Isnin, 13 April 2020

Training at Home: Penulisan Kritis


Alhamdulillah, baru-baru ini berkesempatan untuk memenuhi jemputan IIUM Journalism Club dalam medium Jitsi Meet untuk berkongsi sedikit berkenaan dengan tajuk "Penulisan Kritis". Elok juga jika ditulis sedikit berkenaan dengan perkongsian ini untuk manfaat bersama.

Kenapa kita perlu menulis?

Kata Friedich Nietzsche, seorang ahli falsafah "He who has a why to live can bear almost any how". Kata-kata Nietzsche ini menekankan bahawa kita mesti mempunyai "kenapa" untuk melakukan satu perkara, dengan adanya "kenapa" ini kita akan kekal fokus dan istiqamah melakukan apa yang kita lakukan walaupun didatangi pelbagai cabaran dan dugaan.

Banyak sebab manusia menulis. Tulisan pertama yang direkodkan dalam sejarah adalah tulisan orang Sumer di Mesopotamia yang dikenali sebagai cuneiform, ia bertujuan menyimpan data-data numerik perihal pendapatan, hutang dan percukaian. Namun penulisan ini terhad kepada penyimpanan data numerik, ia tidak boleh digunakan untuk menulis puisi sebagai contoh. Hari ini kita menulis atas pelbagai "kenapa", ada yang menulis bagi menyampaikan cerita, merekod peristiwa dan sejarah, juga menyebarkan idea dan kefahaman. Ada juga orang yang menulis disebabkan sebab-sebab peribadi seperti minat, hobi, sebagai terapi diri, mengisi masa lapang, atau ingin menjadikan aktiviti menulis sebagai kerjaya. Semua ini tidak salah, kita boleh punyai "kenapa" kita yang tersendiri.

Dua sayap ilmu adalah menulis dan membaca. Jadi aktiviti penulisan tidak dapat lari dari pembacaan. Dalam Islam, tiada khilaf dalam penurunan ayat pertama Al-Qur'an iaitu "iqra'", sedangkan ayat terakhir Al-Qur'an mempunyai khilaf dikalangan ulama'. Ini menunjukkan kepentingan membaca bagi umat Islam. Tetapi apa yang hendak kita baca sekiranya tiada orang yang menulis?

Dengan menulis juga kita menjati mata rantai yang menyambung rantaian tradisi keilmuan yang panjang dalam Islam. Tradisi ilmu dalam Islam berkembang dengan penulisan. Perkembangan manusia dalam pelbagai aspek sentiasa memerlukan perkara baru dan sudut pandang baru. Dan penulis sepanjang sejarah telah melaksanakan tugas mereka, kini tiba tugas ini jatuh kepada kita di zaman ini, untuk menulis di zaman baru ini menyambung tugas mereka.

Dari sudut pandang dakwah juga kita memerlukan tulisan-tulisan baru untuk menyegarkan dakwah. Perlu ada idea baru, contoh baru, yang sesuai dengan realiti semasa bagi menarik minat masyarakat terhadap kefahaman Islam.Tidak cukup kita sekadar mengulang baca teks-teks lama era kolonial, tanpa ada usaha menyesuaikan idea mereka dengan situasi semasa kita pada hari ini.

Soalan yang sering bermain di minda kita "jika aku menulis, ada ke orang nak baca?". Kita merasakan diri kita kecil, tidak signifikan, oleh ituia menghalang kita dari menulis. Mari kita telusuri kisah Anne Frank sebagai motivasi untuk kita menulis. Anne mula menulis pada umur 13 tahun apabila bapanya Otto menghadiahkannya sebuah diari. Beliau menulis perkara harian sepanjang Perang Dunia Ke-2 seperti memotong kentang dan bergaduh dengan emak. Perkara-perkara yang mundane dan mungkin beliau juga rasa ketika itu bahawa apa yang ditulisnya tidaklah begitu signifikan. Anne kemudian terbunuh di kem tahanan tentera namun ayahnya Otto berjaya hidup.Otto menerbitkan diari Anne pada tahun 1947 selepas kematian anaknya. Diari beliau telah diterjemah hingga ke 70 bahasa, masih dicetak dan dibaca hingga ke hari ini. Jadi kita tidak perlu risau, kita hanya perlu menulis.

Dengan menulis, kita memberi peluang kepada dunia untuk membaca kisah kita, jika tidak, kisah kita akan mati apabila kita mati. Setiap orang mempunyai kisah mereka tersendiri, setiap dari kita unik dan menarik. Persoalannya hanya, adakah kita akan menulisnya untuk dibaca?

Apa yang hendak ditulis?

Kata penulis British, Aldous Huxley "All that happens mean something; nothing you do ever insignificant". Jadi apa sahaja yang boleh difikirkan atau diimaginasikan boleh ditulis, kita boleh tulis tentang apa sahaja, tiada yang tidak signifikan.

Saya sendiri mula menulis blog pada umur 18 tahun, pada waktu itu saya blogging baru mula terkenal di Malaysia, saya rasa tercabar kerana adik saya mempunyai blog. Saya pun mula menulis blog, walhal saya pun tak tahu ketika mula tersebut blog itu apa. Tapi dunia ini pelik dan punya cara tersendiri dalam putarannya, kadang tak terfikir dek akal manusia. Saya juga pelik ada orang yang baca blog saya, bahkan ada yang menulis tentangnya dan memuji tulisan saya, walaupun saya sendiri tak rasa apa yang saya tulis itu menarik. 10 tahun selepas itu saya mula serius menulis buku yang memuatkan pengalaman saya juga idea-idea dari pembacaan. Kemudian pada tahun seterusnya saya bersama rakan-rakan menerbitkan sebuah antologi puisi kecil.Lebih pelik ada orang yang membeli dan membaca buku saya. Jadi jangan rasa tidak signifikan, tuliskan idea-idea anda.

Antara yang kita boleh tulis adalah pengalaman hidup kita, tiada siapa yang mempunyai pengalaman hidup yang sama, jadi setiap kita mempunyai pengalaman hidup sendiri yang unik. Sejarah keluarga juga merupakan tema yang menarik untuk ditulis, setiap tahun kita balik kampung, dari sekadar makan kuih raya elok kita temubual dan rekodkan perjalanan hidup atuk nenek kita, mesti mereka mempunyai pelbagai sejarah untuk diceritakan jika kita bertanya. Sejarah kelab juga elok ditulis, untuk menjadi pedoman dan rujukan generasi baru yang bakal mewarisi kelab kita, apa yang kita rasa sebagai perkara yang tidak signifikan bakal menjadi bahan sejarah penting satu hari nanti. Kelab juga boleh mengumpul puisi, cerpen, atau esei dan menerbitkannya dalam bentuk antologi. Majalah kecil atau zine juga boleh direka dan dicetak sendiri, selain memperkenalkan barisan penulis, kelab juga boleh menjana pendapatan dengan penerbitan zine yang dijual ketika ada acara yang dianjurkan.

Bagaimana hendak menulis?

Kata Franz Kafka "If the book we read doesn't wake us up with a blow to the head, what are we reading for?". Dalam erti kata lain, Kafka mengungkapkan bahawa pembacaan seharusnya membuka minda kita, buku yang baik adalah buku yang berjaya "membingungkan" pembacanya lantas membuatnya semakin dahaga untuk membaca bagi memberi jawapan kepada mindanya. Jadi kita perlu menulis dengan kritis dan membangunkan pemikiran pembaca kita.

Kita semua belajar menulis sejak tadika, tapi yang hendak kita bangunkan bukan sekadar skil menulis menggunakan pensel, tapi penulisan yang merangsang pembaca. Tetapi kita tak akan mampu menulis secara kritis jika kita dahulu tidak boleh berfikir secara kritis. Jadi kita kena berani berfikir!

Sesetengah dari kita takut membaca falsafah berat, takut tersesat. Kita takut membaca karya-karya yang berlawanan dengan keimanan kita, sedangkan mereka sedikit pun tidak takut membaca karya-karya kita. Ketakutan kita ini menyebabkan kita tak mampu memahami kerencaman pemikiran, gagal menggunakan logik untuk melawan hujah lawan kita kerana kita sendiri tak faham apa yang mereka fikirkan. Tetapi ilmuan Islam sepanjang zaman menunjukkan mereka tak pernah takut dengan pemikiran luar, bahkan mereka aktif menterjemah karya-karya dari peradaban lain seperti dari Yunani dan Parsi. Mufti Perlis sendiri dalam bukunya Aku Ingin Kembara Lagi membaca karya penulis ateis radikal seperti Richard Dawkins yang menulis buku The God Delusion. Bahkan jika kita membaca Al-Qur'an berulang-ulang kali kita akan berjumpa ayat "afala tatafakkarun", Tuhan arahkan kita menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir. Jadi jangan takut berfikir!

Berfikiran kritis memerlukan kita untuk memastikan setiap idea mempunyai hujahan, boleh bertahan apabila diserang logik. Setiap idea perlu difikirkan, dikaji, diuji, sekalipun idea itu datang dari pembacaan kita dari bahan yang ditulis oleh ahli akademik. Untuk berfikiran kritis kita perlu keluar dari tempat persembunyian kita yang selesa. Kita perlu sertai program yang dianjurkan oleh orang lain untuk belajar ilmu organisasi dari mereka. Kita perlu berani mengetengahkan idea kita dan mempertahankannya dalam diskusi dengan mereka yang punya faham yang berbeza. Kita berlu bergaul dengan masyarakat yang rencam. Yang paling penting adalah kita perlu berani apabila dikritik balas oleh lawan kita.

Thomas Friedman dalam bukunya The World is Flat menceritakan bagaimana pesatnya dunia berubah. Bagaimana pekerjaan lama dihapuskan dan pekerjaan baru dicipta. Sifat kritis memerlukan kita berani berubah untuk kekal relevan. Dengan membaca pelbagai buku kita dapat memahami dunia dengan lebih sempurna, antara tool yang boleh kita manfaatkan adalah Goodreads - yang membolehkan kita menanda dan merekod pembacaan, menulis reviu, mencabar diri setiap tahun, dan melihat progres pembacaan kita.

Kita hari ini beruntung kerana hidup di era moden dimana kita mempunyai pelbagai medium penulisan. Kita boleh menuliskan dan menerbitkan penulisan kita di atas talian melalui Facebook, blog, atau website. Bagi penulisan di blog dan website kita boleh mengarkibkan tulisan kita menggunakan tool percuma seperti Wayback Machine di Internet Archive. Namun kandungan atas talian tidak dijamin kekal, pada April 2019 Google menamatkan laman sosialnya Google+. Jika syarikat besar seperti Google juga boleh gagal, apatah lagi kandungan di medium-medium yang lain. Sebab itu aktiviti pembukuan masih relevan. Buku yang kita terbitkan boleh disimpan dan dikatalog oleh perpustakaan negara dengan memohon ISBN number secara percuma. Perpustakaan negara juga menyimpan buku kita di pusat bencana jika berlaku apa-apa bencana untuk memastikan karya kita kekal terpelihara.

Jadi, menulislah! Menulislah dengan kritis!

Tiada ulasan: