Saya tak pasti sama ada saya ini pencinta buku atau tidak sebenarnya, ya saya masih membaca, tapi seingat saya tidak sekuat dahulu dimana saya boleh menghabiskan hampir 20 buku setahun. Ketika itu saya membaca hampir setiap masa, sebelum tidur, selepas tidur, masa makan, masa menunggu lampu merah semasa memandu, semasa naik bas. Sekarang tidak lagi, mungkin usia sudah tua, beberapa helai muka surat sudah layu, mungkin masa dan tenaga sudah habis disedut oleh pejabat dan dua anak kecil yang sedang membesar di rumah. Tapi ya, saya masih membaca.
Seingat saya, saya bukanlah minat membaca secara natural sejak kecil. Waktu kami di sekolah rendah, ibu ada beberapa kali membawa kami ke Perpustakaan Negara, mendaftarkan kami sebagai ahli, namun saya lebih gemar ke sudut multimedia dan menyaksikan filem
The Lord of The Ring semasa di perpustakaan. Semasa saya kecil memang kempen membaca sering dilakukan kerajaan, sampai hari ini saya masih hafal lagu
Membaca Gaya Wawasan yang dinyanyikan secara bersama antaranya oleh Siti Nurhaliza, Nazrey Johani (Raihan), Amy Mastura, Dayang Nurfaizah dan lain-lain, hari ini bila tengok semula
video lagu tersebut memang nostalgia, dan sedikit kelakar melihat muka-muka artis masa mereka masih muda. Semasa sekolah rendah pernah juga sertai pertandingan nilam, dimana pelajar perlu pinjam buku di perpustakaan, baca, dan buat sinopsis, siapa paling banyak dia menang.
Ok kembali ke topik asal.
Baru-baru ini seorang sahabat saya, Akif (bukan nama sebenar) berkongsi berkenaan dengan apa yang pencinta buku suka lakukan, antaranya membaca banyak buku dalam satu masa, mengumpul timbunan buku, menulis senarai buku yang ingin dibeli, berasa gembira bila teringat akan buku yang dibaca, berasa sedih apabila tamat membaca buku kegemaran, berhenti dan menghayati ayat yang indah ketika membaca, berasa nostalgik melihat buku lama yang pernah dibaca, gembira membaca semula buku, dan rasa bahagia bila memasuki ke kedai buku dan perpustakaan. Ya, saya boleh relate dengan kebanyakan dari sifat-sifat ini. Tetapi ada satu sifat penting yang tidak disenaraikan.
"Apa? Bookmarking pakai resit, sampul gula-gula? Bau buku, sniffing?" soal Akif.
Bagi saya apa yang tertinggal adalah dualiti bagi membaca. Menulis.
Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh antara penulis kegemaran saya, Carl Sagan, 'membaca adalah magik, kita boleh berkomunikasi dengan manusia yang hidup di era yang berlainan dari kita' (bukan quotation verbatim).
Tetapi untuk itu berlaku, perlu ada orang yang menulis buku. Saya tidaklah mewakili semua penggemar buku. Tetapi bagi saya secara personal, seperti malam dan siang, cinta dan lara, suka dan duka, muda dan tua, salah dan benar, besar dan kecil, panjang dan pendek, perlu dan rindu, hitam dan putih, merah dan biru, kanan dan kiri, kapitalis dan sosialis, tawa dan tangis, dualiti untuk membaca adalah menulis.
Bagi saya apabila membaca minda akan terisi, penuh, mendung, dan terasa berat. Dengan menulis, ia membuka floogate di dalam minda, melepaskan idea dengan analisa, memberi komentari pada idea, membahas wacana, berhujah melawan idea, natijahnya minda kembali ringan, kosong dan dapat diisi dengan idea-idea dari pembacaan baru.
Apabila saya membaca, ada idea yang sangat mengesan jiwa, kadang ia menyentuh sudut hati yang paling dalam, yang saya sendiri tidak tahu ia wujud dalam diri. Kadang ia merupakan ayat dan kisah yang sangat indah. Semua ini akan membuahkan perasaan ingin berkongsi, menulis. Kerana itulah hakikat ilmu, ia berkembang bila dikongsi melalui tulisan.
Jadi bagi saya secara personal (kita boleh berbeza pendapat dalam hal ini, ia tidak dikira bid'ah), seseorang itu belum betul-betul gemar buku jika dia tidak menulis. Kerana seperti siang dan malam, pahit dan manis, dualiti membaca adalah menulis. Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang.