Kita sudah memasuki tahun 2020, rasanya lawak tentang khwin dua ini sudah boleh
kita tinggalkan sebagai sejarah sahaja. Biarlah generasi baharu ini hidup dengan lawak-lawak baru yang lebih membina.
Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan seorang teman, kami sudah berteman
agak lama sejak zaman idealis era mahasiswa dahulu lagi. Kawan lama biasanya
tiada hijab apabila berjenaka dan bersembang, buatlah lawak apa pun, dua-dua tak akan terasa hati. Tapi bila dia
keluarkan lawak kahwin dua, entah kenapa saya tak boleh terima ia sebagai lawak,
sikit pun tidak ada rasa untuk gelak.
Pertama, kita sahaja kenal isteri kita sebagai isteri.
Pengorbanan yang dia lakukan untuk kita, baik dalam urusan membesar dan menjaga
anak-anak, hinggalah urusan menjaga serba-serbi keluarga. Saya tak dapat
bayang, walaupun se-saat saya boleh khianati pengorbanan yang isteri saya dah
lakukan sepanjang kami bersama, walaupun kami baru berkahwin selama 5 tahun.
Kedua, saya katakan padanya, ada seribu satu perkara yang
saya hendak lakukan dalam hidup ini, adakah yang difikirkannya hanya perempuan?
Kemana hilang idealisme dan retorik-retorik kita selama ini. Saya sendiri
secara peribadi banyak cita-cita peribadi yang belum tertunai, seperti ingin
menjadi pelukis, ingin membuka rumah anak yatim, ingin duduk di kampung
mengajar anak orang asli, ingin belanja pengemis di tepi jalan makan nasi ayam
sambil bersembang pasal falsafah kehidupan, ingin temuramah nenek di kampung
dan menulis sejarah keluarga dan migrasi Kaum Banjar ke Perak, dan seribu satu
lagi cita-cita. Sedikit kecewa jika idealisme mudah sahaja padam, dengan
lawak-lawak kahwin dua.
Ketiga, kenapa saya tak rasa lawak kahwin dua ini lawak,
kerana saya sudah banyak melihat sendiri kesan kawin dua ini dalam merosakkan
keluarga, kesannya pada anak-anak yang ditinggalkan dan diabaikan ayah mereka.
Lawakkah? Dan perkara ini berlaku pada kawan-kawan saya disekeliling saya, ia
sangat mengguris hati, tiada secebis lawak sedikit pun.
Saya tetap mengiktiraf poligami dalam Islam. Kerana bagi
saya ia adalah solusi yang diperuntukkan Islam dalam membela isteri yang
kematian suami, juga jika dalam keadaan sosial dimana populasi perempuan
melebihi lelaki. Islam meletakkan poligami sebagai instrumen mengangkat darjat
wanita, mereka mempunyai kedudukan sebagai isteri dan boleh mewarisi harta,
bukan sebagai perempuan simpanan yang tiada apa-apa obligasi dari sudut
perundangan dan warisan. Namun ia perlu diletak pada kadar dan keperluannya,
dan semestinya kadar itu bukan suatu lawak atau bahan jenaka.