Jumaat, 25 September 2015

Setenang layunan lalang hijau



Sinar mentari dikala petang memancar laju
Menyirami lautan lalang saujana luas seluas kalbu
Lalang hijau pun bersinar bercahaya beribu
Sedang aku termenung melihat keagungan ciptaanmu

Perasaanku pun terbang melintasi bintang di udara
Ketenangan datang di kala masa tanpa di duga
Angin bertiup sayup dari utara 
Aku masih dalam lamunanku cuba meneka misteri buana

Sungguh nafas manusia begitu singkat
Semalam menangis merah disambut jururawat
Hari ini sudah memegang tangan isteri erat
Insan baru pula bakal terbit menyambung zuriat

Kadang perasaan kesah memikir belanja
Namun kuasa tuhan tiada yang mampu meneka
Bukankah rezekimu telah tertulis wahai manusia
Menunggu kamu berusaha memetiknya sahaja

Ketenangan datang dalam pelbagai cara
Ada kala ia menyapa dari senyuman yang tercinta
Di kebanyakan masa
Hadir ia dari keindahan semesta

Aku termenung kali ini cuba merungkai rahsia
Sinaran jingga petang membasahi mata
Apa rahsia disebalik keagungan penciptaan yang esa
Mampu menukar duka kepada ketenangan jiwa
Pipit berterbangan merentas angkasa
Sudah senja mereka pulang bersama
Awan merangkak perlahan melintasi puncak gunung
Aku masih lagi termenung

Alam memberi ketenangan yang menusuk jiwa
Lebih dalam dari apa yang mampu dipuaskan harta
Ya tuhan kuharap kekuatan dari engkau
Beriku ketenangan setenang layunan lalang hijau

From my sisters' lips



Penulis: Na'ima Robert
Penerbit: Bantam books
Tahun: 2005

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apa yang membuatkan seorang wanita Eropah yang mempunyai semuanya harta, kerjaya, rupa paras, kebebasan memilih untuk bersama Islam dan hidup dengan nya. Mereka bukan migran dari benua lain, mereka membesar dengan budaya barat, namun akhirnya memilih Islam.

Buku yang ditulis oleh muslimah kacukan Zulu-Scotland ini memberi gambaran kehidupan, emosi, perasaan disebalik wanita bertudung dan berpurdah di Eropah. Gambaran media yang menggambarkan wanita muslim sebagai minoriti yang tertindas, dinafikan hak, dan hidup dalam kawalan lelaki, Na'ima Robert memberi cabaran kepada pandangan ini dengan pendekatan berbeza. Disebalik gambaran buruk itu, muslimah terutamanya di Eropah hidup dalam keadaan yang baik, mereka mampu bergelak-ketawa, mempunyai masa untuk berhibur, mereka insan seperti insan lain.

Buku ini juga memberi gambaran yang lebih mendalam mengenai kebebasan wanita, yang mana selama ini 'kebebasan wanita' suaranya dipelopori golongan feminis mengikut definisi nafsu mereka sendiri. Sebaliknya kebebasan itu diertikan dengan skop yang lebih mendalam, lebih memberi kesan kepada jiwa. Islam membebaskan wanita dari kejahilan, mebebaskan wanita dari dijadikan objek seks untuk melariskan barang jualan. Wanita muslimah tidak perlu lagi mengejar kecantikan mustahil, kecantikan yang di'edit' menggunakan photoshop dan pembedahan plastik. Wanita muslimah bebas menjadi diri mereka sendiri.

Buku ini sesuai dikaji dan dibincangkan oleh golongan Feminis dan mereka yang mempunyai ideologi yang sama dengan pergerakan 'Sisters of Islam'. Satu buku yang sangat saya sarankan untuk dibaca, terutamanya buat para muslimah.

Khamis, 10 September 2015

Start-Up Nation : The Story of Israel's Economic Miracle



Penerbit: Twelve
Penulis: Dan Senor dan Saul Singer

Sepanjang pengalaman membaca buku, cara yang paling baik untuk mendapatkan buku yang bermutu adalah melalui recommendation dan review, after all you can't judge the book by its cover. Tapi kadang kala, even after recommendation dan review kadang kala kita akan dapati buku tersebut tidak menepati cita rasa dan expectation kita. Either way, kita akan dapat something dari apa yang kita baca.

Kalau mengikut 'Booklikes' saya merupakan pembaca kategori Altruist, dalam kata lain, saya suka kongsi pembacaan dengan rakan-rakan dan recommend buku jika saya dapati ia sangat menyeronokkan. Buku yang saya kira saya sering kongsikan dengan rakan lain adalah The World Is Flat tulisan Friedman dan The World Without Islam tulisan Fuller. Banyak juga buku-buku lain, tetapi saya kira dua buku ini idea-idea yang dibentangkan nya paling melekat di minda . Buku tulisan Senor dan Singer ini mungkin merupakan yang ketiga.

Berbeza dengan idea Fuller yang membincangkan percambahan dan perubahan inovasi dalam skala dunia, Senor dan Singer menumpukan case study mereka dalam skala yang lebih kecil, dan memilih satu model negara sahaja, iaitu negara haram Israel. Pendapat peribadi saya, mereka menulis buku ini sebagai promosi dan untuk menampakkan sudut baik Israel, tanpa langsung menceritakan sudut pandang negatif. Buku ini dengan kata lain, ingin mempromosikan model ekonomi Israel tanpa menampakkan unsur penindasan dan pencabulan hak. Israel seolah-olah maju dengan usaha mereka sendiri, tidak diceritakan wang berbillion yang diberikan Amerika kepada Israel setiap tahun.

Disebalik semua ini, tidak salah kita mengambil pelajaran daripadanya. Salah satu idea yang merevolusikan minda saya dalam buku ini, adalah budaya suka bertanya dan mempersoalkan sesuatu dikalangan orang Israel. Budaya ini tertanam erat, dan dapat dilihat dalam semua lapis masyarakat, baik dalam sivil, ketenteraan, politik dan lain-lain. Dengan kata lain, persoalan dan perdebatan merupakan satu nilai yang di hargai, dimana setiap idea akan dibahaskan dan dipersoal. Kesannya, idea yang tidak bernas akan di tinggalkan, idea yang lama diperbaharui, dan inovasi menjadi norma.

Budaya ini berbeza dalam masyarakat melayu khususnya dan masyarakat Muslim umumnya. Mempersoalkan tindakan orang yang lebih tua dianggap biadap, banyak bertanya merupakan satu perkara yang dipandang buruk dan tidak berfaedah. Akhirnya, segala perkara dilakukan mengikut cara lama, tiada penambah baikan, tiada ruang untuk idea baru bercambah. Orang terdahulu telah melakukan nya, kita perlu mengulangi sahaja apa yang mereka lakukan tanpa mengubahnya.

Buku ini juga, banyak berkisar tentang kejayaan bangsa imigran yahudi, mereka menjadi usahawan yang berani kerana mereka tiada pilihan lain. Untuk berjaya, mereka perlu menjadi pencipta dan berinovasi, menubuhkan syarikat high-tech dan menarik pelabur luar. Akhirnya, syarikat baru atau start-up  merupakan perkara biasa. Gagal dalam perniagaan merupakan pencapaian yang boleh di masukkan ke dalam resume. Ia merupakan pengalaman berharga. Minda seperti ini, tidak kita temui dalam masyarakat kita, di mana semua orang selesa dengan makan gaji.

Saya tidak mahu mengatakan bahawa model yang dipersembahkan adalah 100 peratus baik dan perlu kita implementasi dalam konteks masyarakat kita, namun apa yang baik dan boleh kita perbaiki seharusnya kita ambil dan manfaatkan. Model innovasi dan budaya risk-taker perlu kita suburkan dan di assimilisasikan dalam budaya kita. Kita tidak perlu menukar budaya, kita hanya perlu menukar gaya fikir kita.

Ahad, 6 September 2015

Catatan Baitul Muslim 8



Kereta kami berhenti lama, sekejap berjalan sekejap kemudian berhenti semula. Kereta terlalu banyak memenuhi lebuh raya. Keluar saja tol Ipoh kereta sudah beratur. Entah jam berapa baru sampai semula ke Kuala Lumpur. Perjalanan dua hari memenuhi jemputan walimah sahabat sememangnya memenatkan. Tetapi berbaloi. Orang ramai mengambil peluang cuti tiga hari merdeka untuk berjalan bersama keluarga.

Seorang sahabat membuka bicara "Ish tak sangka Ahmad tu dah kahwin, nampak macam budak-budak lagi". Saya tersengih, setiap kali bersama sahabat-sahabat saya suka bergurau, kadang kala mereka juga merajuk kerana saya terlebih usik. Saya menjawab, "Ala nanti anta dah kahwin anta akan jadi matang macam ana". Kami ketawa bersama satu kereta.

Sering kali kita tertanya apa itu definisi kematangan?

Pernah sekali saya mendengar siaran radio, seseorang itu akan menjadi matang apabila dia mula menguruskan akaun bank nya sendiri. Dia yang menentukan berapa wang perlu dibelanjakan setiap bulan, mencari wang untuk dimasukkan kedalam akaun, berapa banyak perlu disimpan, berapa banyak perlu dilaburkan. Perkara ini di definisikan sebagai kematangan dalam siaran radio tersebut.

Namun saya kira, ia merupakan satu sudut kematangan sahaja. Kematangan dari segi keewangan, tidak semestinya matang dari sudut kehidupan. Saya membaca sebuah buku tulisan Dan Senor dan Saul Singer bertajuk Start-Up Nation. Dalam buku tersebut, penulis menceritakan bagaimana orang Israel ini menjadi matang diusia muda.

Ada dua perkara, pertama mereka menyertai perkhidmatan ketenteraan wajib selepas tamat persekolahan. Dengan menjadi tentera, mereka bertanggungjawab keatas nyawa rakan-rakan seperjuangan, nyawa penduduk awam, juga aset-aset ketenteraan dibawah mereka. Yang kedua, mereka berkahwin di umur yang muda.

Kefahaman saya, seorang itu matang apabila dia mampu memikul tanggungjawab. Seorang suami sebagai contoh, apabila membuat sesuatu keputusan dia akan mengambil kira keperluan zaujah dan anak-anak, dia mengorbankan kepentingan kerjaya dan kesenangan dirinya untuk kecukupan baitul muslim yang dibina. Apabila dia mampu bertanggungjawab bukan lagi kepada dirinya sahaja, tetapi melibatkan orang lain, dia telah matang.

Seorang yang suka bergurau tidak bererti dia tidak matang, kerana suka bergurau dan mengusik itu merupakan satu dari sifat-sifat manusia. Ada manusia bersifat pemarah, ada yang penyabar, ada yang romantik, ada yang jiwang, ada yang pendiam. Itu adalah warna-warni ragam sifat manusia. Apa pun sifatnya, jika dia telah mampu memikul tanggungjawab, dia boleh dikatakan telah matang.

Kematangan bagi saya, apabila zauj atau zaujah itu membuat keputusan bukan untuk kebaikan dirinya sahaja, tetapi mengambil kira keperluan baitul muslim yang dibina. Baitul muslim lebih besar dari sekadar mengambil gambar selfie berbaju pengantin untuk diedarkan kepada dunia di alam maya. Baitul muslim adalah amanah dan tanggungjawab, bersusah dan bersenang bersama sehingga kaki suami, zaujah dan anak-anak sama-sama memijak syurga.

Kami akhirnya sampai ke Kuala Lumpur sekitar lapan malam, setelah mengharungi lima jam di atas lebuh raya.

Uhibbukifillah.