Ahad, 6 September 2015

Catatan Baitul Muslim 8



Kereta kami berhenti lama, sekejap berjalan sekejap kemudian berhenti semula. Kereta terlalu banyak memenuhi lebuh raya. Keluar saja tol Ipoh kereta sudah beratur. Entah jam berapa baru sampai semula ke Kuala Lumpur. Perjalanan dua hari memenuhi jemputan walimah sahabat sememangnya memenatkan. Tetapi berbaloi. Orang ramai mengambil peluang cuti tiga hari merdeka untuk berjalan bersama keluarga.

Seorang sahabat membuka bicara "Ish tak sangka Ahmad tu dah kahwin, nampak macam budak-budak lagi". Saya tersengih, setiap kali bersama sahabat-sahabat saya suka bergurau, kadang kala mereka juga merajuk kerana saya terlebih usik. Saya menjawab, "Ala nanti anta dah kahwin anta akan jadi matang macam ana". Kami ketawa bersama satu kereta.

Sering kali kita tertanya apa itu definisi kematangan?

Pernah sekali saya mendengar siaran radio, seseorang itu akan menjadi matang apabila dia mula menguruskan akaun bank nya sendiri. Dia yang menentukan berapa wang perlu dibelanjakan setiap bulan, mencari wang untuk dimasukkan kedalam akaun, berapa banyak perlu disimpan, berapa banyak perlu dilaburkan. Perkara ini di definisikan sebagai kematangan dalam siaran radio tersebut.

Namun saya kira, ia merupakan satu sudut kematangan sahaja. Kematangan dari segi keewangan, tidak semestinya matang dari sudut kehidupan. Saya membaca sebuah buku tulisan Dan Senor dan Saul Singer bertajuk Start-Up Nation. Dalam buku tersebut, penulis menceritakan bagaimana orang Israel ini menjadi matang diusia muda.

Ada dua perkara, pertama mereka menyertai perkhidmatan ketenteraan wajib selepas tamat persekolahan. Dengan menjadi tentera, mereka bertanggungjawab keatas nyawa rakan-rakan seperjuangan, nyawa penduduk awam, juga aset-aset ketenteraan dibawah mereka. Yang kedua, mereka berkahwin di umur yang muda.

Kefahaman saya, seorang itu matang apabila dia mampu memikul tanggungjawab. Seorang suami sebagai contoh, apabila membuat sesuatu keputusan dia akan mengambil kira keperluan zaujah dan anak-anak, dia mengorbankan kepentingan kerjaya dan kesenangan dirinya untuk kecukupan baitul muslim yang dibina. Apabila dia mampu bertanggungjawab bukan lagi kepada dirinya sahaja, tetapi melibatkan orang lain, dia telah matang.

Seorang yang suka bergurau tidak bererti dia tidak matang, kerana suka bergurau dan mengusik itu merupakan satu dari sifat-sifat manusia. Ada manusia bersifat pemarah, ada yang penyabar, ada yang romantik, ada yang jiwang, ada yang pendiam. Itu adalah warna-warni ragam sifat manusia. Apa pun sifatnya, jika dia telah mampu memikul tanggungjawab, dia boleh dikatakan telah matang.

Kematangan bagi saya, apabila zauj atau zaujah itu membuat keputusan bukan untuk kebaikan dirinya sahaja, tetapi mengambil kira keperluan baitul muslim yang dibina. Baitul muslim lebih besar dari sekadar mengambil gambar selfie berbaju pengantin untuk diedarkan kepada dunia di alam maya. Baitul muslim adalah amanah dan tanggungjawab, bersusah dan bersenang bersama sehingga kaki suami, zaujah dan anak-anak sama-sama memijak syurga.

Kami akhirnya sampai ke Kuala Lumpur sekitar lapan malam, setelah mengharungi lima jam di atas lebuh raya.

Uhibbukifillah.

Tiada ulasan: