Artikel ini merupakan kesimpulan awal terhadap pembacaan dan penelitian terhadap dua model ekonomi yang sentiasa bersaing dan diperkatakan, model ekonomi yang sering menjadi perbandingan, dan dijadikan alternatif jika salah satu dari nya gagal. Jika berkesempatan kita mungkin boleh mempertimbangkan untuk membincangkan model ekonomi yang ketiga iaitu model ekonomi Islam.
Saya mengambil kira ekonomi sebagai cabang 'muamalat' yang mana ia tidak ditentukan secara 'qat'ei' , membawa maksud ia boleh disusun mengikut kemampuan akal manusia. Islam walaubagaimanapun menetapkan asas kepada sistem ekonomi dimana prinsip keadilan ditegakkan, pemansuhan riba, dan juga membanteras penindasan. Ekonomi adalah sistem pengurusan harta, perdagangan, jual beli bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia. Kerana ekonomi adalah cabang muamalat, pembaharuan dalam sistem ekonomi tidak boleh dikatakan sebagai bidaah.
Model ekonomi yang pertama, iaitu model kapitalis lahir dari rasa tidak puas hati pedagang-pedagang yang merasakan mereka tidak bebas dalam menjalankan perniagaan. Sistem ini menolak monopoli golongan monarki, dan juga sistem feudalisme. Hasil kerja yang menjadi rujukan utama bagi sistem ini adalah tulisan ahli ekonomi dari Scotland, Adam Smith pada tahun 1776 dengan bukunya yang bertajuk The Wealth of Nation. Sistem kapitalis menggalakkan kebebasan pasaran (free market), mengiktiraf pemilikan harta (private property). Ini bererti pasaran harus dibuka secara sama rata tanpa ada monopoli oleh entiti monarki atau syarikat yang mewakili kerajaan. Dan manusia bebas memiliki harta.
Namun semua sistem tidak sempurna, hakikat ini bukan kerana masalah sistem itu sahaja, tetapi berbalik kepada manusia itu sendiri. Kerana akhirnya manusia yang akan menjalankan sistem ini, adalah manusia yang tidak sempurna, ia akan menyebabkan sistem mudah diseleweng. Sistem ekonomi Islam sekalipun jika dijalankan oleh manusia yang mempunyai kepentingan peribadi akan melahirkan satu sistem yang menindas.
Ekonomi kapitalis pada mulanya menolak penindasan golongan monarki yang memerah hasil bumi dari hasil kerja rakyat, namun akhirnya sistem kapitalis sendiri melahirkan penindasan. Akibat dari kebebasan pemilikan harta dan kurangnya kawalan terhadap pasaran, syarikat besar mula mengeksploitasi golongan pekerja, kapitalisme juga melahirkan konsumerisme. Penindasan terhadap golongan bekerja / kaum buruh dapat kita lihat di negara-negara ketiga (third world country), dimana pekerja bekerja dalam keadaan yang dhaif dengan gaji yang rendah.
Penindasan terhadap kaum buruh ini melahirkan idea yang lebih radikal dalam menuntut keadilan ekonomi bagi manusia. Kaum buruh disebut sebagai proletariat oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dalam tulisan mereka The Communist Manifesto pada tahun 1848. Core idea dalam pemikiran komunisme adalah perjuangan golongan proletariat menentang golongan elit kapitalisme yang disebut sebagai bourgeoisie, ia merupakan perjuangan kelas (class struggles). Idea yang sangat radikal ini bukan sahaja menolak pemilikan harta dan pasaran terbuka, tetapi juga menolak agama.
Walaupun komunisme membawa idea yang sangat radikal, ia diterima oleh sebahagian manusia kerana mereka tertindas dibawah sistem kapitalisme. Seperti kapitalisme yang lahir dari perjuangan menolak penindasan, iaitu penindasan golongan monarki dan sistem feudalisme, komunisme juga lahir dari perjuangan menolak penindasan, dalam kes ini penindasan golongan elit kapitalis atau disebut sebagai bourgeoisie. Antara negara yang berjaya mengimplimentasikan idea Marx dan Engels adalah Russia dan China. Russia berubah kepada sistem Komunisme hasil Revolusi Bolshevik dan menyingkirkan Tsar Nicholas II. China berubah dari sistem dinasti kepada Komunisme yang dipimpin oleh Mao Zedong.
Sistem ekonomi komunis mengharamkan pemilikan harta, semua perniagaan adalah kepunyaan kerajaan, dan rakyat diberi pemilikan harta sama rata. Soviet pada mulanya mengalami kepesatan kemajuan ekonomi, hingga berjaya mendahului Amerika dengan menghantar angkasawan pertama ke orbit bumi, iaitu Yuri Gagarin. Namun kerana sistem ini memusatkan kuasa politik kepada hanya seorang manusia, ia akhirnya bertukar kepada sistem diktator. Sistem komunis Soviet runtuh pada tahun 1990 dan Russia berubah mendekati sistem kapitalis kembali. China juga akhirnya gagal mencapai pertumbuhan ekonomi, setelah kematian Mao, China hanya menggunakan nama Komunis tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.
Ahli ekonomi moden seperti Daron Acemoglu dan James Robinson mengemukakan teori bahawa kemajuan ekonomi adalah berkait rapat dengan sistem dan institusi politik. Dimana sistem politik yang sentiasa mempunyai check and balance, transparent dan mengutamakan kepentingan keseluruhan rakyat. Kuasa untuk membuat keputusan tidak hanya terletak pada seorang manusia tetapi dikongsi oleh semua segmen masyarakat. Perkara ini akan membawa kepada keputusan yang menguntungkan orang ramai, bukan kepentingan individu atau kumpulan tertentu.
Kesimpulannya, tidak kira apa juga sistem yang digunakan ia terdedah kepada penyelewengan kerana sifat manusia yang tamak. Salah satu cara untuk memastikan sistem yang dipilih tidak diseleweng adalah menghadkan kuasa pemerintah, pemerintah perlu berada dibawah undang-undang. Dan segala keputusan negara hendaklah dibuat secara kolektif, serta pemusatan kuasa kepada individu atau kumpulan tertentu perlu dihalang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan