Perjalanan hidup sememangnya pantas, kadang kala saya merasakan ia lebih pantas dari sekelip mata. Setiap minggu pasti ada jemputan majlis perkahwinan, minggu ini dua rakan sekolah berkahwin, perkongsian ini sedikit sebanyak untuk mereka.
Membina baitul muslim sememangnya banyak memberi pelajaran kepada saya, ia bukan hanya yang indah seperti karya novel fantasi, ia datang dengan tanggungjawab, dan pengorbanan. Perlu belajar menyesuaikan diri dengan keluarga baru, belajar menjaga hati keluarga yang lebih besar, belajar lebih bertanggung jawab, juga belajar membuat keputusan. Dalam banyak ketika kita akan tersalah, jangan takut, di titik kesilapan itulah sebenarnya kita belajar.
Teringat perbualan dengan zaujah pada suatu ketika, katanya dia menyesal kerana tidak banyak membaca ketika awal mengandung anak pertama. Banyak perkara dan perubahan diri yang tidak dia ketahui adalah perkara biasa, menyebabkan ada ketika dia tidak berjaya mengawal perasaan. Saya juga begitu, tidak banyak membaca juga tidak bersedia menjadi ayah, jika roda masa mampu diputar semula banyak kata-kata yang saya mahu tarik semula, perbuatan yang saya mahu tidak pernah melakukannya. Hakikatnya kesilapan itu telah menjadi buku teks dalam silibus kehidupan kita, tidak mampu dipadam tapi bisa diambil pelajaran sentiasa.
Satu perkara yang saya rasai setelah berumah tangga adalah perubahan cara berfikir. Jika selama ini sebagai contoh untuk membeli kasut futsal, saya tidak perlu berfikir panjang dan membeli tanpa ada second thought. Tapi setelah berkahwin, setiap keputusan tidak lagi semudah itu. Pasti banyak fikiran kedua yang akan hadir, keperluan-keperluan keluarga akan membayangi minda.
Jika sebelum ini gembira dan bahagia seorang lelaki adalah apabila dia dapat melakukan aktiviti yang disukai seperti bersukan dan keluar bersama teman-teman, kini tidak lagi. Memberi kecukupan kepada keluarga adalah perkara yang membahagiakan, sekalipun kecukupan diri tidak tertunai. Melihat zaujah dan anak-anak senyum dan gembira adalah perkara yang mampu memadamkan kepenatan seharian bekerja.
Kata-kata zaujah juga memberi kesan. Contohnya sekiranya zaujah berkata " cantiknya kasut ni", perkara yang akan muncul di minda anda adalah berapa harga kasut tersebut, anda tidak akan memikirkan soal kecantikan kasut tersebut. Kerana psikologi lelaki mahu melihat pasangan nya gembira, walaupun sebenarnya isteri hanya berkata begitu sebagai modal berbual. Kerana bagi lelaki memberi kecukupan itu yang membahagiakan nya. Sekiranya dia tidak dapat menunaikan nya, dia akan berasa resah. Jadi kepada para zaujah dan bakal zaujah, bijak lah dalam menyusun kata-kata.
Perkara penting saya kira kepada kita semua adalah membaca, ia tidak dapat menyelesaikan masalah anda seratus peratus, tetapi anda akan mempunyai idea untuk berhadapan dengan sesuatu situasi. Belajar dari pengalaman orang lain agar anda tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Perkahwinan adalah proses untuk saling faham memahami. Proses itu bukan berlaku sehari dua, perbezaan pasti ada. Bersabarlah, dan pilihlah untuk bahagia.
Selamat bercinta. Uhibbukifillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan