Khamis, 26 Februari 2015

The Clash of Civilizations



Penulis: Samuel P. Huntington 
Penerbit: Simon & Schuster Paperbacks 1996

Buku tulisan Huntington ini merupakan satu analisa perubahan politik dunia selepas cold war, saya mula tertarik untuk membacanya selepas saya membaca tulisan Graham E Fuller dalam bukunya A World Without Islam, penulisan Fuller berkisar tentang penolakan teori Huntington yang menyatakan agama sebagai punca utama konflik dunia.

Terdapat beberapa point penting yang menarik di dalam perbahasan buku ini:

1. Identiti manusia

Identiti merupakan perkara yang paling central dalam kehidupan manusia. Setiap manusia cuba mendefinisikan identitinya sama ada dengan ideologi, bangsa, negara, agama dan sebagainya. Memetik kata-kata Hassan Al-Turabi, Huntington berpendapat zaman baru akan menyaksikan manusia kembali mendefinisikan identiti mereka dengan agama, agama memberi manusia identiti dan jalan hidup.

2. Barat dan kemodenan

Untuk kehadapan kita tidak perlu menerima nilai barat secara total. Huntington menolak argument yang menyama ertikan barat dan kemodenan. Sebaliknya, kita boleh menjadi maju dan moden dalam masa yang sama mengekalkan Islam sebagai identiti. Kita boleh menjadi bangsa yang maju dengan cara dan nilai kita.

3. Generasi kebangkitan

Dalam analisisnya Huntington menjangka bahawa Islam di dalam era kebangkitan. Kebangkitan ini bukan bererti orang Islam akan kembali ke belakang, menjadi mundur. Sebaliknya, mereka yang digolongkan sebagai Islamis atau berideologikan Islam di era baru merupakan generasi yang berpendidikan. Kebanyakan nya merupakan lepasan universiti, dan mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi sains. Walaupun ibu dan ayah mereka sekular, anak kepada generasi baru lebih cenderung dengan Islam. Mereka ini lah yang akan membawa kebangkitan baru bagi Islam.

4. Pemuda dan perubahan

Generasi muda pada pandangan Huntington merupakan agen perubahan. Di sepanjang sejarah, pemuda yang ramai menyaksikan berlakunya reform dan revolusi. Perubahan demografi Islam yang menyaksikan penambahan generasi muda secara mendadak akan menyaksikan perubahan dan revolusi sesuatu yang tidak dapat di elakkan.

5. Malaysia dan dominasi kaum cina

Melalui perbahasan intelektualnya, Huntington menyatakan walaupun Malaysia merupakan negara yang majoritinya Melayu Islam, namun ekonomi Malaysia dipegang oleh kaum cina.

6. Hipokrasi barat

Kebanyakan masyarakat timur menolak nilai barat kerana hipokrasi barat sendiri. Sistem demokrasi di promosi namun sekiranya golongan Islam memenangi pilihan raya, mereka akan ditentang dan dijatuhkan. Negara bukan barat dihalang untuk memiliki keupayaan nuklear, sementara Israel dibantu untuk membangunkan nuklear. Double standard ini menampakkan nilai barat hanya digunakan untuk kepentingan politik barat dalam menentukan halatuju dunia.

7. Menaja demokrasi

Amerika Syarikat melalui National Endowment for Democracy menaja gerakan demokrasi di negara lain. 'Demokrasi' yang di taja adalah demokrasi pro-Amerika, mengikut nilai dan definisi mereka.

8. Tamadun di puncak

Apabila sesebuah tamadun sudah berada di puncak ini bermakna mereka akan melalui fasa penurunan selepas itu. Untuk kekal meningkat, sesebuah tamadun perlu merasakan mereka masih belum dipuncak. Menggunakan modal dan kekayaan yang ada untuk dilaburkan dan meneroka perkara-perkara baru yang menggalak kan inovasi dan ciptaan baru. Sebaliknya sekiranya kekayaan negara hanya digunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu dalam masyarakat, ia akan menghampiri jurang kemusnahan.

Walaubagaimana pun, terdapat beberapa analisa Huntington yang saya kira terlalu simplistik dan tidak berpijak dibumi nyata. terutamanya dalam membahaskan hegemoni China di rantau Asia. China mungkin menjadi kuasa ekonomi dunia, tetapi untuk menjadi kuasa politik dunia, ia sesuatu yang berbeza. Juga berkenaan dengan punca konflik dunia, agama dan identiti digunakan sebagai central kepada konflik, namun sesuatu konflik lebih besar dari itu. Saya lebih cenderung dengan pendapat Fuller yang menyatakan kemahuan politik merupakan punca konflik, agama hanya digunakan sebagai alat untuk mendapat pengaruh dalam sesebuah konflik.



Sabtu, 14 Februari 2015

Atheis: Satu analisa



Saya mengikuti perbincangan yang dipelopori Richard Dawkins berkenaan dengan agama. Sebagai biologis atheis yang mengimani 'natural selection' dan 'Darwinian evolution' , Dawkins telah melancarkan serangan-serangan pemikiran bagi menghalang kebangkitan agama.

Orang yang beragama di ibaratkan seperti orang yang terkena virus otak, virus yang menyebabkan dia mempercayai pelbagai karut marut, keajaiban, walaupun dalam keadaan ketiadaan bukti. Virus ini adalah agama. Agama, hujah Dawkins membolehkan manusia mempercayai apa sahaja, ia berbeza dengan sains yang memerlukan eksperimen dan bukti sebelum sesuatu teori dapat diterima.

Agama seperti yang diungkapkan Dawkins, menyuruh pengikutnya mempercayai apa sahaja yang diceritakan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Tetapi sains, menyuruh pengikutnya bertanya, berfikir dan membuktikan apa yang ingin diketengahkan. Sains adalah nilai yang akan membawa progress manakala agama membawa manusia kebelakang.

Dawkins pergi lebih jauh dengan mengatakan mengajar agama kepada kanak-kanak adalah jenayah, kerana membunuh pemikiran nya. Sebaliknya, anak-anak perlu dibiarkan untuk memilih apa yang ingin dia percayai setelah dia menganalisa semua bukti dan hujah yang ada. Saya teringat kata-kata Ust. Abdul Hadi Osman semasa saya di sekolah menengah "Ibubapa tidak boleh membunuh masa depan akhirat anak-anak". Sekolah saya tidak ada masalah dengan sains, bahkan saya belajar biologi, Teori Genetik Mendel, kimia dan subjek-subjek sains yang lain. Saya tidak nampak apa yang dikatakan sebagai clash between religion and reason.

Mungkin Dawkins mendasari analisanya dari agama Kristian yang mungkin mempunyai teori yang tidak masuk akal sebagai contoh "Mengapa Jesus yang dikatakan sebagai Tuhan, perlu mengorbankan dirinya untuk dosa manusia, sekiranya Tuhan mahu mengampunkan, mengapa tidak diampunkan begitu sahaja?". Saya tidak bermaksud mengguris hati penganut Kristian, tetapi bagi saya ruang untuk bertanya di dalam agama perlu dibuka. Agama juga perlu diterima dengan berfikir.

Sebagai contoh, di dalam Islam terdapat ruang untuk mempersoalkan fatwa, bahkan hadith juga dipersoalkan dan dikaji status dan ke-sahihannya. Penganut agama Islam tidak mempercayai secara buta (blind faith) apa yang di beri pada mereka. Namun, tidak dinafikan ada sebahagian ummat Islam yang masih belum bersedia untuk terbuka, dan menutup ruang pemikiran dan penambahbaikan bahkan menolak penakrifan semula sesuatu hukum berdasarkan masa dan waqi'.

Pernah dalam satu wawancara Dawkins bertanya kepada Mehdi Hassan, adakah dia percaya bahawa Nabi Muhammad terbang ke langit menaiki Buraq. Mehdi menjawab, ya. Saya teringat sebuah quotes dari filem Angels and Demons kata seorang paderi "Science is too young to understand the world". Dahulu sains mengatakan bumi ini rata, kemudian terbukti ia berbentuk sfera. Dahulu sains mengatakan bumi adalah centre tetapi kemudian kita fahami planet mengelilingi matahari, matahari merupakan centre. Perkara yang kita tidak dapat buktikan hari ini, tidak membawa makna ianya salah. Begitu juga sebaliknya. Ia adalah kerana keterbatasan ilmu manusia. Ada satu masalah jika kita beriman dengan bukti seperti Dawkins.

Saya berikan satu contoh. A membunuh B. Kerana A merupakan pembunuh profesional, dia telah menghapuskan semua bukti. Semasa dibicarakan, tiada siapa dapat membuktikan bahawa A telah membunuh B. Adakah secara hakikatnya A tidak membunuh B kerana tiada bukti?

Saya percaya tiada percanggahan antara Islam dan Sains. Saya juga percaya bahawa Islam tidak datang tanpa bukti. Islam bahkan menyuruh ummatnya berfikir, sekiranya kita membaca Al-Qur'an, kita akan temui pelbagai ayat yang menyuruh manusia berjalan, melihat alam, dan berfikir. Bahkan dalam banyak perkara, Islam telah mendahului sains.

Bahkan sebenarnya, kemajuan sains yang menjadi kebanggaan dan kemegahan Dawkins juga dimulakan oleh saintis Islam. Dari optik kepada perubatan, sekiranya citation nya di trace semula, kita akan dapati ia dimulakan oleh saintis Islam seperti Ibnu Al-Haytham (Alhazen) dan Ibnu Sina. Kemajuan sains hari ini, merupakan hasil tuaian kajian orang yang beragama yang berfikir. Jadi dimana logik agama membawa manusia pada kemunduran?

Masalah yang ada pada hari ini bukan kerana manusia itu beragama tetapi kerana manusia tidak berfikir. 


Jumaat, 6 Februari 2015

Tuhan beriku sebutir cahaya




Cahaya datang dan pergi seiring perjalanan mentari
Insan yang lahir juga berjalan seiring pejam celiknya setiap hari

Cuma, perjalanan insan mungkin tidak seperti mentari yang memberi cahaya
Orbit insan tidak mudah untuk diungkap dengan definisi manusia

Sebaliknya ia merupakan hakikat Ilahi
Tak dapat dicapai oleh deria manusiawi insani

Kadang aku juga bertanya soalan yang tiada siapa mampu memberi makna
Dua puluh lima tahun ini aku sudah di mana

Bekalan apa yang aku ada untuk berjalan di dunia
Apa pula yang mampu aku bawa ke akhirat sana

Malam menjadi saksi tangisku sendiri
Perjalanan panjang ini perlu dilalui walaupun lemahnya diri

Ku harap Tuhan jangan kau padamkan butiran cahaya harapan
Bantu hambamu yang lemah menyelami lautan kehidupan

Sehingga nafas terhenti pada satu hari nanti disini
Harap Engkau redhai perjalanan hamba mu ini

Agar aku tidak hilang terhenti dari percaya
Tuhan beriku sebutir cahaya


Selasa, 3 Februari 2015

The Selfish Gene


Judul buku: The Selfish Gene
Penulis: Richard Dawkins
Penerbit: Oxford University Press
Edisi: 30th anniversary edition 2006

Teori evolusi merupakan satu teori yang menarik, apabila disebut 'teori' saya lebih gemar memahaminya sebagai satu hipothesis yang boleh diterima atau ditolak setelah diuji. Berbeza dengan teori evolusi klasik yang diasaskan oleh Charles Darwin, buku karya biologis terkenal ini mengetengahkan teori bahawa evolusi berlaku bukan kerana kehendak sesuatu organisma untuk kelangsungan spesies tetapi oleh gen untuk memelihara kelangsungan gen. 

Gen seperti yang diungkapkan oleh Dawkin dalam bukunya ini, merupakan benda yang abadi, ia akan diwariskan kepada generasi seterusnya, dan jasad hanyalah mesin yang digunakan oleh gen untuk berpindah dari satu generasi ke generasi yang lain. Jasad tidak kekal. Pendekatan ini membawa makna bahawa evolusi merupakan satu kaedah yang digunakan oleh gen untuk memelihara kelangsungan nya dengan melakukan modifikasi pada jasad.

Buku ini secara tidak langsung memberi satu refreshment kepada pemahaman biologi, sejak kali terakhir saya mengikuti kelas biologi di sekolah 8 tahun lalu. Pendekatan metafor dan penggunaan bahasa non-technical memudahkan pembacaan, disamping contoh-contoh yang tidak membosankan.

Namun, ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya selain kritikan Dawkins ke atas agama (Dawkins sememangnya terkenal dengan fahaman atheis dan pengkritik agama), iaitu dalam menerangkan perkara-perkara kompleks seperti susun atur chromosom, genom di dalam DNA, Dawkins mengunakan metafora arkitek, dan susunan DNA sebagai binaan arkitek yang seimbang dan tersusun. Namun di akhirnya, beliau menafikan kewujudan arkitek yang digunakan dalam metaforanya. Perkara ini, menunjukkan satu paradoks pemikiran yang bagi saya menguatkan hujah creationist bahawa terdapat arkitek yang menyusun alam yang kompleks ini. Arkitek itu adalah Tuhan.

Namun, walaupun saya tidak bersetuju dengan world view atheis, saya mengagumi mereka. Apabila berdepan dengan soalan-soalan seperti bagaimana kehidupan bermula, mereka tidak menggunakan pendekatan seperti "Jangan berfikir nanti jadi gila" atau "Perkara ini hanya Tuhan sahaja yang tahu". Sebaliknya mereka berfikir dan mengemukakan teori-teori yang hanya bersifat 'mungkin ini sebabnya', kemudian mereka melakukan kajian untuk cuba membuktikan teori tersebut. Menggunakan fakta kajian dan reason. Dalam perjalanan kajian mereka itu, mereka menemui pelbagai keajaiban dan bukti penciptaan, sebahagian mereka menjumpai Tuhan dan beriman, sebahagian yang lain masih belum diberi ALLAH hidayah.

Saya secara peribadi tidak selesa untuk mengatakan seseorang itu sesat, walaupun dia seorang atheis, sebelum mengetahui mengapa dia berfikiran sedemikian. Kerana tiada siapa yang mahu sesat, kesesatan bukan kehendak yang di fitrahkan, tetapi merupakan natijah dari kefahaman dan pemikiran. Buku ini bukan berkisar tentang ketuhanan atau sosial, ia lebih kepada perbahasan biologi, tetapi dapat membantu kita memahami mengapa seseorang boleh berfikiran atheist dari sudut pandang kajian biologi.