betul rapat. Sampai sekarang tak boleh lupa. Semoga ALLAH merahmati dan melindungi dia kerana aku sayang sangat sahabat aku sorang ni.



Lepas SPM rasanya paling sedih. Haha. Waktu ni dah bebas la. Rasa 1 beban atas kepala dah hilang. Sedihnya waktu berpisah. Aku ingat waktu tu naik kereta api. Ramai juga. Waktu aku di tingkatan 4 kawan baik Rijaluddin. Pastu ngan Abu Asri dan Muzakkir. Kitorang geng makan talam sekali. Main bola lewat-lewat sekali.



Waktu aku mula-mula masuk MATRI dulu. Seingat aku. Najmi Abd. Rahim dengan Afifi la yang rajin sakat aku. Adik angkat lah. Abang angkat lah. Itu lah ini lah. Panjang jugak sejarah aku ngan dua orang ni. Gaduh. Baik balik. Tapi last-last inilah antara kawan-kawan rapat aku.



Antara aktiviti lain kita mestilah naik bukit tunjung.Hilmi Azhari antara yang paling semangat ngan Umar Muhajir.Geng2 perlis. Dari form 1 sampai form 5. Bukit belakang sekolah jadi tempat rekreasi. Kat atas bukit . Berehat diatas tilam. Tulis nama kat dinding gua. Letak bendera kain di puncak. Tulis impian. Ingat lagi dulu kat atas pokok , waktu Form 3 aku ukir “Fathi 9A”. Waktu form 4 naik balik gelak sorang-sorang. Sebab tak dapat 9A. Tapi tetap bersyukur.



Form 1 dan Form 2 seingat aku. Faiz Mutalib , Hamiriza Shah ngan Muiz Sabri antara insan-insan yang selalu menemani aku di masa lapang. Best betul ngan diorang. Dulu kami makan pun satu talam. Ingat lagi dulu Muiz bagi baju. Souvinier dari Sarawak.



Abang Anas antara orang yang paling banyak tolong kat MATRI dulu. Sekarang ni nak kawin dah dengan Kak Yanti.Hehe. Tahniah diucapkan. Baik orang nye. Kenal dari form 1 lagi. Dulu dia kurus lepas tu jadi gemuk. Sekarang dah stabil skit kut. Lepas kahwin tak tau la. Dulu waktu gi USM Open dia la tolong bawak kami. Tapi kalau main bola dia selalu kene ‘ole’. Hehe.




Ramai lagi rasanya sahabat-sahabat kat MATRI tak muat nak tulis sume. Tapi ada lagi sorang ni. Aku kenal dari form 1 jugak. Waktu Form 1 kut dulu kami pernah gaduh. Dekat setahun tak tegur. Lepas tu baik balik. Kat kem bomba pun gaduh lagi, Ingat lagi waktu tu malam , gaduh pasal gilap ‘boot’ kawat kaki. Persoalannya siapa? Jawapannya.



Kawan-kawanku dulu seingatku suka datang melawat KL. Singgah di rumah ku. Aku agak gembira juga kadang2 menerima kunjungan mereka.Tapi KL pergi dah bosan balik-balik pegi tempat sama. KLCC. Times Square. Lowyat. Mid Valley. Main bowling.



Ini pula adik Rijal. Amin dan Faiz. Gambar waktu tidur umah Rijal dulu di Putrajaya. Anak-anak Imam Besar Putrajaya Ustaz Manaf. Rasanya dua orang kanak-kanak riang ni dah besar sekarang.



Ahli halaqat waktu Form 5 paling best. Waktu bersama Abang Hairey. Mas’ul merangkap coach team bola sepak. Halaqat kami rajin main futsal.Dan rajin makan capati di Beseri. Terima kasih Abang Hairey Hamzah sebab belanja makan dan memberi pengisian rohaniah.




Kalau nak cakap pasal sukan. Sebenarnya aku minat main takraw dulu. Sejak Form 3 wakil sekolah main takraw. Pengalaman yang tak dapat dilupakan. Orang yang mula-mula ajar aku main takraw dulu Abang Zubir a.k.a Along. Sampai form 5 wakil sekolah tak pernah menang pun.Hehe.



Tapi tengah-tengah sejarah sukan tu. Waktu form 4 aku di ajak main untuk Sekolah. Main tak la terer mana pun. Waktu main Under-16 jadi pertahanan ingat lagi. Waktu carnival berapa kali bolos. Kecewa.Huhu. Waktu main Under-18 jadi winger. Menarik sket la.



Kat Perlis MATRI antara sekolah yang aktif juga pasukan Hoki. Walaupun aku tak wakil sekolah tapi rajin jadi penyokong pasukan sekolah. MATRI pernah beberapa kali johan MSSPs. Antaranya waktu aku Form 5. Team Hoki Matri juga ada join Malaysia Hockey League (MHL). Dulu dikenali sebagai JHL (Junior Hockey League). Antara Teman karibku yang main hoki Naqiuddin Adam (Kapten Sekolah) , Hilmi Razak (Keeper Sekolah) dan Izzat Ibrahim (Forward).




Yang paling penting antara semua memori ini. Di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah , Perlis inilah aku mula mengenal siapa diriku. Aku di Tarbiyah dengan didikan Islam. Aku mengenal agama dan tanggungjawabku kepada pencipta. Dan Bersyukur kepada ALLAH dengan usaha didikan guru-guru di sekolah dahulu aku menjadi siapa aku pada hari ini.