Generasi muda adalah generasi yang bersemangat, dalam banyak tindak tanduk mereka akn bertindak dengan semangat melebihi dari berfikir panjang. Semangat anak muda inilah yang menyaksikan mereka mudah digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak yang mahu kan perubahan mengikut agenda mereka.
Dalam hal ini peranan media sangat penting. Dalam bukunya, Ryan Holiday menyebut, salah satu teknik pemasaran produk atau event, adalah dengan memanipulasikan perasaan marah. Isu-isu politik di sensasikan, agar perasaan marah ini dapat dinaikkan. Mereka akan mula berkongsikan berita ini tanpa disuruh kerana perasaan marah tadi, akhirnya sesuatu produk atau event akan tersebar lebih pantas dari api yang sedang membakar. Dalam sekelip mata semua orang akan tahu akan nya.
Inilah yang digunakan untuk menggerakkan sebahagian besar anak muda, mereka akan bersama berdemostrasi, tanpa sedar siapa yang sebenarnya dibelakang demonstrasi tadi dan apa tujuan mereka. Mereka berdemonstrasi kerana kemarahan yang tercetus dari pembacaan portal-portal berita online yang memanipulasikan kemarahan.
Sebenarnya perkara ini telah lama digunakan dan menjadi amalan biasa. Dalam banyak siri-siri perperangan dunia, golongan muda disiapkan untuk mati di medan perang. Seorang tentera British ketika di medan tempur bertanya kepada dirinya, "Kenapa aku harus membunuh orang German ini, aku tidak kenal perwatakannya, tetapi dia menjadi musuhku, mungkin kah dia juga mempunyai anak dan keluarga seperti ku?". Ya, anak muda sering dicaturkan, siapa yang menjadi pemain dibelakangnya, ini soalan yang perlu anda jawab dahulu.
Siapa penaja demonstrasi ini? kenapa mereka sudi menaja? Mungkin mereka baik, mereka mahukan kita bebas dari cengkaman pemerintahan yang korup dan penindas. Penaja seperti National Democratic Institute (NDI) , Open Society Institute (OSI) yang mengeluarkan dana melalu National Endowment for Democracy (NED) bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia untuk menjadi negara yang demokratik, liberal dan moden. Naif!
Mari kita berfikir dan melihat sejarah apa yang dimaksudkan oleh demokrasi ini. Tahun 1991 parti Islam FIS memenangi pilihanraya di Algeria secara demokratik, tahun berikutnya Amerika menyokong tentera menggulingkan kerajaan. Professor John Entelis memberi komentar berkenaan peristiwa ini berkata:
"In short, a democratically elected Islamist government hostile to
American hegemonic aspirations in the region was considered
unacceptable in Washington."
Peristiwa di Mesir pada tahun 2013 juga masih segar dalam ingatan kita, bagaimana presiden Morsi yang dipilih secara demokratik digulingkan, dan Amerika bahkan merestui penggulingan ini. Dimana NDI, OSI dan NED semasa demokrasi dibunuh di Mesir?
Jadi anda masih beriman pada demokrasi dan penaja-penaja di belakangnya dengan harapan Islam bakal tertegak di Malaysia satu hari nanti? Anda rela digunakan, dan anda yakin demonstrasi ini bakal menaikkan pemimpin Islam? Teruskan bermimpi.
Timbul satu persoalan.
Dalam negara demokrasi ini. Macam mana cara yang patut kita nak membawa suara tidak puas hati dan menggesa perubahan?
Adakah kita hanya redha dengan keadaan yang ada dan mengatakan ini semua ketentuan ALLAH?
Sebenarnya cara berfikir kita perlu diperbetulkan. Pilihan kita bukan antara kerajaan dan pembangkang sahaja. Saya sangat benci dengan golongan yang berfikir seperti ini, dunia bagi mereka hanya ada dua pilihan, menjadi macai kerajaan atau macai pembangkang. Bagi saya kedua-duanya wajar di kritik apabila salah, dan dipuji apabila berlaku baik.
Perubahan kepada politik yang baik dan sihat bagi saya tidak mutlak hanya pada parti. Sekiranya anda tidak berpuashati dengan parti anda, maka anda membuat parti baru. Malaysia yang sedia ada telah berpecah akan berpecah lagi, keputusan ini tergesa-gesa. Negara rahmah yang bagai mana yang kita mahu bentuk sekiranya kita terus berpecah.
Perubahan politik boleh dilakukan diluar parti, melalui pendidikan dan pembinaan kefahaman pada generasi muda. Mendidik barisan-barisan generasi baru agar menjadi penyokong kepada keadilan Islam dan perjuangannya. Ya, ia lambat, perlahan tetapi yakin lah ia selamat dan bernafas panjang.
Apa guna kita mampu menumbangkan kerajaan, mendirikan pemerintahan yang adil dan demokratik, tetapi hanya bertahan selama beberapa bulan dan digulingkan semula kemudian kerana tiada barisan yang kuat untuk menyokongnya. Tindakan ini tidak bijak dan gopoh. Kita perlu belajar dari orang lain, belajar dari sejarah, dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kita tidak boleh memetik buah yang masih belum matang.
Berfikirlah dahulu sejenak sebelum bertindak, perubahan apa yang akan berlaku selepas selesai pertempuran di jalanan. Sejarah memberitahu kita kegopohan hanya menatijahkan kegagalan. Terpulang pada kita untuk belajar atau mengulangi kesilapan yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan