Ahad, 6 Disember 2020
Catatan Baitul Muslim 39: Surat-Surat Bergaduh Dengan Isteri
Khamis, 3 Disember 2020
Usah Tewas Pada Sayap Dan Pucuk Itu
Malam itu aku bercakap,
Kemudian nota ku tulis perihal
rangkap,
Anak-anak kecil dari tawa sudah
hanyut,
Diulit mimpi di malam larut.
Pagi itu berat mataku,
Mungkin semalam sudah menyedut
daku,
Dengan segala tenaga yang mampu.
Saat pulang mengantar kecil permata,
Ke asuhan mengumpul ilmu dan
tinta,
Ku terpandang semangat burung
kuning,
Yang terapung diatas kening.
Begitu tangkas dengan semangat
tegap,
Keluar mengayuh sayap,
Mungkin itu hantaran Tuhan,
Untuk mengubat mata kuyu
keletihan.
Tiba di rumah aku melihat
tersergam,
Timbunan tanah hitam semalam,
Pagi itu tumbuh pucuk baru
dicelah,
Dikambus tetap tidak mahu
mengalah,
Tiada timbunan yang mampu
memenjarai,
Pucuk hijau mencium mentari.
Ku bisik pada hati,
Ayuh, kini giliran mu,
Usah tewas pada sayap dan pucuk
itu!
Isnin, 30 November 2020
Nota Dari Perkongsian di Al-Aqsa Book Review
Alhamdulillah, baru-baru ini diberi kesempatan untuk berganding dengan adinda tersayang, Syed Zulfaqar dalam slot perbincangan buku-buku Palestin di Al-Aqsa Book Review: Ulat atau Ulas? Ini adalah nota dari penyampaian saya, yang ditulis andai ada peserta yang mahu merujuk tentang bahan-bahan yang saya sentuh.
Apakah
sebenarnya yang diperlukan untuk melayakkan seseorang membuat ulasan buku?
Bagi
saya secara teknikalnya, ada dua syarat utama seseorang itu layak membuat
ulasan buku. Syarat yang pertama adalah seseorang itu boleh membaca, jika dia
pernah belajar membaca di tadika atau sekolah, maka, dia sudah memenuhi syarat ini.
Yang kedua dia pandai menulis, menulis hari ini tidak memerlukan kita untuk
pegang pen atau pensil, tetapi lebih kepada menaip, jadi jika sesorang itu
boleh menaip dia sudah cukup syarat kedua.
Ulasan
buku ini dia ada pelbagai jenis. Yang pertama kita tulis pandangan kita membaca
buku tersebut, contohnya sesuatu buku itu mudah dibaca, atau buku tersebut
terlalu berulang-ulang isinya, atau kita rasa buku itu membosankan, ini bagi
saya level pertama ulasan buku. Yang kedua, kita tulis semula isi-isi utama
sesuatu buku, ini lebih berbentuk diskriptif, kita faham isi penting buku, dan
kita ulas semula menggunakan ayat dan gaya tulis kita. Yang ketiga adalah
komparatif, yang ini mungkin level tinggi sedikit, kita bandingkan buku yang
kita baca dengan idea atau pandangan penulis lain. Yang ke-empat adalah kritik
buku, yang ini bukan sahaja kita ulas semula atau buat perbandingan, tapi kita
kritik isinya, yang ini mungkin memerlukan sedikit ilmu perihal subjek yang
kita nak kritik.
Pandangan
perihal suasana membaca dikalangan masyarakat
Suasana
membaca dalam masyarakat saya lihat positif, terutamanya anak-anak muda yang
banyak membaca buku-buku yang dianggap berat satu ketika dahulu. Dahulu ada
yang meramalkan bahawa buku fizikal akan mati diganti dengan e-book, namun
nampaknya ramalan tersebut tidak benar.
Buku-buku
tentang konflik Palestin yang pernah dibaca
Buku
yang betul-betul berkenaan dengan Palestin yang pernah saya baca rasanya 4
buah. Yang pertama sekali adalah The Holocaust Industry tulisan sejarawan Yahudi,
Norman G. Finkelstein yang saya baca pada tahun 2015, ia adalah jawapan Prof.
Finkelstein untuk propaganda Israel yang mengaitkan orang Arab dengan Nazi sebagai
justifikasi kepada dunia untuk menjajah Palestin. Kedua juga adalah pengarang
yang sama, bertajuk Beyond Chutzpah (dibaca pada tahun 2017) dimana Prof. Finkelstein
menjawab serangan Israel kepada pengkritiknya yang dilabel anti-semitism,
beliau juga menjawab penipuan apologis Israel Alan Dershowitz, Finkelstein
mengkritik buku Dershowitz, The Case for Israel sebagai “spectacular academic
frauds ever published”. Tahun 2018, saya membaca buku The Ethnic Cleansing of Palestine yang juga ditulis oleh sejarawan Yahudi, namanya Ilan Pappe,
beliau berhujah bahawa peristiwa 1948 bukan Nakba atau kemerdekaan Israel,
tetapi merupakan satu jenayah perang terancang. Buku ni memang menyedihkan, dan
saya memang menangis baca. Saya ada tulis sedikit berkenaan dengan buku ini
dalam posting “Village Files”. Boleh baca perancangan Zionis untuk menghalau
bangsa Palestin keluar. Walaupun mereka ini berbangsa Yahudi, mereka menentang
Zionis, ini kena kita bezakan, bukan semua Yahudi adalah Zionis. Banyak
persatuan Yahudi yang menentang Zionis, contohnya mazhab ortodoks seperti Neturei Karta, pergerakan Yahudi liberal seperti Jewish Voice for Peace, dan gerakan
muda progresif seperti IfNotNow. Buku yang ke-4 adalah tulisan Ang Swee Chai
bertajuk From Beirut to Jerusalem, yang ini pun sedih, setiap muka surat
sebaldi air mata, Dr. Ang adalah seorang Kristian Zionis lahir di Pulau Pinang, warga
Singapura dan menjadi pelarian dan surgeon di United Kingdom. Alhamdulillah
pernah berkesempatan berjumpa beliau pada Februari 2020 secara peribadi semasa UN konferens di Kuala Lumpur dan bertukar-tukar buku. Beliau menjadi aktivis Palestin
selepas menjadi doktor sukarela di kem pelarian Shabra & Shatilla, beliau
merupakan antara saksi Sabra Shatila Massacre dan testify dalam Kahan Comission
di Israel. Buku lain perihal Palestin seperti Power & Terror oleh Noam
Chomsky, yang mengkritik bantuan Amerika terhadap jenayah perang Israel.
Panduan
pemilihan buku dan cara menikmati pembacaan
Panduan
yang paling mudah memilih buku adalah baca ulasan perihal buku oleh orang lain.
Goodreads contohnya ada review section, kita boleh baca dua-dua side, ulasan
yang memuji dan ulasan yang mengeji. Tapi jangan 100% percaya review sebab
setiap orang berbeza kefahaman, perasaan, kesukaan dan lain-lain. Untuk merasai nikmat
baca buku jangan speedreading, bagi saya speedreading antara kaedah yang saya
paling tak suka. Saya suka baca perlahan-lahan, tanda idea yang menarik,
tuliskan sedikit nota bacaan, kongsi review, itu cara saya nikmati bacaan.
Apa
yang ingin dicari dalam sesebuah ulasan buku?
Ada
dua perkara biasa saya nak tengok dalam reviu buku, pertama apa idea-idea asas
buku itu ataupun yang dikatakan tema utama, yang kedua pandangan pembaca
perihal buku tersebut.
Pandangan
perihal buku tempatan
Secara
jujur saya tak meragui kebolehan penulis tempatan, walaupun baru-baru ini
timbul isu buku copy paste menang anugerah buku di Malaysia, saya lebih gemar
buku-buku yang ada unsur pengalaman peribadi contohnya memoir insiden serangan
ke atas kapal Mavi Marmara, tapi secara jujur saya belum pernah membacanya. Mungkin
ia diterbitkan sendiri atau penerbit kecil yang pasarannya tidak besar jadi tidak
sampai kepada saya. Namun jika ada cara saya akan cuba mendapatkannya.
Buku-buku mengenai sejarah Yahudi tempatan saya tak berapa minat, terutamanya
yang bercampur antara fakta dan konspirasi. Secara jujur saya belum pernah baca
buku tempatan perihal persoalan Palestin. Mungkin saya lebih minat baca hujahan
scholar luar kerana saya rasa isu ini isu global, dan bila kita berdebat
perihalnya kita kena mahir dalam argumen international, banyak fakta konspirasi
tak boleh guna bila kita argue dengan orang luar.
Kualiti
buku sama ada recomended atau tidak bagi saya, saya kena baca dahulu, baru saya boleh bari
tahu dengan yakin sama ada ia bagus atau tidak. Tetapi rujuk review juga salah
satu cara kita nak tahu buku tersebut bagus atau tidak, sebab itu penting kita
tulis review.
Saya
faham, kadangkala kita tak nak bazirkan masa untuk baca buku yang tak bagus,
sebab itu kita perlu pandangan orang lain, reviu sebagai contoh. Tapi
sebenarnya membaca buku yang tak baik atau yang tak bagus itu juga sebenarnya
baik, dari situ kita belajar dari pengalaman, kita ada pengalaman baca buku
yang tak menarik, itu berharga. Pengalaman dalam pembacaan tak bermaksud kita
baca buku yang bagus sahaja. Saya secara peribadi pernah beli buku yang ditulis
pensyarah tempatan, buku itu sangat teruk, dalam buku itu tiba-tiba ada ayat (masukkan
hadis ibadat / contoh), menunjukkan ia adalah kerja yang diberi kepada
pelajarnya, tidak diedit dan dibuang. Itu adalah pengalaman pembacaan, jika
kita tak jumpa yang buruk kita tak tahu apa yang baik. Walaupun buku itu teruk,
ia tetap menjadi pengalaman yang berharga buat kita. Kita boleh cerita, cerita
kita lebih menarik, ada baik dan buruk.
Buku yang perlu dielakkan adalah buku-buku propaganda dah disahkan tidak benar oleh pengkaji dan ahli akademik, contohnya buku Alan Dershowitz tadi, seperti buku The Painted Bird tulisan Jerzy Koskinski, juga contohnya buku Fragments tulisan Binjamin Wilkomirski, ditulis dan dipopularkan walaupun tidak sahih. Wilkomirski ini menulis tentang pengalamannya semasa di kem Nazi akhirnya terbukti bahawa dia bukanlah seorang Yahudi malah semasa peperangan dia berada di Switzerland sepanjang masa!
Harapan
saya sebagai konklusi
Saya
harap lebih ramai lagi orang yang menulis ulasan buku, kita suburkan budaya
membaca, mengkritik teks. Nasihat saya untuk mulakan ulasan, bila baca buku,
sampai di tempat yang menarik atau idea yang bagus, berhenti tulis sedikit
nota, kemudian sambung balik baca, jumpa berhenti lagi tulis. Jangan tunggu
habis baca baru tulis. Kemudian akhirnya kumpul semula nota-nota itu jadikan
satu review. Bila dah banyak review, kumpulkan pula untuk jadikan sebuah buku.
Ulasan buku ini penting, ia gedung kefahaman bacaan kita, persediaan talk ini
sendiri saya rujuk kembali pada review-review lama saya.
Ahad, 29 November 2020
Kultura Podcast #8 : Review Goodreads Tahun 2020
Baru-baru ini sempat bersiaran bersama saudara Mel Van Dyk dalam podcast beliau, Kultura Podcast dalam episod ke-8 dengan tajuk Goodreads: Year End Review untuk bersembang perihal pembacaan. Tajuk tersebut memang secara peribadinya dekat dengan hati saya. Tahun ini saya memang target membaca dalam 10 buah buku sahaja, namun ketika podcast itu dirakamkan, saya telah membaca 14 buah buku untuk tahun 2020, dan ada 3 buah buku yang masih dalam pembacaan. Buku yang saya baca juga kebanyakannya non-fiksyen, perlu dibaca perlahan-lahan, difikirkan dan dinotakan.
Corak
pembacaan saya juga sebenarnya tidaklah terancang secara rigid, saya tidak
punya senarai buku apa yang saya hendak baca pada tahun tersebut, cuma yang
dirancang dan dipilih adalah buku yang hendak dibeli, selepas dibeli dan
disusun dalam rak, saya akan merenungnya saban hari, berfikir, dan memilihnya
secara rawak untuk dibaca.
Buku
pertama yang saya baca tahun ini adalah buku Port Agency oleh Institute of
Chartered Shipbrokers, buku ini saya baca kerana ia adalah silibus pengajian
professional saya. Buku ke-2 adalah buku tulisan Jamie Glowacki bertajuk Oh
Crap! I Have a Toddler: Tackling These Crazy Awesome Years—No Time-outs Needed,
buku ini berbeza dengan buku parenting lain. Buku ini lebih blunt dan praktikal.
Saya suka kesimpulannya, orang yang paling expert pasal anak anda adalah
anda sendiri. Buku ke-3 adalah satu-satunya novel yang saya baca pada tahun
ini, And the Mountains Echoed tulisan Khaled Hosseini, buku ini saya
kira tidak dapat menandingi dua novel Hosseini sebelum ini dari segi emosi yang
dibangkitkan atau tema besar yang dibawakan, ia lebih kepada konflik keluarga.
Buku
ke-4 adalah sebuah zine kecil NutMag Volume 4 yang bertemakan Transition
oleh MYWriters Penang, ia merupakan antologi cerpen, artikel, dan juga puisi,
ada yang menarik, ada juga penulisan yang tidak menarik didalamnya. Buku ke-5
adalah Sapiens: A Brief History of Humankind oleh Yuval Noah Harari ia
adalah cubaan beliau untuk memuatkan seluruh sejarah manusia dalam satu buku,
satu cubaan yang mustahil namun harus dipuji atas cubaannya. Namun saya tak
rasa ia sebuah buku saintifik tulen seperti yang dipasarkan sebagai popular
science kerana ia ada juga membincangkan persoalan falsafah, metafizik,
agama dan perkara-perkara non-emperikal.
Buku
ke-6 adalah Menolak Perintah tulisan Iltizam Iman tulisan anak jati
Johor. Saya meminati perbahasan-perbahasan beliau perihal pendidikan dan home-schooling,
juga aktivisma mempertahankan Bukit Payong dari projek tempat pembuangan sisa
kerana menjejaskan kehidupan penduduk juga disebabkan lokasi tersebut yang
mempunyai tinggalan warisan sejarah yang belum habis dikaji. Buku ke-7 adalah Kept
in Ink tulisan Francis Wolf, buku ini saya kira kreatif kerana bukan sahaja
merakamkan pengalaman berkelana di Thailand, tetapi juga memuatkan
lukisan-lukisan tangan beliau disana.
Buku
ke-8 adalah One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment
tulisan Mei Fong. Saya minat kritikan-kritikan Mei Fong terhadap polisi ini,
namun kadang kala saya merasakan beliau begitu antagonistik terhadap China,
mungkin kerana latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau. Buku ke-9 adalah
buku yang diharamkan KDN, Antithesis tulisan Benz Ali. Bagi saya, banyak
kritikan-kritikan Benz terhadap institusi Islam mempunyai merit, cuma mungkin
bahasanya sedikit ganas menyebabkan ia diharamkan. Buku ke-10 adalah The End
of History and The Last Man oleh Francis Fukuyama, walaupun ada perkara
yang saya tidak setuju dengan perbahasan Fukuyama, tetapi perbahasan-perbahasan
beliau perihal falsafah sains politik sangat membuatkan ia sebagai pembacaan
yang sangat kaya.
Empat
buku lain yang sempat saya baca tahun ini juga adalah Meruntuhkan Mitos
Superman oleh Benz Ali, Educated sebuah memoir oleh Tara Westover,
zine Dari Johor oleh Kolektif Naratif dan akhir sekali buku Propaganda
Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945) tulisan Dr. Saiful Akram Che
Cob. Ada juga tiga buku lain yang saya masih baca pada tahun ini, jika tidak
sempat dihabiskan akan masuk ke senarai bacaan tahun hadapan.
Manakala
dalam senarai Mel Van Dyk adalah buku House of Wisdom oleh Jonathan Lyons,
Letter to a Young Muslim oleh Omar Saif Ghobash, A Gentleman in
Moscow oleh Amor Towles, Into the Wild oleh Jon Krakauer, Sapiens
oleh Yuval Noah Harari, Fiqh Islam Mazhab Syafie oleh Sheikh Ahmad bin Hussain
Al-Isfahani dan Surat Buat Mufti Johor oleh Hamka.
Untuk
tahun depan saya ingin mendedikasikan pembacaan saya hanya pada satu buku iaitu
The Great War for Civilization: The Conquest of The Middle East oleh Robert
Fisk, sebuah buku besar setebal 1,136 mukasurat. Manakala Mel Van Dyk
merancang untuk membaca tiga buku iaitu The Fall of the Ottomans oleh
Eugene Rogan, Nothing to Envy: Ordinary Lives in North Korea oleh
Barbara Demick, dan yang terakhir adalah How to Think Like a Roman Emperor:
The Stoic Philosophy of Marcus Aurelius oleh Donald Robertson.
Podcast penuh boleh di dengari di Spotify, Google Podcast, dan iTunes.
Sabtu, 21 November 2020
L'Egypte Resplendit des Feux de Son Aurore
Petanda bagi menentukan sesuatu buku itu sangat menarik, pada hemat saya, salah satunya adalah kemampuannya menyebabkan pembaca terhenti, dan merasa terdesak untuk menuliskan apa yang dia dapati dari pembacaan. Inilah yang berlaku semasa saya menelaah buku hasil penelitian dan kajian Prof. Edward Said yang bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Selepas menuliskan pendahuluan, rasional kajian, sebab kajian, skop, juga huraian definisi. Said membedah sejarah permulaan Orientalis moden, iaitu ekspedisi Napoleon Bonaparte ke Mesir.
Isnin, 16 November 2020
Gerimis Malam: Mengapa Masih Disini?
Isnin, 9 November 2020
Menuju Lautan: Evolusi Pembacaan
Kehidupan ini kadangkala rasanya seperti sungai, pada mulanya laju, ada air terjun, kemudian semakin perlahan, mendatar, sehinggalah bertemu lautan, akhirnya larut, hilang. Membaca merupakan satu aspek kehidupan yang saya kira berevolusi sepanjang kehidupan saya. Saya masih ingat semasa sekolah rendah banyak dilaksanakan kempen-kempen membaca. Antara yang paling melekat adalah lagu "Membaca Gaya Wawasan", bila lihat semula video lagu tersebut di Youtube memang nostalgia, penyanyi-penyanyinya Siti Nurhaliza, Nazri Johani, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, semuanya masih muda-muda. Lagu ini selalu diputar di televisyen, sejauh mana ia mempengaruhi masyarakat saya tak pasti. Tapi bagi saya, sehingga kini masih ingat.
Saya mula membaca dengan membaca buku-buku fikrah Islam. Buku-buku Fathi Yakan, Syed Qutb, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Ramadhan Al-Buti kerana ia merupakan buku-buku yang dianjurkan untuk dibaca oleh ibu, ayah, guru, dan murobbi saya. Semasa saya habis sekolah, membuat pengajian persediaan saya meminjam buku dari seorang rakan dari Terengganu, beliau merupakan peminat Tuan Guru Nik Aziz, jadi dari beliau saya membaca buku 'Kemuncup Dalam Perjuangan' dan 'Insan Ingatlah! Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang'. Pada peringkat permulaan, pembacaan adalah satu instrumen spiritual pada saya, satu proses menguatkan ruhi dalam diri.
Saya hanya meneroka buku-buku selain buku fikrah Islam semasa pengajian pasca-siswazah saya di Johor (pengajian yang tidak dihabiskan). Saya masih ingat dalam kelas research methodology, pensyarah saya ada berbincang panjang lebar sebuah buku tulisan Thomas L. Friedman. Saya tertarik dan mula membacanya. Selepas saya tamat membaca buku tersebut, saya seolah-olah dirasuk. Seperti ada awakening dalam diri saya bahawa membaca begitu menyeronokkan, begitu mengubah cara saya melihat dunia, memahami bahawa dunia ini lebih luas dari apa yang saya imaginasikan. Saya kemudian membaca buku tulisan agen CIA, Graham Fuller bertajuk 'A World Without Islam' dan sejak itu saya membaca pelbagai jenis buku lagi. Bagi saya ketika itu, saya mahu membaca sebanyak mungkin buku sebelum mati.
Dari satu buku ke satu buku, saya baca semua, dari buku Mufti Perlis 'Aku Ingin Kembara Lagi' sehinggalah buku militant atheist Richard Dawkins 'The God Delusion' semuanya saya baca untuk memuaskan kehendak membaca dalam diri. Malah buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1231 mukasurat juga saya baca dari kulit ke kulit, buku ini pertama kalinya diperkenalkan oleh pensyarah ekonomi saya di Russia, V.I. Radchenko, dalam bahasa Rusia berjudul Bogatstva Norodov, saya mencari frasa "the invisible hand" yang disyarahkan oleh guru saya dahulu. Saya kemudian bertemu dengan buku-buku Noam Chomsky. Banyak bukunya yang saya baca termasuklah Power and Terror, Power System, Manufacturing Consent, saya begitu tertarik dengan pemikiran Chomsky perihal hegemoni Amerika dan American Exceptionalism, malah ketika saya tidak membaca pun saya akan dengar syarahan-syarahan beliau di Youtube. Hingga satu hari saya terdengar beliau membicarakan soal pembacaan, katanya "there is no use to read, but forget 5 minutes later". Kata-kata Chomsky ini begitu menusuk minda saya, ia mengubah paradigma saya tentang membaca. Buku Adam Smith contohnya, saya ingat dan faham akan bab-bab awal perihal division of labour, tetapi banyak bab-bab lain hilang tanpa ada sebarang ibrah dan pengajaran yang boleh diambil.
Selepas itu paradigma membaca saya berubah. Saya bukan lagi mahu membaca sebanyak mungkin buku. Tetapi saya membaca untuk faham. Saya bahagikan pembacaan kepada dua. Yang pertama adalah leisure reading, bacaan perihal cerita, memoir, novel yang boleh dibaca dengan mudah dan sekali lalu. Buku seperti Educated oleh Tara Westover dan The Translator oleh Daoud Hari adalah dalam kategori ini, ia boleh dibaca tanpa perlu banyak berfikir. Tetapi tetap saya akan tuliskan sedikit dapatan, apa yang saya dapat dari buku tersebut. Yang kedua adalah serious reading, buku-buku dalam kategori ini bukan sahaja saya baca, malah saya tanda, saya tuliskan nota, ulang baca, dan tuliskan nota yang panjang perihalnya. Saya lebih belajar darinya dari membaca tentangya. Bagi saya amalan ini lebih memuaskan hati, lebih bermanfaat untuk saya walaupun ia melambatkan pembacaan. Dari 20 buku setahun, kini mungkin saya membaca sekitar 10 buku setahun.
Kebelakangan ini saya tersedar akan sesuatu, saya kurang membaca buku-buku karya penulis tempatan. Entah kenapa saya lebih gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris, mungkin ada sifat penjajah Anglophile sedikit dalam diri. Bagi saya buku bahasa Inggeris seronok kerana ia membolehkan kita membaca idea-idea lain di dalam dunia yang tiada dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun kini saya bertatih, sedikit demi sedikit membaca buku tulisan anak tempatan, yang bagi saya tidak kurang hebatnya dengan karya antarabangsa.
Begitulah evolusi saya dalam membaca, mungkin ia akan berevolusi lagi saya tidak tahu. Tetapi dalam hati setiap hari saya merasakan saya semakin hampir dengan lautan. Kehidupan ini sememangnya sementara, saya bersyukur pada Allah, tuhan yang memberikan saya nikmat membaca, nikmat memahami. Terima kasih juga kepada guru-guru tadika dan sekolah saya kerana mengajar saya membaca, ibu yang dahulu sering membawa kami adik beradik ketika kecil ke Perpustakaan Negara, juga arwah ayah yang memberi buku-buku fikrah untuk saya baca. Sememangnya membaca merupakan nikmat, anugerah Tuhan sebelum tiada.
Sabtu, 7 November 2020
Swaterbit atau Self-publish
Saya ada menonton video Francis Wolf yang bertajuk Social Carbon Copy and Self Publishing. Francis juga merupakan penulis buku Kept in Ink yang pernah saya baca dan tulis sedikit reviu. Selepas mendengar kisah beliau, saya ingin mencoret sedikit kisah dan pandangan saya. Kebanyakan yang diperkatakan oleh Francis saya setuju.
Selalu juga saya mendapat soalan dari kenalan, sahabat, adik-adik, yang menulis buku, dimana hendak diterbitkan? Bagi saya terdapat banyak penerbit diluar sana. Jika manuskrip telah siap, boleh cuba nasib dengan menghantar kepada mana-mana penerbit. Tetapi jika sudah dihantar tetapi tidak diterima juga, apa yang perlu dilakukan?
Bagi saya, jawapannya adalah swaterbit atau dalam bahasa penjajah, self-publish. Industri buku di Malaysia sekarang memang sedang menghadapi krisis hidup-mati. Setiap hari akan ada berita kedai buku tutup cawangan, tutup kedai, dan bankrap. Penerbit juga sama, rugi, terpaksa jual buku secara lambak dan murah, dan banyak juga yang gulung tikar. Keadaan memang sudah teruk apabila program vaucher buku dihentikan. Apabila pandemik Covid-19 menyerang, ia menjadi satu pukulan maut untuk industri buku, kini talkin sudah boleh dibaca.
Jadi tidak hairan jika penerbit tidak mahu menerbitkan buku baru, kerana menerbitkan buku perlukan modal, dan dalam keadaan nazak sekarang mereka tidak pasti adakah modal itu boleh diterjemahkan kepada jualan. Tapi apa pun alasan penerbit untuk tidak menerbitkan buku anda, jangan bersedih. Kerana jika ada seorang yang mempercayai tulisan anda, ianya mestilah diri anda sendiri! Jika anda sendiri pun tidak percaya kepada karya anda, mengapa penerbit perlu percaya?
Jadi jika anda percaya akan karya anda, berikan karya anda peluang, terbitkan sendiri. Terbit sendiri tidak susah pada hari ini, anda boleh buka pre-order untuk kutip modal, dan boleh print digital pada skala kecil. Saya sendiri menerbitkan buku pada mulanya secara swaterbit. Cetak hanya 50 naskah, habis terjual dalam masa sebulan, kebanyakan yang beli adalah keluarga dan rakan-rakan. Kemudian saya cetak lagi 50 naskah untuk dijual sendiri di Pesta Buku Kuala Lumpur 2019 - habis. Kemudian saya cetak lagi 30 sebagai back-up jika ada yang masih order.
Beberapa ketika kemudian, buku tersebut mempunyai audiens tersendiri, kemudian ada penerbit yang sudi menerbitkan buku saya. Jadi jangan takut untuk mula menerbitkan karya anda sendiri, beri peluang untuk karya anda lahir ke dunia, anda tidak tahu mungkin ia boleh membesar dengan sendiri, namun jika anda tidak memberi karya anda peluang, ia tidak akan dapat dikenali dunia. Jadi nasihat saya terbit sendiri, jika anda konsisten, lama kelamaan karya anda akan dikenali, dan kemudian penerbit yang akan mencari anda.
Pilihanraya Amerika 2020: Trump Vs Biden
Sehingga artikel ini ditulis, pilihanraya presiden Amerika Syarikat masih belum menamatkan tirai, selepas 3 hari keputusan sama ada Donald Trump bakal kekal menjadi presiden bagi penggal ke-2 masih menjadi tanda tanya. Seperti ramalan penganalisis, pada peringkat awal, Trump dijangka mendahului, fenomena yang dipanggil The Red Mirage. Namun, apabila undi-undi pos dikira, calon Demokrat, Joe Biden mendahului Trump. Setakat artikel ini ditulis, Biden mendahului dengan 264 undi, manakala Trump dibelakang dengan 214 undi. Masing-masing memerlukan 270 undi untuk memenangi pertandingan ini.
Saya dahulu ikut dengan rapat juga politik Amerika Syarikat, tetapi selepas Bernie Sanders gugur sebagai calon presiden kerana tidak mendapat sokongan dari elit politik dalam Parti Demokrat, saya hilang minat. Dan saya tidak terkejut jika Trump menang, kerana bagi saya elit Demokrat sudah lost touch dengan grassroots voters. Bagi saya Biden tiada beza dengan Bill Clinton. Ya, Trump banyak buat kerosakan pada international order, tarik diri dari Iran Nuclear Deal, tarik diri dari Paris Climate Agreement, dan yang terbaru tarik diri dari WHO. Semakin lama dibawah Trump, semakin cepat US menjadi pariah state berbanding global leader. Tapi Amerika sudah pun lama menjadi pariah state di UN terutamanya dalam undi perihal isu Palestin.
Jika tanya saya, saya mahu Trump menang supaya lebih banyak kerosakan dilakukan, ia akan menjadi reality check kepada elit Demokrat bahawa meletakkan calon yang mengekalkan status quo dan tiada polisi progresif akan sentiasa gagal menangkap imaginasi rakyat.
Tetapi pilihanraya kali ini ada juga yang menggembirakan. Calon muslim seperti Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mempertahankan kerusi masing-masing. Selain itu banyak juga calon Muslim lain yang menang termasuklah Mauree Turner (Oklahoma), Iman Jodeh (Colorado), Madinah Wilson-Anton (Delaware), Nida Allam (Durham County Commissioner), Hoda Hasan (MN State Rep), Nafisa Fai (Washington County Commission), Nadia Hasan (Beaverton City Council).
Jumaat, 6 November 2020
Memperingati Robert Fisk
Buku Buku Robert Fisk perihal tragedi peperangan di Timur Tengah merupakan buku yang paling besar dan tebal di dalam rak buku saya. Buku yang bertajuk The Great War for Civilization ini mengalahkan ketebalan buku Trotsky perihal sejarah revolusi Russia. Buku beliau saya beli 2 tahun lepas, namun sehingga hari ini saya takut untuk membacanya kerana terlalu tebal, mungkin saya akan abadikan setahun pada tahun hadapan untuk membaca buku tersebut.
Ahad, 1 November 2020
Membaca Propaganda Visual Tulisan Saiful Akram Che Cob
Tajuk penuh buku: Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), 2018.
Jika ada yang mengatakan saya seorang anglophile dalam pembacaan, tidak banyak hujah yang dapat saya kedepankan untuk melawan tuduhan tersebut. Memang saya lebih banyak membaca buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa yang mendedahkan kita kepada banyak idea-idea dunia, bahan literasi, karya, yang belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun sejak kebelakangan ini saya mula membeli dan membaca naskah-naskah karya tempatan untuk menebus 'dosa' saya ini. Kebanyakannya naskah yang ditulis oleh penulis yang saya kenali dan punyai hubungan, baik hubungan persahabatan atau hubungan persahabatan virtual.
Kitab Propaganda Visual ini saya kira merupakan naskah akademik, namun tidak bermakna ia tidak boleh difahami oleh masyarakat awam, pada saya bahasanya mudah difahami, sekiranya ada terma asing, teknikal, atau jargon digunakan, ia akan disertakan dengan penjelasan perihal apa yang dimaksudkan. Bagi saya ini merupakan satu projek yang baik, kajian-kajian akademik perlu dibukukan untuk dihidangkan sebagai 'makanan' orang awam, barulah ia menjadi kajian yang bermanfaat untuk masyarakat. Sekiranya tesis-tesis ini hanya diperap dalam almari universiti, masyarakat awam mendapat manfaat yang sedikit. Namun saya sedar itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, ia perlukan modal, pemasaran, dan usaha untuk diketengahkan kepada 'mata-mata' awam. Oleh itu saya ucapkan tahniah pada penulis dan penerbit, naskah ini berjaya sampai ke tangan masyarakat.
Buku ini mengkaji lukisan, imej, foto, yang digunakan Jepun sebagai propaganda semasa pendudukannya di Malaya lewat Perang Dunia Kedua. Banyak juga fakta-fakta sejarah yang saya pelajari dari naskah ini, ia menyedarkan saya bertapa ceteknya pengetahuan saya perihal sejarah negara sendiri. Pendeta Za'ba misalnya merupakan propagandis Melayu bagi pihak Jepun, beliau memanfaatkan bakat menulis untuk menunjukkan sokongan terhadap "tuan baharu" Malaya. (xix) Fakta ini mungkin kedengaran ofensif pada kita yang biasanya disajikan dengan sejarah yang telah 'dibersihkan' perihal tokoh-tokoh kita dahulu. Untuk menjadi kritis kita perlu berani mendepani fakta, pandangan, perspektif yang membuatkan kita tidak selesa, jika tidak setuju, hujah balas perlu dinyatakan. Selain Za'ba banyak rupanya tokoh-tokoh lain yang menjadi propagandis Jepun, terutamanya dalam penulisan majalah Semangat Asia termasuklah Ishak bin Haji Muhammad (Isako/Pak Sako), Ibrahim Yaacob, Haji Abdul Malik bin Abdul Karim (HAMKA), dan juga Ir. Soekarno. (119)
Dalam pendahuluannya, Saiful Akram membawakan polemik gambar yang merupakan larangan dalam agama Islam seperti mana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Beliau membawakan pandangan tokoh pemikir Syed Syeikh Al-Hadi dalam akhbar Al-Ikhwan pada 1929 yang berhujah bahawa visual mempunyai peranan yang sangat penting dalam perekodan persejarahan, ia dibolehkan kerana ia bukan bertujuan untuk disembah.(1) Ini merupakan sebahagian singkapan sejarah berkenaan dengan pemikiran Islam yang lebih moderat, toleran, progresif dan bersesuaian dengan peredaran zaman.
Pembelajaran propaganda turut dijejaki penulis dari Menteri Propaganda fasis German, Joseph Goebbels, antara yang dibincangkan adalah poster Ein Volk, ein Reich, ein Fuhrer (satu bangsa, satu empayar, satu pemimpin) yang merupakan poster Adolf Hitler yang menghiasi dinding rumah, pejabat dan sekolah di seluruh Jerman.(3) Propaganda yang dikeluarkan oleh Jabatan Propaganda (Senden-Bu) tidaklah tidak berkesan, hal ini dapat dilihat dengan adanya sokongan orang Melayu misalnya dukungan dari Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin Ibrahim Yaacob.(7) Ada juga senarai rujukan yang digunakan oleh penulis yang merupakan sosok yang saya kenali, seperti Prof. Md Sidin Ahmad Ishak yang mana saya pernah berguru dengannya semasa mengikuti kursus penulisan di DBP pada tahun 2016.
Membaca ulasan penulis berkenaan dengan kartun "Chungking Plight" yang disiarkan dalam akhbar The Syonan Sinbun pada 02 April 1943 mengingatkan saya berkenaan dengan sebuah filem yang saya tonton ketika di universiti berkenaan dengan pembunuhan besar-besaran Jepun pada tahun 1937 semasa pendudukan Jepun di Nanking, China, filem itu bertajuk The Flowers of War.(56) Chungking Plight mengambarkan sebuah wilayah China yang dikongkong oleh hegemoni anglo-americans dan untuk merdeka mereka perlu berkerjasama dengan Tentera Jepun dan Tentera Baru Republik China.
Filem The Flowers of War (2011) |
Selain kartunis Jepun, imej propaganda ada juga dihasilkan oleh kartunis tempatan, antaranya Abdullah Arif dari Pulau Pinang yang melukis ilustrasi perayaan "Tentyo Setsu di Syonan" ia menggambarkan sokongan orang Melayu dalam sambutan hari lahir Maharaja Hirohito. Selain orang Melayu, lukisan propaganda ini turut dimasukkan imej kaum Jawa Islam sebagai tanda penglibatan sokongan kepada pendudukan Jepun di Indonesia.
Bagi tujuan propaganda, pihak imperial Jepun mempunyai jabatan propaganda khas yang dipanggil Senden-Bu. Jika diamati imej-imej yang menjadi propaganda di zaman tersebut, ia memaparkan imej yang berlainan dari buku-buku yang ditulis perihal kesengsaraan yang dialami semasa pendudukan Jepun. Kehidupan masyarakat digambarkan dengan gambar yang harmoni. Propaganda Jepun boleh dibahagikan kepada dua, yang pertama adalah propaganda-anti, yang mengeluarkan doktrin-doktrin untuk memburukkan musuh perang Jepun iaitu Amerika dan Britain. Yang kedua adalah propaganda-pro yang memaparkan sisi kebaikan pemerintahan Jepun. Antara propaganda-pro yang kerap kali kelihatan dalam analisis Akram adalah kempen menyokong Orde Baharu juga dasar Kesejahteraan Bersama Asia Timur Raya.
Dalam membahaskan perkembangan propaganda visual, Saiful Akram membawakan wacana penyatuan antara seni dan propaganda, propaganda adalah sesuatu seni untuk mengelakkan masyarakat berfikir, tetapi masyarakat dianjurkan untuk menyerap mesej yang disampaikan tanpa berfikir panjang. Oleh itu propaganda boleh kita definisikan sebagai satu proses untuk menghalang masyarakat berfikir dan merenung jauh, ia adalah pujukan dengan penuh kesenian agar masyarakat menerima sesuatu idea dengan pantas, bersetuju dengan kesimpulan yang telah disediakan. (22)
Saya teringat akan siri perdebatan Christopher Hitchen, dalam mempertahankan kem ateis apabila diserang berkenaan beban jenayah yang dilakukan oleh rejim-rejim ateis, beliau sering membawa perspektif bahawa mereka bukan ateis, mereka merupakan rejim pseudo-teologi. Korea Utara misalnya, walaupun berfahaman komunis tetapi Supreme Leader mereka Kim Jong-un dianggap dan dilayan seperti tuhan. Begitu juga imperial Jepun, maharaja mereka merupakan tuhan secara literal. Saya merasakan bahawa jika Hitchen masih hidup, dia akan bersetuju dengan falsafah Jepun yang diungkapkan oleh Saiful Akram. Dalam analisisnya, Akram membawakan fahaman Jepun ketika itu bahawa maharaja mereka berasal dari tuhan serta mewarisi sifat tuhan. Orang Jepun percaya bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih, mereka lebih suci dan sejati, manakala misi pembebasan (atau penjajahan) mereka di Asia Pasifik adalah misi ketuhanan. (25)
Di dalam naskah ini, Dr. Akram menjejaki semula kartun-kartun yang disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan ketika pendudukan Jepun. Saya tertarik dengan ulasan berkenaan dengan kartun lukisan Kato Etsuro di dalam akhbar The Syonan Sinbun yang menggambarkan reputasi unggul jututerbang berani-mati Jepun yang digelar kamikaze, mereka diagungkan kerana sanggup mengorbankan nyawa demi ketaatan kepada mahajara Jepun. (54) Apa yang membuatkan saya berfikir adalah bagaimana propaganda membuatkan ia sebagai suatu yang unggul dan dihormati. Walhal ia tiada beza dengan pengebom berani mati Palestin sebagai contoh, yang mengorbankan diri untuk kemerdekaan tanah air mereka, namun dimata dunia mereka bukan unggul dan dihormati tetapi digelar dengan gelaran yang jelik seperti teroris di mata dunia. Disini saya memahami peranan propaganda boleh menggambarkan sesuatu perbuatan yang sama dengan persepsi yang cukup berbeza.
Propaganda yang disajikan kepada masyarakat Malai (Malaya) dan Syonan-to (Singapura) bukan sahaja perihal perkembangan peperangan di Asia, malah peperangan dan situasi di Eropah turut disajikan. Propaganda yang menyokong pasukan Paksi iaitu pihak fasis Jerman dan Itali yang merupakan sekutu Jepun turut ditanam ke dalam masyarakat Malai dan Syonan-to. Antara magsa propaganda yang sering menjadi target serangan adalah Churchill dan Roosevelt. Roosevelt digambarkan sebagai pemimpin yang lemah serta menghadapi kekalahan dalam kempen perang antarabangsa juga menghadapi tekanan dalam negara, namun hakikatnya Roosevelt merupakan antara presiden Amerika paling popular dalam sejarah, beliau memenangi pilihanraya presiden sebanyak 4 kali, malah dibawah pemerintahan beliau, reformasi sosial besar-besaran dilaksanakan yang sangat terkenal, dipanggil sebagai The New Deal yang berjaga membawa Amerika keluar dari The Great Depression. (77)
Walaupun naskah ini merupakan naskah kajian ilmiah, saya mempunyai kritik kecil, iaitu tentang bagaimana penulis menafsirkan sesebuah imej propaganda, tidak begitu jelas metodologi yang digunakan. Seolah-olah ia hanya tafsiran rawak penulis berdasarkan pemerhatian-pemerhatian luaran. Juga saya dapati banyak ulasan mempunyai kekurangan konteks, antara propaganda yang selalu kelihatan berulang-ulang adalah kempen menanam sendiri makanan, meningkatkan produktiviti pertanian, Grow More Food. Namun tidak diulas secara terperinci kena kempen ini terjadi, adakah ketika itu berlaku kekurangan makanan sehingga ia memerlukan propaganda yang berulang? Mungkin boleh dikemukakan kajian-kajian perihal stok makanan semasa pendudukan Jepun. Jika konteks ini diperincikan mungkin pemahaman tentang mengapa propaganda tertentu dikeluarkan dapat lebih difahami dari sekadar mengulas apa yang terlukis pada gambar.
Akhir kalam saya merasakan bahawa buku ini sangat informatif terutamanya kepada masyarakat awam seperti saya yang tidak mempunyai banyak pengetahuan perihal situasi negara semasa perang dunia ke-2. Makalah ini sudah tentu mempunyai perspektif dan bidang pengkajiannya yang spesifik, ia membuatkan pembaca tertanya-tanya perihal sudut-sudut lain yang boleh dilihat perihal sejarah pendudukan Jepun di Malaya ini. Semoga kita bakal menikmati pelbagai jenis karya lagi dari penulis yang prolifik ini.
Muhasabah Sebuah Kelahiran
Sambutan hari lahir tahun ini dirumah sahaja, biasanya isteri akan belanja makan diluar, tetapi kerana mengenangkan suasana pandemik yang masih belum surut beliau hanya membawa balik ayam goreng 4Fingers dan sekeping pizza untuk dimakan dirumah bersama anak-anak. Sederhana tetapi syukur, masih diberi secebis nafas untuk merasai sebuah kehidupan. Masih dikurnia orang-orang yang menyayangi diri ini.
Sambutan hari lahir bukanlah sebuah tradisi dalam keluarga saya. Kami tidak pernah menyambutnya semasa kecil seingat saya. Malah saya sendiri tiada kesedaran akan bila sebenarnya tarikh kelahiran saya. Ketika di sekolah menengah baru saya mula sedar dan tahu bila tarikh kelahiran saya kerana menyambutnya bersama rakan-rakan sekolah.
Namun kebelakangan ini saya lebih banyak memikirkan soal kematian berbanding soal kelahiran. Mengenang pemergian ayah sekitar 7 bulan lalu, jika dibanding usia pemergian ayah, saya hanya mempunyai baki 30 tahun lagi untuk terus hidup. Bakinya telah saya gunakan, telah saya hidupi, sama ada ia kehidupan yang baik, saya tidak pasti, namun saya kira itulah kehidupan paling baik yang saya boleh hidupi, dengan keadaan hidup yang saya ada. Sekarang saya mempunyai baki 30 tahun sahaja lagi, itupun jika ajal bukan lebih awal, jadi 30 tahun terakhir ini perlu difikirkan mahu diisi dengan apa, sebelum tiba masanya untuk pergi selama-lamanya.
Dahulu semasa kecil saya mempunyai banyak cita-cita, dan cita-cita ini sering berubah dari masa ke semasa, bergantung kepada apa yang saya alami dalam setiap fasa hidup. Saya ingin menjadi mujahideen berjuang membebaskan Afghanistan dari penjajahan Soviet, ingin menjadi saintis, ingin menjadi penternak ayam di kampung, ingin membuka rumah anak yatim dan miskin, dan seribu satu cita-cita lagi. Kini mungkin saya sedar, tidak semua cita-cita itu saya boleh capai, dahulu saya ingin mengubah dunia, di umur 30-an ini saya ingin mengubah diri saya.
Antara target baharu saya ialah untuk menghabiskan pengajian sarjana saya sebelum melangkah ke umur 40-an, alhamdulillah baru-baru ini saya telah berjaya menghabiskan peperiksaan untuk menjadi ahli profesional dalam bidang perkapalan jadi bolehlah saya kembali semula ke sekolah pascasiswazah. Cumanya keadaan semasa kelihatan tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19, penangguhan pengajian di universiti, jadi saya mungkin perlu menunggu dahulu sebelum keadaan menjadi normal semula.
Jumaat, 30 Oktober 2020
Reviu Zine Dari Johor #1
Zine Dari Johor yang pertama ini membawakan definisi anarkisme sebagai tema utama, semestinya anarkisme bukan dapat difahami dengan satu definisi rasmi sahaja, sekurang-kurangnya kita dapat faham apa yang dimaksudkan oleh anarkisme dari anarkis-anarkis Johor.
Dalam muka-muka awal dipersembahkan maksud otonomi (autonomy) iaitu sebagai satu kebebasan untuk menganut nilai-nilai anarkis tanpa perlu diminta persetujuan dari kekuasaan yang lebih tinggi seperti kerajaan. Bagi mereka otonomi bukan sahaja bersifat individu, tetapi juga bersifat kolektif, ia tidak dapat dipisahkan. Perkara ini membuatkan saya berfikir, apabila ditulis "otonomi individu tidak dapat dipisahkan dengan otonomi kolektif" apakah maksudnya? Kerana saya sering melihat bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan yang berbeza, dan seringkali bercanggah. Seperti sejarawan Howard Zinn ketika membedah apa itu maksud "kepentingan negara", kerana negara itu terdiri dari pelbagai kelas yang mempunyai kepentingan berbeza. Jadi jika ada perbezaan antara individu atau kolektif, atau kolektif bersama kolektif yang lain, dari sudut praktikalnya, siapa yang boleh membuat keputusan andai jalan perbincangan tidak menemui solusi?
Saya bersetuju dengan tuan editor bahawa terma 'anarkisme' mempunyai konotasi yang negatif dalam masyarakat, ia dipandang dengan "ganjil dan aneh". Media memainkan peranan penting dalam memaknai konotasi negatif ini, sebagai contoh, dalam siri televisyen Gotham, ketika detektif Gordon ingin membersihkan bandarnya dari cartel mafia dan korupsi, ketua mafia Don Falcone memberitahunya bahawa mereka bukanlah musuh sebenar masyarakat kerana mereka bekerjasama dan mengimbangi kerajaan, musuh sebenar kata Dol Falcone adalah anarki. Anarki dikaitkan dengan kacau bilau sedangkan bagi para anarkis maksud mereka mungkin merupakan manifestasi kebencian mereka terhadap perampasan, penindasan, penaklukan, monopoli, dari authority yang berkuasa dan zalim.
Saya faham bahawa zine ini merupakan medium santai bukan buku teks, tetapi saya kira ianya perlu diperbaiki lagi dari sudut teksnya agar mudah difahami. Saya dapati ada ayat-ayat yang tergantung, ayat yang tidak jelas dan tersusun yang menyukarkan pembacaan. Mungkin boleh diminta ia diulang-baca oleh sesiapa sebelum diterbitkan.
Saya juga tertarik dengan usaha-usaha ekonomi yang dibangunkan contohnya String Art, kolektif mereka turut menceburi pelbagai bidang seperti penerbitan, Cukong Press, percetakan pakaian, Organisasi Terlarang. Mereka bukan sahaja bersembang hal-hal idea anarkis tetapi ada sudut praktikalitinya. Mungkin satu hari nanti boleh ditulis pula sejarah dan perkembangan usaha-usaha ekonomi ini dalam zine akan datang satu persatu, ia tentunya mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.
Dalam perbincangan perihal forum Seni dan Aktivisme ada ditakrifkan apa itu seni, iaitu seni sebagai aksi, ekspresi dan menyuarakan pendapat, seni bukan sahaja aktiviti seperti melukis, mewarna dan menyanyi kerana itu adalah perbuatan. Definisi seni ini sangat menarik kerana ia membawa makna yang lebih luas, sesiapa pun boleh melakukan kesenian. Saya teringat akan satu temuramah oleh George Carlin ketika beliau sudah tua, beliau ditanya bila hendak bersara, beliau menjawab komedinya adalah satu aksi kesenian, kita tidak akan bertanya kepada Picasso bila dia akan berhenti melukis.
Ada juga diceritakan perihal mat-mat motor yang dianggap rosak oleh masyarakat. Hakikatnya mereka bukanlah rosak kerana mereka ingin rosak, cumanya mereka tidak punya kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan untuk memberi sumbangan pada dunia. Diceritakan perihal seorang mat motor yang mendapat kesedaran dan menggunakan circle dan hubungannya sesama mat-mat motor untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang positif. Tuan editor dalam penulisannya menekankan permasalahan ini adalah permasalahan sistem, bukan sahaja mat motor tidak punya kesedaran, tetapi ibu bapa mereka sibuk mengurus hal ekonomi dan tidak sempat untuk mendidik anak-anak.
Tulisan berkenaan dengan solidariti terhadap orang kampung yang menolak pembinaan pusat sisa buangan waste to energy di Bukit Payung turut dimuatkan didalam zine ini. Saya pertama kali memahami dengan dalam masalah ini ketika membaca buku yang ditulis oleh saudara Iltizam Iman Menolak Perintah. Sekali lagi masalahnya bukanlah pada projek ini secara khusus, tetapi masalahnya adalah sistem yang dibuat untuk tidak menyebelahi rakyat. Anarkis sedar akan hal ini, sebab itu permasalahan sistem adalah tema yang selalu diulang di dalam zine ini.
Ada satu artikel khas yang ditulis dalam zine ini oleh Ocha dalam memberi makna kepada anarkisme, walaupun bahasanya agak kasar dan ganas, maknanya saya kira elok direnungkan. Anarkisme adalah sebuah fahaman tanpa ketua, tetapi ia memahami realiti hidup, iaitu ada ketika seorang pembuat keputusan diperlukan, maka ketika itu seorang ketua boleh dilantik, tetapi apabila ketua itu bertindak membahayakan orang lain, dia perlu digugat dan diturunkan. Makna ini saya kira dekat dengan makna yang pernah diberi oleh Noam Chomsky iaitu mana-mana sistem kuasa yang tidak dapat menjustifikasikan kewujudan mereka perlulah dirobohkan.
Cuma artikel itu sedikit mengelirukan, walaupun ia ditulis oleh Ocha, ditengah-tengahnya editor masuk dan menulis "thanks Ocha". Saya kira elok kiranya setiap artikel ditulis tajuk dan penulis di permulaan untuk memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan, ucapan terima kasih mungkin boleh dimasukkan di penghargaan di permulaan zine. Artikel berkenaan kemudian menyambung bahawa anarkisme adalah ideologi ekonomi, bersifat alamiah, tanpa campur tangan kuasa dan kepentingan yang menindas. Anarkisme yang dituduh buruk tidak mencetuskan perang-perang dunia, sebaliknya merekalah yang melawan kuasa-kuasa yang sering berperang. Anarkisme percaya bahawa masalah utama masyarakat adalah masalah ekonomi, kerana dari ekonomi sesuatu masyarakat terbentuk.
Artikel yang ditulis oleh Grinder Kulaifornia II juga menarik minat saya, yang membawakan idea untuk menghidupkan sebuah lorong di Kulai iaitu Lorong Ismail. Ia diberikan nama istimewa sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Saya begitu tertarik dengan misi untuk menjadikan LUAS sebagai "sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni". Semoga usaha ini berjaya, dan semoga satu hari nanti saya boleh tumpang mengopi pula disana!
Selain artikel ganas perihal makna anarkisme, Ocha juga menyumbang satu lagi artikel dalam zine ini yang bertajuk "Peranan Percetakan Dalam Gerakan", mungkin ia adalah inspirasi kepada penubuhan Cukong Press. Dalam artikel itu dibawakan satu tokoh anarkis bernama Liu Shifu yang tidak begitu terkenal seperti tokoh anarkis lain seperti Proudhon, Bakunin, Stirner dan Goldman. Ia juga menceritakan bagaimana ideologi anarkis masuk ke Malaysia.
Artikel oleh Saleng Kulai yang bertajuk Kongsi Pengalaman juga menarik, terutamanya perbincangan tentang bagaimana teknologi membuatkan dunia semakin rapat. Eropah, Asia, Timur Tengah, semuanya kini mendekati antara satu sama lain, berinteraksi, belajar dan berhubung tanpa kekok. Perbincangan berkenaan dengan bagaimana teknologi mendekatkan dunia yang terpisah ini juga membuatkan saya terkenang buku yang ditulis Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat, idea Saleng Kulai ini menjadi teras kepada thesis buku Friedman itu.
Artikel Utopia tulisan Kulai Besar bagi saya merupakan artikel yang mempunyai nilai falsafah. Artikel ini cuba untuk menjawab tuduhan bahawa idea anarkisme adalah bersifat utopia yang tidak boleh dicapai. Ia juga membincangkan soal taktikal, ia tidak gelojoh dengan memulakan misi untuk merobohkan negara serta merta sebaliknya memulakan gerak kerja dengan keadaan yang ada, dengan sumber dan tenaga yang ada. Dalam pertahanannya, penulis mengkritik bahawa kapitalisma sendiri juga belum tertegak secara ideal seperti dalam teorinya, dalam kata lain kapitalisma juga adalah idea utopia. Saya rasa renungan ini benar, jika kita membaca buku yang ditulis ekonomis Ha-Joon Chang dalam bukunya yang sangat mudah difahami, 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, Chang mengkritik idea free market yang diperjuangkan oleh kapitalisme. Kerana hakikatnya free market tidak wujud, contohnya kita tidak boleh menjual dadah, atau menggunakan buruh kanak-kanak, kenapa? Sekiranya pasaran itu terbuka, bukankah pasaran yang perlu menentukan apa yang hendak dijual-beli, bukan moral. Jadi jika dikatakan idea kapitalisme itu utopia, saya boleh menerimanya. Jadi persoalan yang tinggal, kenapa masyarakat menerima kapitalisme dan menolak anarkisme jika kedua-duanya idea yang utopia? Hakikatnya kita semua dalam proses menuju kepada sesuatu, idea yang utopia itu hanya memberi kita hala tuju destinasi yang hendak kita tuju.
Banyak lagi point-point yang menarik dalam zine ini untuk difikirkan, tidak muat untuk posting yang terbatas ini, elok dibaca dan diperhalusi sendiri. Saya akhiri ulasan zine ini dari kata-kata akhir editor sendiri, Redo, "tanpa diperintah dan memerintah, tanpa dimiliki dan memiliki, tanpa hieraki dan autoriti, tanpa patriaki dan matriaki, tanpa kuasa untuk menguasai!"
Sabtu, 17 Oktober 2020
Catatan Baitul Muslim 38: Anjing Bernama Pep-Po
Ketika anak saya yang pertama berusia dua-tiga tahun, cerita kegemarannya adalah Inside Out, mungkin itu cerita kegemarannya kerana dia tidak didedahkan dengan cerita lain. Animasi yang diterbitkan pada tahun 2015 ini mengisahkan perihal seorang budak berumur 11 tahun yang bernama Riley, peningkatan umur, juga perubahan keadaan hidupnya (berpindah dari Minnesota ke San Francisco mengikut ayahnya yang bertukar kerja) memberi kesan kepada emosinya. Animasi itu menceritakan bagaimana emosi Riley bertindak balas dan bagaimana dia berubah ke proses yang lebih matang.
Tentu sahaja anak saya ketika itu tidak memahami plot dan makna cerita ini. Jika saya menonton bersamanya, dia akan bertanya kepada saya setiap minit "abi kenapa macam ini?" "kenapa macam tu?". Dia menontonnya sebagai sebuah kartun. Dalam animasi tersebut, ketika Riley masih kecil, dia mempunyai teman imaginari (imaginary friend) bernama Bing Bong yang merupakan haiwan campuran kucing, gajah, dan dolphin. Babak Bing Bong berkorban untuk emosi gembira Riley mungkin babak yang paling sedih dalam animasi ini - isteri saya menangis ketika kami tonton bersama ketika kami baru berkahwin.
Ada sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Child Development yang ditulis oleh Gabriel Trionfi dan Elaine Reese berkenaan dengan kanak-kanak yang membesar dengan teman imaginari. Hasil kajian mereka, 48% kanak-kanak dari sampel kajian didapati mempunyai teman imaginari, teman ini boleh jadi diimaginasikan sebagai manusia atau haiwan. Kajian mereka mendapati anak-anak yang mempunyai teman imaginari mempunyai skil naratif yang lebih baik, mereka dapat menceritakan sesuatu dengan konteks yang lebih kaya, dan mereka mendapati hal ini lebih jelas pada anak yang pertama.
Saya berpendapat, hasil pemerhatian saya, anak pertama lebih cenderung akan hal ini, dia akan selalu mengajak saya untuk play pretend, contohnya menganggap tikar sebagai sungai, anak kedua masih diawal usia bayi jadi kecenderungan ini belum kelihatan. Anak pertama saya juga mempunyai seekor anjing mainan yang dibinanya dari set mainan blok dan dinamakan Pep-Po, kadangkala dia akan membawa Pep-Po tidur bersamanya, mengajak saya menyambut hari jadi Pep-Po, selain hari jadi teddy bear-nya. Walaupun sebagai seorang ayah, kadangkala sukar juga saya untuk lakonkan watak-watak mainan beliau apabila diajak bermain kerana saya sudah dewasa dan keluar dari fasa ini, saya akan cuba juga untuk bermain dengannya, play pretend, kerana satu hari nanti anak jaya juga akan keluar dari fasa ini.