Selasa, 22 Oktober 2019

Sejarah Islam Yang Hilang



Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai, seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.

Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona, cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.

Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam 274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis. Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan sebagai 'sejarah'.

Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri kejayaan mereka.

Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik, bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.

Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di Kuffah.

Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi, dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.

Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman, apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq (rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).

Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil 'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya menewaskan Alfonso.

Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.

Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.

Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.


Selasa, 15 Oktober 2019

Wacana Demokrasi Fareed Zakaria



Akhirnya selesai menghabiskan pembacaan berkenaan dengan wacana demokrasi karya penganalisis politik CNN, Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. Buku ini nipis sahaja, tidak sampai 300 muka surat pun, tapi saya terpaksa membacanya dengan perlahan kerana banyak idea, dan permasalahan yang di ketengahkan perlu di renungi dan difikirkan.

Saya masih ingat ada rakan saya yang bercita-cita membaca 100 buku setahun, saya bertanya mengapa? Katanya umur manusia singkat, dia mahu membaca sebanyak mungkin sebelum tirai nyawanya ditutup. Saya tidak bersetuju, saya lebih cenderung dengan nasihat Chomsky, tidak guna membaca tanpa renungan, dan dilupakan setelah lima saat.

Sejak dari itu, saya tidak hanya membaca. Saya memilih bacaan, menulis semula idea-idea yang saya jumpa sepanjang pembacaan, merenung, menilai, sudah tentu pembacaan lebih lambat, tetapi ia lebih mengayakan jiwa. Jika sebelum ini saya membaca sekitar 20 buku setahun, sekarang hanya sekitar 10 buku setahun.

Buku ini saya kira boleh di lihat dari dua sudut, satu sudut ideologi, dan yang kedua sudut perbahasan intelektual.

Buku ini mendapat pujian dari arkitek perang Vietnam, Henry Kissinger, pengasas teori 'Clash of Civilisation' yang merupakan teori penting permulaan siri perang baru oleh Amerika selepas Perang Dingin, Samuel Huntington, juga orientalis Barat, Bernard Lewis. Jadi kita sudah dapat tahu apa naratif ideologi Fareed Zakaria, iaitu American Exceptionalism. Walaupun kita tidak bersetuju dengan naratif ideologinya, tidak semestinya perbahasan intelektualnya patut kita buang terus ke dalam tong sampah. Saya sendiri membaca karya-karya Kissinger, Huntington, malah penyokong tegar kapitalis seperti Thomas Friedman.

Fareed Zakaria saya kira sangat tepat dalam analisanya yang menggariskan garisan pemisah antara demokrasi dan liberalisma. Dalam kata lain demokrasi boleh wujud dalam kerangka non-liberal. Sementara pemerintahan liberal demokrasi di kebanyakan negara barat adalah dari tradisi lama mereka yang membina konsep constitutional liberalism. Tradisi ini bermula apabila Constantine memindahkan pusat pemerintahan ke Byzantium yang mengukuhkan Gereja Rom dan membolehkannya menjadi pengimbang kuasa. Asas kepada teori kebebasan atau liberalisma adalah pengimbangan kuasa, iaitu kuasa tidak berpusat pada mana-mana individu secara mutlak. Tradisi ini diteruskan dengan pemberontakan baron-baron Inggeris yang melahirkan Magna Carta, Triti Wesphalian, hinggalah ke liberalisma yang kita ada hari ini.

Dari sudut pensejarahan, walaupun demokrasi bermula dari Yunani Kuno, tradisi liberal tidak, contohnya pembunuhan Socrates yang dilakukan dengan aksi demokratik, tetapi ia bukan aksi liberal.
Dalam bab-bab kesimpulan beliau, Fareed Zakaria menyimpulkan perlunya pengurangan demokrasi dalam menyelesaikan permasalahan demokrasi. Beliau membawa contoh institusi mahkamah yang lebih dihormati rakyat berbanding badan eksekutif dan legislatif. Kerana pembukaan institusi kepada sistem demokrasi membawa kepada tekanan politik, yang menyebabkan institusi itu gagal merangka polisi jangka panjang. Sebaliknya terikat dengan kuasa pelobi malah majoriti yang tidak selalunya rasional. Majoriti tidak selalunya betul ini dapat kita lihat dengan pemilihan Hitler yang dibuat secara demokratik, namun natijahnya adalah kepimpinan authoritarian, peperangan, dan pembunuhan beramai-ramai.


Ahad, 6 Oktober 2019

Hari Lahir 20-an Yang Terakhir



Saya bergegas ke pejabat pagi itu, hasratnya mahu bertolak jam 5 pagi, supaya boleh keluar sedikit awal petang nanti untuk mengambil Amni dari tadikanya. Tapi nampaknya tidak sempat kerana terlebih tidur. Semasa bergegas masuk ke dalam kereta dan mahu memulakan perjalanan sekitar jam 6 pagi, ada kotak hadiah bersama kad ucapan ditinggalkan di tempat duduk kiri oleh isteri tercinta. Oh, hari ini hari lahir 20-an saya yang terakhir.

Bukankah hari ini dibenarkan untuk ber-nostalgia?

Kehidupan - Perjalanan mencari diri

Glowacki menulis didalam bukunya bagaimana kanak-kanak melalui proses 'pengindividuan' apabila dia mula sedar bahawa dia merupakan makhluk unik dan mempunyai diri sendiri. Anak-anak mula membuat keputusan sendiri, walaupun dari kaca mata ibubapa ia adalah sesuatu yang remeh-temeh. Contohnya mahu makan nasi di tengah malam ketika semua orang sudah mahu tidur, atau mahu pakai baju tidur bercorak dinosaur untuk pergi ke kenduri-kendara.

Merenung ke belakang, saya tidak ingat apa-apa secara jelas usia awal saya membesar. Tetapi kadang-kala ketika menyelak album lama, melihat gambar kecil saya makan aiskrim dengan comot di tepi kolam Masjid Negara, saya boleh mengimbas sedikit, meski pun tidak begitu jelas.

Saya masih ingat arwah Opah bercerita tentang pengalamannya hidup di zaman penjajahan Jepun, bagaimana beliau menceritakan beliau bersama keluarga masuk menyorok di dalam parit ketika pesawat Jepun mengebom Malaya. Opah banyak menyimpan duit lama, pada suatu hari raya Opah mengeluarkan plastik berisi duit 50 sen lama, setiap cucu diberi dua keping sebagai duit raya. Pada ketika itu di Changkat Tin masih terdapat nasi lemak yang berharga 30 sen, tetapi perlu dibeli pada awal pagi.

Saya membesar di Kuala Lumpur dimana 12 tahun awal kehidupan saya dihabiskan di Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara, Taman Tasik Titiwangsa, merupakan tempat-tempat biasa yang ibu bawa kami lawati. Walaupun tidak ber-ideologi politik ketika kecil saya duduk berdekatan dengan Markas PAS Taman Melewar dan selalu membeli belah di kedai-kedai yang dibuka bersempena dengan acara atau ceramah yang diadakan. Ketika mereka membuat rumah terbuka, saya juga sering beratur bersama anak-anak lain bersalaman dengan ustaz-ustaz PAS, seingat saya, saya pernah bersalaman dengan Ustaz Fadzil Noor. Saya juga selalu melihat perkataan 'ABU' di-spray dimerata tempat di sekitar KL, namun saya tidak tahu maksudnya, hinggalah saya dewasa, baru saya ketahui ia adalah acronym untuk Asalkan-Bukan-UMNO.

Hidup dalam perjalanan

Apabila saya melangkah ke tingkatan satu, ia merupakan satu anjakan besar, ia adalah titik masa yang menandakan bahawa saya tidak lagi hidup di rumah, tetapi hidup dalam perjalanan. Saya masih ingat ketika kali pertama dihantar oleh ibu dan ayah ke asrama di Perlis, saya duduk di kantin - tidak menangis - merenung jauh ke tanah di bawah, permandangan padang, dewan makan, blok aspura dan aspuri, rumah sampah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, hari pertama saya memulakan persekolahan di asrama MATRI.

Selepas itu hidup saya bersama rakan-rakan, yang kebanyakannya menjadi sahamat akrab hingga ke hari ini. Cuti-cuti singkat biasanya saya habiskan di rumah sahabat-sahabat di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, cuma cuti panjang saya menaiki bas Transnasional balik ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat kali pertama menaiki bas pulang, saya tidak dapat tidur, dari malam itu di Kangar sehinggalah sampai di Hentian Pudu. Balik ke KL pun saya akan keluar bersama kawan-kawan, atau ke program dan perkhemahan bersama sahabat-sahabat.

Kali terakhir pulang ke Kuala Lumpur dari Arau setelah tamat SPM , saya menaiki kereta api, walaupun kereta api memakan masa yang lebih lama, 12 jam berbanding 8 jam menaiki bas, tetapi kereta apai mempunyai nostalgianya sendiri. Saya masih ingat antara gerabak terdapat ruang kecil yang mempunyai pintu, perjalanan pulang kali terakhir, saya duduk di tepi pintu yang kami buka, bersama sahabat karibku Abu Asri. Di kala kereta api bergerak, kami menikmati permandangan sawah padi dari Perlis hingga ke Kedah. Kadang kala perasaan rindu hinggap di hujung hati ku, Abu kini sudah tiada, sudah dipanggil Tuhan.

Merenung tingkap bersalji

Tingkap asrama Stachek 111 merupakan tempat kegemaran saya merenung salji yang menyimbah bumi Leningrad. Tidak pernah ke sekolah kebangsaan atau asrama elit, saya merupakan antara pelajar yang bertuah diterima melanjutkan pelajaran dengan biasiswa di bumi revolusi Russia. Saya selalu menaiki keretapi ke Moscow setiap bulan bagi menghadiri program pelajar, program persatuan, dan program kedutaan. Pernah satu ketika saya menulis "terasa seluruh hidupku dihabiskan diatas kereta api".

Tingkap di dalam kereta api di Russia juga cantik dan menggamit jiwa, ketika musim salji kita boleh melihat kawasan perdalaman yang dipanggil Dacha, dengan rumah-rumah kampung yang dilitupi salji. Russia nampak bersih ketika musim sejuk, dengan semua manusia menutup aurat. Apabila salji mula cair, puntung-puntung rokok yang menyorok dibawah timbunan salji mula keluar.

Sehingga ke hari ini

Mungkin disebabkan jiwaku yang suka merenung tingkap dari kecil, sehingga hari ini aku masih berharian menaiki bas. Dahulu untuk belajar, hari ini untuk bekerja. Namun sekarang perenungan aku lebih cantik, hendak ke Pulau Pinang perlu menyeberangi laut, jadi setiap hari Tuhan memberi aku peluang untuk termenung melihat ombak, burung, juga kapal-kapal berlabuh. 

Hari ini aku sudah tiada lagi Opah dan Abu, tapi aku masih punya ayah dan ibu, kini aku punya isteri dan dua anak kecil. Pastinya merenung nostalgia merupakan sesuatu yang manis, sepedih mana pun memori lalu kita boleh melihatnya semula dan tersenyum. Tiba masa untuk kita tinggalkan nostalgia dan memori, untuk hidup pada hari ini. Menyayangi orang yang kita masih ada, menikmati kurnia Tuhan Maha Mulia. 

Walaupun aku bakal meninggalkan hidupku di zaman 20-an, aku gamit nostalgia dan kenangannya. Atas kehidupan, aku bersyukur, oh Tuhan.