Saya mengikuti perbincangan yang dipelopori Richard Dawkins berkenaan dengan agama. Sebagai biologis atheis yang mengimani 'natural selection' dan 'Darwinian evolution' , Dawkins telah melancarkan serangan-serangan pemikiran bagi menghalang kebangkitan agama.
Orang yang beragama di ibaratkan seperti orang yang terkena virus otak, virus yang menyebabkan dia mempercayai pelbagai karut marut, keajaiban, walaupun dalam keadaan ketiadaan bukti. Virus ini adalah agama. Agama, hujah Dawkins membolehkan manusia mempercayai apa sahaja, ia berbeza dengan sains yang memerlukan eksperimen dan bukti sebelum sesuatu teori dapat diterima.
Agama seperti yang diungkapkan Dawkins, menyuruh pengikutnya mempercayai apa sahaja yang diceritakan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Tetapi sains, menyuruh pengikutnya bertanya, berfikir dan membuktikan apa yang ingin diketengahkan. Sains adalah nilai yang akan membawa progress manakala agama membawa manusia kebelakang.
Dawkins pergi lebih jauh dengan mengatakan mengajar agama kepada kanak-kanak adalah jenayah, kerana membunuh pemikiran nya. Sebaliknya, anak-anak perlu dibiarkan untuk memilih apa yang ingin dia percayai setelah dia menganalisa semua bukti dan hujah yang ada. Saya teringat kata-kata Ust. Abdul Hadi Osman semasa saya di sekolah menengah "Ibubapa tidak boleh membunuh masa depan akhirat anak-anak". Sekolah saya tidak ada masalah dengan sains, bahkan saya belajar biologi, Teori Genetik Mendel, kimia dan subjek-subjek sains yang lain. Saya tidak nampak apa yang dikatakan sebagai clash between religion and reason.
Mungkin Dawkins mendasari analisanya dari agama Kristian yang mungkin mempunyai teori yang tidak masuk akal sebagai contoh "Mengapa Jesus yang dikatakan sebagai Tuhan, perlu mengorbankan dirinya untuk dosa manusia, sekiranya Tuhan mahu mengampunkan, mengapa tidak diampunkan begitu sahaja?". Saya tidak bermaksud mengguris hati penganut Kristian, tetapi bagi saya ruang untuk bertanya di dalam agama perlu dibuka. Agama juga perlu diterima dengan berfikir.
Sebagai contoh, di dalam Islam terdapat ruang untuk mempersoalkan fatwa, bahkan hadith juga dipersoalkan dan dikaji status dan ke-sahihannya. Penganut agama Islam tidak mempercayai secara buta (blind faith) apa yang di beri pada mereka. Namun, tidak dinafikan ada sebahagian ummat Islam yang masih belum bersedia untuk terbuka, dan menutup ruang pemikiran dan penambahbaikan bahkan menolak penakrifan semula sesuatu hukum berdasarkan masa dan waqi'.
Pernah dalam satu wawancara Dawkins bertanya kepada Mehdi Hassan, adakah dia percaya bahawa Nabi Muhammad terbang ke langit menaiki Buraq. Mehdi menjawab, ya. Saya teringat sebuah quotes dari filem Angels and Demons kata seorang paderi "Science is too young to understand the world". Dahulu sains mengatakan bumi ini rata, kemudian terbukti ia berbentuk sfera. Dahulu sains mengatakan bumi adalah centre tetapi kemudian kita fahami planet mengelilingi matahari, matahari merupakan centre. Perkara yang kita tidak dapat buktikan hari ini, tidak membawa makna ianya salah. Begitu juga sebaliknya. Ia adalah kerana keterbatasan ilmu manusia. Ada satu masalah jika kita beriman dengan bukti seperti Dawkins.
Saya berikan satu contoh. A membunuh B. Kerana A merupakan pembunuh profesional, dia telah menghapuskan semua bukti. Semasa dibicarakan, tiada siapa dapat membuktikan bahawa A telah membunuh B. Adakah secara hakikatnya A tidak membunuh B kerana tiada bukti?
Saya percaya tiada percanggahan antara Islam dan Sains. Saya juga percaya bahawa Islam tidak datang tanpa bukti. Islam bahkan menyuruh ummatnya berfikir, sekiranya kita membaca Al-Qur'an, kita akan temui pelbagai ayat yang menyuruh manusia berjalan, melihat alam, dan berfikir. Bahkan dalam banyak perkara, Islam telah mendahului sains.
Bahkan sebenarnya, kemajuan sains yang menjadi kebanggaan dan kemegahan Dawkins juga dimulakan oleh saintis Islam. Dari optik kepada perubatan, sekiranya citation nya di trace semula, kita akan dapati ia dimulakan oleh saintis Islam seperti Ibnu Al-Haytham (Alhazen) dan Ibnu Sina. Kemajuan sains hari ini, merupakan hasil tuaian kajian orang yang beragama yang berfikir. Jadi dimana logik agama membawa manusia pada kemunduran?
Masalah yang ada pada hari ini bukan kerana manusia itu beragama tetapi kerana manusia tidak berfikir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan