Khamis, 28 Jun 2018

Catatan Baitul Muslim 14: Surat Buat Matahari



Sebagai permulaan saya ingin state the obvious. Sebagaimana seorang tidak dapat menerangkan bagaimana rasa manisnya epal atau masamnya limau mandarin kepada orang lain yang tidak pernah merasainya, begitulah rumah tangga. Kita boleh baca jutaan helaian makalah, hadiri jutaan ceramah, malah mungkin buat kajian doktor falsafah berkenaan dengan baitul muslim. Kita tetap tidak dapat memahami maknanya jika kita sendiri tidak merasainya, melaluinya.

Bermula dari titik itu saya ingin bermula, agar minda kita sedar bahawa tulisan ini tidaklah banyak atau berat maknanya melainkan kita sendiri melalui prosesnya.

Sehebat manapun manusia, dia bermula dari permulaan yang sama. Bayi kecil yang lemah tanpa sebarang pakaian. Apabila dia keluar dari perut ibunya, masing-masing bermula dengan permulaan yang berbeza. Ada yang disambut dengan kain emas di dalam istana, ada yang disambut di pondok usang di desa, ada juga yang dibalut kain putih oleh jururawat di hospital. Setiap orang mempunyai pengalaman hidup berbeza, membaca perkara yang berbeza, bersosial dengan watak yang berbeza, semua akhirnya mempunyai pandangan yang berbeza, cara fikir yang berbeza. Sekuat manapun perasaan cinta dua insan yang bersatu itu, mereka adalah insan yang berbeza.

Perbezaan bukanlah membawa makna kebencian, pergaduhan, dan penceraian. Perbezaan perlu difahami sebagai suatu anugerah yang membentuk percintaan. Hidup tidak akan indah jika warnanya hitam dan putih. Tetapi disebalik kepelbagaian warna, kepelbagaian bentuk, kepelbagaian suasana, membuatkan kita merasai keindahan alam. Begitu jugalah kehidupan baitul muslim, tidak semuanya manis, tidak semuanya pahit, kadangkala sakit, kadangkala bosan, kadangkala benci, itulah warna warninya. Semuanya perlu diterima.

Dalam baitul muslim biasanya cinta akan memuncak diawalnya, semakin hari ia akan meninggi. Namun hukum tuhan tetap sama, tiada yang kekal kecuali zat yang Esa. Seperti burung yang terbang bebas tinggi akhirnya perlu turun kembali hinggap di dahan bumi. Cinta akan turun, mendatar, pudar, mungkin juga hilang selamanya. Namun ketahuilah walaupun cinta telah hilang, tanggungjawab akan terus kekal. Cinta adalah emosi yang mustahil kita kawal, tetapi tanggungjawab adalah kontrak yang kita telah terima sebagai sesuatu yang kekal. Hanya batal apabila dipisah nyawa atau penceraian.

Sebagaimana dia menerima baik dan buruk kita, kita juga perlu menerima baik dan buruk mereka. Akan tiba masa kita akan berkata dengan gembira, ada juga ketika kita akan berbicara dengan air mata. Pujangga mengingatkan kita agar tidak berjanji tika suka dan berkeputusan ketika duka. Apabila tiba di persimpangan duka, elakkan dari berkata yang boleh meluka, carilah teduh, sehingga rasional tiba semula. Dalam membuat keputusan sedarilah hidupmu adalah hidupnya dan keluargamu adalah keluarganya.

Helaian-helaian kehidupan akan terselak satu persatu. Akhirnya kau akan tiba di sebuah helaian dimana akan lahir insan ketiga. Keluar dari perutnya lahir ke dunia. Ketika itu sifirnya sudah berbeza. Kala itu cinta akan bertambah, namun cukup untuk dibahagikan kepada tiga. Kemudian mungkin empat, lima, dan seterusnya sesuai dengan tulisan takdir.

Jadilah pasangan yang sentiasa memberi. Jangan sibuk bertanya hak, tapi sibuklah menilai tanggung jawab. Jadilah pasangan yang memahami. Jangan malu memasak, membasuh baju, menukar lampin anak, pasangan kamu adalah sama seperti kamu. Dia peneman hidup bukan bibik atau hamba. Kau ketua keluarga bukan raja. Sang nabi juga tidak malu menjahit capal sendiri, tidak jatuh kemuliaanmu menolong pasanganmu.

Kemuncaknya, yang paling penting saya kira adalah matlamat baitul muslim. Ombak dan badai akan berlalu, jika kita tiada matlamat akhirnya bahtera akan sesat. Tidak tahu hendak ke timur atau barat. Jika matlamatnya selain tuhan, ia tidak akan kekal, kerana semuanya akhirnya akan hancur, semuanya fana. Jika yang dikejar adalah dunia, akhirnya penat, dan kecewa jika hujungnya bukan taubat. Sama-samalah memimpin tangan ke syurga dengan ilmu dan kasih sayang.

Sebagaimana permulaan begitulah akan kembali pengakhiran. Jadi di perenggan akhir nota khutbah tidak rasmi ini, saya ingin mengucapkan selamat merasai sendiri episod cinta dalam helaian-helaian singkat kehidupan. Tiada pengalaman yang sama, sebagaimana buku resepi yang sama melahirkan masakan dengan rasa yang berbeza apabila dimasak oleh tukang berbeza. Maaf jika penulisan ini terlalu lirikal. Cuma mengambil hikmah rangkap lagu UNIC, teman itu ibarat si matahari. Jadi selamat menyulam cinta dalam rumahtangga wahai sang matahari.

Khamis, 14 Jun 2018

Merindui renyai hujan



Sedetik bunyi guruh
Biarpun hujan tidak tiba
Aku tetap kan menunggu

Dalam hidup kadang kala aku merasakan aku telah cuba melakukan yang terbaik, segala keringat telah dicurahkan dan peluh telah kering. Kaki sudah lenguh berlari dan hati sudah lelah mencuba, akhirnya aku tiba di penghujung perjalanan usaha. Namun fikiran ku masih ketakutan, masih belum berani melepaskan usaha dan mengharapkan balasan kejayaan. Seolah-olah aku sudah tiba ke penghujung perjalanan, namun kaki tidak mampu melangkah lagi, masih terikat dengan perasaan.

Maka dipenghujung ini aku pejamkan mata. Menanamkan azam dan meninggalkan usaha. Perlu dikosongkan ruang perasaan dan digantikan dengan keyakinan pada tuhan. Masa lalu tidak mungkin dapat aku raih kembali, ia telah mengalir sesuai dengan arus sungai masa. Yang ada hanyalah masa depan yang masih kabur di sebalik tabir takdir. Saat ini aku sudah tiba di jurang keputusan. Buanglah takut dan waspada. Di penghujung jurang ini pejamkanlah mata.

Terjunlah, biar graviti takdir memutuskan segalanya.

Hanya aku dan udara, bebas.