Rabu, 27 Mei 2015

Diari kabus di puncak kejauhan



Ingin sekali aku tumpahkan tinta ini pada mentari,
Atau di ukir saja pada kejora buat pedoman laksamana meneroka samudera,
Namun apakah daya aku hanya manusia,
Maka di helaian ini saja aku bertinta.

Terubat kini rinduku yang sekian lama menjajah jiwa,
Seolah ku punya talian darah saudara dengan si rimba,
Hati berbunga pabila dahan dan daunan menepuk bahu ku,
Aku hanyut gembira bersama unggas dan serangga dalam bait lagu.

Disini tiada bingitan kereta,
Tiada juga papan tanda yang dipacak kapitalis kota,
Yang ada cuma deringan angin bayu, 
Alunan air yang berlari di celahan batu,
Juga sang kabus yang mendinginkan kalbu.

Daku aman disini,
Tidak perlu berkejar ke sana ke mari,
Cukuplah sang bintang sebagai teman bicara ku malam ini,
Dan rimba, mari bercerita soal hati.

Sekali aku terpandang anak itu bermain di laman,
Berlatarkan hijau hutan,
Rumah sekadar sambungan bilangan papan,
Ingin aku bertanya pada penguasa yang berbahas di dewan,
Yang dipertua, adakah mereka berhak diberi harapan?

Potret mereka menggambarkan erti kehidupan,
Ku lihat mereka bernafas tanpa kemewahan,
Meredah hutan, buat mengubati tangis perut anak kelaparan.

Setiap hari mereka berdua bicara di meja berita,
Katanya aset negara nilainya berjuta,
Dan esok kita akan bina sebuah lagi singgahsana,
Politikus juga manis bicaranya, suaranya berkata kekayaan sama dirasa.
Namun anak itu masih di lamannya berlatarkan rimba,
Yang dipertua, adakah nikmat berjuta milik penuh kapitalis kota?

Namun bicaraku mungkin tiada nilainya,
Ah kau hanya kuli hina, kata mereka,
Umurmu belum cukup untuk berbicara,
Garam dan gula belum kau rasa.

Lalu ke sini aku membawa diri,
Bercinta dengan sang bulan dan matahari,
Dedaun layu menjadi saksi,
Tangisku yang gugur bila bicara apa terbuku di hati.

Mimpiku kali ini di bawah langit yang terbentang luas,
Bantalku hanya akar kayu yang keras,
Ingin juga ku tinta soal sahabat,
Moga padanya tersebar manfaat.

Sejak kecil kita berteman,
Kini kau sudah di arena perkahwinan,
Begitu pantas sungai waktu berlalu,
Kadang ku termenung di jendela rindu.

Begitu indah saat muda dahulu, kita saling menggali ilmu,
Bertemankan buku juga guru, melakar memori dalam sejarah waktu.

Hari-hari itu kita muda, dan hobi kita adalah mencuba,
Soal kesan belakang cerita, dan memori itu masih basah di minda,
Di rotan ditampar makanan biasa, namun aku gembira,
Kerna akhirnya kita menjadi manusia.

Ku kirim doa agar kau bahagia teman, mencipta bangunan harapan,
Moga dari mu lahir generasi baru, yang bakal menyambung obor perjuanganmu.

Di kaki bukit ini aku aman, tanpa mesej dan deringan,
Yang ada cuma pekat kegelapan dan kedinginan menjadi teman.

Ketenangan disini besar bezanya, cuma embun yang menemani pabila subuh tiba,
Dingin sungai membasahi anggota, dan sujud kita pada pencipa,
Membasahi jiwa.

Di puncak ini aku bertinta bahagia,
Melihat kabus berarak menyelubungi buana,
Awan juga datang singgah menyapa,
Di sini aku mengagumi Sang Pencipta.

Di puncak ini rama-rama kuning nya petah bicara,
Katanya harga peluh dan lenguh telah terbayar,
Katanya keindahaan ciptaan ini hadiah buat mereka,
Mereka yang berusaha dan sanggup membayar harga.

Aku mencari lelahku yang kini hilang dan sudah tiada,
Apa yang ku jumpa hanya sang kumbang mengutus tahniah kerana berjaya,
Kata sang lebah bukan semua manusia tahan berusaha,
Dan aku mengangguk tanda mengiya.

Di puncak ini awan nya dingin, tanahnya basah dengan lumut licin,
Manakala kumbangnya kecil dan mengajak bermain,
Oh tuhan tidak terbayang Syurga mu yang lebih indah yang ku selalu ingin.

Dingin ini mengocak jiwa, ku tersenyum terbang teringat cinta pertama,
Sihatkah dia yang kini menjaga dua nyawa,
Maafkan aku tidak selalu bersama, moga sakitmu Tuhan kurnia pahala,
Dan pengorbanan mu Tuhan kalungkan syurga,
Cintaku padamu tak terungkap dengan tinta.

Kabus bertiup dan bonzai pun menari,
Sedang aku merenung perjalanan hidupku yang hanya tinggal beberapa hari,
Sudahkah ku temui apa yang di cari?

Oh gunung bilakah kita mampu bertemu lagi,
Belum puas aku berbicara dengan mu soal hati,
Bila pula kabus akan memeluk ku lagi,
Menyapa pipi dan membuatkan ku bermimpi.

Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Gunung Rajah, Bentong, Pahang.
23 & 24 Mei 2015

Khamis, 21 Mei 2015

Trying to be Muslim


Penulis: Norhafsah Hamid
Penerbit: A.S. Noordeen

Secara jujur saya tidak dapati sebarang perkara baru didalam penulisan ini melainkan pengalaman penulis yang merupakan pengamal undang-undang dalam perjalanannya memperbaiki diri dalam beragama. Membaca separuh dari buku ini, saya lebih beranggapan bahawa tajuk yang lebih sesuai adalah 'Trying to be Muslimah', kerana saya kira banyak lontaran pendapat yang diberikan adalah dari sudut kewanitaan berbanding sudut pandang umum.

Apa yang saya dapat pada pembacaan ini walaupun saya kira ia adalah penulisan biasa adalah sesiapa pun boleh menulis, dan setiap penulisan adalah bernilai. Pengalaman kita dalam sesuatu perkara merupakan sesuatuyang berharga untuk dikongsi, meskipun kita merasakan bahawa ia biasa-biasa sahaja.

Pembawaan pengalaman yang dibawa oleh saudari Norhafsah ini mungkin tidak dapat dirasai kebersamaan nya pada sesetengah orang, tetapi ia mungkin dapat menyentuh hati setengah yang lain. Pengalaman dan nasihat beliau terutamanya dalam permasalahan haji dan umrah saya kira amat berguna untuk memotivasikan diri Muslim untuk berusaha memampukan diri untuk menjadi tetamu ilahi.

Ahad, 10 Mei 2015

The God Delusion



Penulis: Richard Dawkins
Penerbit: Bantam Press (Transworld publishers)

Saya kira buku ini sekiranya diterjemah ke dalam bahasa melayu dan dijual di Malaysia, ia akan diharamkan, dirampas dan dilupuskan pada hari pertama nya di Malaysia. Kebelakangan ini Malaysia dilihat sangat kritikal di dalam penerbitan buku, dengan beberapa buku diharamkan. Kes pengharaman buku ini mungkin untuk menyekat penyebaran fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman yang ada di Malaysia yang mungkin boleh membawa kepada 'civil disorder'.

Apa pun saya lebih berpegang pada pendapat ruang pembacaan perlu dibuka meskipun bahan tersebut bertentangan dengan pemikiran mainstream. Saya tahu pendapat saya ini tidak populis.

Buku ini merupakan percubaan Dawkins untuk membuktikan bahawa tuhan tidak wujud dan manusia boleh hidup tanpa tuhan. Pelbagai persoalan dibawa dan di hujahkan, antaranya termasuklah persoalan dari mana kita menentukan standard moral jika kita memilih untuk menolak tuhan dan agama.

Dawkin saya kira agak ekstrim dalam pemikiran nya terutamanya apabila melibatkan soal kanak-kanak. Dawkins berpendapat ibu bapa tidak berhak menentukan agama bagi anak-anak. Seperti mana kita tidak menyuruh anak-anak memilih kefahaman politik di awal usia begitu juga dengan agama. Kanak-kanak bagi Dawkins perlu diberi peluang untuk memilih agama apabila sudah matang usia.

Jadi mengapa saya tidak menjadi atheist setelah membaca buku ini?

Ada beberapa perkara yang saya masih tidak dapat terima hasil hujah Dawkins, meskipun saya berjanji pada diri untuk membaca secara terbuka tanpa prejudis ketika kali pertama saya menyelak helaian buku ini.

Pertama adalah berkenaan dengan alternatif yang diberi Dawkins. Dawkins beriman bahawa bukan Tuhan yang menciptakan manusia sebaliknya manusia merupakan produk dari evolusi yang berlaku secara semula jadi. Apa masalah yang ada pada teori evolusi?

Sering kali dalam buku ini Dawkins menafikan bahawa evolusi tidak sama dengan 'secara tidak sengaja' atau by chance. Kita tidak dapat menerima sekiranya angin taufan bertiup kencang menerbangkan besi-besi lalu terbentuk pesawat Boeing secara tidak sengaja. Evolusi tidak sama dengan 'secara tidak sengaja' tetapi merupakan proses adaptasi perlahan lahan sesuatu organisma dari organisma simple kepada yang lebih kompleks melalu proses yang dinamakan natural selection.

Masalah pada teori ini yang pertama adalah pada permulaan nya. Dawkins menyatakan ia bermula dengan reaksi kimia berbilion tahun dahulu, hasil reaksi kimia lalu tercipta organisma simple seperti satu sel, kemudia ia beradaptasi hingga menjadi pelbagai organisma kompleks seperti yang kita lihat pada hari ini. Sehingga kini tiada saintis yang dapat mencipta satu hidupan menggunakan bahan tidak hidup seperti reaksi kimia, menyebabkan premise ini tidak masuk akal pada saya.

Masalah pada teori evolusi yang kedua adalah proses natural selection. Sekiranya organisma berevolusi sebagai contoh dari katak kepada monyet, akan ada hidupan pertengahan sebelum ia sempurna. Kita namakan sebagai katnyet (katak campur monyet). Tetapi tiada bukti fossil untuk menyokong teori ini, bahkan tulang monyet berjuta tahun yang lalu sama dengan tulang monyet hari ini. Banyak fossil-fossil dipalsukan untuk tujuan menjayakan teori ini yang akhirnya terdedah.

Masalah seterusnya, sekiranya chimpanzee berevolusi menjadi manusia kenapa kita masih mempunyai chimpanzee pada hari ini? Bukan kah evolusi merupakan cara survival, maka sepatutnya chimpanzee tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana dunia telah pupus, ia patut pupus dan meninggalkan hanya manusia. Sekiranya organisma berevolusi untuk terus kekal, mengapa burung dodo pupus? Mengapa burung dodo tidak berevolusi menjadi dokap (dodo dan siakap) atau dowal (dodo dan bawal) dan hidup didalam air untuk meneruskan kelangsungan spesisnya? Bukankah ia mampu berevolusi?

Kedua, selain dari alternatif yang diberikan oleh Dawkins untuk menggantikan tuhan, adalah logik akal. Hujah Dawkins menolak agama adalah agama membawa pelbagai benda karut yang tidak boleh diterima akal logik. Dan manusia diminta beriman kepada perkara yang tidak masuk akal tanpa mempersoalkan nya. Kebanyakan contoh yang diberikan di dalam buku ini merupakan sedutan dari Old Testament dan Bible (sebagai contoh kekeliruan triniti).

Ini sebenarnya bertentangan dengan Islam. Islam menurut apa yang saya faham membawa kefahaman yang dapat diterima akal. Terdapat juga beberapa perkara yang mungkin sukar kita fahami seperti bagaimana Rasulullah dapat naik ke langit semasa Isra' Mikraj. Tetapi kita tidak mampu mengatakan ianya tidak masuk akal. Mengapa? Sebagai contoh jika 5000 tahun dahulu jika ada manusia yang mengatakan bahawa dia boleh berkomunikasi secara terus dengan keluarganya di benua lain, dia akan dikatakan gila. Tetapi pada hari ini, ia perkara biasa dengan kemajuan teknologi seperti internet. Tentu lah tuhan mempunyai teknologi yang lebih maju dari manusia sendiri.

Sebab terakhir saya menolak atheisma adalah sumbangan sarjana Islam sendiri. Eropah maju pada hari ini hasil kajian dan ilmu yang diwarisi dari tamadun Islam. Angka '0' sendiri merupakan ciptaan sarjana Islam yang membolehkan kita menggunakan matematik pada hari ini. Angka '0' tidak ada dalam roman numerals.

Jika Dawkins mengatakan agama menyekat kemajuan sains ini sama sekali tidak benar. Ummat Islam mundur pada hari ini bukan kerana agamanya tetapi sikapnya. Islam bahkan menyuruh manusia berfikir seperti yang dianjurkan dalam Al-Qur'an. 

Namun, buku ini bukan lah semuanya negatif. Ada sudut-sudutnya yang membuatkan saya ketawa, malah banyak sudutnya membuatkan saya berfikir. Inilah yang penting pada kira saya, kita tidak boleh menyekat manusia untuk berfikir. "Jangan berfikir banyak nanti jadi gila" bagi saya tidak relevan kerana Al-Qur'an sendiri bertanya kepada kita "Afalam yatafakkarun" - adakah kamu tidak berfikir? Fungsi akal di iktiraf dalam Islam. Keberanian kita berfikir apa yang tidak orang lain fikir, dan keberanian kita untuk berbeza pemikiran lah yang akhirnya melahirkan penemuan dan teknologi baru.

Apabila melihat kesungguhan para saintis barat  berusaha membuktikan dan meyakinkan masyarakat bahawa tuhan tidak wujud. Teringat satu ayat firman Allah beribu tahun yang lalu, seolah-olah telah bersedia untuk memberi jawapan kepada gerakan saintis atheist pada hari ini.

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman!" Mereka menjawab, "Apakah kami akan beriman seperti orang-orang yang kurang akal itu beriman?" Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang kurang akal, tetapi mereka tidak tahu"

(Al-Baqarah : 14)

Sabtu, 2 Mei 2015

Catatan Baitul Muslim 5



Saya masih ingat perbualan saya dengan seorang pakcik semasa di awal perkahwinan saya dahulu. Pada ketika itu anaknya baru bertunang, zaujah saya dan anaknya kawan sekolah. Jadi saya menemaninya menghadiri majlis pertunangan kecil-kecilan itu. Lama juga menunggu sebenarnya, mujur pakcik tersebut sudi menemani saya bersembang. Kalau tidak, masa akan berlalu dengan begitu perlahan.

Perbualan itu mungkin perbualan yang saya akan ingat sampai bila-bila, I admit that I enjoyed most of it,  walaupun pakcik tersebut pun mungkin tak akan ingat apa yang dia katakan pada saya. Saya sekadar mahu berbual berkenaan isu-isu umum sahaja. Tapi tanpa diminta pakcik itu memberi saya nasihat nasihat kekeluargaan, yang saya kira begitu besar impaknya pada pemikiran saya.

Pakcik berulangkali dalam perbualan kami mengulangi perkataan 'sabar'. Cara pengulangan nasihat dalam tiap butir patah nasihatnya membekas di hati saya. Secara jujur saya tak pernah bersedia berkahwin, dan tidak tahu bagaimana untuk bersedia, dan apa itu bersedia. Pernah juga bertanya pada ibu. Ibu kata "Sediakan hati"

But I think thats the beauty of life.

Perkara-perkara dalam hidup banyak yang kita hadapi tanpa bersedia. Jika tanya saya beberapa jam sebelum SPM, PMR atau UPSR dulu adakah saya sudah bersedia, saya akan kata saya belum bersedia. Kita boleh buat persediaan, tetapi untuk rasa bersedia, itu mungkin sesuatu yang berbeza.

Saya seorang yang simple minded, jarang marah. Jadi, tanggapan awal saya pada diri sendiri sebelum kahwin ialah I will survive this, how bad it could be. Dan saya merasakan sabar itu perkara yang mudah, dan kini saya sedar bertapa saya, sebenarnya salah. Sekarang baru saya mula belajar dan memahami apa itu sabar, it is much more complex than just 5 alphabets.

Lelaki dan perempuan ALLAH ciptakan dengan segala keindahan, keindahan itu berbeza antara satu sama lain. No matter how hard you try, there will be a clash. Jadi saya sekarang belajar untuk senyum, untuk gembira walaupun realitinya sebaliknya. Tetapi itulah hakikat perkahwinan, bukan masa, tenaga sahaja yang perlu dikorbankan. Kadang anda perlu mengorbankan perasaan.

Mungkin orang akan berfikir bahawa perkara ini adalah sesuatu yang negatif, saya lebih merasakan ianya satu yang normal. Perkahwinan adalah proses saling mengenal, saling memahami dan dalam beberapa perkara saling terluka. Tidak semuanya manis, tetapi memilih untuk terus bersabar, memaafkan dan memahami, itulah yang akan membuatkan ia bermakna dipenghujungnya, when we can finally gaze at each other when our hair has turn grey and say "we have done it, together".

Perkara yang kita berkorban untuk mendapatkan nya adalah perkara yang akan kita lebih hargai. Sekiranya anda terasa hati dengan zaujah dan zauj anda, ketahuilah perkahwinan anda adalah normal. Tetapi untuk mengurus clash tersebut dengan rasional merupakan satu proses yang panjang, jika anda gagal pada kali pertama jangan menyerah kalah. Anda tidak silap membuat pilihan, dia adalah orang yang sama yang anda pernah anda cintai pada kali pertama. Ciptalah kali kedua dan seterusnya.

Bersabarlah.

Uhibbukifillah.