Ahad, 4 April 2010

Kearah Kesedaran


"Ramai manusia yang bangga dengan nama dan status sebagai orang Islam namun Islam tiada dalam tuturkata , tindakan , mahupun hati mereka"
Assyahid Dr. Abdul Kadir Audah


Rata-rata remaja hari ini sudah pudar dalam hidup mereka warna-warna Islam. Tidak bersinar Islam dalam perjalanan harian mereka. Leka dengan arus hiburan yang melampau. Namun semua ini bukanlah kesalahan mutlak mereka semata-mata. Sistem hidup mereka yang di program sebegitu.Dari mana datangnya sistem ini?

Jatuhnya sistem khilafah di muka bumi menyaksikan kemasukan imperialisme ke negara-negara Islam lantas meracuni penduduk setempat dengan idea sekularisme. Sekularisme disanjung serta dikaitkan dengan kemodenan dan ketamadunan sehingga ia menjadi dominan dan sukar di ubah semula.

Idea ini pantas merebak ke dalam perundangan negara , pendidikan remaja dan budaya masyarakat. Masyarakat yang selama ini jernih kini keruh dengan pelbagai penyakit sosial berkat dari idea sekularisme yang kini diteruskan pimpinan tempatan yang sudah dididik oleh penjajah. Kesannya dahsyat. Bukan merosakkan satu atau dua individu. Tetapi lahir satu sistem yang mendidik generasi. Dari satu generasi ke generasi yang lain. Idea asal kini bukan lagi idea tetapi sudah berevolusi menjadi budaya dan tradisi. Timbul soalan apa itu sekularisme?


Sekularisme adalah idea yang memisahkan kehidupan seharian seperti perundangan dan pendidikan dengan keagamaan. Islam cuma hidup di masjid. Tiada Islam di waktu kerja. Tiada Islam dalam subjek-subjek sains yang di ajar di sekolah. Tiada Islam dalam sistem pentadbiran , parlimen mahupun perundangan. Undang-undang sivil mengatasi undang-undang syariah. Maka lahirlah masyarakat yang buta Al-Qur'an. Remaja yang hilang identiti. Manusia yang tiada hala tuju hidup.

Maka di mana ubat bagi generasi remaja masa kini? Disinilah timbulnya pentingnya kesedaran Islam semula. Perlu ada didikan Islam bagi menjernihkan semula hati. Disinilah titiknya dimana perlunya usrah ,halaqat atau apa saja namanya yang membawa hati-hati remaja ini mengenali semula identiti mereka. Mereka adalah remaja Islam yang sihat , cergas dan bebas merdeka. Merdeka dari semua masalah sosial. Merdeka pemikiran dan minda.